Ahad, 21 Jun 2015

ANGKAT JUGA NOVEL SASTERAWAN NEGARA


Sumber : Google




Seakan – akan menjadi satu fenomena pula pada masa kini drama drama dan filem filem tempatan diadaptasi daripada novel novel popular untuk tatapan rakyat Malaysia. Playboy Itu Suami Aku, M.A.I.D, Bercakap Dengan Jin, Pilot Café, Ombak Rindu, Suami Aku Encik Sotong, Suami Aku Ustaz dan sebagainya adalah antara novel novel popular yang diangkat ke layar televisyen dan layar perak bagi memenuhi selera penonton pada waktu ini.

Ada pelbagai pandangan sama ada baik atau buruk dengan pemilihan novel novel popular untuk dijadikan sebuah drama atau filem. Pokok pangkalnya, drama drama atau filem filem yang diadaptasi dari novel novel popular ini mampu untuk menjanjikan pulangan yang lumayan kepada penerbit, pengarah dan pelakon. Filem filem atau drama drama yang diadaptasi dari novel novel popular ini mudah mendapat sambutan penonton pada masa kini.

Penonton yang pernah membaca novel novel popular ini sudah pasti mahu melihat apa yang telah mereka baca itu dipaparkan dalam bentuk visual walaupun mereka sudah pun tahu akan jalan cerita dan pengakhiran cerita tersebut. Tetapi, oleh kerana selama ini mereka hanya membayangkan watak watak yang ada di dalam novel novel melalui imaginasi mereka sahaja, kini mereka boleh melihatnya sendiri di depan mata di dalam bentuk visual yang dipaparkan di televisyen atau layar skrin. Tetapi tidak semua yang mereka bayangkan itu seratus peratus muncul di dalam filem atau drama tersebut.


Penerbit dan pengarah juga tahu akan selera penonton yang mahu memastikan adakah watak dan perwatakkan yang dipaparkan di televisyen atau di layar skrin itu menepati seperti watak yang mereka gambarkan melalui pembacaan mereka dalam novel novel popular itu. Oleh sebab itu, penerbit dan pengarah akan memilihi pelakon yang kacak dan cantik serta berbakat untuk membintangi drama atau filem mereka bagi memenuhi kehendak penonton itu kerana di dalam kebanyakkan novel, terutama novel cinta, watak utama lelakinya pastilah seorang yang kacak, ‘sado’, dan kaya manakala watak utama wanitanya pula digambarkan sebagai cantik, ayu, dan lemah lembut.

Dalam keghairahan pengarah dan penerbit memilih novel novel popular yang ditulis oleh penulis penulis baru dan mapan untuk diangkat sebagai sebuah drama atau filem, mereka seakan akan terlupa dengan novel novel yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara dan Pejuang Bahasa. Jika novel novel yang dihasilkan oleh penulis penulis baru dan mapan ini boleh dijadikan sebuah drama atau sebuah filem, masakan novel novel Sasterawan Negara tidak boleh?

Ingat, novel novel Sasterawan Negara lebih besar erti dan mutunya untuk pembangunan bangsa dan negara. Novel mereka memberi sumbangan yang besar dalam mengangkat kehidupan masyarakat yang tertindas suatu ketika dahulu. Mereka mengungkapkan kehidupan sebenar masyarakat dalam novel novel mereka supaya pembaca sedar akan penderitaan yang ditanggung oleh sesetengah anggota masyarakat di tempat lainnya.

Novel novel Sasterawan Negara seperti Salina karya A. Samad Said, Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan, Hari Hari Terakhir Seorang Seniman karya Anwar Ridhwan, Imam karya Abdullah Hussein telah memberi sumbangan besar dalam mengangkat kehidupan realiti masyarakat negara ini. Tidak hairanlah novel ini diangkat sebagai sebuah karya besar, diiktiraf di peringkat antarabangsa, diterjemah dalam pelbagai bahasa, dan penulisnya diberi anugerah Sasterawan Negara! Jika hendak dibandingkan antara novel novel yang ditulis oleh Sasterawan Negara dengan novel novel yang ditulis oleh penulis penulis masa kini bezanya umpama langit dengan bumi.   

Penulis penulis masa kini hanya berani menulis novel novel cinta yang sarat dengan cinta muda mudi, imaginasi melampau, kadang kala tidak berpijak pada realiti dan lebih parah lagi memaparkan aksi aksi seks atau menggunakan perkataan lucah serta mencarut dalam karya mereka. Berbeza sekali dengan karya Sasterawan Negara yang kaya dengan pengajaran, falsafah, pemikiran, realiti, ilmu, dan sumbangan. Sebagai contoh adalah novel Ranjau Sepanjang Jalan yang ditulis oleh Shahnon Ahmad yang memaparkan kisah hidup kaum petani di era 50an yang miskin, menderita dan menyedihkan. Jika kita bukan seorang petani, tetapi mahu mengetahui kisah hidup petani zaman dahulu, novel ini wajarlah dibaca.

Jelas jika diukur dari sudut yang betul, karya karya Sasterawan Negara lebih sesuai diangkat sebagai drama atau filem berbanding dengan karya karya penulis baru dan kadang kala dianggap picisan! 

Saya yakin pasti akan ada pengarah dan penerbit yang akan mempertikai tentang sambutan penonton jika novel novel Sasterawan Negara ini dijadikan drama atau filem. Mereka khuatir penonton tidak mahu menonton drama drama atau filem filem yang diadaptasi dari novel novel Sasterawan Negara itu. Pada hemat saya,  jika drama drama atau filem filem Sasterawan Negara itu tidak mendapat sambutan menggalakkan dari khalayak penonton, maka yang salah bukan novel itu tetapi pengarah, pelakon dan penerbit kepada drama atau filem tersebut. Karya yang bagus pasti akan menelurkan drama atau filem yang bagus. Tetapi jika karya yang bagus, berada pada tangan penerbit, pengarah, dan pelakon yang tidak bagus, maka drama atau filem itu pun akan jadi tidak bagus juga.

Pendek kata, jika filem atau drama yang diangkat dari novel Sasterawan Negara itu gagal menarik perhatian penonton untuk menontonnya, maka pelakon, pengarah dan penerbit kepada drama dan filem itu telah membuat kesilapan dan tidak kreatif sehingga gagal memberi tarikan kepada penonton untuk menonton drama atau filem yang diadaptasi dari karya yang diiktiraf di peringkat antarabangsa!

Sebagai penutup, jika karya picisan yang mengarut, mencarut dan lucah pun boleh dijadikan sebuah filem, masakan sebuah karya yang memberi sumbangan besar kepada masyarakat, agama, bangsa dan tanah air tidak boleh dilakukan dengan perkara yang sama. Jadi, nasihat saya, wajarlah penerbit dan pengarah di negara ini mengangkat novel novel yang ditulis oleh Sasterawan Negara untuk tatapan generasi baru pada masa kini. Karya karya Sasterawan Negara ini juga wajar dipopularkan.




6 ulasan:

  1. seolah-olah kita menjad takut dengan ungkapan sastera
    apa yang dianggap sastera, karya sastera, tulisan sasterawan, termasuk sasterawan negara
    dibiarkan. malah novel-novel yang diangkat ke filem atau drama tv dianggap novel popular dan bukan karya sastera?

    sastera semakin tidak bertempat kerana ianya sastera
    dan ditambah pula sastera melayu
    semakin dilupakan

    BalasPadam
  2. Novel sasterawan negara terlalu berat bagi generasi sekarang. Zaman teknologi canggih ni semua orang nak paparan seringkas mungkin tanpa perlu berfikir. Kalau boleh nak romen lebih, kalau tak ramai yang tak minat nak tonton..

    BalasPadam
  3. Sy teringin nk bacs @ tonton citer yg berkisar realiti hidup masyarakat kita....kisah hidup sy pun menarik jugak..eh tetiba hahaha

    BalasPadam
  4. Zumal pun rasa karya sasterawan negara tu berat, mungkin sukar nak cari pengarah yang boleh mendalami karya tu agaknya...

    BalasPadam
  5. zaman sekarang semua nak cinta2 bagai

    BalasPadam
  6. Perbincangan yang menarik dan membuka mata :)

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.