Sumber : Google |
Esok bermulalah semula kuliah saya yang pertama di
semester yang terakhir. Esok juga bermulalah perjuangan saya sebagai seorang
mahasiswa dan esok juga bermulalah ‘sesi’ menghadap buku, pensyarah, nota,
kuiz, tugasan dan kerja rumah yang perlu disiapkan bagi mengisi keperluan
keperluan tertentu.
Sejujurnya sudah tiga tahun saya menuntut di kolej
ini. Mengambil Diploma Pengajian Perniagaan (dengen kerjasama UiTM) bermula
dari tahun 2012. Sepanjang waktu itu, pelbagai kisah suka duka, pahit maung,
dan asam garam sebagai seorang mahasiswa serta sahabat telah saya rasai. Pelbagai
ragam manusia telah saya temui. Pelbagai pengalaman pahit manis telah saya nikmati.
Ketika saya melangkah masuk ke kolej ini pada Jun
2012, saya masih ingat lagi betapa takutnya saya kerana terpaksa berpisah
dengan ibu dan bapa. Maklum sahajalah, itulah kali pertama saya tinggal di
asrama. Pengalaman itu tidak pernah saya temui sebelum ini. Dari situ saya mula
belajar segala galanya tentang hidup berdikari. Semuanya saya perlu uruskan
sendiri. Makan, minum, pakaian – pokok pangkalnya semuanya sendiri tanpa
pertolongan ibu bapa.
Di kolej ini, saya mula kenal serba sedikit tentang
kehidupan sebagai seorang mahasiswa yang jelas berlainan dengan kehidupan
sebagai seorang pelajar sekolah menengah. Saya mula memanggil tenaga pengajar
saya dengan panggilan ‘madam’ atau ‘sir’ dan bukan lagi ‘cikgu’. Mula belajar
tentang dunia perniagaan secara teori. Mula juga kenal dengan blog, Twitter,
Instagram, boling, erti persahabatan dan nilai sebuah persahabatan.
Sejujurnya bidang perniagaan bukan bidang yang saya
minati. Saya lebih minat bidang perguruan dan kewartawanan. Tetapi rezeki saya
sudah terdampar di kolej ini dan mengambil bidang ini. Suka atau tidak, saya perlu
menghabiskannya demi mendapat segulung diploma sebagai batu loncatan untuk saya
mendapat segulung ijazah pula di universiti nanti.
Saya yakin dan percaya bahawa Allah telah merancang
sesuatu yang baik untuk saya apabila saya mengambil Diploma dalam bidang
Pengajian Perniagaan ini. Bukankah Allah adalah sebaik baik perancang? Oleh
itu, saya sentiasa bersyukur dengan ketentuan ini dan saya bersyukur kerana
saya hampir menamatkannya tidak lama lagi.
Di kolej ini saya belajar tentang persahabatan. Dari segi
nilai dan pengertiannya. Pelbagai jenis kawan yang saya temui. Namun sukarnya
untuk mencari sahabat sejati. Rasa sakit, sedih, marah, kecewa, benci, gembira
dan dendam semuanya bergabung menjadi satu kerana mencari erti persahabatan
tersebut. Nantilah, jika saya berjaya menjadi orang terkenal nanti, saya akan
lakarkan kisah kisah saya di kolej ini dalam sebuah buku yang berbentuk sebuah memoir.
Pernah difitnah, dihina, ditipu, gagal dalam ujian
dan banyak lagi pengalaman pahit yang saya tempuhi sepanjang belajar di sini. Sedikit
sebanyak pengalaman itu telah mematangkan diri saya. Kecenderungan saya dalam
dunia politik (menjadi penulis politik) semakin menjadi jadi sejak melangkah
masuk ke kolej ini. Tidak dilupakan juga pengalaman saya bertemu dengan
pelbagai ragam pensyarah – lucah, gila gila, garang, sombong, baik hati, lemah
lembut, tidak tegas dan banyak lagi.
Sedar tidak sedar sudah tiga tahun di sini. Belayar di
lautan kehidupan mahasiswa menggunakan sampan semangat dan pendayung iman bagi
membelah badai kesengsaraan sebagai seorang sahabat dan mahasiswa. Dan esok
bermulalah kehidupan saya sebagai mahasiswa di kolej itu dan bakal berakhir
pada bulan Mei tahun hadapan. Sudah pasti episod sebagai mahasiswa dan sahabat
sekali lagi akan saya tempuhi.
Alhamdulillah, segala pancaroba yang datang kepada
saya dapat saya atasi dengan usaha, kesabaran dan doa. Itulah namanya
kehidupan. Tanpa pasang dan surut, apa maknanya sebuah kehidupan. Bersyukur
mesti ada dalam diri kita.
Akhirul kalam, esok bermulalah kehidupan saya sebagai
mahasiswa semula di semester yang terakhir. Selepas ini, Insha Allah… saya akan
meninggalkan kolej ini dengan menggenggam segulung diploma untuk dibawa sebagai
bekalan ke universiti nanti. Teruja dan seram juga saya apabila mengenangkan
apakah cubaan cubaan yang akan saya hadapi? Apakah halangan halangan yang akan
saya tempuhi? Apa pun saya mahu ucapkan selamat tinggal kepada kolej yang telah
banyak mengajar saya tentang 1001 erti kehidupan. Mengapa saya ucap sekarang? Barangkali
saya tidak dapat mengucapkannya di lain hari nanti.
semoga semuanya berjalan lancar,
BalasPadamWah, dah last sem yer. Semoga dipermudahkan yer... Good luck ^-^
BalasPadamGood luck MNH!!! study sungguh-sungguh. Tapi jangan sampai terlebih stress pula .. biar berpada-pada. Semoga segalanya dipermudahkan bagi MNH!
BalasPadamwah.. dah nak habis.. bestnya.. good luck 4 ur final year..
BalasPadambila dah keje nanti akan rindukan kenangan masa belajar...pejam celik...dah nak abis dah...all de best tauuuu...hihihihi
BalasPadamGIVEAWAY BY KAMEQ DEANNA
Semoga success sentiasa.
BalasPadamInsyaallah..