Sahiril sedang membaca buku Fail Sulit Presiden Amerika Syarikat
yang ditulis oleh Muhd. Nur Iman Ramli. Buku itu sungguh menarik. Buku itu
sebenarnya sudah lama dibelinya namun dia tidak ada kesempatan untuk membacanya
memandangkan tugasannya di pejabat seolah olah tidak mahu habis. Dirinya
sentiasa sibuk sehingga dia tidak ada masa untuk berehat.
Pada malam inilah baru dia boleh berehat sambil membaca buku yang
telah dibelinya beberapa bulan yang lalu. Buku itu menceritakan tentang sejarah
pembinaan negara Amerika Syarikat, Biodata Presiden dan Wanita Pertama negara
itu, pertubuhan pertubuhan yang berada dalam negara itu dan sebagainya. Pokok
pangkalnya buku itu sungguh menarik untuk dibaca. Pelbagai pengetahuan tentang
negara Uncle Sam itu yang boleh dia dapati.
“Kamu tak tidur Sahiril?” soal Datuk Hasanah yang tiba tiba muncul di
muka pintu bilik Sahiril. “Belum mama.” jawab Sahiril ringkas. Dia menutup buku
tersebut dan meletakkan buku itu di sisinya. “Bila klien kita dari Arab Saudi
tu nak datang?” Soal Datuk Hasanah
sambil duduk di birai katil. “Itu saya tak pasti. Saya rasa diaorang datang
hari Isnin..” Jawab Sahiril.
Datuk Hasanah sekadar mengangguk lalu bergerak ke meja bacaan
Sahiril. Dia mengambil sebuah majalah sekolah di atas meja itu dan membukanya.
Ada sekeping gambar yang terjatuh dari celahan muka surat majalah itu. Datuk
Hasanah mengambil gambar yang terjatuh di lantai itu. Dia melihat gambar Mahani
yang sedang berdiri bersama anaknya dan memakai uniform sekolah.
“Bila kamu tangkap gambar ni Sahiril?” soal Datuk Hasanah sambil
menunjukkan gambar itu pada Sahiril. “Oh! masa jamuan akhir tahun. Masa
kitaorang tingkatan lima sebelum nak ambil SPM.” Jawab Sahiril. “Kenapa kamu
simpan gambar ni?” soal Datuk Hasanah tidak berpuas hati. “Mama, kenapa dengan
mama ni? Kenapa mama soal saya macam saya ada buat kesalahn besar?” soal
Sahiril pula.
“Mama nak tahu kenapa kamu simpan gambar ni? Kamu suka kat janda ni
kan?” soal Datuk Hasanah. Suaranya sudah mula keras. “Mama, mana ada? Kitaorang
hanya kawan saja. Tak lebih dari itu.” Jawab Sahiril. Dia tidak faham mengapa
mamanya boleh menjadi marah dengan tiba tiba. “Baguslah kalau macam tu. Mama
tak suka kamu kawan dengan dia.” Ujar Datuk Hasanah.
“Kenapa pula? Dia baik mama. Takkan kerana dia janda saya tak boleh
kawan dengan dia. Lagipun dia satu satunya kawan sekolah menengah yang saya
boleh jumpa.” Ujar Sahiril. “Mama tak suka janda tu. Mama tahu dia nak goda
kamu sampai kamu cair lepas tu kahwin dengan kamu. Lepas tu dia nak rampas
semua harta keluarga kita.” Ujar Datuk Hasanah. “Mama, kenapa mama boleh fikir
sampai macam tu. Mahani tu wanita beriman mama. Dia tutup aurat dan tidak
pernah tinggal sembahyang. Takkan dia nak buat macam tu. Mama ni mesti banyak
tengok cerita P. Ramlee ni sampai mama boleh terpengaruh dengan cerita cerita
macam tu.” Ujar Sahiril sambil tertawa kecil.
“Sahiril, ini bukan cerita P. Ramlee atau A. Ramlee. Ini perkara
betul. Perempuan tu ada niat tak baik. Lebih baik kamu berhati hati.” Ujar
Datuk Hasanah. “Baik mama. Saya akan ingat pesan mama tapi mama jangan risaulah. Mahani tu perempuan
yang baik. Saya yakin dia takkan buat macam tu.” Ujar Sahiril. “Suka hati
kamulah. Kamu jangan menyesal kalau ada apa apa berlaku pada kamu.” Datuk
Hasanah terus beredar dari bilik itu.
Sahiril terus mengambil gambar yang diletakkan oleh Datuk Hasanah di
atas meja itu. Gambar itu diambil ketika jamuan akhir tahun kelas mereka
sebelum peperiksaan SPM bermula. Dia menatap gambar Mahani. Sungguh comel
Mahani pada waktu itu. Mahani merupakan wanita pertama yang berjaya mencuri
hati lelakinya.
.............................................................................................
Ramli berjalan menuju ke arah bilik cucian. Dia melihat Nadia berada
di situ sambil memasukkan cadar katil dan sarung bantal yang telah kotor ke
dalam mesin basuh. Bakri terus menuju ke arah gadis itu. “Mahani dah sampai?”
soal Ramli. “Opocot mak engkau meletup.” Nadia melatah. Hampir terlompat jantugnnya
keluar pada waktu itu. Dia benar benar terkejut mendengar suara Ramli.
“Maaf! Maaf! Saya tak sengaja. Sepatutnya saya bagi salam dulu.”
Ujar Ramli. Hampir sahaja dia ketawa apabila melihat Nadia melatah namun
dibatalkan niatnya. Dia tidak mahu Nadia tersinggung. “Encik Ramli, nasib baik
saya tak ada sakit jantung. Apa encik tanya tadi?” soal Nadia sambil mengurut
ngurut dadanya. “Saya tanya Mahani dah sampai?” soal Ramli semula. “Sudah, dia
baru sahaja naik kat tingkat enam belas. Kenapa encik cari dia?” soal Nadia
ingin tahu.
“Ada
perkara yang saya nak cakap dengan dia. Okey, saya pergi dulu. Terima kasih sebab tolong saya.” Ucap Ramli lalu terus beredar. “Sama sama.”
Balas Nadia pendek. Dia memandang ketuanya itu beredar. Dia tahu bahawa Ramli
ada menyimpan perasaan pada Mahani. Dia berdoa semoga hubungan antara Mahani
dan Ramli berkekalan. Dia tahu Ramli seorang lelaki yang baik.
Dia pasti akan menjaga Mahani dengan baik. Sudah sampai masanya
Mahani berkahwin. Irfan pasti memerlukan kasih sayang seorang ayah sebaik
Ramli. Dia ada bercakap tentang perkara itu pada Mahani namun Mahani selalu
mengatakan dia suka bercakap perkara yang bukan bukan. Mungkin Mahani tidak
sedar yang Ramli mencintai dirinya ataupun Mahani pura pura tidak sedar. Dia
sendiri tidak tahu tapi apa yang dia tahu Ramli mencintai diri Mahani seadanya
walaupun mengetahui Mahani ialah janda beranak satu.
Ramli terus menuju ke tingkat enam belas untuk bertemu dengan
Mahani. Dia ingin memberitahu wanita itu bahawa Encik Sahiril akan mendaftar
pada hari Isnin minggu depan. Dia mahu Mahani memastikan bilik yang akan
didiami oleh Encik Sahiril benar benar bersih dan kemas. Dia lupa mahu
memberitahu Mahani semalam kerana dia sungguh sibuk. Semalam majlis makan malam
syarikat Mutiara Holdings berlangsung di hotel itu.
Dia perlu memastikan majlis itu berjalan dengan lancar. Setelah
sampai di tingkat enam belas dia tidak melihat kelibat Mahani. Hanya troli yang
digunakan untuk mengangkut cadar dan sarung bantal sahaja berada di hadapan
bilik 116. Mungkin Mahani berada di dalam bilik itu. Fikir Ramli. Dia terus masuk
ke bilik tersebut. Dia mencari cari di mana Mahani dan apabila dia melihat di
lantai, Mahani sudah terbaring di situ.
Dia terus menuju ke arah Mahani. “Mahani! Mahani!” panggilnya sambil
memangku tubuh Mahani. Mahani tidak memberi sebarang tindak balas Dia
meletakkan belakang tangannya pada dahi Mahani. Sungguh panas dirasakan dahi
wanita itu. Sudah tentu Mahani demam. Dia terus mengangkat Mahani lalu turun ke
bawah. Dia terus ke keretanya untuk membawa Mahani ke klinik yang berdekatan.
Mahani membuka matanya. Dia melihat kipas berputar ligat di siling.
“Aku kat mana ni?” Soalnya di dalam hati. Dia cuba bangun namun kepalanya
sungguh berat pada waktu itu. Dia memandang di sekelilingnya. Dia mendapati dia
berada di sebuah bilik namun itu bukan biliknya. Dia dapat merasakan yang dia
pernah melihat bilik itu namun dia tidak ingat di mana. Kepalanya sungguh sakit
pada waktu itu.
Tiba tiba pintu bilik itu ditolak. Dia melihat Mahmudah datang
sambil membawa sebuah dulang yang berisi air dan ubat. “Kak long, apa kak long
buat kat sini?” Soal Mahani kehairanan. “Apa aku buat kat sini? Ini rumah aku.
Mestilah aku ada kat sini.” Jawab Mahmudah. “Macam mana saya boleh ada kat
rumah kak long? Bukan ke tadi saya kat RaHa Hotel.” Soal Mahani kehairanan. Dia
mendapati yang dia masih lagi memakai baju kerjanya.
“Tadi memang kau kat RaHa Hotel tapi sekarang kau kat rumah aku. Kau
pengsan tadi. Encik Ramli yang hantar kau ke mari dengan Nadia lepas hantar kau
pergi klinik.” Jawab Mahmudah sambil membantu Mahani duduk. “Oh yakah? Habis tu
mana diaorang?” soal Mahani lagi. “Kami ada kat sini.” Mahani memandang ke muka
pintu. Dia melihat wajah Nadia dan Ramli berada di situ.
“Awak dah sedar Mahani?” soal Ramli. Mahani mengangguk. “Terima
kasih Ramli sebab dah tolong saya.” Ucap Mahani. “Tak apa. Kebetulan saya
nampak awak tengah pengsan jadi mestilah saya tolong.” Ujar Ramli. “Macam mana kau
boleh pengsan Mahani? Kau tak makan ke pagi tadi?” soal Nadia.“ Entahlah.
Kepala saya sakit sangat. Mungkin sebab saya balik dalam hujan semalam.” Jawab
Mahani jujur.
“Itulah kau. Degil sangat. Kau kan tahu yang kau tak boleh kena
hujan. Nanti demam dan sakit kepala. Degil betul budak ni. akaau ni bukan budak
lagi tau tapi mak budak.” Ujar Mahmudah. Nadia dan Ramli tertawa kecil mendengar
kata kata Mahmudah. “Aku bukan nak balik dalam hujan la. Tapi aku nak ambil
Irfan semalam kat sekolah agama. Tu yang kena hujan. Aku bukan sengaja nak kena
hujan.” Mahani membela dirinya.
“Ada saja alasannya.” Ujar Mahmudah. “Tak apalah. Kami berdua nak
pulang dulu. Nanti kami datang lagi. Mahani, saya bagi awak cuti dua hari. Awak
rehatlah cukup cukup.” Ujar Ramli. “Terima kasih Ramli. Terima kasih Nadia
sebab dah tolong aku.” Ucap Mahani. “Sama sama.” Jawab Ramli dan Nadia hampir
serentak. Mahmudah menghantar mereka ke kereta.
..................................................................................................
“Ibu, Irfan nak beli buku latihan Matematik dan Sains. Buku latihan
Irfan semuanya dah habis Irfan buat. Lagipun peperiksaan akhir tahun dah dekat.
Irfan nak buat banyak latihan. Nanti Irfan boleh dapat banyak A.” ujar Irfan
ketika Mahani sedang melipat baju. “Oh yakah? Tak sangka anak ibu ni seorang
yang rajin. Petang nanti lepas ibu solat Asar kita pergi beli buka ya.” Ujar
Mahani. Irfan mengangguk.
Seperti yang dijanjikan Mahani membawa Irfan ke kedai buku pada
petang itu. Mahani selalu membeli buku dan novel di Aila Bookstore. Kedai buku
di situ sungguh besar dan mempunyai pelbagai jenis buku. Mahani membawa Irfan
ke rak rak yang mempamerkan buku buku sekolah. Dia mencari rak yang mempunyai
buku buku latihan sekolah rendah. Mahani mengambil buku latihan Matematik Tahun 1 dan buku Latihan
Sains Tahun 2.
Kemudian mereka pergi ke rak yang menempatkan novel novel dalam
Bahasa Melayu. Begitu banyak novel yang dipamerkan pada rak itu. Mahani membaca
sinopsis beberapa buah novel yang dirasakannya menarik lalu dia memilih dua
buah novel. Dia memilih novel Adam dan Hawa karya Aisya Sofea dan Seribu Kali
Sayang karya Anis Ayuni. Dia terus berjalan ke kaunter untuk membuat pembayaran
sambil leka menatap kulit kedua dua buah novel tersebut.
Tiba tiba dia terlanggar batang tubuh seseorang. “Maaf, saya tak
sengaja.” Pinta Mahani sambil memandang ke wajah orang yang dilanggarnya. Dia
melihat Sahiril sedang tersenyum padanya. “Tak apa. Lain kali kalau jalan
pandang depan bukan baca novel.” Sindir Sahiril dalam berseloroh. Sungguh panas
wajah Mahani pada waktu itu menahan malu.
“Saya benar benar minta maaf Sahiril. Saya seronok baca novel ni. Awak
pun beli buku juga?” Soal Mahani sekadar berbasa basi. “Ya. Saya kan suka
membaca. Awak beli buku apa?” soal Sahiril sambil memandang ka arah dua buah
buku yang berada di tangan Mahani. “Saya beli novel saja. Nak baca kalau bosan
bosan kat rumah.” Jawab Mahani. “Oh macam tu. Awak memang suka membaca novel
ke?” soal Sahiril.
“Ya. Awak tak tahu ke? Bukan ke dulu awak pernah pinjam novel saya.
Awak pasti dah lupa.” Mahani menggenggam erat tangan Irfan. Dia tidak mahu
Irfan ke mana mana ketika dia sedang bebual dengan orang lain. “Oh saya lupa
pula. Tapi saya kurang gemar baca novel. Hanya novel novel tertentu saja saya
baca macam Salina karya Datuk A. Samad Said.” Ujar Sahiril.
Sahiril sudah terlupa yang Mahani suka membaca. Tidak ramai orang
suka membaca sebenarnya. Melisa sendiri tidak suka membaca. Dia lebih suka
membeli belah atau mencantikkan dirinya sahaja. Mahani seorang wanita yang
istimewa. Dia selalu berangan angan mahu mempunyai isteri yang suka membaca.
Baginya wanita yang suka membaca ini seorang wanita yang bijak.
“Okeylah Sahiril. Saya nak bayar buku buku ni lepas tu saya nak
balik. Esok saya kena kerja. Kalau ada masa kita berbual lagi. susah kita nak
berbual sekarang ni. Awak tengoklah anak saya ni. Nakal!” Pinta Mahani. “Okey.
Jalan baik baik.” Ujar Sahiril.
Seperti biasa Mahani pergi ke RaHa Hotel pada pagi itu untuk bertugas.
Setelah mengemas semua bilik, dia mahu menghantar troli ke bilik dobi untuk
membasuh cadar dan sarung bantal yang kotor. Ketika mahu menaiki lif tiba tiba
dia terlanggar seseorang dengan trolinya. Dia melihat Ramli sedang terhincut
hincut memegang hujung kakinya. Mungkin jarinya terkena roda troli tersebut.
“Maafkan saya Ramli. Saya memang tak sengaja.” Pohon Mahani. Entah
mengapa sejak belakangan ini dia selalu sahaja terlanggar orang. “Cuai betul
aku ni. Orang punya besar macam tu pun tak nampak.” Mahani memarahi dirinya di
dalam hati. “Tak apa. Siikit je. Saya kan lelaki sejati. Lelaki yang maskulin
macam saya ni memang kena tahan sakit kalau tak mana perempuan nak suka ya
tak?” ujar Ramli bergurau. Mahani tersenyum mendengar gurauan Ramli,
“Dah sakit macam tu pun boleh gurau lagi.” Bisik Mahani dalam hati.
Bukan mudah mahu melihat Ramli bergurau. Lelaki itu amat jarang senyum apatah
lagi ketawa. Dia sentiasa serius apabila bekerja. Ramai orang bawahan tidak
suka dengan sikapnya termasuk Mahani. Tapi itu dulu. Sekarang Ramli sudah
pandai tersenyum dan ketawa. Nadia ada mengatakan bahawa semua itu adalah gara
gara dirinya.
Mahani hanya mengatakan bahawa Nadia hanya merepek. Tidak mungkin
Ramli mecintai dirinya memandang dirinya dan Ramli amat jauh berbeza apatah
lagi dia ialah seorang janda manakala Ramli seorang teruna. Sudah tentu Ramli
tidak akan memilihnya. Hubungannya dengan Ramli tidak lebih dari seorang
pekerja dengan ketuanya.
“Mahani, esok Encik Sahiril akan mendaftar masuk. Saya nak awak
kemas bilik 104 tu.” Ujar Ramli. “Baiklah. Saya pergi dulu ye Ramli.” Mahani menolak
trolinya ke dalam lif. “Baik baik. Jangan sampai langgar orang lagi.” ujar
Ramli. Mahani tertawa kecil mendengar kata kata ketuanya.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.