Khamis, 18 Jun 2015

BENARKAH DAP TIDAK FAHAM HUDUD?




Ramai yang marah dan tidak boleh terima apabila pimpinan tertinggi PAS memutuskan kerjasama politik dengan DAP. Ini kerana, pada pendapat mereka, jika PAS memutuskan kerjasama politik dengan DAP, nescaya peluang PAS untuk bersemayam di Putrajaya pada PRU yang akan datang kembali pudar. Hal itu terjadi kerana PAS memerlukan undi kaum Cina yang dikuasai DAP untuk mencapai matlamat itu.

PAS memutuskan hubungan dengan DAP itu sudah pasti mempunyai maksud tertentu. PAS tidak mungkin dengan sengaja mahu memutuskan hubungan dengan parti tersebut tanpa alasan yang kukuh. Jika PAS bertindak sedemikian, PAS tahu sukar mereka mahu kuasai Putrajaya. PAS memutuskan hubungan dengan parti yang dikuasai oleh anak beranak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng itu kerana kedegilan mereka untuk menerima Hudud yang mahu dilaksanakan di negeri Kelantan. Di samping itu juga, DAP yang berketuakan Lim Guan Eng itu acapkali menyerang Haji Hadi – Presiden PAS.  Walaupun PAS dan DAP sudah agak lama juga bertahaluf siyasi, namun sikap DAP tentang Islam dan Hudud yang mahu dibawa oleh PAS masih keras umpama batu lagi.

Oleh kerana itu, PAS bertindak ‘berani mati’ dengan memutuskan kerjasama politik dengan DAP tetapi masih kekal dalam Pakatan Rakyat. Dari satu segi, ramai yang melihat tindakan PAS itu tidak bijak kerana akan merencatkan peluang Pakatan Rakyat untuk mentadbir Putrajaya. Dari satu segi pula, ramai yang berpendapat tindakan PAS itu adalah betul demi menjaga kemaslahatan agama Islam itu sendiri.  

Mereka yang menentang PAS memutuskan hubungan dengan DAP atas sebab DAP menentang Hudud mengeluarkan hujah bahawa tindakan PAS itu tidak betul kerana DAP masih tidak faham Hudud. Mereka berpendapat jika DAP diberi kefahaman yang lebih tentang Hudud, pasti orang orang DAP boleh menerima Hudud. Itulah sifir politik dan hujah dangkal yang dikemukakan oleh orang orang yang menentang PAS memutuskan kerjasama dengan DAP.

Pelik bin aneh apabila ada hujah yang mengatakan DAP tidak faham Hudud lalu menyebabkan mereka menolak Hudud. Pada saya, DAP tidak faham Hudud itu adalah satu kenyataan yang dangkal. Orang orang DAP khususnya Lim Guan Eng sudah lama tinggal di sebuah negara Islam bernama Malaysia. Islam acapkali dipaparkan di televisyen untuk tatapan masyarakat sama ada Islam mahupun bukan Islam. Masakan DAP masih tidak boleh menerima Islam yang di dalamnya ada Hudud apabila mereka menonton televisyen tiap tiap hari?


Sudah banyak buku yang ada di pasaran yang menerangkan secara terperinci berkenaan dengan Hudud. Mengapa orang orang DAP terutamanya Lim Guan Eng tidak membaca buku buku yang menulis tentang Hudud ini. Jika dia boleh menerima kepimpinan Umar bin Abdul Aziz di dalam pentadbirannya di Pulau Pinang, masakan dia tidak boleh menerima hukum Hudud yang juga dipratikkan oleh Khalifah Abbasiyah itu di dalam pentadbirannya?

Kebanyakkan tokoh tokoh muda di dalam DAP seperti Tony Pua, Ong Kian Ming, Liew Chin Tong dan ramai lagi dianggap sebagai tokoh berwibawa dalam parti itu. Mengapa tokoh tokoh ini tidak membuat kajian mendalam tentang hukum Hudud? Jika mereka boleh mengkaji secara mendalam segala kejahatan UMNO dan Barisan Nasional terhadap rakyat, juga boleh mengkaji tentang kehilangan wang dalam syarikat 1MDB, masakan mereka tidak boleh mengkaji sedikit tentang Hukum Hudud yang boleh membawa kerahmatan kepada umat manusia secara keseluruhannya?   

Mengapa pula DAP tidak memanggil tokoh tokoh PAS yang berwibawa seperti Haji Hadi misalnya untuk menerangkan kepada mereka tentang Hudud? Jika mereka tidak sebulu dengan Haji Hadi, mereka boleh panggil arwah Nik Aziz dahulu untuk mengajar mereka apa itu Hudud dan apakah kebaikan Hudud? Mengapa peluang baik sebegitu tidak diambil oleh DAP untuk memahami tentang hukum Hudud.

Sayang seribu kali sayang apabila DAP tidak melakukan itu semua untuk memberi kefahaman kepada diri mereka sendiri tentang Hudud. Di fikiran mereka Hudud itu adalah zalim, sadis, kejam dan tidak masuk akal. Itulah persepsi mereka dari mula hinggalah ke akhirnya lalu apa sahaja yang berkaitan dengan Hudud yang boleh memberi sejuta kebaikkan kepada masyarakat dipandang hodoh oleh DAP.

Jika DAP membuat kajian secara mendalam pun, mereka pasti tidak boleh menerima Hudud kerana dalam fikiran mereka sudah terpahat kukuh bahawa Hudud ini kejam dan tidak sesuai dilaksanakan pada zaman ini. Maka, apa sahaja hasil kajian mereka, jelas Hudud itu kejam dan memang tidak wajar dilaksanakan.

Jika saya tidak faham tentang sesuatu perkara, saya akan belajar dan bertanya supaya saya boleh faham tentang perkara itu. Apabila saya faham tentang perkara itu, sudah pastilah saya tidak akan mengeluarkan hujah hujah dangkal dan tidak bijak atas perkara itu. Jika saya keluarkan juga, jelas saya masih tidak faham, tidak tahu dan tidak pula mahu mengambil tahu.

Saya percaya DAP memang tidak sukakan Hudud dari awal lagi. Jika diberi kefahaman yang mendalam pun, mereka tidak akan terima kerana kebencian mereka yang terlalu mendalam terhadap Hudud. Jika mereka mahu memahami Hudud, sejak awal lagi mereka akan belajar tentang Hudud kerana hukum Hudud yang mahu dilaksanakan oleh PAS ini sudah lama berkumandang iaitu sebelum wujudnya Pakatan Rakyat lagi. Sepatutnya DAP sudah memberi kefahaman kepada diri mereka tentang hukum Hudud ini sejak hari pertama mereka mahu bertahaluf siyasi dengan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Pokok pangkalnya, hujah yang mengatakan DAP tolak Hudud kerana mereka masih tidak faham tentang hukum Islam tersebut adalah satu hujah yang dangkal dan tidak bijak. DAP sudah pasti tidak mahu memahami Hudud walau apa jua cara umat Islam lakukan untuk memberi kefahaman kepada mereka. Maka, tidak perlulah kita bersusah payah memberi kefahaman kepada mereka kerana itu adalah perbuatan yang sia sia memandangkan mereka pasti tidak boleh terima dan sudah pasti mereka akan tolak juga.



1 ulasan:

  1. Bukannya tak faham tapi secara jelas menentang apa pun perundangan Islam. Syaitan yang dipilih sebagai sahabat oleh PAS sendiri..

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.