Sumber : Google |
Apabila kita membuat kajian tentang
analisis kesalahan bahasa terhadap novel, cerpen, buku, jurnal, berita di surat
khabar, entri blog dan sebagainya, kita pasti akan bertemu dengan kesalahan
kesalahan bahasa yang dilakukan oleh penulis, wartawan, ahli akademik dan
blogger. Kesalahan bahasa ini berlaku kerana beberapa faktor antaranya tidak
menguasai sistem tatabahasa bahasa Melayu, tidak peka dengan hukum tatabahasa,
tidak suka menggunakan bahasa Melayu dengan betul ataupun tidak dapat
memisahkan penggunaan tatabahasa bahasa Melayu dengan tatabahasa (grammar)
bahasa Inggeris.
Kesalahan bahasa ini berlaku dalam
dua aspek iaitu aspek morfologi dan aspek sintaksis. Morfologi bermaksud bidang
ilmu bahasa yang mengkaji perkataan dari segi struktur, bentuk, dan
penggolongan kata manakala sintaksis pula bermaksud bidang ilmu bahasa yang
mengkaji bentuk, struktur, dan binaan ayat. Contoh morfologi adalah imbuhan,
perkataan, bentuk kata, golongan kata, kata tugas dan sebagainya manakala
contoh sintaksis pula adalah frasa, ayat, klausa, dan sebagainya.
Kesalahan bahasa ini bukan sahaja
dilakukan oleh orang biasa yakni wartawan, penulis atau blogger, malah ahli
akademik pun ramai yang melakukan kesalahan bahasa dalam penulisan jurnal,
prosiding, makalah, kertas kerja, laporan kajian, atau apa sahaja kerja
akademik mereka. Pendek kata, semua orang melakukan kesalahan bahasa sama ada
ketika mereka menulis atau bercakap termasuklah pelajar bahasa Melayu!
Antara kesalahan bahasa dari aspek
morfologi yang biasa dilakukan oleh ramai blogger atau penulis (termasuk juga
wartawan dan ahli akademik) adalah penggunaan kata sendi nama ‘dari’ dan
‘daripada’. Tentu ramai yang bertanya bagaimana penggunaan dua kata sendi nama
ini dengan betul. Kata sendi nama ‘dari’ digunakan dihadapan frasa nama yang
menyatakan arah, tempat atau waktu manakala kata sendi nama ‘daripada’ pula
digunakan dihadapan frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan/manusia,
asal kejadian/sumber, atau unsur perbandingan/perbezaan. Contoh ayat adalah : Borang permohonan biasiswa
itu boleh didapati daripada Kementerian Pendidikan. Itu adalah ayat
yang betul. Namun, sesetengah orang yang tidak mahir dalam tatabahasa bahasa
Melayu dan mudah terkeliru dengan penggunaan kata sendi nama, akan menulis ayat
itu dengan cara begini : Borang permohonan biasiswa itu boleh didapati dari
Kementerian Pendidikan.
Lihatlah, walaupun penulisan ayat di
atas adalah sesuatu yang mudah, namun jika tidak mahir dalam tatabahasa bahasa
Melayu, kita akan mudah untuk melakukan kesalahan. Baiklah, sekarang kita pergi
pula kepada kesalahan bahasa dari aspek sintaksis. Contoh ayat : Biar
bagaimanapun, berita sebegini susah orang hendak terima. Ayat yang saya
tulis di atas itu adalah ayat yang salah kerana ayat tersebut menggunakan
penanda wacana (tulisan yang dicondongkan) dengan cara yang salah. Sepatutnya,
ayat tersebut perlu ditulis begini : Walau bagaimanapun, berita
sebegini susah orang hendak terima. Itulah antara contoh kesalahan bahasa
dari aspek sintaksis yang acapkali dijumpai dalam sesebuah novel, penulisan
berita, cerpen, jurnal, entri blog dan sebagainya.
Boleh dikatakan saya adalah orang
yang banyak mengkaji kesalahan bahasa terutama dalam medium jurnal dan buku
sementelahan saya adalah pelajar dalam bidang bahasa Melayu namun saya sendiri
turut membuat banyak kesalahan bahasa bukan sahaja ketika saya bertutur malah
ketika saya menulis artikel di dalam blog ini juga. Jadi, kesalahan bahasa ini
memang tidak dapat dielakkan selagi kita tidak memahami tatabahasa bahasa
Melayu secara tuntas dan secara keseluruhannya.
Bidang tatabahasa ini mungkin
kelihatan mudah namun sebenarnya sangat susah. Kadang kala, kita sendiri pun
tidak menyangka bahawa penggunaan sesuatu hukum bahasa dalam penulisan mahupun
pertuturan itu sebenarnya salah. Apabila kita mempelajari bidang tatabahasa
ini, barulah kita sedar bahawa penggunaan hukum bahasa yang kita gunakan selama
ini adalah bertentangan dari yang sebetulnya.
Pada saya, blogger adalah golongan
penulis yang paling banyak melakukan kesalahan bahasa sementelahan kebanyakkan
daripada mereka gemar menulis entri blog menggunakan bahasa pasar, bahasa
slanga, bahasa dialek atau lebih teruk lagi menggunakan bahasa taboo! Bagi
mereka, penulisan sebegitu lebih mudah digarap, lebih santai, dan lebih dekat
dengan pembaca. Justeru, kebanyakkan blogger memang pasti melakukan banyak
kesalahan bahasa kerana mereka memilih untuk menulis dengan cara sebegitu.
Jika seseorang blogger atau penulis
itu mahu menggunakan bahasa Melayu dengan betul dalam penulisan mereka, mereka
perlu banyak membaca dan membuat latihan dengan berpandukan buku buku
tatabahasa ketika mereka menulis. Jika dua perkara asas ini tidak dipatuhi,
maka sampai bila bila pun mereka akan tetap menulis dengan lambakan kesalahan
tatabahasa.
Wujud persoalan adakah kesalahan
bahasa ini boleh mengganggu gugat bahasa Melayu? Secara lateralnya memang boleh
namun bagi saya, asalkan seseorang penulis atau blogger itu menggunakan bahasa
Melayu dalam penulisan mereka tanpa mencampuradukkan bahasa Melayu dengan
bahasa Inggeris, itu sudah memadai. Ini kerana, bukan mudah untuk menggalakkan
blogger blogger yang bertebaran di seluruh Malaysia ini untuk menggunakan
bahasa Melayu dengan cara yang betul kecuali jika Malaysia diperintah oleh
pejuang bahasa!
Walau apa pun, kesalahan bahasa
memang akan dilakukan oleh semua orang yang tidak menguasai tatabahasa bahasa
Melayu secara tuntas. Prinsipnya mudah. Jika anda sayangkan bahasa ibunda anda,
peliharalah dengan sebaik mungkin dengan mempraktikkannya dalam kehidupan
seharian. Jika tidak mampu, lawanlah mereka yang mahu menguburkan bahasa Melayu
di bumi Malaysia ini. Itu adalah sebaik baik perjuangan untuk semua manusia
yang bergelar Melayu dan sayangkan bahasa Melayu.
Nasib bukan senarai blogger, kalau yang itu pasti Zumal ada sama...
BalasPadamKejayaan suatu bangsa dan negara dapat dilihat dari kebudayaannya, salah satunya adalah bahasa asli. Jangan sampai kebudayaan itu tgergerus oleh zaman...tetaplah menjadi diri kita sendiri dengan mempertahankan "budaya" melalui bahasa.
BalasPadam