Sabtu, 22 Ogos 2015

MANUSIA MODEN LEBIH SAYANGKAN HAIWAN DARIPADA ANAK

Sumber : Google

Baru baru ini saya ada menghadiri ceramah agama di masjid yang berhampiran dengan rumah. Tajuk ceramah itu agak menarik juga iaitu berkenaan manusia akhir zaman. Menurut penceramah, apabila tiba akhir zaman yakni zaman yang kita tinggal sekarang, akan muncul perkara perkara aneh dan pelik sebagai tanda dekatnya kita semua dengan kiamat.

Jika diperhalusi kata kata penceramah itu, kemudian apabila dibuat perbandingan dengan segala macam berita yang muncul di blog blog masa kini, dapatlah disimpulkan bahawa kata kata penceramah itu memang banyak benarnya. Sebagai contoh kita boleh melihat ular yang mempunyai tanduk, manusia berkepala dua, ikan yang serupa naga dan banyak lagi dipaparkan di dalam blog dan media media sosial pada masa kini.   

Itu belum lagi disebut pelbagai bencana alam seperti gempa bumi yang acapkali muncul sejak akhir akhir ini. Semua ini adalah tanda tanda dari Allah bahawa dunia ini akan berakhir (kiamat). Sudah bersediakan kita semua untuk menghadapinya?


Jika dilihat dari sudut kehidupan manusia moden sekarang, semakin jelas tanda tanda kiamat itu. Kebatilan terus ditabalkan secara berleluasa manakala kebenaran terus dipendam sejak sekian lama. Orang yang jahat terus dijulang manakala orang yang baik akan dihina. Semua ini berlaku merupakan tanda daripada Allah supaya kita semua bersedia untuk menghadapi kiamat yang akan muncul pada bila bila masa sahaja.  

Mendengar ceramah yang menarik itu, serta merta saya teringat akan seorang lelaki (jiran saya) yang sangat menyayangi kucingnya melebihi anak kandung sendiri. Kucingnya melakukan apa sahaja seperti melepaskan najis di dalam rumah atau mencakar sofa sehingga koyak tetapi dia tidak langsung memarahi kucing itu. Dia juga sanggup berhabis puluhan ringgit sebulan untuk menyediakan makanan kepada haiwan itu dan sanggup berhabis demi kesihatan kucing tersebut.

Ironinya, perkara tersebut tidak dilakukan kepada anak anaknya. Anaknya melakukan kesalahan kecil sahaja seperti tidak membasuh pinggan yang banyak di dalam sinki tetapi dimarahi anaknya itu seperti memarahi seorang hamba abdi. Tidak cukup dengan itu, lelaki tersebut acapkali mengungkit apa yang telah diberikan kepada anaknya selama ini seperti duit belanja sekolah, makanan dan pakaian jika arahannya tidak dipatuhi. Apabila anaknya cuba mempertahankan diri, dia akan menghalau anak tersebut supaya keluar dari rumah.

Jika anaknya sakit, dia pasti akan merungut dan menyalahkan anaknya kerana ditimpa sakit. Ketika menghantar anaknya ke klinik, sepanjang perjalanan menuju ke klinik itu, kata kata amarah dihamburkan tanpa ada rasa belas kasihan. Dia akan mencari salah anaknya mengapa sampai boleh ditimpa penyakit seperti demam misalnya. Apabila anaknya sakit, dia tidak suka anaknya duduk atau terlantar di atas katil sahaja. Dia pasti akan menyuruh anaknya melakukan pelbagai kerja kerana dia tidak mahu anaknya menjadi manusia yang manja atau mengada-ngada.   

Saya teringat ketika salah seorang anaknya meminta membelikan maker pen untuk kegunaan sekolah namun dia tidak mahu membelikannya atas alasan anaknya akan membazir dan menyepahkan maker pen tersebut selepas tidak lagi digunakan. Itulah alasan yang acapkali diucapkan jika anaknya meminta untuk membelikan sesuatu perkara yang penting. Oleh itu, terpaksalah anaknya itu meminjam daripada adik saya untuk menyiapkan tugasan sekolah.

Itulah serba sedikit sikap tidak baik yang ditunjukkan oleh lelaki tersebut kepada anak anaknya. Kebetulan rumahnya berhampiran dengan rumah saya dan kebetulan pula anaknya itu kawan satu tingkatan dengan adik saya, maka dapatlah saya tahu cerita rumahtangganya sedikit demi sedikit. Saya berasa kasihan dengan anaknya yang dilayan seperti anak tiri di dalam rumah tersebut namun apakah yang boleh saya lakukan selain menulis untuk mengingatkan masyarakat di luar sana agar tidak sesekali mencontohi sikap lelaki itu.

Sebab itu saya tidak hairan jika ada anak anak di zaman sekarang yang tega menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua tua memandangkan sikap ibu bapa mereka sendiri yang lebih mengutamakan kucing daripada anak kandung sendiri! Tidak salah untuk kita menyayangi kucing kerana Rasulullah pun menyanyangi haiwan itu juga tetapi janganlah sampai melebihkan kucing daripada anak sendiri. Dunia akhir zaman : manusia terpaksa berkongsi kasih sayang dengan haiwan!  



6 ulasan:

  1. Apa salahnya berkongsi kasih sayang dengan haiwan :-)

    BalasPadam
  2. http://lovely-etna.blogspot.com/2015/08/chairil-anwar-in-love-and-broken.html

    BalasPadam
  3. Perkongsian yang menarik mengingatkan saya mengenai rakyat Jepun yang sanggup berbelanja lebih untuk binatang peliharaan. Percaya atau tidak di Jepun haiwan peliharaan juga mempunyai insurans. Barangkali satu hari nanti saya kongsikan mengenai anggaran kos peliharaan haiwan di Jepun. Jemput singgah di http://travelogisma.blogspot.jp/

    BalasPadam
  4. Anak ni anugerah terindah dan sangat istimewa. Tidak semua pasangan yang berkahwin bertuah dan mempunyai anak. Jadi hargailah anak-anak kita kerana selepas mati nanti doa anak-anakyang soleh lah yang dapat membantu kita.

    BalasPadam
  5. Malang apabila manusia enggan mengguna akal kurniaan Allah untuk kebaikan diri dan keluarga sendiri..

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.