Isnin, 1 Ogos 2016

GOLONGAN OPORTUNIS RAMAI DI UNIVERSITI


Sumber : Google


Maksud golongan oportunis itu adalah golongan yang suka mengambil kesempatan. Dalam konteks universiti atau kemahasiswaan, golongan oportunis adalah golongan yang malas untuk menyiapkan kerja dalam sesebuah tugasan berkumpulan tetapi mendapat markah yang sama banyak dengan ahli kumpulannya yang bertungkus lumus menyiapkan kerja itu. Golongan ini hanya menumpang nama dan tuah kumpulan sahaja tetapi langsung tidak berusaha untuk membantu ahli kumpulan dalam menyiapkan sesebuah kerja.

Golongan oportunis ini memang banyak di universiti. Setiap semester (bukan setiap tahun!) golongan ini akan muncul di segenap ceruk rantau negara ini dan menghadirkan diri mereka untuk sama sama belajar di universiti. Namun, sikap dan nilai kemahasiswaan itu tidak ada dalam diri mereka. Sikap malas dan suka mengambil kesempatan yang mereka bawa dari rumah itu mereka bawa juga ke universiti.

Golongan ini sebenarnya memang membawa malang kepada ahli kumpulan, universiti, dan negara. Mereka acapkali menyusahkan ahli kumpulan dengan cara mereka tidak menyiapkan kerja yang diberi. Kerana sikap mereka itu, kerja kerja kumpulan itu tidak dapat disiapkan dengan sempurna Akibatnya, ahli kumpulan merekalah yang perlu menyiapkan semua kerja mereka. Mereka hanya sekadar goyang kaki dan hidup dalam dunia oportunis mereka tadi. Apabila ahli kumpulan mereka mendapat markah yang baik daripada pensyarah, mereka turut mendapat markah yang sama. Mereka ini adalah golongan yang tidak tahu malu!


Golongan ini adalah golongan parasit kerana mereka inilah nanti yang akan menjadi penjenayah kolar biru. Mereka inilah nanti yang akan melakukan rasuah, pecah amanah, menipu dan sebagainya apabila mereka sudah masuk kea lam kerja nanti. Golongan seperti mereka ini sanggup membuat apa sahaja asalkan diri mereka senang dan lepas dengan sesuatu perkara.

Sepatutnya, sikap oportunis ini tidak boleh ada dalam diri mahasiswa kita. Segala tugasan yang pensyarah beri itu adalah markah bagi membantu kita untuk lulus dengan cemerlang dalam sesuatu subjek. Tugasan juga diberikan kepada kita sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran kerja yang banyak pada masa akan datang. Jika tugasan yang diberikan oleh pensyarah pun kita tidak mampu buat, bagaimana pula kita mampu buat tugasan yang diberi oleh majikan kita?

Sebab itu kita tidak boleh pandang remeh kepada tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Jika tugasan itu tugasan berkumpulan, kita mesti sama sama siapkan dengan ahli kumpulan kita kerana ia bukan sahaja melibatkan markah kita, malah markah ahli kumpulan kita juga. Jika kita tidak beri kerjasama, maka kualiti kerja kita akan menurun lalu markah ahli kumpulan kita akan terjejas. Tidak ada rasa bersalahkah kita menyusahkan rakan rakan kita kerana sikap oportunis kita itu?

Maka, sudah sampai masanya kita berubah. Buangkan segera sikap oportunis kita itu dan sama sama membantu menyiapkan tugasan berkumpulan yang diberi oleh pensyarah kita. Jika benar kita mahu terus jadi oportunis, segera isytiharkan diri supaya senang pensyarah gagalkan kita. Jangan aniaya orang lain kerana sikap oportunis kita.   

1 ulasan:

  1. memang...biasanya dipanggil free rider...orang lain sibuk buat tugasan dia tahu siap ja =(

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.