Sumber : Google |
Smartphone atau dalam Bahasa Melayu-nya disebut
telefon pintar memang menjadi kegilaan manusia moden tidak kira tua atau muda.
Di mana mana sahaja kita boleh melihat manusia moden masa kini menggenggam
sebuah telefon pintar. Mereka makan, ke tandas, ke kedai, di panggung wayang,
atau di mana sahaja mereka pergi, telefon pintar pasti akan berada dalam
genggaman mereka. Pendek kata, manusia moden dan telefon pintar memang tidak dapat
dipisahkan bagai isi dengan kuku!
Ada sahabat bertanya kepada saya –
dia pelik apabila melihat sebuah keluarga – dari ibu bapa sampai ke anak anak
sibuk ‘menelaah’ telefon pintar ketika makan di sebuah kedai mamak baru baru
ini. Dia tanya pendapat saya mengapa keluarga tersebut boleh jadi begitu?
Mengapa tiada perbualan mesra antara ibu dan bapa dengan anak anak mereka
seperti kelazimannya? Saya mula memerhatikan keluarga tersebut dan cuba
mengkaji fikiran terutama apa yang telah saya baca di internet dan di surat
khabar sebelum sebelum ini.
Pada hemat saya, perkara semacam itu
boleh berlaku adalah kerana kesilapan yang dibuat oleh ibu bapa itu sendiri!
Ibu bapa yang membesarkan anak anak tersebut tidak pandai bergaul mesra dengan
anak mereka. Ibu bapa tersebut tidak cekap mencari topik yang menarik untuk
diajak berbual dan diajak berbincang menyebabkan anak anak berasa bosan lalu
mencari hiburan lain untuk menghilangkan kebosanan yang melanda. Kebetulan anak
anak itu lahir di zaman ledakan teknologi maklumat maka mereka menggunakan
kemudahan teknologi yang ada bagi menghilangkan kebosanan seperti bosan
menunggu makanan lambat tiba di kedai mamak itu.
Sikap ibu bapa yang dingin, mudah
marah, dan suka mencari kesalahan anak anak tidak tentu hala menyebabkan anak
anak menjauhi ibu bapa mereka sendiri. Mereka bukan benci tetapi kecewa dengan
sikap yang ditunjukkan oleh ibu bapa mereka. Natijahnya, mereka semakin
menghampiri telefon pintar dan menjauhi ibu bapa mereka pada masa yang sama.
Mereka lebih suka melayari Facebook, Twitter dan Instagram yang mereka percaya
mampu untuk ‘membahagiakan’ hari hari mereka setelah penat berhempas pulas di
sekolah atau di universiti. Dengan menggunakan telefon pintar juga, dapatlah
mereka menghilangkan rasa kecewa mereka terhadap ibu bapa mereka sendiri yang
bersikap dingin, mudah marah dan suka mencari kesalahan mereka tidak tentu hala
tadi.
Walaupun ini bukanlah satu analisis
yang tepat yang mampu saya berikan terhadap permasalahan itu tetapi sedikit
sebanyak dapatlah kita mencari jawapan berkenaan masalah yang berlaku. Pokok
pangkalnya, ibu bapalah yang perlu mengubah keadaan itu sekiranya mereka tidak
mahu anak anak mereka terus menjadi hamba telefon pintar seterusnya menjauhi
diri mereka sebagai ibu bapa.
Ibu bapalah yang sepatutnya menjadi
‘telefon pintar’ buat anak anak sama ada di rumah atau di mana sahaja. Mereka
perlu mengubah sikap mereka yang telah banyak mengecewakan anak anak tadi
dengan belajar nilai nilai keibubapaan yang tulin supaya proses mendidik dan
mendekati anak anak dapat berjalan dengan mudah. Jika ibu bapa pun bersikap
seperti ‘telefon bimbit biasa’ pasti anak anak tidak mahu mendekati mereka
seterusnya merosakkan hubungan kekeluargaan tersebut.
Dalam hal ini, ibu bapa perlu mencari
topik topik yang menarik untuk dibincang dan dibahasakan dengan anak anak
secara santai dan penuh hikmah. Pilihlah apa sahaja topik seperti sukan bola
sepak jika berbual dengan anak lelaki atau pelakon pelakon kacak Korea (sebagai
contoh) jika berbual dengan anak perempuan. Ibu bapa sepatutnya perlu bijak
untuk memilih topik topik yang menarik untuk diajak berbual secara santai dalam
proses mendekati anak anak.
Jika ibu bapa tidak mengambil cakna
akan hal ini, maka janganlah terkejut jika anak anda terus menjadi ‘hamba’
telefon pintar. Lebih parah lagi apabila hubungan kekeluargaan yang sepatutnya
dibina dengan baik runtuh kerana sikap tidak ambil peduli daripada pihak ibu
bapa. Proses ini memanglah memakan masa yang lama tetapi perlu dicuba supaya
anak anak anda tidak terus menjadi ‘balaci smartphone’!
Kita tidak boleh salahkan ledakan
teknologi kerana sudah ‘ketentuannya’ begitu. Yang kita perlu salahkan adalah
diri kita yang tidak mampu untuk mengawal teknologi sebaliknya membiarkan
teknologi mengawal kita pula. Sebagai manusia yang dikurniakan akal oleh Allah
s.w.t, kita perlulah menggunakan teknologi yang ada untuk kebaikkan diri kita
dan bukannya merosakkan diri kita pula.
Teknologi itu sebenarnya bagus untuk
melancarkan segala urusan dalam kehidupan kita seharian tetapi pada masa yang
sama, ia turut merosakkan nilai nilai kehidupan itu. Sebab itulah penting kita
sebagai manusia untuk mengawal teknologi tersebut agar teknologi tidak
merosakkan kehidupan kita sebagai manusia terutama dalam konteks kekeluargaan
tadi.
orang sekarang ni..memang macam tu.
BalasPadamaku gi mana pun..jadi lagu tu.
aku plak rasa janggal nak berborak bila memasing hadap henpon.
Lepak tapi masing-masing dengan dunia internet..huhu
BalasPadam