Semalam saya menonton ucapan perasmian ketiga tiga
sayap UMNO – Pemuda, Wanita dan Puteri yang disampaikan oleh Timbalan Presiden
UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ada
sedikit kelainan dalam ucapan bekas Menteri Besar Johor itu. Ucapan beliau
semalam lebih berani dan lebih terbuka mengkritik ahli ahli dan pemimpin
pemimpin UMNO secara keseluruhannya.
Ya, suara suara keberanian seperti inilah yang kita
mahukan daripada pemimpin pemimpin UMNO. Kita tidak mahu UMNO dipimpin oleh
seorang pemimpin yang penakut, bacul, dan gila kuasa. UMNO mesti dipimpin oleh
orang orang yang berani, berwibawa, dan sanggup berjuang demi agama, bangsa dan
tanah air.
Sebenarnya sudah lama suara suara keberanian ini
hilang di dalam UMNO. Setepatnya, selepas zaman Tun Dr. Mahathir, UMNO sudah
ketandusan pemimpin pemimpin yang berani seperti ini. ‘Kejantanan’ UMNO seolah
olah hilang dikasi oleh kemabukan kuasa. pangkat dan wang ringgit. Tidak ada
pejuang sejati di dalam UMNO menyebabkan UMNO terus lesu dan lemah. UMNO terus
dihinggap sindrom terlalu lama berkuasa.
Muhyiddin dengan lantangnya mengkritik kepimpinan dan
ahli UMNO tanpa rasa takut dan gentar semalam. Beliau tegas dengan pendirian
beliau untuk mengekalkan Akta Hasutan yang mahu dimansuhkan oleh Presiden
partinya sendiri iaitu Najib Tun Razak. Muhyiddin juga dengan beraninya
mengatakan UMNO dianggap parti feudal, mempunyai ramai warlords, kaki
ampu, cah keting, lesu, menunjukkan kekayaan kepada rakyat, menabur kemewahan
kepada penyokong dan banyak lagi. Ironinya, semua kata kata Muhyiddin itu
adalah benar belaka.
Muhyiddin juga seolah olah menyindir pemimpin
pemimpin tertentu di dalam ucapannya semalam di mana pemimpin pemimpin yang
menjadi laba kepada UMNO perlu ditendang dengan segera. Muhyiddin juga mahukan
mana mana pemimpin UMNO yang sudah lama dan tidak lagi proaktif perlu berundur
dengan serta merta untuk memberi peluang kepada orang muda. Muhyiddin mahukan
UMNO dipimpin oleh orang muda sebagai langkah meremajakan UMNO.
Semua ahli UMNO sama ada di pucuk pimpinan mahupun di
akar umbi perlu mengambil cakna teguran dan kritikan Muhyiddin itu. Ahli UMNO
tidak boleh membutakan mata dan memekakkan telinga. Penyakit masuk telinga
kanan dan keluar telinga kiri juga perlu dihapuskan dalam diri orang orang UMNO
jika UMNO merasakan yang mereka mahu kekal berkuasa pada PRU yang akan datang.
Sekiranya penyakit penyakit kronik ini tidak dibuang, nescaya tunggu sahajalah
kehancuran UMNO tidak lama lagi.
Ya, ucapan Muhyiddin itu sangat berani tetapi saya
sifatkan sebagai berani mati. Kedudukan beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO
boleh terancam dengan mengeluarkan ucapan berani mati seperti itu. Sebelum ini,
cakap cakap politik ada kedengaran di blog blog pro UMNO bahawa Muhyiddin mahu
digantikan dengan Hishamuddin pada pemilihan UMNO akan datang. Setakat mana
cakap cakap politik ini benar, tidak dapat saya pastikan.
Adakah ucapan Muhyiddin semalam seolah olah mahu
memberi isyarat kepada semua perwakilan supaya mengubah pemimpin pemimpin lama
pada masa depan? Adakah Muhyiddin mahu memberi isyarat yang dia akan ditendang
tidak lama lagi maka dia harus mengambil sikap berani mati sebegitu. Muhyiddin
seolah olah memberi isyarat bahawa dia akan ditendang tidak lama lagi dan alang
alang dia akan ditendang, lebih baik dia luahkan segala galanya demi kebaikan
UMNO jua.
Sebagai pemerhati politik, saya melihat ada isyarat
yang mahu disampaikan oleh Muhyiddin tetapi saya tidak pasti apa.
Walaubagaimanapun, kita tidak boleh meragui keikhlasan Muhyiddin yang mahu
melihat UMNO berubah. UMNO perlu melakukan perubahan secara besar besaran
dengan segera jika mahu diundi pada PRU yang akan datang.
Kesimpulannya, saya mengucapkan tahniah kepada
Muhyiddin di atas keberanian beliau semalam. Inilah pemimpin yang diperlukan
oleh UMNO. Segala nasihat, teguran dan kritikan yang disampaikan oleh beliau
perlu diambil cakna bukan sahaja oleh pucuk pimpinan tetapi juga akar umbi
secara keseluruhannya. Diharapkan semua ahli UMNO akan sedar dan insaf di atas
teguran Muhyiddin itu.
betul tu... selain tu pemimpin juga mesti melaksanakan bukan sahaja hanya cakap2 kosong...
BalasPadamAlhamdulillah Akta Hasutan tu dikekalkan...
BalasPadam