Ramai yang marah dan tidak boleh
terima apabila pimpinan tertinggi PAS memutuskan kerjasama politik dengan DAP.
Ini kerana, pada pendapat mereka, jika PAS memutuskan kerjasama politik dengan
DAP, nescaya peluang PAS untuk bersemayam di Putrajaya pada PRU yang akan
datang kembali pudar. Hal itu terjadi kerana PAS memerlukan undi kaum Cina yang
dikuasai DAP untuk mencapai matlamat itu.
PAS memutuskan hubungan dengan DAP
itu sudah pasti mempunyai maksud tertentu. PAS tidak mungkin dengan sengaja
mahu memutuskan hubungan dengan parti tersebut tanpa alasan yang kukuh. Jika
PAS bertindak sedemikian, PAS tahu sukar mereka mahu kuasai Putrajaya. PAS
memutuskan hubungan dengan parti yang dikuasai oleh anak beranak Lim Kit Siang
dan Lim Guan Eng itu kerana kedegilan mereka untuk menerima Hudud yang mahu
dilaksanakan di negeri Kelantan. Di samping itu juga, DAP yang berketuakan Lim
Guan Eng itu acapkali menyerang Haji Hadi – Presiden PAS. Walaupun PAS dan DAP sudah agak lama juga bertahaluf
siyasi, namun sikap DAP tentang Islam dan Hudud yang mahu dibawa oleh PAS masih
keras umpama batu lagi.
Oleh kerana itu, PAS bertindak
‘berani mati’ dengan memutuskan kerjasama politik dengan DAP tetapi masih kekal
dalam Pakatan Rakyat. Dari satu segi, ramai yang melihat tindakan PAS itu tidak
bijak kerana akan merencatkan peluang Pakatan Rakyat untuk mentadbir Putrajaya.
Dari satu segi pula, ramai yang berpendapat tindakan PAS itu adalah betul demi
menjaga kemaslahatan agama Islam itu sendiri.
Mereka yang menentang PAS memutuskan
hubungan dengan DAP atas sebab DAP menentang Hudud mengeluarkan hujah bahawa
tindakan PAS itu tidak betul kerana DAP masih tidak faham Hudud. Mereka
berpendapat jika DAP diberi kefahaman yang lebih tentang Hudud, pasti orang
orang DAP boleh menerima Hudud. Itulah sifir politik dan hujah dangkal yang
dikemukakan oleh orang orang yang menentang PAS memutuskan kerjasama dengan
DAP.
Pelik bin aneh apabila ada hujah yang
mengatakan DAP tidak faham Hudud lalu menyebabkan mereka menolak Hudud. Pada
saya, DAP tidak faham Hudud itu adalah satu kenyataan yang dangkal. Orang orang
DAP khususnya Lim Guan Eng sudah lama tinggal di sebuah negara Islam bernama
Malaysia. Islam acapkali dipaparkan di televisyen untuk tatapan masyarakat sama
ada Islam mahupun bukan Islam. Masakan DAP masih tidak boleh menerima Islam
yang di dalamnya ada Hudud apabila mereka menonton televisyen tiap tiap hari?
Sudah banyak buku yang ada di pasaran
yang menerangkan secara terperinci berkenaan dengan Hudud. Mengapa orang orang
DAP terutamanya Lim Guan Eng tidak membaca buku buku yang menulis tentang Hudud
ini. Jika dia boleh menerima kepimpinan Umar bin Abdul Aziz di dalam
pentadbirannya di Pulau Pinang, masakan dia tidak boleh menerima hukum Hudud
yang juga dipratikkan oleh Khalifah Abbasiyah itu di dalam pentadbirannya?
Kebanyakkan tokoh tokoh muda di dalam
DAP seperti Tony Pua, Ong Kian Ming, Liew Chin Tong dan ramai lagi dianggap
sebagai tokoh berwibawa dalam parti itu. Mengapa tokoh tokoh ini tidak membuat
kajian mendalam tentang hukum Hudud? Jika mereka boleh mengkaji secara mendalam
segala kejahatan UMNO dan Barisan Nasional terhadap rakyat, juga boleh mengkaji
tentang kehilangan wang dalam syarikat 1MDB, masakan mereka tidak boleh
mengkaji sedikit tentang Hukum Hudud yang boleh membawa kerahmatan kepada umat
manusia secara keseluruhannya?
Mengapa pula DAP tidak memanggil
tokoh tokoh PAS yang berwibawa seperti Haji Hadi misalnya untuk menerangkan
kepada mereka tentang Hudud? Jika mereka tidak sebulu dengan Haji Hadi, mereka
boleh panggil arwah Nik Aziz dahulu untuk mengajar mereka apa itu Hudud dan
apakah kebaikan Hudud? Mengapa peluang baik sebegitu tidak diambil oleh DAP
untuk memahami tentang hukum Hudud.
Sayang seribu kali sayang apabila DAP
tidak melakukan itu semua untuk memberi kefahaman kepada diri mereka sendiri
tentang Hudud. Di fikiran mereka Hudud itu adalah zalim, sadis, kejam dan tidak
masuk akal. Itulah persepsi mereka dari mula hinggalah ke akhirnya lalu apa
sahaja yang berkaitan dengan Hudud yang boleh memberi sejuta kebaikkan kepada
masyarakat dipandang hodoh oleh DAP.
Jika DAP membuat kajian secara
mendalam pun, mereka pasti tidak boleh menerima Hudud kerana dalam fikiran
mereka sudah terpahat kukuh bahawa Hudud ini kejam dan tidak sesuai
dilaksanakan pada zaman ini. Maka, apa sahaja hasil kajian mereka, jelas Hudud
itu kejam dan memang tidak wajar dilaksanakan.
Jika saya tidak faham tentang sesuatu
perkara, saya akan belajar dan bertanya supaya saya boleh faham tentang perkara
itu. Apabila saya faham tentang perkara itu, sudah pastilah saya tidak akan
mengeluarkan hujah hujah dangkal dan tidak bijak atas perkara itu. Jika saya
keluarkan juga, jelas saya masih tidak faham, tidak tahu dan tidak pula mahu
mengambil tahu.
Saya percaya DAP memang tidak sukakan
Hudud dari awal lagi. Jika diberi kefahaman yang mendalam pun, mereka tidak
akan terima kerana kebencian mereka yang terlalu mendalam terhadap Hudud. Jika
mereka mahu memahami Hudud, sejak awal lagi mereka akan belajar tentang Hudud
kerana hukum Hudud yang mahu dilaksanakan oleh PAS ini sudah lama berkumandang
iaitu sebelum wujudnya Pakatan Rakyat lagi. Sepatutnya DAP sudah memberi
kefahaman kepada diri mereka tentang hukum Hudud ini sejak hari pertama mereka
mahu bertahaluf siyasi dengan PAS dalam Pakatan Rakyat.
Pokok pangkalnya, hujah yang
mengatakan DAP tolak Hudud kerana mereka masih tidak faham tentang hukum Islam
tersebut adalah satu hujah yang dangkal dan tidak bijak. DAP sudah pasti tidak
mahu memahami Hudud walau apa jua cara umat Islam lakukan untuk memberi
kefahaman kepada mereka. Maka, tidak perlulah kita bersusah payah memberi
kefahaman kepada mereka kerana itu adalah perbuatan yang sia sia memandangkan
mereka pasti tidak boleh terima dan sudah pasti mereka akan tolak juga.
Bukannya tak faham tapi secara jelas menentang apa pun perundangan Islam. Syaitan yang dipilih sebagai sahabat oleh PAS sendiri..
BalasPadam