Sumber : Google |
Sejak saya melangkah ke alam diploma,
minat membaca saya semakin bertambah dan pemilihan buku buku bacaan saya juga
turut berubah. Ketika di sekolah menengah dahulu, saya lebih memilih untuk
membaca novel novel cinta dan komik tetapi setelah saya melanjutkan pelajaran
ke KPTM, novel novel cinta bukan lagi bahan bacaan yang saya gemari sebaliknya
saya memilih untuk membaca karya karya kesusasteraan yang tulen, buku buku
politik, bacaan umum, biografi dan bahan bacaan yang lebih menjana intelektual.
Dalam pemilihan novel pula, saya sudah beralih kepada membaca novel novel yang
berunsur thriller atau misteri terutama novel novel yang ditulis oleh penulis
thriller nombor satu Malaysia – Ramlee Awang Murshid.
Karya karya Ramlee Awang Murshid ini
mula diperkenalkan oleh ibu saudara saya yang juga seorang pembaca novel tegar.
Dia memperkenalkan saya dengan novel A.D.A.M (Aku Darah Anak Malaysia) hasil
tulisan Ramlee. Sejak itu, saya menggemari novel novel tulisan Ramlee dan saya
menghabiskan kebanyakkan duit saya untuk menatapi novel novelnya termasuklah
buku buku lain yang lebih menjana inteletual. Pada waktu itu, saya menganggap
Ramlee adalah novelis yang terbaik selepas Ahadiat Akashah. Saya sangat menyanjungi
Ramlee sebagai novelis yang berani memaparkan kelainan dalam bidang penulisan
novel di Malaysia.
Namun, tanggapan saya pada Ramlee
mula berubah apabila saya diperkenalkan dengan novel novel hasil terbitan Fixi oleh
rakan saya yang bernama Aina (kini menuntut di UiTM Puncak Alam dalam bidang
perniagaan). Dia yang bersungguh sungguh mahukan saya membaca novel novel Fixi
ketika kami singgah di kedai buku MPH Mid Valley pada tahun lepas. Saya memilih
novel Kacau karya Ariff Adlyy sebagai percubaan pembacaan novel Fixi saya yang
pertama.
Sejak itu, entah mengapa, saya lebih
tertarik untuk membeli novel novel Fixi berbanding novel novel Ramlee. Saya mula
menggemari idea idea penulis Fixi yang rare seperti mana Ramlee namun
digarap dengan lebih ringkas, tepat, padat, dan menghiburkan walaupun novel
novel Fixi dikecam oleh ramai pejuang bahasa kerana penggunaan bahasa Melayunya
yang tidak kemas, banyak penggunaan bahasa pasar dan bahasa slanga, serta
terdapat unsur unsur lucah yang tipis (kadang kadang ada juga yang berat!).
Sebagai pelajar bahasa Melayu, saya
turut mengecam novel novel Fixi dari segi penggunaan bahasa dan keberanian
mereka meninggalkan nilai nilai moral dalam novel novel tersebut. Sepatutnya,
novel novel Ramlee yang menjadi pilihan saya sebagai pelajar bahasa untuk
dibaca memandangkan Ramlee menulis dengan menggunakan bahasa Melayu yang
standard dan tatabahasa yang betul. Namun begitu, dari segi penggarapan novel
dan persembahan jalan cerita, sudah pasti saya akan memilih novel novel Fixi
sebagai santapan minda saya.
Kelemahan Ramlee yang paling ketara
adalah dari segi persembahan jalan cerita. Walaupun Ramlee menggunakan unsur
teka teki dan unsur saspen serta mempamerkan idea ideanya yang rare,
namun jalan cerita Ramlee agak lambat dan kadang kala membosankan. Pembaca
perlu melalui jalan cerita yang panjang untuk menjawab segala persoalan dan
teka teki yang Ramlee timbulkan dalam setiap novelnya.
Berbeza dengan karya karya Fixi, idea
idea yang dipamerkan bukan sahaja rare atau diluarkebiasaan, namun
persembahan jalan cerita lebih ringkas, tepat, dan padat. Pembaca tidak perlu
melalui jalan cerita yang panjang (tetapi sedikit berbelit belit seperti mana
dalam novel Ramlee) untuk menghabiskan novel tersebut bagi menjawab segala
persoalan dan teka teki yang ditimbulkan dalam setiap novel.
Walaubagaimanapun, bukan semua karya
Fixi itu bagus. Ada juga novel Fixi yang mempunyai idea yang bagus namun
mempunyai jalan cerita yang tidak menarik antaranya seperti novel Perjalanan
karya Regina Ibrahim.
Bukan niat saya untuk memperlekehkan
karya karya Ramlee atau menjunjung tinggi karya karya Fixi sebaliknya untuk
membuat satu perbandingan secara kasar mengenai kedua dua karya karya ini. Walaupun
dalam artikel ini kelihatan penulis penulis Fixi sangat hebat namun hakikatnya
mereka tidak mampu untuk menandingi Ramlee. Tidak ada seorang pun penulis novel
novel Fixi antaranya seperti Muhammad Fatrim, Ariff Adlyy, Nadia Khan, Adib
Zaini dan sebagainya boleh menghasilkan karya sebaik Ramlee dari segi
memaparkan nilai nilai intelektual di dalam novel novel mereka. Sesungguhnya,
Ramlee Awang Murshid mempunyai kelasnya yang tersendiri dalam penulisan novel
thriller atau misteri di Malaysia.
Ramlee Awang Murshid dan penulis
penulis Fixi yang lain adalah penulis penulis novel di Malaysia yang berani
menghasilkan karya yang lain daripada apa yang telah dihasilkan oleh penulis
penulis novel yang lain. Jika selama ini pembaca hanya disogokkan dengan novel
novel cinta yang mengkhayalkan tetapi kini pasaran novel Malaysia mula terisi dengan
karya karya yang lebih segar dan lebih mencabar minda untuk dihadam. Diharapkan
agar lebih ramai lagi penulis seperti Ramlee Awang Murshid yang berfikiran Fixi
dilahirkan tanpa meninggalkan nilai nilai bahasa yang murni dan nilai nilai
moral yang tulen dalam karya karya mereka.
Hanya jauhari yang mengenal manikam..:)
BalasPadamkedua dua buku yang disebut memang best dan sangat seronok dibaca. Dibawa telusuri setiap inci kata. Ramlee banyak menyebut tuhan dalam karyanya . Benar lambat dan membosankan. DI akhir cerita nanti saat buku sudah ditutup cerita nya mampu dingat bila - bila. berbeza dengan Fixi. rare dan penuh dengan idea yang tak terjangkau. Serta kesudahan cerita nya juga tidak pernah dapat disangkal. Menarik. Tapi perkataan - perkataan nya mudah difahami dan kurang tatabahasa. Jadi kedua - duanya ada kelemahan dan kelebihan masing - masing. Bacaan novel tulisan Ramlee lebih berat dan kadangkala sukar dimengerti. Berbanding novel tulisan Fixi yang bebas, mudah serta menjadi bahan bacaan ringan. yang pasti kedua - dua novel ini sangat menarik untuk dijadikan bahan bacaan.
BalasPadam