Jumaat, 24 Ogos 2018

TIPS CEMERLANG DALAM PEPERIKSAAN

Image result for ulangkaji pelajaran
Sumber Gambar


Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin hampir. Sudah pastilah calon-calon peperiksaan SPM semakin berdebar-debar untuk menanti hari yang cukup bersejarah itu. 

Berdebar-debar dalam peperiksaan itu perkara biasa. Semua orang yang mengambil peperiksaan pasti akan berdebar walaupun mereka telah mengambil peperiksaan berpuluh-puluh kali.

Semua orang yang mengambil peperiksaan pastilah mahu lulus dengan cemerlang. Justeru, saya ingin kongsikan kepada anda semua tips untuk cemerlang dalam peperiksaan. Tips-tips ini tidak terhad kepada pelajar SPM sahaja tetapi juga untuk pelajar UPSR, PT3, dan siswa siswi yang mengambil peperiksaan di universiti. Tips-tips tersebut ialah :

Banyakkan membuat latihan

Jika anda hendak mahir akan sesuatu perkara, maka anda perlu selalu melakukannya. Jika anda hendak mahir dengan subjek Matematik, maka anda hendaklah banyak membuat latihan Matematik. Begitu juga jika anda hendak mahir menulis karangan bahasa Melayu. Anda perlu banyakkan menulis karangan dan minta guru anda untuk semak karangan anda itu.

Tumpukan perhatian semasa guru mengajar

Sebenarnya pelajar tidak perlu study hard jika mereka menumpukan sepenuh perhatian semasa guru sedang mengajar di hadapan. Namun begitu, tidak ramai pelajar menumpukan sepenuh perhatian semasa guru mengajar. Semasa guru mengajar, beri perhatian sepenuhnya.  Jika ada sesuatu perkara yang tidak difahami, segeralah bertanya kepada guru.  

Buat nota ringkas

Jika anda seorang yang malas untuk membaca buku dari kulit ke kulit, disarankan anda membuat nota ringkas. Tulis nota ringkas itu di atas kertas yang kecil dan bawalah ke mana-mana. Bacalah nota tersebut semasa anda sedang menunggu bas, semasa menunggu guru masuk ke kelas, semasa menunggu perhimpunan pagi bermula dan sebagainya. Jika anda tidak tahu membuat nota ringkas, sila rujuk kepada guru anda.

Menghormati guru dan ibu bapa

Hormatilah guru dan ibu bapa anda kerana mereka sering berkorban untuk anda. Doa mereka untuk kejayaan anda pasti akan dimakbulkan Tuhan. Jika anda tidak menghormati mereka, keberkatan dalam belajar itu tidak ada maka anda sukar untuk berjaya.

Belajar dalam kumpulan

Jika anda jenis pelajar yang suka belajar dalam kumpulan, maka ajaklah kawan bijak untuk belajar bersama anda. Begitu juga jika anda lemah dalam sesuatu subjek seperti subjek Matematik misalnya. Ajaklah kawan yang mahir dalam subjek itu untuk belajar bersama anda. Jika anda tidak faham tentang sesuatu perkara, maka anda boleh terus bertanya kepadanya. Namun begitu, bukan semua subjek boleh dipelajari secara dalam kumpulan. Subjek yang membaca atau memerlukan anda menghafal biasanya tidak sesuai.

Lawan diri sendiri

Musuh kejayaan semua orang di dunia ini ialah diri mereka sendiri. Jika anda malas, maka pastilah kejayaan sukar anda kecapi. Anda perlu melawan perasaan malas anda itu untuk terus membuat ulangkaji pelajaran atau membuat latihan. Ingatlah, perasaan malas itu tidak seberapa berbanding nikmat kejayaan yang akan anda kecapi setelah anda berusaha bersungguh-sungguh.   

Itulah antara tips untuk cemerlang dalam peperiksaan daripada kami. Ikutilah tips yang kami berikan ini jika anda ingin cemerlang dalam peperiksaan. Percayalah, untuk mendapat kecemerlangan itu tidak mudah. Jika anda hendak cemerlang, anda perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh. Semoga berjaya!

Artikel ini telah disunting dan disiarkan di portal Free Malaysia Today. Ini ialah versi artikel asal.  

Khamis, 23 Ogos 2018

EJA PERKATAAN INI DENGAN BETUL

Image result for ejaan
Sumber Gambar


Seorang penutur bahasa memang biasa melakukan kesalahan bahasa dan ejaan. Sebab itulah perlu untuk semua penutur bahasa terutama penutur bahasa Melayu untuk merujuk kamus bagi memastikan ejaan yang digunakan dalam sesebuah penulisan tepat dan betul. 

Selain merujuk kamus, penutur bahasa juga perlu banyak membaca terutama majalah Dewan Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengetahui ejaan yang betul dan terkini.

Dalam artikel yang serba ringkas ini, kami ingin kongsikan kepada anda beberapa ejaan terkini perkataan bahasa Melayu tertentu supaya anda tidak melakukan kesalahan yang sama lagi pada masa akan datang. Perkataan-perkataan tersebut adalah : 

1. bandaraya (salah) bandar raya (betul)
2. telahpun (salah) telah pun (betul)
3. lagenda (salah) legenda (betul)
4. selsema (salah) selesema (betul)
5. kerinting (salah) keriting (betul)
6.  silaturrahim (salah) silaturahim (betul)
7. ukhwah (salah) ukhuwah (betul)
8. eletrik (salah) elektrik (betul)
9. mengenalpasti (salah) mengenal pasti (betul)
10. urusetia (salah) urus setia (betul)
11.  aturcara (salah) atur cara (betul)
12. samada (salah) sama ada (betul)
13.  trampil (salah) terampil (betul)
14. keretapi (salah) kereta api (betul)
15.  perihatin (salah) prihatin (betul)
16. hajjah (salah) hajah (betul)
17.   justru (salah) justeru (betul)
18.  kobis (salah) kubis (betul)
19.  durhaka (salah) derhaka (betul)
20. kraftangan (salah) kraf tangan (betul)
21. redha (salah) reda (betul)
22.  fardhu (salah) fardu (betul)
23. ramadhan (salah) ramadan (betul)
24. sekaligus (salah) sekali gus (betul)
25. masaalah (salah) masalah (betul)
26. anti-dadah (salah) antidadah (betul)    
 
Itulah ejaan yang betul bagi beberapa perkataan bahasa Melayu yang sering disalah tulis oleh penutur bahasa Melayu. Diharapkan dengan adanya artikel ini, kita dapat meminimakan kesalahan ejaan yang biasa kita lakukan.

Artikel ini telah disunting dan disiarkan di Free Malaysia Today. Ini ialah versi artikel asal.  
 

Rabu, 22 Ogos 2018

JENIS-JENIS ADAT DALAM MASYARAKAT MELAYU

Image result for adat melayu
Sumber Gambar


Antara syarat untuk bergelar seorang yang berbangsa Melayu di Malaysia ialah mesti mengamalkan adat istiadat Melayu.

Adat dalam masyarakat Melayu itu banyak sebenarnya tetapi secara umumnya adat Melayu terbahagi kepada empat jenis.

Tahukah anda jenis-jenis adat yang wujud dalam masyarakat Melayu? Pasti ramai sebenarnya yang tidak tahu.

Oleh itu, pada hari ini, kami ingin kongsikan kepada anda semua jenis-jenis adat yang wujud dalam masyarakat Melayu. Adat-adat tersebut ialah :

Adat yang sebenar adat

Maksud adat ini ialah hukum tabii yang diciptakan oleh Allah. Adat jenis ini merangkumi setiap benda atau unsur di dunia ini yang wujud dalam keadaan semulajadi dan tertakluk kepada fitrah atau hukum semulajadi.

Contoh : adat api membakar, adat air membasah, adat angin menyejukkan, adat ayam berkokok dan adat tajam memutuskan.

Adat yang diadatkan

Adat jenis ini lebih dikenali sebagai hukum adat iaitu peraturan hidup yang diwujudkan oleh nenek moyang orang Melayu dahulu untuk memastikan terdapat keharmonian dalam hidup bermasyarakat. Maksudnya, adat jenis ini ialah hukum, undang-undang, dan peraturan yang disebut hukum adat yang tidak bertulis.

Contoh : jangan duduk di atas bantal nanti kepala tumbuh bisul, anak perempuan yang belum berkahwin dilarang menyanyi di dapur nanti dapat suami tua, jangan tambah nasi ketika nasi sudah habis di pinggan nanti rezeki susah masuk dan sebagainya.

Adat istiadat

Adat jenis ini ialah ritual-ritual yang sering mengiringi sesuatu majlis yang dianggap rasmi.

Contoh : adat cukur jambul, adat berkahwin, adat berkhatan, adat pertabalan raja dan sebagainya.

Adat resam

Adat jenis ini merangkumi kebiasaan atau kelaziman manusia daripada segi perbuatan, berpakaian, makan, menghias diri dan sebagainya.

Contoh : terlopong sewaktu menonton televisyen, menggaru kepala apabila tidak faham, tersengih-sengih apabila berasa malu, memakai kain pelikat di rumah pada waktu malam dan sebagainya.

Itulah jenis-jenis adat yang wujud dalam masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu sebenarnya kaya dengan adat cuma adat-adat ini semakin dilupakan terutama orang muda oleh kerana lupa jati diri sebagai orang Melayu memandangkan sudah terhasut dengan kehidupan moden. Adat-adat ini perlu dijaga supaya tidak terus hilang ditelan zaman sampai bila-bila.

Artikel ini telah disunting dan disiarkan di portal Free Malaysia Today. Ini ialah versi artikel asal.