Rabu, 10 Ogos 2016

KITA 'BERPERANG' KERANA BAHASA

Sumber : Google

Saya agak terkilan dengan masyarakat kita sekarang ini. Hanya kerana isu bahasa dalam Festival Filem Malaysia, kita sanggup bergaduh sehingga memulangkan trofi kemenangan yang dibungkus dalam plastik sampah!

Saya kira perkara semacam itu tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana, negara ini sudah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun. Sewajarnya isu bahasa tidak timbul terutama dalam pendidikan, perfileman, dan kehidupan seharian. 

Saya tidak hairan jika negara ini bermasalah dalam politik, ekonomi, dan sosial. Tetapi saya terkilan kerana isu bahasa - bahasa Melayu - terus dipolemikkan sehingga ke hari ini padahal perkara semacam itu tidak sewajarnya berlaku kerana jelas dalam Perlembagaan kita bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.


Di negara negara lain, isu bahasa tidak diperdebatkan sebaliknya terus dimartabatkan dan dipertingkatkan. Tetapi kita, waima sudah berpuluh tahun mengecapi kemerdekaan, tetap bergelumang dengan masalah yang sama. Mahu membezakan antara bahasa Melayu dan bahasa Malaysia pun ramai yang keliru apatah lagi mahu berbahas mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.   

Saya lemas dengan keadaan ini. Saya cuba tidak mahu mengambil tahu akan semua ini tetapi naluri saya sebagai seorang penulis terus memberontak untuk memperkatakannya. Sudah menjadi tugas penulis untuk menyuarakan masalah masyarakat di samping terus menjadi mata dan telinga rakyat. 

Saya terkilan dengan masyarakat kita yang terus dirasuk dengan budaya 'melankolia' ini. Perkara yang tidak sepatutnya menjadi isu, terus disensasikan untuk mencari publisiti murahan! Melihat negara dan masyarakat saya ini, kesedihan dan kegusaran terus merentap jiwa dan raga saya. Sampai satu masa, saya mula terfikir untuk keluar dari negara ini dan mencari kehidupan di negara lain. 

Jika saya kaya, sudah pasti saya akan melakukannya. Dan tempat sasaran saya sudah pasti Mekah dan Madinah. Sekurang-kurangnya, jika Dajjal datang, saya selamat di sana. Tetapi, keadaan yang memaksa saya tinggal di sini - menghadap realiti masyarakat dungu yang ada di negara ini!

Saya memang tidak sepatutnya berfikir seperti itu setelah jiwa patriotik yakni cintakan negara begitu meresapi naluri saya sejak sekian lama. Tetapi, melihat masyarakat kita yang suka membangkitkan perkara perkara yang tidak sepatutnya dibangkitkan, jiwa saya sakit, penat, dan lemah. Mungkin negara ini patut berperang macam Syria, baru kita semua boleh sedar!   

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.