Isnin, 7 November 2016

BLOGGER, PELAKON, MODEL, CINTA



Image result for cinta
Sumber : Google

Seorang blogger wanita berbisa yang tidak cantik mana dinikahkan oleh ayahnya dengan seorang pelakon lelaki kacak yang berjaya. Blogger wanita itu adalah seorang pengkritik hiburan yang berbisa. Acapkali dia mengkritik lakonan lelaki kacak itu. Mereka pula sering sahaja berbalah di blog dan media sosial tanpa segan silu. Dan tiba tiba dia diminta berkahwin dengan pelakon lelaki kacak itu. 

Oleh kerana lelaki kacak itu acapkali dikritik, dia menyimpan rasa benci pada blogger wanita itu. Seboleh bolehnya dia menentang perkahwinan itu. Namun, oleh kerana perkahwinan itu dirancang oleh sang ibu, maka suka ataupun tidak dia perlu berkahwin walaupun dengan blogger wanita itu dia langsung tidak ada nafsu. 

Oleh kerana lelaki kacak itu seorang pelakon yang berjaya, maka ramailah peminat dan banyaklah tawaran berlakon buat dirinya. Oleh kerana dia seorang pelakon lelaki yang berjaya, maka dia memilih seorang model jelita sebagai teman wanitanya. Dia ingin nikahi model jelita itu tetapi hasratnya ditentang oleh sang ibu. 

Sang ibu menentang bukan kerana apa. Dia menentang kerana model jelita itu tiada nilai agama dalam hidupnya. Si ibu tahu bahawa perkahwinan yang baik mestilah kukuh dengan nilai agama. Oleh sebab sang ibu sudah tertarik dengan blogger wanita itu, segera dia sambar untuk dijadikan menantu. 

Blogger wanita itu waima tidak cantik namun berbudi bahasa dan ada nilai nilai agama. Dan sebab itulah sang ibu memilih blogger wanita sebagai isteri untuk anak terunanya. 

Oleh kerana terlalu kecewa akibat tidak diterima, model jelita membawa diri ke luar negara. Dan oleh kerana kecewa juga, pelakon lelaki berjaya berkahwin dengan blogger wanita yang berbisa. 

Pada awalnya, perkahwinan mereka tidak bahagia kerana dilakukan dengan cara terpaksa. Tetapi oleh kerana blogger wanita berbisa sudah jatuh cinta pada pelakon lelaki berjaya, dia cuba buat segalanya supaya pelakon lelaki berjaya boleh jatuh cinta dengannya. Oleh kerana cinta itu adalah milik Allah Yang Maha Berkuasa, Allah campakkan rasa cinta di hati pelakon lelaki kacak yang berjaya. Dan pelakon lelaki kacak pun mula jatuh cinta dan jatuh sayang pada blogger wanita berbisa. Dia begitu terkesan dengan kesungguhan blogger wanita itu yang bersungguh untuk menawan cintanya. Dia juga tertawan dengan kebaikkan blogger wanita itu terhadap dirinya. Dia segera memohon maaf kepada blogger wanita berbisa atas segala ‘kejahatan’ yang dilakukannya kepada blogger wanita berbisa sepanjang perkahwinan mereka. Dan bermula saat itu mereka meniti hari bahagia. 

Kebahagiaan dalam perkahwinan yang dinikmati oleh pelakon lelaki berjaya dan blogger wanita berbisa tidak langsung dirasai oleh model wanita jelita. Di luar negara, dia menjadi mangsa perkosa oleh sekumpulan anak muda yang hanya layak hidup dalam neraka. Dia pulang semula ke dalam negara dan bertemu dengan pelakon lelaki berjaya semula secara tidak sengaja. 

Bermula dari situ, timbulnya bibit bibit cinta semula antara mereka. Pelakon lelaki kacak secara senyap senyap telah acapkali bertemu dengan model wanita jelita. Apabila hubungan mereka sudah ramai yang tahu, pelakon lelaki berjaya dan model wanita jelita mula mendapat malu. 

Oleh kerana perasaan bersalah menikam sanubari, model wanita jelita pergi bertemu dengan blogger wanita berbisa untuk bercakap dari hati ke hati. Memandangkan blogger wanita berbisa begitu memahami, dipinangkan model wanita jelita untuk si suami. Bermula saat itu bermulalah kehidupan mereka bertiga sebagai suami, isteri, dan madu di muka bumi.

Walaupun terpaksa berkongsi kasih dan suami, tetapi blogger wanita berbisa tahu yang cinta suaminya bukan untuk dia seorang sahaja, orang lain pun berhak dapat juga. Walaupun kasihnya sudah terbelah menjadi dua, namun dia tetap rasa bahagia, kerana Tuhan mahukan dia rasa gembira dan bahagia. Itulah kenikmatan yang Tuhan beri kepada orang yang beriman dan bertimbang rasa. Mereka bertiga terus menjadi sebuah keluarga bahagi sehingga kiamat dunia.

Perkahwinan yang bahagia tidak semestinya bersandarkan kepada rupa paras semata mata. Ya, memang manusia suka memandang pada rupa. Manusia lebih suka memandang manusia yang mempunyai rupa yang kacak dan jelita berbanding memandang manusia yang tiada rupa. Namun, rupa yang kacak dan jelita bukan penjamin kebahagiaan rumahtangga sebaliknya keimanan, kasih sayang, sikap tolak ansur, dan saling berkorban adalah rencah kebahagiaan yang sebenarnya. 

Seni juga sama seperti perkahwinan yang bahagia di mana ia tidak boleh bergantung kepada rupa. Seni yang sejati mestilah bergantung kepada bakat dalam diri sendiri dan untuk tujuan membangunkan manusiawi. Seni yang hanya mengejar populariti, wang ringgit, dan terlalu bergantung rupa diri hanya akan merosakkan seni itu sendiri. 

Blogger pada zaman sekarang adalah sama seperti penulis dan wartawan zaman dahulu. Mereka menjadi penggerak zaman, pengembang fikiran, pengkritik sosial, dan penggalak perbahasan. Tanpa kehadiran seorang blogger pada zaman sekarang, maklumat dan ilmu tidak dapat disebarkan. 

Tidak ramai orang suka dikritik dan boleh dikritik. Apabila mereka dikritik, mereka akan segera marah. Tetapi sebenarnya kritikan adalah suatu yang sangat perlu. Dengan kritikan, kita boleh muhasabah diri selalu. Jangan sesekali benci kepada kritikan kelak kita akan hilang kawan, tiada perubahan, dan tiada kemajuan. 

Setiap perkara yang berlaku dalam hidup seorang manusia pasti ada hikmahnya. Hikmah atau kelebihannya itu mungkin kita tidak akan nampak pada masa sekarang tetapi kita akan nampak pada masa akan datang. Perancangan Tuhan itu kadang kadang sangat mengejutkan. Tuhan bukan sengaja beri ujian melainkan untuk kita menambah iman di samping untuk beri yang terbaik pada masa hadapan. 

Isteri atau suami yang baik mestilah orang yang taat pada agama. Carilah isteri atau suami jenis ini dan bukannya pada rupa paras semata mata. Rupa paras pun penting juga tetapi tidaklah sepenting iman dan agama. Kebahagian rumahtangga sebenarnya terletak kepada ketaatan suami dan isteri kepada agama.

Semua orang ingin menikmati perkahwinan yang bahagia. Perkahwinan yang bahagia boleh datang dalam banyak cara. Yang penting adalah kita mesti ada redha Allah dan redha ibu bapa. Apabila ada keduanya, maka bahagia akan datang dengan sendirinya.

1 ulasan:

  1. Ada lagi relationship mcm tu ? Perkahwinan yang diatur family? Tapi tak disangkal jodoh tu semua milik Allah. Kun fayakun.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.