Sumber : Google |
Jarum jam sudah menunjukkan
pada pukul 11.15 malam. Hakimi masih menelaah buku teks Mikroekonomi untuk
menghafal fakta fakta di samping membuat sedikit latihan bagi menghadapi ujian bagi
subjek itu pada esok hari. Kepalanya pusing kerana perlu melakukan dua kerja
dalam masa yang sama – menghafal dan mengira! Tetapi dia tidak patah semangat.
Dia perlu berusaha bersungguh sungguh kerana dia tidak mahu gagal dalam ujian
tersebut. Jika dia gagal, bermakna gelaplah masa depannya pada semester itu.
Mikroekonomi bukan satu
matapelajaran yang mudah. Banyak fakta dan tidak kurang juga jalan kira yang
perlu difahami. Hakimi yang sememangnya mencintai bahasa tidak mudah untuk
menguasai subjek menghafal dan mengira itu. Namun dia berusaha juga. Prinsipnya
usaha tangga kejayaan. Tidak akan ada kejayaan kalau tidak disusuli dengan
usaha.
Matanya meliar memerhatikan
tingkap tingkap bilik asrama perempuan yang berhadapan dengan tingkap biliknya.
Dia tidak tahu mengapa bangunan asrama perempuan perlu berhadapan dengan
bangunan asrama lelaki. Dia memerhatikan bilik bilik di asrama perempuan masih
belum memadamkan lampu. Barangkali mereka masih belum tidur dan masih mengulangkaji
pelajaran sepertinya. Itulah yang terlintas di fikirannya waktu itu. Biasanya
pukul 12 tengah malam barulah lampu di semua bilik itu padam. Kadang kala pukul
dua pagi itu ada bilik yang masih terpasang lampunya.
Dia memerhatikan teman
sebiliknya, Mahir yang sedang leka bermain permainan video di atas katil sambil
berbaring dengan hanya memakai seluar pendek tanpa baju. Bunyi bunyi yang
keluar dari permainan video itu mengganggu tumpuannya untuk menghafal fakta
fakta ekonomi yang banyak dan berat itu. Dia geram dengan sikap Mahir yang seolah
olah tidak prihatin dengan dirinya padahal sudah setahun mereka bersahabat
sejak dia masuk ke kolej itu.
“Hoi! Perlahan la sikit.
Aku tengah menghafal ni.” Hakimi mula memberi peringatan dengan suara yang
tinggi.
“Yalah...yalah...kau ni tak sporting
la. Aku baru nak layan game ni.” Mahir membalas.
“Baru nak layan? Kau dah
main game tu dari pukul 8 malam tadi. Kau tak study ke Mahir?” Hakimi
bertanya.
“Ala...tiru je la esok.
Macam kau tak kenal pula perangai aku.”
Selamba sahaja Mahir mengeluarkan kata kata itu tanpa rasa bersalah.
“Jadi esok kau bawa ‘toyol’
la?” Soal Hakimi dan Mahir menjawab pertanyaan itu dengan anggukan sahaja
sambil matanya tertancap pada permainan video yang berada di dalam komputer
riba berjenama Alienware itu.
“Kau ni asyik meniru je.
Tak takut dosa ke?” Hakimi memprovokasi.
“Cuba kau cerita dengan
aku, mana ada student kat kolej ni tak meniru. Diaorang semua meniru la...sebab
tu diaorang boleh dapat markah yang tinggi dalam exam.” Tukas Mahir.
“Macam mana kau tahu? Kau
ada bukti ke?”
“Hei, ni Mahirlah. Aku
ramai kawan kat kolej ni. Semua senior kolej ni aku kenal. Diaorang semua cakap
perkara yang sama kat aku. Aku bukan macam kau. Aku selalu campur dengan budak
budak dalam kolej ni. Kau tu kera sumbang. Asyik duduk dalam bilik je.” Sungguh
tajam ayat ayat yang keluar dari mulut Mahir. Mahir memang begitu. Jika
bercakap tanpa rasa angkuh dan celupar memang bukan Mahirlah yang bercakap itu.
Hakimi sudah masak dengan sikap Mahir yang tidak pandai menjaga hati dan
perasaan orang lain.
Mahir memang seorang lelaki
yang lantang bersuara dan suka mengkritik tanpa mengambil kira hati dan
perasaan orang lain yang mendengarnya. Disebalik ketampanan wajah dan ketegapan
tubuhnya, memang ramai tidak menyangka yang Mahir mempunyai mulut yang celupar
seperti itu. Jika hati tidak kuat memang boleh bergaduh dengannya atau tidak
kurang juga yang menangis kerana mulut berbisanya.
“Kau tak risau ke kena
tangkap masa meniru?” Hakimi bertanya
sambil cuba melupakan kata kata Mahir yang menghiris hati itu. Dia tidak mahu
mencetuskan perbalahan dengan lelaki itu. Walaupun Mahir memang seorang lelaki
yang bermulut celupar tetapi dia mempunyai hati yang baik. Dia selalu menolong
orang yang berada di dalam kesusahan.
“Prinsip aku macam ni
la...tak meniru tu bodoh, kalau kena tangkap meniru lagi bodoh!” Ujar Mahir
dengan sinis. Hakimi hanya diam sahaja. Dia malas mahu berperang dengan Mahir
yang mempunyai fikiran yang luar biasa dan cekap mematahkan hujah hujah orang.
Biarlah dia dengan dirinya sendiri. Moga moga dia sedar akan kesalahan
dirinya. Hakimi terus menyambung
ulangkajinya yang tertangguh tadi. Tepat jam dua belas tengah malam, dia
menutup buku dan bergerak ke katil untuk melelapkan mata manakala Mahir pula
begitu asyik dengan permainan videonya.
.................................................................................................................
Pagi itu seperti biasa Hakimi dan Mahir
bersiap siap untuk ke kolej. Kelas mereka bermula pada pukul 8 pagi dan
sekarang baru pukul 7.15 pagi bermakna masih ada 45 minit lagi untuk kelas
bermula.
Hakimi memerhatikan tingkah
laku Mahir yang sedang khusyuk mengambil gambar nota nota yang terdapat dalam
buku teks itu dengan menggunakan telefon pintarnya. Begitulah tindakan Mahir
sebelum ujian atau peperiksaan berlangsung. Dan begitulah cara Mahir ingin meniru
iaitu dengan melihat gambar nota dalam telefon pintarnya. Keistimewaan Mahir
adalah dia tidak pernah ditangkap meniru walaupun telah berkali kali melakukan
perbuatan terkutuk itu di dalam peperiksaan mahupun ujian.
Hakimi memerhatikan Mahir
sedang mengambil gambar beberapa helai muka surat buku teks Mikroekonomi itu
sebagai persiapan untuk meniru dalam ujian subjek itu yang akan bermula tidak
lama lagi. Hakimi pula seperti biasa membaca nota nota yang dihafalnya malam
tadi. Dia tidak berani seperti Mahir. Dia tidak tahu bagaimana Mahir punya keberanian
untuk melakukan perbuatan itu. Mahir pula begitu tekun mengambil gambar nota
tersebut tanpa mempedulikan Hakimi.
Hakimi sekadar memerhati dan terus membaca nota nota yang dibuatnya
sebagai persiapan terakhir.
“Kau jangan jadi pengecut
la. Tiru je la nanti. Jangan nak jadi baik sangat. Ini je cara kita nak dapat
markah tinggi. Dalam final exam nanti kita dah tak boleh tiru dah. Masa
ujian dan kuiz je kita boleh meniru.” Ujar Hakimi setelah siap mengambil gambar
nota nota Mikroekonomi itu menggunakan telefon pintarnya.
“Tak naklah. Aku
takutlah...aku tak berani macam kau...kalau kena tangkap nanti macam mana?
Gelap masa depan aku nanti.” Kata Hakimi.
“Kau ni penakutlah. Nanti kau
duduklah kat belakang. Jangan duduk depan. Kalau duduk depan memang kantoi.
Untuk pengetahuan kau semua budak kat kelas kita tu meniru. Kau je yang belajar
macam nak rak orang lain sedap sedap dapat markah tinggi dengan meniru. Kau
belajar betul betul pun tak pernah pula aku dengar kau dapat Anugerah Dekan.
Kau pun jarang sangat dapat A dalam satu satu subjek tu. So, better kau
tiru je. Kau tak payah susah susah dan markah kau pun boleh tinggi.” Mahir mula
meracun pemikiran Hakimi.
“Apa guna dapat A kalau
buat dengan cara yang tak halal. Biar markah kita sikit tak apa janji kita buat
dengan cara yang betul dan halal” Balas Hakimi.
“Kau ni aku kata bodoh
pointer kau memang tinggi. Kau jangan nak tunjuk baik la. Ingat apa yang aku
cakap. Tak meniru bodoh, kena tangkap meniru lagi bodoh.” Mahir masih
mempertahankan prinsipnya.
“Suka hati kau la nak cakap
apa. Jadi apa apa nanti jangan mengadu kat aku.” Hakimi malas mahu berbalah
dengan Mahir pagi pagi begini.
“Ini Mahir la...jejaka paling
cekap dan paling tampan kat kolej. Takkan jadi apa apa punya. Suka hati kau la
nak buat apa pun. Tak boleh jawab dalam ujian nanti jangan sedih lepas tu
mengadu kat aku. Tanggung sendiri la ye...haha.” Sinis sekali kata kata Mahir.
.................................................................................................................
Perasaan berdebar debar mula
melanda kelas Seksyen 12. Mana tidaknya, tidak lama lagi Puan Maimunah,
Pensyarah subjek Mikroekonomi kelas tersebut akan mengadakan ujian kedua
sebelum mereka melangkah ke peperiksaan akhir bulan hadapan. Ujian kedua ini
sangat penting kerana markah daripada ujian ini akan dikumpulkan bersama dengan
markah ujian pertama, kuiz pertama, kuiz kedua, tugasan individu dan tugasan
berkumpulan kemudian markah markah itu pula akan dicampurkan dengan markah
daripada peperiksaan akhir untuk menentukan sama ada seseorang pelajar itu
lulus atau tidak dalam subjek tersebut. Oleh itu, semua pelajar mesti lulus
ujian kedua ini. Jika tidak lulus, kebarangkalian untuk mengulang semula subjek
itu amat tinggi.
Hakimi bersendirian duduk di
hadapan kelas – betul betul berhadapan dengan meja pensyarah. Rakan rakannya
yang lain berebut rebut duduk di bahagian belakang kelas. Hakimi tahu tujuan
mereka berbuat begitu. Mereka sebenarnya mahu meniru. Namun, Hakimi tidak mahu
mencampuri urusan mereka. Biarlah mereka dengan urusan mereka. Jika ditegur
nanti, akan bermasam muka pula. Jadi, lebih baik diam daripada mencipta
permusuhan.
Mahir, Najmi, Nazmi, dan Wira
betul betul duduk di bahagian belakang kelas. Mereka tidak henti henti
mengambil gambar gambar nota dan merangka strategi untuk meniru. Bukan hanya
mereka, hampir semua pelajar di kelas itu kecuali Hakimi melakukan sedemikian
rupa. Kelas sedikit hingar bingar dengan keadaan itu.
Tiba tiba pintu dikuak dari
luar. Muncul Puan Maimunah bersama sama dengan kertas ujian Mikroekonomik yang
dipegang di tangannya. Semua pelajar di kelas itu diam tidak berkutik. Masing
masing menyembunyikan telefon pintar yang ada dalam simpanan masing masing.
“Okay, macam yang saya cakap
minggu lepas hari ni kita akan buat ujian kedua subjek Mikroekonomi. Simpan
semua buku dan tolong jarakkan tempat duduk anda sekarang.” Tegas sekali kata
kata Puan Maimunah setelah memberi ucapan salam. Puan Maimunah ini agak tegas
orangnya walaupun dia sering membuat lawak jenaka ketika mengajar.
Semua pelajar di kelas itu
mematuhi arahan Puan Maimunah tanpa banyak soal. Mereka tidak berani untuk
membantah kerana takut ‘disembur’ oleh pensyarah yang bertubuh besar dan tinggi
itu. Silap percaturan mereka mungkin akan digagalkan oleh Puan Maimunah.
“Sekarang saya akan edarkan
kertas. Dapat je kertas terus buat. Jangan sesekali cuba untuk meniru. Saya dapat
tangkap awak meniru, tahu la macam mana saya nak ajar awak nanti.” Puan
Maimunah memberi amaran keras. Beberapa orang pelajar meneguk air liur tatkala
mendengar amaran Puan Maimunah itu.
Puan Maimunah lantas
mengedarkan kertas soalan kepada setiap pelajar yang berada di kelas itu. Dapat
sahaja kertas soalan, mereka terus menulis nama mereka dan nama kelas mereka
kemudian terus menjawab soalan yang dikemukakan dengan cara meniru gambar
gambar nota yang berada dalam telefon pintar mereka.
Hanya Hakimi sahaja menjawab kertas
soalan itu tanpa meniru dan dalam keadaan yang tenang. Dia agak gembira kerana
kebanyakkan soalan yang dikemukakan, dia mampu menjawab dengan baik
memandangkan dia sudah bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran semalam.
Tetapi, ada juga dua tiga soalan yang tidak mampu dijawabnya kerana soalan itu
benar benar susah.
Setelah mengedarkan kertas
soalan kepada semua pelajar, Puan Maimunah terus duduk di meja pensyarah yang
terletak di bahagian hadapan kelas. Tindakan Puan Maimunah itu telah memudahkan
para pelajar di kelas itu untuk terus meniru. Puan Maimunah menyusun buku buku
dan kertas kertas miliknya yang berselerak di atas meja. Seusai menyusun,
matanya meliar ke seluruh kelas. Dia memicingkan pandangannya kepada setiap
pelajar di kelas itu. Tanpa disangka sangka, tiba tiba sahaja Puan Maimunah
berdiri dan dia bergerak ke belakang kelas.
Bagi pelajar yang menyedari
kehadiran Puan Maimunah, mereka lantas menyorokkan telefon pintar yang
mengandungi nota nota Mikroekonomi itu di mana mana. Namun, tidak bagi Mahir
dan Najmi. Kedua dua pelajar itu masih ‘seronok’ bertukar tukar nota yang
terdapat di dalam telefon pintar mereka tanpa mereka sedari mata Puan Maimunah
yang tajam itu sudah terpandang akan kelakukan aneh mereka.
Pelajar pelajar yang
menyedari kehadiran Puan Maimunah ke belakang kelas itu cuba untuk memberitahu
kepada Mahir dan Najmi akan kehadiran
Puan Maimunah namun kedua dua mereka masih tidak sedar. Mereka sedang asyik
meniru dan seronok dengan dunia penipuan mereka. Perlahan lahan Puan Maimunah
menuju ke arah mereka. Ketika dia sampai di hadapan kedua dua budak lelaki itu
pun, mereka masih tidak sedar.
“Kamu tiru Mahir! Kamu tiru
Najmi!” Jerkah Puan Maimunah dengan suara yang sangat nyaring sehingga
membuatkan kedua dua remaja itu tersentak. Najmi yang sangat terkejut kerana
ditangkap meniru dan mendengar suara Puan Maimunah itu telah terlepas telefon
pintar berjenama Opponya ke lantai. Buru buru dia mengambil telefon pintar
tersebut dan mencantum kembali bahagian yang sudah terbarai. Menggigil gigil
tangannya ketika mencantum bahagian bahagian yang bersepai itu kerana terlalu
takut.
“Err...” Tiada kata yang mampu
diucapkan oleh Mahir pada waktu itu. Liurnya terasa pahit ketika ditelan
apabila memandang wajah bengis Puan Maimunah dihadapannya. Sempat lagi
dikerlingnya Hakimi yang sedang memerhatikan dirinya bersama rakan sekelas yang
lain. Perasaan malu tiba tiba menerpa dalam dirinya.
Selama ini dia selalu bercakap
sombong dengan mengatakan dia adalah Dewa Meniru di kelas itu kerana tidak
pernah sekalipun tertangkap. Boleh dikatakan hampir setiap kali ujian dan kuiz
dijalankan, dia menyudahkannya dengan cara meniru. Perbuatannya itu sekalipun tidak
pernah disedari oleh para pensyarahnya sehingga dia telah sedap dengan cara
begitu.
“Bak sini telefon kamu.” Puan
Maimunah terus merampas telefon pintar berjenama Samsung milik Mahir dan
telefon pintar berjenama Oppo milik Najmi. Mereka berdua telah terkelu lidah
sehingga sukar untuk berkata apa apa pada waktu itu kerana terlalu takut dan
terkejut.
“Berani kamu meniru ye. Saya
dah bagi amaran kan jangan meniru. Saya akan call you parents. Markah ujian
dua kamu kosong!” Puan Maimunah bergerak ke hadapan kelas.
“Get out from my class!!!”
Puan Maimunah menjerit kepada Mahir dan Najmi. Terpancar riak kemarahan yang
teramat sangat pada wajah pensyarah yang berusia awal 40an itu. Semua pelajar
di dalam kelas itu diam tidak berkutik kerana terlalu takut. Mahir dan Najmi
lantas mengambil beg mereka dan berjalan keluar dari kelas itu.
................................................................................................................
Hakimi menyeka peluh di
dahinya yang mencucur keluar setelah memanjat tangga untuk menuju ke biliknya
yang terletak di tingkat empat asrama lelaki itu. Setelah sampai di pintu
bilik, dia memasukkan kunci ke dalam tombol pintu dan memulasnya untuk membuka
pintu tersebut. Sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik, dia melihat Mahir
sedang menghadap komputer ribanya. Wajah lelaki itu nampak sedih.
“Kau okay tak Mahir?” Soal
Hakimi sambil meletakkan beg di atas sebuah kerusi yang berhampiran dengan meja
belajarnya. Kemudian dia duduk di katilnya yang terletak bersebelahan dengan
katil Mahir.
“Okay...” Mahir menjawab
dengan nada lemah.
“Tu la...banyak kali aku
cakap dengan kau jangan meniru. Tapi kau degil. Degil satu hal, pastu berlagak
lagi. Ingat, sepandai pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Aku
ingat lagi apa yang selalu kau cakap kat aku, tak meniru bodoh, kena tangkap
meniru lagi bodoh. So, kau ni bodoh la ye. Hahaha” Hakimi ketawa
terbahak bahak seusai ‘membasuh’ sambil memulangkan paku buah keras kepada
Mahir.
Mahir yang dihambat rasa marah
lantas membaling bantalnya ke muka Hakimi namun sempat di sambut oleh lelaki
itu.
“Kau ni bukan nak tenangkan
perasaan aku, kutuk aku lagi ada.” Mahir sudah menarik muka masamnya. Matanya
kembali tertancap pada komputer riba yang berada di atas pangkuannya.
“Aku dah banyak kali bagi kau
amaran tapi kau tak nak dengar. Sekarang terimalah padah di atas perbuatan kau
sendiri. Jangan cakap aku tak bagi amaran sebelum ni.” Ujar Hakimi.
“Ye la... ye la...aku minta maaf la sebab
tak ikut nasihat kau sebelum ni. Aku tahu aku salah. Aku janji aku tak buat
lagi.” Kata Mahir dengan rasa penuh insaf. Dia menyesal kerana tidak mendengar
amaran yang sudah acapkali dikeluarkan oleh Hakimi sebelum ini. Namun, sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak beguna. Tiada apa yang boleh dia
lakukan kerana nasi sudah pun menjadi bubur. Apa yang pasti dia hanya perlu
menunggu hukuman di atas semua kesilapan yang telah dia lakukan.
Mahir mengingatkan sayan pada seseorang masa saya belajar dulu.
BalasPadamhehehhe...xmemasal kan....xbaik meniru...xberkat kang
BalasPadam