Sabtu, 23 Januari 2016

HUKUM PERBUATAN MENGEJEK ORANG LAIN DALAM ISLAM

Sumber : Google

Sebagai manusia, kita tidak boleh lari daripada membina hubungan dengan manusia lain. Hubungan itu boleh berlaku dalam pelbagai bentuk antaranya kekeluargaan, persahabatan, persaudaraan, perguruan dan sebagainya. Hubungan yang pelbagai bentuk inilah yang akan menambah nilai dalam hidup seseorang manusia itu sendiri.

Dalam membina hubungan dengan manusia lain ini, kita pasti akan melakukan pelbagai perkara atau perbuatan supaya hubungan itu akan menjadi lebih bermakna. Perkara atau perbuatan itu boleh berlaku dalam dua bentuk pula iaitu, pertama : baik dan kedua : buruk.

Apa contoh contoh perkara atau perbuatan baik yang selalu berlaku dalam hubungan kemanusiaan? Memberi salam, menziarahi ketika sakit, mengucapkan tahniah, memberi hadiah, mengucapkan selamat dan sebagainya adalah contoh contoh perkara atau perbuatan baik yang selalu dilakukan oleh manusia dalam membina hubungan kemanusiaan mereka. Dengan melakukan perkara atau perbuatan baik ini tadi, hubungan kemanusiaan antara seorang manusia dengan seorang manusia lain akan menjadi lebih erat sekaligus merapatkan perpaduan, ukhuwah dan silaturrahim.


Walaubagaimanapun, ada juga perkara atau perbuatan buruk yang berlaku dalam sesebuah hubungan kemanusiaan sehingga merosakkan hubungan kemanusiaan itu sendiri antaranya seperti pembunuhan, fitnah, ejekan, penghinaan, hasad dengki, dan sebagainya. Perkara atau perbuatan buruk inilah yang menyebabkan mengapa hubungan kemanusiaan itu menjadi rosak lalu keamanan tidak berlaku di dunia ini.

Menghina atau mengejek orang lain adalah salah satu contoh perbuatan atau perkara buruk yang acapkali berlaku dalam hubungan kemanusiaan terutama dalam konteks persahabatan dan kekeluargaan. Mungkin perbuatan ini dianggap remeh atau dianggap sebagai satu gurauan sahaja tetapi sebenarnya ia dipandang serius di dalam Islam. Ini kerana, perbuatan ini bukan sahaja memalukan orang lain, malah ia mampu menguris hati dan perasaan orang yang kita ejek sehingga mencetuskan permusuhan dan pergaduhan.

Oleh sebab itulah, Allah sangat murka kepada orang yang suka mengejek orang lain ini dan Allah menegah kita daripada melakukan perbuatan tersebut seperti mana Allah berfirman di dalam Al Quran mengenai hal ini terutama dalam Surah Al-Hujurat, ayat 11 yang bermaksud : Wahai orang orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi (mereka yang diolok-olokkan itu) lebih baik daripada mereka (yang mengolok-olokkan) dan jangan pula wanita wanita (mengolok-olokkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik daripada wanita wanita (yang memperolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar gelar yang buruk. Seburuk buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang orang yang zalim.     

Tafsiran mengenai ayat di atas adalah Allah melarang orang orang yang beriman supaya tidak mengejek atau merendah rendahkan orang lain kerana mungkin orang yang kita ejek itu lebih baik daripada kita. Allah juga melarang kita memanggil atau memberi gelaran yang buruk kepada orang lain.

Abu Jubair Ibnu Dhahak r.a menegaskan bahawa ayat di atas diturunkan berkenaan dengan seseorang yang dipanggil dengan nama tertentu, agar orang itu tidak senang dengan panggilan itu. (Hadis riwayat Tarmizi – hadis hassan sahih)

Jelaslah kepada kita semua bahawa Allah s.w.t menegah kita daripada mengejek, memberi, atau memanggil orang lain dengan panggilan yang buruk. Contohnya, apabila kita melihat kawan kita itu seorang yang gemuk, maka kita memanggilnya dengan gelaran Si Gemuk. Apabila kita melihat keputusan peperiksaan kawan kita itu lebih rendah daripada kita, kita akan memanggilnya Si Bodoh di hadapan orang lain padahal dia tidak suka dengan panggilan kita itu.

Namun begitu, perbuatan mengejek, memberi, atau memanggil orang lain dengan panggilan yang buruk ini sudah biasa berlaku dalam masyarakat manusia atau hubungan kemanusiaan itu tadi terutama dalam konteks hubungan persahabatan dan kekeluargaan. Ini kerana, kita selalu beranggapan bahawa apa yang kita lakukan itu adalah gurauan semata mata sebagai satu cara kita menghiburkan diri kita dan orang orang di sekeliling kita tanpa kita sedari kita sebenarnya telah menyakiti hati dan perasaan orang lain.

Setiap manusia pasti ada kelemahannya dan tidak terkecuali kita. Kita tidak boleh sesekali mencela kelemahan orang lain kerana kita pun mempunyai banyak kelemahan yang kita sendiri ketahui. Cuba orang lain mengejek kelemahan kita, apa perasaan kita pada waktu itu? Marah? Gembira? Sedih? Kecewa? Jika kita tidak suka orang lain mengejek kelemahan kita, kita pun jangan sesekali mengejek kelemahan atau kekurangan orang lain.

Ketahuilah bahawa mengejek orang lain itu tidak ada faedahnya malah mendatangkan banyak keburukkan seperti pergaduhan dan permusuhan. Maka, mulai hari ini, belajarlah untuk tidak mengejek orang lain. Jika kita sudah terlanjur melakukannya, maka segeralah memohon kemaafan kepada orang yang telah kita ejek. Semoga kehidupan kita dirahmati oleh Allah hendaknya.



3 ulasan:

  1. Masa kecik2 dulu memang perangai jahat, saling ejek-mengejek..

    BalasPadam
  2. Apa sekalipun, perbuatan mengejek sangatlah kebudak-budakan dan tidak matang.

    BalasPadam
  3. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    Giaonhan247 chuyên dịch vụ vận chuyển hàng đi mỹ cũng như dịch vụ ship hàng mỹ từ dịch vụ nhận mua hộ hàng mỹ từ trang ebay vn cùng với dịch vụ mua hàng amazon về VN uy tín, giá rẻ.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.