Sumber : Google |
Sudah agak lama juga saya mahu
menulis berkenaan dengan isu ini. Tetapi oleh kerana banyak isu lain yang
terjadi, maka saya terpaksa menulis berkenaan isu ini di kemudian hari.
Memandangkan ramainya anggota masyarakat yang belum sedar diri, maka suka
ataupun tidak saya perlu menulis isu yang dianggap remeh oleh sesetengah orang
ini.
Mungkin dengan menulis isu ini orang
akan anggap saya sebagai pengikut hippies – anti kereta, anti kemajuan, dan
anti pembangunan. Tetapi saya tidak kisah akan label apa yang orang mahu berikan.
Yang mahu saya buat sekarang adalah memberi pencerahan.
Mengikut beberapa maklumat yang saya
baca, petroleum yang kita guna sekarang ini sudah mahu sampai ke
penghabisannya. Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang tidak percaya tetapi
tidak mustahil untuk perkara itu berlaku juga. Jika tidak sekarang, mungkin
pada masa akan datang. Barangkali dalam tempoh dua puluh tahun dari sekarang,
petroleum yang dikatakan banyak itu akan hilang.
Setiap hari, berjuta juta tong
petroleum di jual beli. Sekarang China adalah negara yang paling banyak membeli
petroleum dalam sehari. Ini disebabkan pertambahan jumlah kereta dan kemajuan
dalam negara mereka. Itu baru di negara China, di negara negara lain entah
berapa juta tong petroleum yang mereka guna. Amerika Syarikat dan India adalah
antara negara pengguna petroleum yang paling banyak juga.
Petroleum bukanlah seperti minyak
kelapa sawit yang boleh dicari ganti. Setelah digali, ia akan berkurangan lagi.
Semua orang tidak pasti berapa banyak tong petroleum yang tinggal kini. Kita
tidak khuatir jika Allah tambahkan petroleum di dalam bumi. Cuma kita khuatir
Allah tidak mahu tambah lagi kerana mahu manusia berasa diuji. Dan tidak
mustahil perkara begitu boleh terjadi.
Semua perkara dalam kehidupan kita,
kita amat memerlukan kehadiran petroleum. Dari sekecil kecil perkara hinggalah
sebesar besar perkara kita memerlukan petroleum. Jika tidak ada petroleum,
tidak mustahil dunia akan lumpuh. Pembangunan dan kemajuan dunia akan hancur
dan rapuh.
Jika tidak ada petroleum, maka tidak
akan ada gas lalu makanan tidak boleh dimasak. Jika tidak ada petroleum,
pakaian tidak boleh dihantar ke kedai kerana kenderaan tidak boleh bergerak.
Jika tidak ada petroleum, ekonomi akan hancur kerana manusia tidak boleh
memandu kereta untuk sampai ke tempat kerja.
Petroleum yang menjadi nadi kepada
masyarakat dunia itu semuanya ditelan oleh kereta. Kereta yang dibeli oleh
manusia itu bukan sahaja untuk bergerak ke mana mana, malah melambangkan status
dan kelas dalam masyarakat juga. Semakin mahal atau semakin besar kereta,
semakin tinggi kelas seorang manusia.
Pendek kata, kehabisan petroleum di
seluruh dunia adalah berpunca daripada kereta. Jika tiada kereta, barangkali
untuk petroleum itu lambat habis adalah agak tinggi juga. Tetapi semua manusia
di dunia berlumba lumba untuk beli kereta. Jika tidak ada kereta, mungkin
manusia di dunia boleh mati serta merta.
Ada kajian yang dibuat oleh professor
di universiti bertaraf dunia yang berjaya memproses minyak kelapa sawit, tebu,
jagung, gandum, dan sebagainya untuk menjadi pengganti kepada petroleum. Kajian
itu memang dilihat baik pada mata kasarnya tetapi jika diselidik dengan lebih
mendalam, kajian itu begitu banyak dangkalnya.
Di seluruh dunia, manusia mengalami
krisis makanan. Ramai manusia terutama di Afrika dilanda masalah tidak cukup
makan. Itu baru di Afrika, di negara negara sedang bergolak tentulah mengalami
masalah yang lebih besar.
Jika semua makanan manusia hendak
ditukarkan menjadi minyak kereta, habis manusia mahu makan apa? Tidak
terfikirkah kita bahawa suatu hari nanti manusia akan berebut makanan dengan
kereta? Antara perut manusia dengan ‘perut’ kereta, mana yang perlu diutamakan
dahulu sebenarnya?
Seandainya petroleum habis suatu hari
nanti, memperoses minyak kelapa sawit, jagung, gandum, dan tebu bukanlah suatu
jalan alternatif untuk menyelesaikan masalah yang kronik ini. Jika sekarang
manusia mengalami krisis petroleum, tidak mustahil manusia sedunia mengalami
krisis makanan pula nanti.
Tiada cara lain lagi melainkan seluruh dunia
mengurangkan penggunaan petroleum. Mengurangkan penggunaan petroleum tidak lain
dan tidak bukan adalah dengan mengurangkan penggunaan kereta.
Mengurangkan penggunaan kereta adalah
dengan cara menggunakan pengangkutan awam sahaja. Semua orang jika hendak ke
mana mana, sama ada mahu bercuti atau ke tempat kerja, mestilah menggunakan
pengangkutan awam semata mata. Tetapi masalahnya pengangkutan awam di negara
kita tidaklah sebaik mana. Pengangkutan awam kita bukan sahaja tidak efisien,
malah terlembab di dunia!
Sebab itu kita semua minta kerajaan
membaik pulih pengangkutan awam di negara kita. Membaik pulih pengangkutan awam
bukan sahaja dapat menjimatkan belanja rakyat jelata, malah boleh mengurangkan
penggunaan petroleum juga. Tetapi malangnya sudah hampir 60 tahun kita merdeka,
pengangkutan awam kita masih lagi berada di takuk yang lama.
Sukar kita mahu kurangkan penggunaan
petroleum jika semua pihak tidak mahu beri kerjasama. Kerajaan dan rakyat
mestilah bersama untuk mengurangkan penggunaan petroleum dalam negara. Kerajaan
perlu menambah baik pengangkutan awam yang sedia ada manakala rakyat jelata
mestilah kurangkan penggunaan kereta. Moga moga petroleum yang tinggal sedikit
itu tidak habis semuanya.
Bila zaman berubah, mungkin keperluan bahan asas juga berubah.
BalasPadamMungkin suatu masa nanti kita tak perlukan petroleum dengan adanya teknologi terbaharu.
Macam suatu masa dulu, bijih timah amat perlu sehingga kolonial sanggup menjajah, tetapi sekarang tidak lagi.
Allah menjadikan sesuatu sesuai dengan zamannya.