Ahad, 19 Julai 2015

CERPEN : TERTANGKAP!!!

Sumber : Google

          Jarum jam sudah menunjukkan pada pukul 11.15 malam. Hakimi masih menelaah buku teks Mikroekonomi untuk menghafal fakta fakta di samping membuat sedikit latihan bagi menghadapi ujian bagi subjek itu pada esok hari. Kepalanya pusing kerana perlu melakukan dua kerja dalam masa yang sama – menghafal dan mengira! Tetapi dia tidak patah semangat. Dia perlu berusaha bersungguh sungguh kerana dia tidak mahu gagal dalam ujian tersebut. Jika dia gagal, bermakna gelaplah masa depannya pada semester itu.

          Mikroekonomi bukan satu matapelajaran yang mudah. Banyak fakta dan tidak kurang juga jalan kira yang perlu difahami. Hakimi yang sememangnya mencintai bahasa tidak mudah untuk menguasai subjek menghafal dan mengira itu. Namun dia berusaha juga. Prinsipnya usaha tangga kejayaan. Tidak akan ada kejayaan kalau tidak disusuli dengan usaha.  

         Matanya meliar memerhatikan tingkap tingkap bilik asrama perempuan yang berhadapan dengan tingkap biliknya. Dia tidak tahu mengapa bangunan asrama perempuan perlu berhadapan dengan bangunan asrama lelaki. Dia memerhatikan bilik bilik di asrama perempuan masih belum memadamkan lampu. Barangkali mereka masih belum tidur dan masih mengulangkaji pelajaran sepertinya. Itulah yang terlintas di fikirannya waktu itu. Biasanya pukul 12 tengah malam barulah lampu di semua bilik itu padam. Kadang kala pukul dua pagi itu ada bilik yang masih terpasang lampunya.

        Dia memerhatikan teman sebiliknya, Mahir yang sedang leka bermain permainan video di atas katil sambil berbaring dengan hanya memakai seluar pendek tanpa baju. Bunyi bunyi yang keluar dari permainan video itu mengganggu tumpuannya untuk menghafal fakta fakta ekonomi yang banyak dan berat itu. Dia geram dengan sikap Mahir yang seolah olah tidak prihatin dengan dirinya padahal sudah setahun mereka bersahabat sejak dia masuk ke kolej itu.

          “Hoi! Perlahan la sikit. Aku tengah menghafal ni.” Hakimi mula memberi peringatan dengan suara yang tinggi.


         “Yalah...yalah...kau ni tak sporting la. Aku baru nak layan game ni.” Mahir membalas.

           “Baru nak layan? Kau dah main game tu dari pukul 8 malam tadi. Kau tak study ke Mahir?” Hakimi bertanya.

         “Ala...tiru je la esok. Macam kau tak kenal pula perangai aku.”
Selamba sahaja Mahir mengeluarkan kata kata itu tanpa rasa bersalah.

         “Jadi esok kau bawa ‘toyol’ la?” Soal Hakimi dan Mahir menjawab pertanyaan itu dengan anggukan sahaja sambil matanya tertancap pada permainan video yang berada di dalam komputer riba berjenama Alienware itu.

          “Kau ni asyik meniru je. Tak takut dosa ke?” Hakimi memprovokasi.

          “Cuba kau cerita dengan aku, mana ada student kat kolej ni tak meniru. Diaorang semua meniru la...sebab tu diaorang boleh dapat markah yang tinggi dalam exam.” Tukas Mahir.

          “Macam mana kau tahu? Kau ada bukti ke?”

          “Hei, ni Mahirlah. Aku ramai kawan kat kolej ni. Semua senior kolej ni aku kenal. Diaorang semua cakap perkara yang sama kat aku. Aku bukan macam kau. Aku selalu campur dengan budak budak dalam kolej ni. Kau tu kera sumbang. Asyik duduk dalam bilik je.” Sungguh tajam ayat ayat yang keluar dari mulut Mahir. Mahir memang begitu. Jika bercakap tanpa rasa angkuh dan celupar memang bukan Mahirlah yang bercakap itu. Hakimi sudah masak dengan sikap Mahir yang tidak pandai menjaga hati dan perasaan orang lain.  

         Mahir memang seorang lelaki yang lantang bersuara dan suka mengkritik tanpa mengambil kira hati dan perasaan orang lain yang mendengarnya. Disebalik ketampanan wajah dan ketegapan tubuhnya, memang ramai tidak menyangka yang Mahir mempunyai mulut yang celupar seperti itu. Jika hati tidak kuat memang boleh bergaduh dengannya atau tidak kurang juga yang menangis kerana mulut berbisanya.

          “Kau tak risau ke kena tangkap masa meniru?”  Hakimi bertanya sambil cuba melupakan kata kata Mahir yang menghiris hati itu. Dia tidak mahu mencetuskan perbalahan dengan lelaki itu. Walaupun Mahir memang seorang lelaki yang bermulut celupar tetapi dia mempunyai hati yang baik. Dia selalu menolong orang yang berada di dalam kesusahan.

          “Prinsip aku macam ni la...tak meniru tu bodoh, kalau kena tangkap meniru lagi bodoh!” Ujar Mahir dengan sinis. Hakimi hanya diam sahaja. Dia malas mahu berperang dengan Mahir yang mempunyai fikiran yang luar biasa dan cekap mematahkan hujah hujah orang. Biarlah dia dengan dirinya sendiri. Moga moga dia sedar akan kesalahan dirinya.  Hakimi terus menyambung ulangkajinya yang tertangguh tadi. Tepat jam dua belas tengah malam, dia menutup buku dan bergerak ke katil untuk melelapkan mata manakala Mahir pula begitu asyik dengan permainan videonya.

.................................................................................................................

               Pagi itu seperti biasa Hakimi dan Mahir bersiap siap untuk ke kolej. Kelas mereka bermula pada pukul 8 pagi dan sekarang baru pukul 7.15 pagi bermakna masih ada 45 minit lagi untuk kelas bermula.

          Hakimi memerhatikan tingkah laku Mahir yang sedang khusyuk mengambil gambar nota nota yang terdapat dalam buku teks itu dengan menggunakan telefon pintarnya. Begitulah tindakan Mahir sebelum ujian atau peperiksaan berlangsung. Dan begitulah cara Mahir ingin meniru iaitu dengan melihat gambar nota dalam telefon pintarnya. Keistimewaan Mahir adalah dia tidak pernah ditangkap meniru walaupun telah berkali kali melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam peperiksaan mahupun ujian. 

         Hakimi memerhatikan Mahir sedang mengambil gambar beberapa helai muka surat buku teks Mikroekonomi itu sebagai persiapan untuk meniru dalam ujian subjek itu yang akan bermula tidak lama lagi. Hakimi pula seperti biasa membaca nota nota yang dihafalnya malam tadi. Dia tidak berani seperti Mahir. Dia tidak tahu bagaimana Mahir punya keberanian untuk melakukan perbuatan itu. Mahir pula begitu tekun mengambil gambar nota tersebut tanpa mempedulikan Hakimi.  Hakimi sekadar memerhati dan terus membaca nota nota yang dibuatnya sebagai persiapan terakhir.

         “Kau jangan jadi pengecut la. Tiru je la nanti. Jangan nak jadi baik sangat. Ini je cara kita nak dapat markah tinggi. Dalam final exam nanti kita dah tak boleh tiru dah. Masa ujian dan kuiz je kita boleh meniru.” Ujar Hakimi setelah siap mengambil gambar nota nota Mikroekonomi itu menggunakan telefon pintarnya.

         “Tak naklah. Aku takutlah...aku tak berani macam kau...kalau kena tangkap nanti macam mana? Gelap masa depan aku nanti.” Kata Hakimi.

        “Kau ni penakutlah. Nanti kau duduklah kat belakang. Jangan duduk depan. Kalau duduk depan memang kantoi. Untuk pengetahuan kau semua budak kat kelas kita tu meniru. Kau je yang belajar macam nak rak orang lain sedap sedap dapat markah tinggi dengan meniru. Kau belajar betul betul pun tak pernah pula aku dengar kau dapat Anugerah Dekan. Kau pun jarang sangat dapat A dalam satu satu subjek tu. So, better kau tiru je. Kau tak payah susah susah dan markah kau pun boleh tinggi.” Mahir mula meracun pemikiran Hakimi.

           “Apa guna dapat A kalau buat dengan cara yang tak halal. Biar markah kita sikit tak apa janji kita buat dengan cara yang betul dan halal” Balas Hakimi.

        “Kau ni aku kata bodoh pointer kau memang tinggi. Kau jangan nak tunjuk baik la. Ingat apa yang aku cakap. Tak meniru bodoh, kena tangkap meniru lagi bodoh.” Mahir masih mempertahankan prinsipnya.

        “Suka hati kau la nak cakap apa. Jadi apa apa nanti jangan mengadu kat aku.” Hakimi malas mahu berbalah dengan Mahir pagi pagi begini.

       “Ini Mahir la...jejaka paling cekap dan paling tampan kat kolej. Takkan jadi apa apa punya. Suka hati kau la nak buat apa pun. Tak boleh jawab dalam ujian nanti jangan sedih lepas tu mengadu kat aku. Tanggung sendiri la ye...haha.” Sinis sekali kata kata Mahir.

.................................................................................................................

         Perasaan berdebar debar mula melanda kelas Seksyen 12. Mana tidaknya, tidak lama lagi Puan Maimunah, Pensyarah subjek Mikroekonomi kelas tersebut akan mengadakan ujian kedua sebelum mereka melangkah ke peperiksaan akhir bulan hadapan. Ujian kedua ini sangat penting kerana markah daripada ujian ini akan dikumpulkan bersama dengan markah ujian pertama, kuiz pertama, kuiz kedua, tugasan individu dan tugasan berkumpulan kemudian markah markah itu pula akan dicampurkan dengan markah daripada peperiksaan akhir untuk menentukan sama ada seseorang pelajar itu lulus atau tidak dalam subjek tersebut. Oleh itu, semua pelajar mesti lulus ujian kedua ini. Jika tidak lulus, kebarangkalian untuk mengulang semula subjek itu amat tinggi.

        Hakimi bersendirian duduk di hadapan kelas – betul betul berhadapan dengan meja pensyarah. Rakan rakannya yang lain berebut rebut duduk di bahagian belakang kelas. Hakimi tahu tujuan mereka berbuat begitu. Mereka sebenarnya mahu meniru. Namun, Hakimi tidak mahu mencampuri urusan mereka. Biarlah mereka dengan urusan mereka. Jika ditegur nanti, akan bermasam muka pula. Jadi, lebih baik diam daripada mencipta permusuhan.

        Mahir, Najmi, Nazmi, dan Wira betul betul duduk di bahagian belakang kelas. Mereka tidak henti henti mengambil gambar gambar nota dan merangka strategi untuk meniru. Bukan hanya mereka, hampir semua pelajar di kelas itu kecuali Hakimi melakukan sedemikian rupa. Kelas sedikit hingar bingar dengan keadaan itu. 

         Tiba tiba pintu dikuak dari luar. Muncul Puan Maimunah bersama sama dengan kertas ujian Mikroekonomik yang dipegang di tangannya. Semua pelajar di kelas itu diam tidak berkutik. Masing masing menyembunyikan telefon pintar yang ada dalam simpanan masing masing.

        “Okay, macam yang saya cakap minggu lepas hari ni kita akan buat ujian kedua subjek Mikroekonomi. Simpan semua buku dan tolong jarakkan tempat duduk anda sekarang.” Tegas sekali kata kata Puan Maimunah setelah memberi ucapan salam. Puan Maimunah ini agak tegas orangnya walaupun dia sering membuat lawak jenaka ketika mengajar.

       Semua pelajar di kelas itu mematuhi arahan Puan Maimunah tanpa banyak soal. Mereka tidak berani untuk membantah kerana takut ‘disembur’ oleh pensyarah yang bertubuh besar dan tinggi itu. Silap percaturan mereka mungkin akan digagalkan oleh Puan Maimunah.

       “Sekarang saya akan edarkan kertas. Dapat je kertas terus buat. Jangan sesekali cuba untuk meniru. Saya dapat tangkap awak meniru, tahu la macam mana saya nak ajar awak nanti.” Puan Maimunah memberi amaran keras. Beberapa orang pelajar meneguk air liur tatkala mendengar amaran Puan Maimunah itu.

         Puan Maimunah lantas mengedarkan kertas soalan kepada setiap pelajar yang berada di kelas itu. Dapat sahaja kertas soalan, mereka terus menulis nama mereka dan nama kelas mereka kemudian terus menjawab soalan yang dikemukakan dengan cara meniru gambar gambar nota yang berada dalam telefon pintar mereka.

         Hanya Hakimi sahaja menjawab kertas soalan itu tanpa meniru dan dalam keadaan yang tenang. Dia agak gembira kerana kebanyakkan soalan yang dikemukakan, dia mampu menjawab dengan baik memandangkan dia sudah bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran semalam. Tetapi, ada juga dua tiga soalan yang tidak mampu dijawabnya kerana soalan itu benar benar susah.

        Setelah mengedarkan kertas soalan kepada semua pelajar, Puan Maimunah terus duduk di meja pensyarah yang terletak di bahagian hadapan kelas. Tindakan Puan Maimunah itu telah memudahkan para pelajar di kelas itu untuk terus meniru. Puan Maimunah menyusun buku buku dan kertas kertas miliknya yang berselerak di atas meja. Seusai menyusun, matanya meliar ke seluruh kelas. Dia memicingkan pandangannya kepada setiap pelajar di kelas itu. Tanpa disangka sangka, tiba tiba sahaja Puan Maimunah berdiri dan dia bergerak ke belakang kelas.

        Bagi pelajar yang menyedari kehadiran Puan Maimunah, mereka lantas menyorokkan telefon pintar yang mengandungi nota nota Mikroekonomi itu di mana mana. Namun, tidak bagi Mahir dan Najmi. Kedua dua pelajar itu masih ‘seronok’ bertukar tukar nota yang terdapat di dalam telefon pintar mereka tanpa mereka sedari mata Puan Maimunah yang tajam itu sudah terpandang akan kelakukan aneh mereka.

        Pelajar pelajar yang menyedari kehadiran Puan Maimunah ke belakang kelas itu cuba untuk memberitahu kepada Mahir dan Najmi  akan kehadiran Puan Maimunah namun kedua dua mereka masih tidak sedar. Mereka sedang asyik meniru dan seronok dengan dunia penipuan mereka. Perlahan lahan Puan Maimunah menuju ke arah mereka. Ketika dia sampai di hadapan kedua dua budak lelaki itu pun, mereka masih tidak sedar.

       “Kamu tiru Mahir! Kamu tiru Najmi!” Jerkah Puan Maimunah dengan suara yang sangat nyaring sehingga membuatkan kedua dua remaja itu tersentak. Najmi yang sangat terkejut kerana ditangkap meniru dan mendengar suara Puan Maimunah itu telah terlepas telefon pintar berjenama Opponya ke lantai. Buru buru dia mengambil telefon pintar tersebut dan mencantum kembali bahagian yang sudah terbarai. Menggigil gigil tangannya ketika mencantum bahagian bahagian yang bersepai itu kerana terlalu takut.

       “Err...” Tiada kata yang mampu diucapkan oleh Mahir pada waktu itu. Liurnya terasa pahit ketika ditelan apabila memandang wajah bengis Puan Maimunah dihadapannya. Sempat lagi dikerlingnya Hakimi yang sedang memerhatikan dirinya bersama rakan sekelas yang lain. Perasaan malu tiba tiba menerpa dalam dirinya.

       Selama ini dia selalu bercakap sombong dengan mengatakan dia adalah Dewa Meniru di kelas itu kerana tidak pernah sekalipun tertangkap. Boleh dikatakan hampir setiap kali ujian dan kuiz dijalankan, dia menyudahkannya dengan cara meniru. Perbuatannya itu sekalipun tidak pernah disedari oleh para pensyarahnya sehingga dia telah sedap dengan cara begitu.

        “Bak sini telefon kamu.” Puan Maimunah terus merampas telefon pintar berjenama Samsung milik Mahir dan telefon pintar berjenama Oppo milik Najmi. Mereka berdua telah terkelu lidah sehingga sukar untuk berkata apa apa pada waktu itu kerana terlalu takut dan terkejut.   

       “Berani kamu meniru ye. Saya dah bagi amaran kan jangan meniru. Saya akan call you parents. Markah ujian dua kamu kosong!” Puan Maimunah bergerak ke hadapan kelas.

        “Get out from my class!!!” Puan Maimunah menjerit kepada Mahir dan Najmi. Terpancar riak kemarahan yang teramat sangat pada wajah pensyarah yang berusia awal 40an itu. Semua pelajar di dalam kelas itu diam tidak berkutik kerana terlalu takut. Mahir dan Najmi lantas mengambil beg mereka dan berjalan keluar dari kelas itu.

................................................................................................................

          Hakimi menyeka peluh di dahinya yang mencucur keluar setelah memanjat tangga untuk menuju ke biliknya yang terletak di tingkat empat asrama lelaki itu. Setelah sampai di pintu bilik, dia memasukkan kunci ke dalam tombol pintu dan memulasnya untuk membuka pintu tersebut. Sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik, dia melihat Mahir sedang menghadap komputer ribanya. Wajah lelaki itu nampak sedih.

         “Kau okay tak Mahir?” Soal Hakimi sambil meletakkan beg di atas sebuah kerusi yang berhampiran dengan meja belajarnya. Kemudian dia duduk di katilnya yang terletak bersebelahan dengan katil Mahir.  

         “Okay...” Mahir menjawab dengan nada lemah.

        “Tu la...banyak kali aku cakap dengan kau jangan meniru. Tapi kau degil. Degil satu hal, pastu berlagak lagi. Ingat, sepandai pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Aku ingat lagi apa yang selalu kau cakap kat aku, tak meniru bodoh, kena tangkap meniru lagi bodoh. So, kau ni bodoh la ye. Hahaha” Hakimi ketawa terbahak bahak seusai ‘membasuh’ sambil memulangkan paku buah keras kepada Mahir.

       Mahir yang dihambat rasa marah lantas membaling bantalnya ke muka Hakimi namun sempat di sambut oleh lelaki itu.

      “Kau ni bukan nak tenangkan perasaan aku, kutuk aku lagi ada.” Mahir sudah menarik muka masamnya. Matanya kembali tertancap pada komputer riba yang berada di atas pangkuannya.

       “Aku dah banyak kali bagi kau amaran tapi kau tak nak dengar. Sekarang terimalah padah di atas perbuatan kau sendiri. Jangan cakap aku tak bagi amaran sebelum ni.” Ujar Hakimi.

        “Ye la... ye la...aku minta maaf la sebab tak ikut nasihat kau sebelum ni. Aku tahu aku salah. Aku janji aku tak buat lagi.” Kata Mahir dengan rasa penuh insaf. Dia menyesal kerana tidak mendengar amaran yang sudah acapkali dikeluarkan oleh Hakimi sebelum ini. Namun, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak beguna. Tiada apa yang boleh dia lakukan kerana nasi sudah pun menjadi bubur. Apa yang pasti dia hanya perlu menunggu hukuman di atas semua kesilapan yang telah dia lakukan.    
  

   

2 ulasan:

  1. Mahir mengingatkan sayan pada seseorang masa saya belajar dulu.

    BalasPadam
  2. hehehhe...xmemasal kan....xbaik meniru...xberkat kang

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.