Jumaat, 14 Mac 2014

KUCING ADIK

     “Buang kucing ni sekarang. Asyik terkencing saja dalam rumah ni.” Jerit ibu kepada angah yang sedang menonton televisyen bersamaku, abah dan acik. Mendengar sahaja suara ibu bak halilintar membelah bumi itu, angah lantas berlari ke dapur untuk mendapatkan Bebot – kucing kesayangannya. Bebot merupakan kucing betina yang kecil dan comel.
      Sesiapa pun akan terpesona dengan kecomelan yang dimiliki oleh Bebot. Bebot mempunyai bulu yang berwarna hitam bercampur coklat. Bulunya tidaklah secantik mana kerana menurut abah, sejak kecil lagi Bebot sudah makan nasi putih dengan ikan goreng. Kami tidak pernah beri Bebot makan makanan kucing yang berada di pasaran itu kerana kami bukanlah orang senang. Tambahan pula, Bebot tidak pernah minum susu ibunya kerana ibunya hilang entah ke mana saat kami menemuinya di stor rumah.

      Bebot memang comel namun dia seekor kucing yang cacat. Kakinya tempang kerana tersepit di celah pintu bilik air sewaktu abah mahu mandi pada suatu pagi. Sudah menjadi tabiat Bebot suka benar duduk di tepi pintu. Acapkali juga abah marah apabila kucing itu duduk di tepi pintu kerana abah khuatir dia akan tersepit dan ternyata kekhuatiran abah itu menjadi kenyataan.
      Bebot juga mempunyai masalah apabila dia mahu kencing. Apabila dia mahu kencing, dia tidak akan pergi ke tanah seperti kucing kucing lain. Di mana dia berada, di situlah kencingnya akan bertaburan. Cara dia kencing juga agak berbeza dengan kucing kucing lain. Apabila dia kencing, dia akan berpusing dan menggelitik seperti ada sesuatu yang menghalang dirinya daripada mengeluarkan air kencingnya sendiri. Kelihatan seperti dia diazab apabila mahu kencing.
      Oleh sebab itulah, ibu selalu menyuruh angah supaya membuang sahaja kucing itu walaupun angah membantah keras. Dia terlalu sayangkan Bebot. Acapkali dia mendukung dan mencium Bebot dan tiap kali itulah abah dan ibu akan memarahi angah.
     “Jangan cium kucing tu. Kucing tu banyak kutu. Kau tu ada penyakit asma!” tengking abah.
     Namun, angah sangat degil dan keras kepala. Apabila abah atau ibu tidak ada di rumah, dia akan cium, peluk campur cium kucing itu di rumah. Entah mengapa dia terlalu sayangkan Bebot padahal sewaktu dia masih kecil dia selalu menjerit apabila melihat kucing.
     Pernah suatu malam, ketika kami sekeluarga sedang menikmati makan malam di sebuah restoran, seekor kucing berwarna putih melompat di riba angah. Menjerit sakan angah sehingga satu kedai bisa dengar suara angah yang kuat itu. Semua pengunjung di restoran itu memandang ke arah kami. Hanya Allah sahaja yang Maha Tahu betapa malunya kami pada waktu itu.    
     Namun, setelah lama hidup bersama kucing di rumah itu yang sememangnya mempunyai banyak kucing yang entah datang dari mana, perasaan fobia angah terhadap kucing mula berubah. Dia mula menjadi seorang pencinta kucing tegar.
     Suatu hari, ibu menyuruh aku dan adik membuang Bebot ketika angah sedang tidur. Ibu sememangnya sudah tidak tahan dengan Bebot yang selalu membuang air kecil dan besar di merata rata tempat. Kadang kadang kami terpijak tahi kucing itu. Abah selalu marah kerana dia akan terpijak najis Bebot seusai mengambil wuduk untuk menunaikan solat.
     Walaupun abah marah, namun dia tidak sampai hati untuk membuang Bebot jauh dari rumah. Abah kasihan melihat Bebot yang cacat itu. Abah khuatir jika Bebot tidak dapat hidup di luar sana. Abah adalah pembangkang paling utama selepas angah jika ibu merancang untuk membuang Bebot dari rumah.
     Sesudah abah ke tempat kerja dan angah tidur, ibu menyuruh kami membuang Bebot di sebuah kedai makan yang agak jauh dari rumah kami. Pada hemat ibu, sudah pasti Bebot akan dapat makan jika kucing itu dibuang di kedai makan. Jadi, aku dan acik lantas mendukung Bebot dan membuangnya ke sebuah kedai makan. Apabila mendapat tahu bahawa Bebot telah kami buang, angah yang baru terjaga dari tidur itu terus meraung kesedihan.
     Mana tidaknya, kucing kesayangannya sudah tidak ada lagi bersamanya. Dia sudah tidak punya kucing untuk dia dukung. Dia sudah tidak punya kucing untuk dia cium dan dia sudah tidak punya kucing untuk dia belai. Hatinya hiba bercampur sedih.
     Apabila abah mengetahui bahawa kami telah membuang Bebot  ketika baru pulang dari tempat kerjanya, abah mula marah. Abah lantas menghidupkan enjin motosikalnya lalu mencari Bebot di sekitar kawasan kampung kami namun usaha abah itu sia sia sahaja. Dia langsung tidak menemui Bebot apatah lagi bayang kucing kurang upaya itu.
     Ketika makan malam abah menghamburkan kemarahannya kepada kami. “Kucing tu cacat. Kalian tak kasihan ke tengok kucing tu? Macam mana kalau ada kucing lain yang kacau dia? Macam mana dia nak mempertahankan diri? Macam mana dia nak lari kalau dia kena kejar dengan kucing lain atau kena kejar dengan anjing?” Ibu yang mendengar nasihat abah itu lantas mengalirkan air mata.
     Ibu benar benar menyesal kerana telah membuang Bebot. Keesokannya dia cuba mencari Bebot namun sekali lagi usaha ibu menemui jalan buntu. Aku dan acik juga cuba mencari dan usaha kami ternyata sia sia.
     Suatu pagi, ketika aku mahu ke sekolah aku mendengar suara kucing mengiau di dapur. Suara kucing itu sungguh kuat. Pada hemat ku, mungkin kucing kami yang lain tersepit di mana mana. Lantas aku pergi memeriksa di dapur. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat Bebot ada di situ. Aku cuba menggosok mata ku kerana tidak percaya. Aku cuba mencubit pipi ku untuk memastikan bahawa aku tidak bermimpi. Namun, kucing itu tetap berada di hadapan mata ku. Tahulah aku bahawa Bebot telah pulang setelah seminggu menghilang.  
     Aku lantas ke bilik angah untuk memberitahu bahawa Bebot telah pulang. Pada awalnya dia tidak percaya. Dia kata aku berbohong dan menipu. Setelah meyakinkan dirinya bahawa apa yang aku cakap itu benar, berlari angah ke dapur untuk melihat Bebot. Melihat sahaja Bebot, dia terus berlari dan lantas mendukung Bebot. Abah, ibu dan acik juga gembira dengan kepulangan Bebot. Abah lantas menyuruh angah untuk memberi Bebot makan.
     Namun, kegembiraan kami tidak berpanjangan. Panas tidak sampai ke petang, hujan juga di tengah hari. Bebot terkena penyakit kurap yang dahsyat. Sebelum ini Bebot memang telah berkurap namun tidaklah seteruk itu. Jadi abah menyuruh angah untuk mengasingkan Bebot di dalam sangkar bagi mengelakkan jangkitan Bebot hinggap pada kucing kucing kami yang lain. Abah tidak mampu untuk membawa ke klinik haiwan kerana belanjanya sudah pasti besar.
     Abah  menyuruh angah supaya menyapu tubuh Bebot dengan minyak gamat bagi menghilangkan kurap yang teruk di tubuh Bebot itu. Memandangkan dalam ramuan minyak gamat itu ada bawang putih, bulu Bebot turut gugur. Sungguh hodoh rupa Bebot namun wajahnya tetap comel cuma tubuhnya sahaja yang teruk. Namun, kurap yang melekap di tubuh Bebot telah beransur pulih.
     Suatu pagi kami melihat Bebot tidak ada di dalam sangkarnya yang diletak di luar rumah itu. Kami memang tidak pernah mengunci sangkar itu sebenarnya supaya mudah untuk Bebot buang air besar atau air kecil. Jadi kami mula pelik dan tertanya tanya, di mana Bebot menghilang? Kami mencari Bebot di sekitar kampung dan di semua kedai makan di kampung kami namun hampa, Bebot tetap tidak diketemui.
     Kami menghentikan pencarian setelah masuk tiga hari Bebot menghilang. Abah memutuskan bahawa barangkali Bebot telah mati dilanggar atau dicuri orang. Bebot juga mungkin mati di dalam semak akibat dipatuk ular. Orang yang paling sedih atas kehilangan Bebot adalah angah. Namun, tidak lama kemudian muncul lagi kucing yang baru di rumah kami.
      Angah memanggil kucing itu sebagai ‘Adik.’ Kucing itu memang comel namun tidak boleh menandingi kecomelan Bebot. Aku pernah bertanya kepada angah, tiada lagikah perasaan rindunya kepada Bebot dan tiap kali itulah angah menangis. Sesungguhnya Bebot tiada galang ganti dalam hati angah – adikku.   









0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.