Khamis, 21 Januari 2016

SIAPAKAH BLOGGER DAN PENULIS YANG SELALU MEROSAKKAN BAHASA MELAYU?

Sumber : Google

Apabila kita membuat kajian tentang analisis kesalahan bahasa terhadap novel, cerpen, buku, jurnal, berita di surat khabar, entri blog dan sebagainya, kita pasti akan bertemu dengan kesalahan kesalahan bahasa yang dilakukan oleh penulis, wartawan, ahli akademik dan blogger. Kesalahan bahasa ini berlaku kerana beberapa faktor antaranya tidak menguasai sistem tatabahasa bahasa Melayu, tidak peka dengan hukum tatabahasa, tidak suka menggunakan bahasa Melayu dengan betul ataupun tidak dapat memisahkan penggunaan tatabahasa bahasa Melayu dengan tatabahasa (grammar) bahasa Inggeris. 

Kesalahan bahasa ini berlaku dalam dua aspek iaitu aspek morfologi dan aspek sintaksis. Morfologi bermaksud bidang ilmu bahasa yang mengkaji perkataan dari segi struktur, bentuk, dan penggolongan kata manakala sintaksis pula bermaksud bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan ayat. Contoh morfologi adalah imbuhan, perkataan, bentuk kata, golongan kata, kata tugas dan sebagainya manakala contoh sintaksis pula adalah frasa, ayat, klausa, dan sebagainya.

Kesalahan bahasa ini bukan sahaja dilakukan oleh orang biasa yakni wartawan, penulis atau blogger, malah ahli akademik pun ramai yang melakukan kesalahan bahasa dalam penulisan jurnal, prosiding, makalah, kertas kerja, laporan kajian, atau apa sahaja kerja akademik mereka. Pendek kata, semua orang melakukan kesalahan bahasa sama ada ketika mereka menulis atau bercakap termasuklah pelajar bahasa Melayu!


Antara kesalahan bahasa dari aspek morfologi yang biasa dilakukan oleh ramai blogger atau penulis (termasuk juga wartawan dan ahli akademik) adalah penggunaan kata sendi nama ‘dari’ dan ‘daripada’. Tentu ramai yang bertanya bagaimana penggunaan dua kata sendi nama ini dengan betul. Kata sendi nama ‘dari’ digunakan dihadapan frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu manakala kata sendi nama ‘daripada’ pula digunakan dihadapan frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan/manusia, asal kejadian/sumber, atau unsur perbandingan/perbezaan.  Contoh ayat adalah : Borang permohonan biasiswa itu boleh didapati daripada Kementerian Pendidikan. Itu adalah ayat yang betul. Namun, sesetengah orang yang tidak mahir dalam tatabahasa bahasa Melayu dan mudah terkeliru dengan penggunaan kata sendi nama, akan menulis ayat itu dengan cara begini : Borang permohonan biasiswa itu boleh didapati dari Kementerian Pendidikan.   

Lihatlah, walaupun penulisan ayat di atas adalah sesuatu yang mudah, namun jika tidak mahir dalam tatabahasa bahasa Melayu, kita akan mudah untuk melakukan kesalahan. Baiklah, sekarang kita pergi pula kepada kesalahan bahasa dari aspek sintaksis. Contoh ayat : Biar bagaimanapun, berita sebegini susah orang hendak terima. Ayat yang saya tulis di atas itu adalah ayat yang salah kerana ayat tersebut menggunakan penanda wacana (tulisan yang dicondongkan) dengan cara yang salah. Sepatutnya, ayat tersebut perlu ditulis begini : Walau bagaimanapun, berita sebegini susah orang hendak terima. Itulah antara contoh kesalahan bahasa dari aspek sintaksis yang acapkali dijumpai dalam sesebuah novel, penulisan berita, cerpen, jurnal, entri blog dan sebagainya.  

Boleh dikatakan saya adalah orang yang banyak mengkaji kesalahan bahasa terutama dalam medium jurnal dan buku sementelahan saya adalah pelajar dalam bidang bahasa Melayu namun saya sendiri turut membuat banyak kesalahan bahasa bukan sahaja ketika saya bertutur malah ketika saya menulis artikel di dalam blog ini juga. Jadi, kesalahan bahasa ini memang tidak dapat dielakkan selagi kita tidak memahami tatabahasa bahasa Melayu secara tuntas dan secara keseluruhannya.

Bidang tatabahasa ini mungkin kelihatan mudah namun sebenarnya sangat susah. Kadang kala, kita sendiri pun tidak menyangka bahawa penggunaan sesuatu hukum bahasa dalam penulisan mahupun pertuturan itu sebenarnya salah. Apabila kita mempelajari bidang tatabahasa ini, barulah kita sedar bahawa penggunaan hukum bahasa yang kita gunakan selama ini adalah bertentangan dari yang sebetulnya.   

Pada saya, blogger adalah golongan penulis yang paling banyak melakukan kesalahan bahasa sementelahan kebanyakkan daripada mereka gemar menulis entri blog menggunakan bahasa pasar, bahasa slanga, bahasa dialek atau lebih teruk lagi menggunakan bahasa taboo! Bagi mereka, penulisan sebegitu lebih mudah digarap, lebih santai, dan lebih dekat dengan pembaca. Justeru, kebanyakkan blogger memang pasti melakukan banyak kesalahan bahasa kerana mereka memilih untuk menulis dengan cara sebegitu.

Jika seseorang blogger atau penulis itu mahu menggunakan bahasa Melayu dengan betul dalam penulisan mereka, mereka perlu banyak membaca dan membuat latihan dengan berpandukan buku buku tatabahasa ketika mereka menulis. Jika dua perkara asas ini tidak dipatuhi, maka sampai bila bila pun mereka akan tetap menulis dengan lambakan kesalahan tatabahasa.  

Wujud persoalan adakah kesalahan bahasa ini boleh mengganggu gugat bahasa Melayu? Secara lateralnya memang boleh namun bagi saya, asalkan seseorang penulis atau blogger itu menggunakan bahasa Melayu dalam penulisan mereka tanpa mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, itu sudah memadai. Ini kerana, bukan mudah untuk menggalakkan blogger blogger yang bertebaran di seluruh Malaysia ini untuk menggunakan bahasa Melayu dengan cara yang betul kecuali jika Malaysia diperintah oleh pejuang bahasa!


Walau apa pun, kesalahan bahasa memang akan dilakukan oleh semua orang yang tidak menguasai tatabahasa bahasa Melayu secara tuntas. Prinsipnya mudah. Jika anda sayangkan bahasa ibunda anda, peliharalah dengan sebaik mungkin dengan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Jika tidak mampu, lawanlah mereka yang mahu menguburkan bahasa Melayu di bumi Malaysia ini. Itu adalah sebaik baik perjuangan untuk semua manusia yang bergelar Melayu dan sayangkan bahasa Melayu. 

2 ulasan:

  1. Nasib bukan senarai blogger, kalau yang itu pasti Zumal ada sama...

    BalasPadam
  2. Kejayaan suatu bangsa dan negara dapat dilihat dari kebudayaannya, salah satunya adalah bahasa asli. Jangan sampai kebudayaan itu tgergerus oleh zaman...tetaplah menjadi diri kita sendiri dengan mempertahankan "budaya" melalui bahasa.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.