Isnin, 13 Julai 2015

SEKS, LUCAH, DAN MENCARUT, DALAM KESUSASTERAAN MELAYU

Sumber : Google

Pada pendapat anda, adakah semua novel di dalam Bahasa Melayu itu dianggap sebagai sastera Melayu? Apakah tafsiran anda mengenai sastera Melayu itu sendiri? Apakah ciri ciri novel yang boleh dianggap sebagai sebuah karya sastera? Persoalan persoalan sebegini memang banyak dibahaskan oleh para penulis, persatuan penulis, sarjana sastera, pengkritik sastera, wartawan dan rakyat marhaen. Sehingga sekarang, jawapan setepatnya mengenai sastera Melayu itu masih belum lagi dikemukakan oleh mana mana pihak sehingga menimbulkan polemik berpanjangan dalam dunia kesusasteraan.

Sebagai seorang blogger, pada hemat saya, bukan semua novel dalam Bahasa Melayu yang ditulis oleh penulis penulis tempatan itu boleh dianggap sebagai karya sastera. Karya sastera pada pandangan saya mestilah menggambarkan intelektual, ilmu, pemikiran, falsafah, prinsip, Islam, moral dan bersifat kemasyarakatan. Bukan semua novel masa kini mempunyai ciri ciri seperti itu dan tidak ramai penulis novel macapada ini gemar menghasilkan novel novel sebegitu.

Walaupun tidak banyak novel yang boleh mengisi kesemua ciri ciri yang saya sebutkan itu, tetapi jika salah satu daripada ciri ciri itu boleh dipenuhi, saya fikir novel itu sudah berjaya untuk menjadi sebuah karya sastera. Ini kerana tidak mudah untuk seseorang penulis menghasilkan sebuah novel yang merangkumi kesemua ciri ciri yang saya sebutkan di atas. Novel novel yang ditulis oleh Sasterawan Negara pun kebanyakkannya tidak mampu untuk memenuhi kesemua ciri itu.


Sebuah karya sastera yang baik mestilah mampu untuk memberikan sesuatu kepada pembacanya sama ada ilmu, pemikiran, falsafah, prinsip, moral atau keislaman. Jika tidak ada satu pun ciri di atas dimuatkan dalam novel novel dalam Bahasa Melayu itu, maka novel itu bukanlah sebuah karya sastera. Novel itu hanyalah sebuah novel biasa tetapi saya tidaklah menganggap novel novel itu sebagai sebuah karya picisan seperti tanggapan sesetengah orang. 

Walaupun novel tersebut merupakan sebuah novel popular, dicetak berjuta juta naskhah, dijual berbilion-billion salinan, penulisnya dikenali serata dunia, dan mempunyai jumlah pembaca yang ramai, namun jika novel tersebut tidak mempunyai ciri ciri di atas, maka novel tersebut, pada pandangan saya tidak boleh dianggap sebagai sebuah karya sastera. 

Lalu bagaimana pula dengan novel novel yang lucah, mencarut dan punya adegan adegan seks melampau di dalamnya? Adakah novel novel sebegini boleh dianggap sebagai karya sastera meskipun mempunyai nilai nilai intelektual, ilmu, falsafah, prinsip, dan Islam? Novel novel sebegini tidak perlu disanggah lagi popularitinya,  jumlah pembacanya, jumlah cetakannya, dan jumlah naskhah yang berjaya dijual kerana sudah pasti mempunyai angka yang besar namun jika diukur dalam ‘mazhab’ sastera Persuratan Baru yang dicetuskan oleh Ungku Maimunah Mohd Tahir dan Mohd Affandi Hassan, novel ini lebih baik dianggap sebagai sebuah karya picisan!

Selain daripada nilai intelektual, ilmu, falsafah, pemikiran, prinsip dan Islam, salah satu ciri penting yang perlu ada dalam sebuah karya sastera adalah moral. Jelas novel yang lucah, mencarut dan mempunyai adegan seks berlebihan di dalamnya tidak boleh dianggap sebagai sebuah karya sastera kerana telah melanggar nilai nilai moral. Novel sebegini bukan sahaja tidak memberi apa apa sumbangan kepada khalayak pembaca tetapi juga telah merosakkan pemikiran pembaca pada masa yang sama.

Walaupun novel novel sebegini memenangi pelbagai anugerah di beberapa buah negara, dan dianggap urban dan kontemporari, namun jika nilai moral pun gagal dijaga oleh pihak penulis dalam menghasilkannya, maka novel novel sebegini tidak boleh dianggap sebagai sebuah karya sastera. Sastera Melayu tidak boleh dilancap, disodomi, dibontoti dan diliwat oleh novel novel sebegitu. Novel novel yang berada dalam kumpulan karya sastera mesti suci dan memberi sumbangan besar kepada anggota masyarakat.

Penulis penulis yang gemar mengutarakan elemen elemen lucah, seks, dan mencarut di dalam novel novelnya melambangkan kekotoran hati dan pemikirannya. Bagaimana kotornya hati dan pemikiran seorang penulis itu, begitulah kotornya karya karya yang mereka hasilkan. Kemudian mereka kotorkan pula pemikiran pembaca pembaca novel mereka.

Antara penerbit yang berani menerbitkan karya karya ‘lumpur’ sebegini adalah Buku Fixi kepunyaan Amir Muhammad. Saya begitu terkejut membaca novel Zombijaya tulisan Adib Zaini yang penuh dengan perkataan lucah seperti ‘tetek’, ‘konek’, ‘babi’, dan sebagainya di dalam novel tersebut. Ironinya, novel itu diangakat menjadi sebuah filem bertajuk KL Zombi lakonan Zizan Razak, Siti Saleha, Izara Aishah dan ramai lagi. Pelik bin aneh apabila novel novel Sasterawan Negara tidak berani dijadikan sebuah filem kerana dianggap terlalu berat tetapi mengapa novel ‘kotor’ sebegini boleh dijadikan sebuah filem?

Jelas ada sesuatu yang tidak kena dalam pemikiran pembaca, penggiat filem, penulis dan penerbit buku yang ada di Malaysia ini. Pemikiran yang salah sebegini perlu diperbetulkan segera sebelum menjadi wabak yang boleh merosakkan pemikiran masyarakat terutama generasi muda pada masa kini.   

Kesimpulannya, karya sastera sifatnya suci, baik dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat di dalam bentuk intelektualisme, ilmu, falsafah, pemikiran, prinsip, keislaman, dan moral. Jika sesebuah novel itu tidak mempunyai satu pun ciri ciri yang saya sebutkan di atas, maka novel tersebut tidak boleh diangkat sebagai sebuah karya sastera. Saya sendiri pun masih gagal dan tidak mampu menghasilkan novel yang bertaraf sebuah karya sastera.



3 ulasan:

  1. Malangnya ada penulis yang sangat berbakat menggunakan medium sastera untuk memecah belah perpaduan sesama ummah. Sangat menyedihkan..:(

    BalasPadam
  2. Bagi haji , jika sesebuah novel itu mampu menggambarkan situasi sebenar masyarakat serta dilorongkan pula kepada jatidiri sebenar kemelayuan itu sendiri, bahawa melayu tidak lari dari acuan islam maka ia sudah dianggap sebagai karya sastera melayu.

    Apa guna kesusasteraan kalau sifatnya hanya membuai dan mendodoi ummat tanpa ada solusi dan jalan keluar kepada ketamadunan akhlak sebenar ?
    Lebih malang kalau sesuatu karya itu sememangnya mempromosi nilai kebejatan dan kerakusan nafsu yang secara langsung atau tidak membawa kehancuran kepada bangsa.
    Sekian ulasan maghrib dari haji.
    Wassalm

    BalasPadam
  3. Pada Zumal filem KL Zombi tu dah diubahkan jadi lebih sesuai untuk tontonan umum berbanding karya asalnya.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.