Rabu, 19 Ogos 2015

MENGAPA KELUARGA MODEN JADI HAMBA SMARTPHONE?

Sumber : Google

Smartphone atau dalam Bahasa Melayu-nya disebut telefon pintar memang menjadi kegilaan manusia moden tidak kira tua atau muda. Di mana mana sahaja kita boleh melihat manusia moden masa kini menggenggam sebuah telefon pintar. Mereka makan, ke tandas, ke kedai, di panggung wayang, atau di mana sahaja mereka pergi, telefon pintar pasti akan berada dalam genggaman mereka. Pendek kata, manusia moden dan telefon pintar memang tidak dapat dipisahkan bagai isi dengan kuku!

Ada sahabat bertanya kepada saya – dia pelik apabila melihat sebuah keluarga – dari ibu bapa sampai ke anak anak sibuk ‘menelaah’ telefon pintar ketika makan di sebuah kedai mamak baru baru ini. Dia tanya pendapat saya mengapa keluarga tersebut boleh jadi begitu? Mengapa tiada perbualan mesra antara ibu dan bapa dengan anak anak mereka seperti kelazimannya? Saya mula memerhatikan keluarga tersebut dan cuba mengkaji fikiran terutama apa yang telah saya baca di internet dan di surat khabar sebelum sebelum ini.

Pada hemat saya, perkara semacam itu boleh berlaku adalah kerana kesilapan yang dibuat oleh ibu bapa itu sendiri! Ibu bapa yang membesarkan anak anak tersebut tidak pandai bergaul mesra dengan anak mereka. Ibu bapa tersebut tidak cekap mencari topik yang menarik untuk diajak berbual dan diajak berbincang menyebabkan anak anak berasa bosan lalu mencari hiburan lain untuk menghilangkan kebosanan yang melanda. Kebetulan anak anak itu lahir di zaman ledakan teknologi maklumat maka mereka menggunakan kemudahan teknologi yang ada bagi menghilangkan kebosanan seperti bosan menunggu makanan lambat tiba di kedai mamak itu.       


Sikap ibu bapa yang dingin, mudah marah, dan suka mencari kesalahan anak anak tidak tentu hala menyebabkan anak anak menjauhi ibu bapa mereka sendiri. Mereka bukan benci tetapi kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh ibu bapa mereka. Natijahnya, mereka semakin menghampiri telefon pintar dan menjauhi ibu bapa mereka pada masa yang sama. Mereka lebih suka melayari Facebook, Twitter dan Instagram yang mereka percaya mampu untuk ‘membahagiakan’ hari hari mereka setelah penat berhempas pulas di sekolah atau di universiti. Dengan menggunakan telefon pintar juga, dapatlah mereka menghilangkan rasa kecewa mereka terhadap ibu bapa mereka sendiri yang bersikap dingin, mudah marah dan suka mencari kesalahan mereka tidak tentu hala tadi.

Walaupun ini bukanlah satu analisis yang tepat yang mampu saya berikan terhadap permasalahan itu tetapi sedikit sebanyak dapatlah kita mencari jawapan berkenaan masalah yang berlaku. Pokok pangkalnya, ibu bapalah yang perlu mengubah keadaan itu sekiranya mereka tidak mahu anak anak mereka terus menjadi hamba telefon pintar seterusnya menjauhi diri mereka sebagai ibu bapa.

Ibu bapalah yang sepatutnya menjadi ‘telefon pintar’ buat anak anak sama ada di rumah atau di mana sahaja. Mereka perlu mengubah sikap mereka yang telah banyak mengecewakan anak anak tadi dengan belajar nilai nilai keibubapaan yang tulin supaya proses mendidik dan mendekati anak anak dapat berjalan dengan mudah. Jika ibu bapa pun bersikap seperti ‘telefon bimbit biasa’ pasti anak anak tidak mahu mendekati mereka seterusnya merosakkan hubungan kekeluargaan tersebut.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu mencari topik topik yang menarik untuk dibincang dan dibahasakan dengan anak anak secara santai dan penuh hikmah. Pilihlah apa sahaja topik seperti sukan bola sepak jika berbual dengan anak lelaki atau pelakon pelakon kacak Korea (sebagai contoh) jika berbual dengan anak perempuan. Ibu bapa sepatutnya perlu bijak untuk memilih topik topik yang menarik untuk diajak berbual secara santai dalam proses mendekati anak anak.      

Jika ibu bapa tidak mengambil cakna akan hal ini, maka janganlah terkejut jika anak anda terus menjadi ‘hamba’ telefon pintar. Lebih parah lagi apabila hubungan kekeluargaan yang sepatutnya dibina dengan baik runtuh kerana sikap tidak ambil peduli daripada pihak ibu bapa. Proses ini memanglah memakan masa yang lama tetapi perlu dicuba supaya anak anak anda tidak terus menjadi ‘balaci smartphone’

Kita tidak boleh salahkan ledakan teknologi kerana sudah ‘ketentuannya’ begitu. Yang kita perlu salahkan adalah diri kita yang tidak mampu untuk mengawal teknologi sebaliknya membiarkan teknologi mengawal kita pula. Sebagai manusia yang dikurniakan akal oleh Allah s.w.t, kita perlulah menggunakan teknologi yang ada untuk kebaikkan diri kita dan bukannya merosakkan diri kita pula.


Teknologi itu sebenarnya bagus untuk melancarkan segala urusan dalam kehidupan kita seharian tetapi pada masa yang sama, ia turut merosakkan nilai nilai kehidupan itu. Sebab itulah penting kita sebagai manusia untuk mengawal teknologi tersebut agar teknologi tidak merosakkan kehidupan kita sebagai manusia terutama dalam konteks kekeluargaan tadi. 

2 ulasan:

  1. orang sekarang ni..memang macam tu.

    aku gi mana pun..jadi lagu tu.

    aku plak rasa janggal nak berborak bila memasing hadap henpon.

    BalasPadam
  2. Lepak tapi masing-masing dengan dunia internet..huhu

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.