Sumber : Google |
Sudah
agak lama sebenarnya saya tidak mengulas mana mana novel setelah saya menjadi
seorang pemerhati politik dan pengamat sosial – lebih banyak mengulas isu isu
semasa dan isu isu politik walaupun ketika awal awal saya menjadi penulis blog
dahulu, mengulas novel adalah genre penulisan saya pada waktu itu. Namun,
akibat kerancakkan isu politik dan isu semasa yang berlaku sejak akhir akhir
ini, saya terpaksa ‘bercuti’ seketika daripada mengulas mana mana novel.
Novel
yang akan saya ulas pada hari ini adalah novel Sehangat Asmara karya Aisya
Sofea. Sejujurnya saya tertarik dengan novel ini apabila menonton iklan drama
Sehangat Asmara di Astro namun saya tidak berpeluang menonton drama tersebut
kerana bapa dan ibu saya agak prejudis terhadap drama drama Melayu.
Memandangkan saya tidak berpeluang menonton drama yang dilakonkan oleh Rita
Rudaini dan Adi Putra itu, maka saya membaca novel ini untuk mengetahui apakah
yang menyebabkan novel ini terlalu bagus sehingga diadaptasi untuk menjadi
sebuah drama.
Jujur
saya katakan, novel ini tidak seperti novel novel lain yang saya baca di mana
saya mengambil masa yang sangat lama untuk menghabiskan novel yang setebal
lebih 500 muka surat
ini. Kebiasaannya, saya mampu menghabiskan novel setebal itu dalam jangka masa
tiga hari sahaja namun tidak pada novel ini. Ini kerana di awal penceritaan
novel ini saya sudah dilanda kebosanan yang melampau! Saya perlu menangguh pembacaan lebih lebih
lagi saya ada kuliah tatkala saya mula mula mambaca novel ini.
Memandangkan saya telah menghabiskan duit yang agak banyak untuk membeli
novel ini (bagi saya agak banyak), maka suka atau tidak saya perlu
menghabiskannya. Maka, saya pun terus baca dan baca untuk mengetahui penamat
kisah cinta antara Kamilia Najwa dan Zainal Arief ini. Novel ini mula menjadi
menarik apabila kita sampai di suku novel di mana apabila Zainal Arief kembali
semula berjumpa dengan Kamilia untuk meminta hak lawatan anak mereka, Misya, setelah
sembilan tahun Zainal menghilangkan diri meninggalkan Kamilia seorang diri
melahirkan dan membesarkan Misya tanpa khabar berita.
Setelah
membaca sehingga di pertengahan cerita, baru saya tahu mengapa novel ini
menarik. Unsur unsur suspen, gelisah dan buaian perasaan diadun dengan sangat
baik di dalam cerita ini. Walaupun rasa geram dengan sikap Zainal yang tidak
mahu memberitahu perkara sebenar kepada Kamilia mengapa dia menghilangkan diri,
rasa geram dengan sikap Kamilia yang mudah membuka hatinya semula untuk Zainal
walaupun sudah sembilan tahun ditinggalkan, geram dengan sikap Misya yang
mengada ngada itu, saya tetap mahu membacanya sehingga tamat. Rasa tidak
lengkap hidup jika tidak menghabiskan novel ini.
Apa
yang saya tidak berpuas hati dengan novel ini ialah tentang sikap Kamilia yang
boleh memberi peluang kedua dan rasa cintanya kepada Zainal walaupun telah
sembilan tahun ditinggalkan. Cara dia melawan perasaan cinta itu terlalu lemah
dan akhirnya dia kahwin juga dengan Zainal. Apabila dia mengandung anak kedua
bersama Zainal, dia mula rasa takut – takut ditinggalkan oleh Zainal lagi
sehingga tidak mahu memberitahu suaminya tentang kandungan tersebut.
Sikap
Zainal juga boleh dipertikaikan. Mengapa dia tidak berterus terang sahaja
kepada Kamilia untuk menjelaskan mengapa dia meninggalkan Kamila tanpa khabar
berita sembilan tahun yang lalu. Apabila ditanya, dia hanya menjawab ‘itu
cerita lama.” Saya kira tindakan yang dibuat oleh Zainal itu terlalu dangkal.
Dia sanggup bergaduh dan disindir oleh Kamilia hampir setiap kali mereka
bertemu kerana tidak mahu memberitahu perkara sebenar. Tidakkah alasan itu
terlalu janggal?
Jika
benar Zainal dan keluarga dianiaya oleh bapa Kamilia yang tidak bersetuju
dengan perkahwinan tersebut, mengapa dia tidak cuba mencari Kamilia? Alasan yang
dia berikan terlalu rapuh sedangkan dia berada di zaman teknologi yang canggih
yang sudah pasti ada telefon bimbit dan perkhidmatan pos (menghantar surat) untuk berkomunikasi
dengan Kamilia. Banyak cara sebenarnya yang boleh dia hubungi Kamilia untuk
menyampaikan khabar berita. Bukan hanya diam selama sembilan tahun kemudian
mahu kembali semula meminta hak lawatan terhadap Misya. Tidak guna dia
mempunyai ijazah sarjana dalam bidang undang undang dari Oxford tetapi dia tidak mampu berfikir
perkara semudah itu.
Sikap
Kamilia yang kuat dalam lemah itu juga memang membuatkan pembaca bertambah
geram. Dia tidak cuba
untuk melawan di mahkamah terhadap hak lawatan Misya yang mahu diambil oleh
Zainal setelah sembilan tahun meninggalkan dirinya. Saya fikir jika dia lawan
di mahkamah, kemungkinan untuk dia menang agak tinggi. Dia hanya fikirkan
keluarga dan reputasinya tetapi tidak hatinya sendiri. Dia mudah mengaku kalah
dengan orang yang dia cintai tetapi pada yang sama mengkhianati cintanya. Orang
yang menjadi mangsa dalam hal ini adalah Azman, lelaki yang sering memburu
cintanya dan sering membantunya ketika ketiadaan Zainal selama sembilan tahun
itu.
Alasan
penarikan biasiswa adik beradik Zainal sehingga dia perlu meninggalkan Kamilia
selama sembilan tahun itu juga amat rapuh. Sekiranya dia benar benar terdesak,
mengapa dia tidak cuba
mahu menghubungi Kamilia dengan pelbagai cara? Jelas pengarang cerita ini
sengaja mahu mencipta watak Zainal yang tidak sanggup berjuang untuk cinta
sendiri, lambat bertindak, tidak bijak dan tidak cekal.
Walaubagaimanapun, novel ini memang saya puji jika hendak dibandingkan
dengan dua buah novel Aisya Sofea lain yang saya pernah baca.. Saya puji kerana
mampu membuatkan saya terus membaca novel ini walaupun saya hampir hampir mahu
menyerah kalah untuk menghabiskannya. Perlu diingatkan bahawa apa yang saya
catatkan di sini hanyalah pendapat peribadi saya sahaja sebagai penulis,
peminat sastera , pembaca dan pencinta Bahasa Melayu. Tidak ada niat untuk
menghina karya sesiapa. Wassalam…
Lama dah tak baca novel. Dulu boleh kata jadi ulat. hehe
BalasPadamMorning Sickness!!!
belum sempat lagi baca novel ni...dramanya pun puteri tak tengok :)
BalasPadamZumal tak tengok lagi drama ini mahupun membaca novelnya. Nampaknya macam kisah ini sering meninggalkan persoalan yer.
BalasPadamwah, saya takberapa suka novel cinta..tapi penah lah baca dri penulis ini...
BalasPadamRahsia Kecantikan Semulajadi