“Buang kucing ni sekarang. Asyik
terkencing saja dalam rumah ni.” Jerit ibu kepada angah yang sedang menonton
televisyen bersamaku, abah dan acik. Mendengar sahaja suara ibu bak halilintar
membelah bumi itu, angah lantas berlari ke dapur untuk mendapatkan Bebot –
kucing kesayangannya. Bebot merupakan kucing betina yang kecil dan comel.
Sesiapa pun akan terpesona dengan
kecomelan yang dimiliki oleh Bebot. Bebot mempunyai bulu yang berwarna hitam
bercampur coklat. Bulunya tidaklah secantik mana kerana menurut abah, sejak
kecil lagi Bebot sudah makan nasi putih dengan ikan goreng. Kami tidak pernah
beri Bebot makan makanan kucing yang berada di pasaran itu kerana kami bukanlah
orang senang. Tambahan pula, Bebot tidak pernah minum susu ibunya kerana ibunya
hilang entah ke mana saat kami menemuinya di stor rumah.
Bebot memang comel namun dia seekor
kucing yang cacat. Kakinya tempang kerana tersepit di celah pintu bilik air
sewaktu abah mahu mandi pada suatu pagi. Sudah menjadi tabiat Bebot suka benar
duduk di tepi pintu. Acapkali juga abah marah apabila kucing itu duduk di tepi
pintu kerana abah khuatir dia akan tersepit dan ternyata kekhuatiran abah itu
menjadi kenyataan.
Bebot juga mempunyai masalah apabila dia
mahu kencing. Apabila dia mahu kencing, dia tidak akan pergi ke tanah seperti
kucing kucing lain. Di mana dia berada, di situlah kencingnya akan bertaburan.
Cara dia kencing juga agak berbeza dengan kucing kucing lain. Apabila dia
kencing, dia akan berpusing dan menggelitik seperti ada sesuatu yang menghalang
dirinya daripada mengeluarkan air kencingnya sendiri. Kelihatan seperti dia
diazab apabila mahu kencing.
Oleh sebab itulah, ibu selalu menyuruh
angah supaya membuang sahaja kucing itu walaupun angah membantah keras. Dia
terlalu sayangkan Bebot. Acapkali dia mendukung dan mencium Bebot dan tiap kali
itulah abah dan ibu akan memarahi angah.
“Jangan cium kucing tu. Kucing tu banyak
kutu. Kau tu ada penyakit asma!” tengking abah.
Namun, angah sangat degil dan keras kepala.
Apabila abah atau ibu tidak ada di rumah, dia akan cium, peluk campur cium
kucing itu di rumah. Entah mengapa dia terlalu sayangkan Bebot padahal sewaktu
dia masih kecil dia selalu menjerit apabila melihat kucing.
Pernah suatu malam, ketika kami sekeluarga
sedang menikmati makan malam di sebuah restoran, seekor kucing berwarna putih
melompat di riba angah. Menjerit sakan angah sehingga satu kedai bisa dengar
suara angah yang kuat itu. Semua pengunjung di restoran itu memandang ke arah
kami. Hanya Allah sahaja yang Maha Tahu betapa malunya kami pada waktu itu.
Namun, setelah lama hidup bersama kucing
di rumah itu yang sememangnya mempunyai banyak kucing yang entah datang dari
mana, perasaan fobia angah terhadap kucing mula berubah. Dia mula menjadi
seorang pencinta kucing tegar.
Suatu hari, ibu menyuruh aku dan adik
membuang Bebot ketika angah sedang tidur. Ibu sememangnya sudah tidak tahan
dengan Bebot yang selalu membuang air kecil dan besar di merata rata tempat.
Kadang kadang kami terpijak tahi kucing itu. Abah selalu marah kerana dia akan
terpijak najis Bebot seusai mengambil wuduk untuk menunaikan solat.
Walaupun abah marah, namun dia tidak
sampai hati untuk membuang Bebot jauh dari rumah. Abah kasihan melihat Bebot
yang cacat itu. Abah khuatir jika Bebot tidak dapat hidup di luar sana . Abah adalah
pembangkang paling utama selepas angah jika ibu merancang untuk membuang Bebot
dari rumah.
Sesudah abah ke tempat kerja dan angah
tidur, ibu menyuruh kami membuang Bebot di sebuah kedai makan yang agak jauh
dari rumah kami. Pada hemat ibu, sudah pasti Bebot akan dapat makan jika kucing
itu dibuang di kedai makan. Jadi, aku dan acik lantas mendukung Bebot dan
membuangnya ke sebuah kedai makan. Apabila mendapat tahu bahawa Bebot telah
kami buang, angah yang baru terjaga dari tidur itu terus meraung kesedihan.
Mana tidaknya, kucing kesayangannya sudah
tidak ada lagi bersamanya. Dia sudah tidak punya kucing untuk dia dukung. Dia
sudah tidak punya kucing untuk dia cium dan dia sudah tidak punya kucing untuk
dia belai. Hatinya hiba bercampur sedih.
Apabila abah mengetahui bahawa kami telah
membuang Bebot ketika baru pulang dari
tempat kerjanya, abah mula marah. Abah lantas menghidupkan enjin motosikalnya
lalu mencari Bebot di sekitar kawasan kampung kami namun usaha abah itu sia sia
sahaja. Dia langsung tidak menemui Bebot apatah lagi bayang kucing kurang upaya
itu.
Ketika makan malam abah menghamburkan
kemarahannya kepada kami. “Kucing tu cacat. Kalian tak kasihan ke tengok kucing
tu? Macam mana kalau ada kucing lain yang kacau dia? Macam mana dia nak
mempertahankan diri? Macam mana dia nak lari kalau dia kena kejar dengan kucing
lain atau kena kejar dengan anjing?” Ibu yang mendengar nasihat abah itu lantas
mengalirkan air mata.
Ibu benar benar menyesal kerana telah
membuang Bebot. Keesokannya dia cuba
mencari Bebot namun sekali lagi usaha ibu menemui jalan buntu. Aku dan acik
juga cuba
mencari dan usaha kami ternyata sia sia.
Suatu pagi, ketika aku mahu ke sekolah aku
mendengar suara kucing mengiau di dapur. Suara kucing itu sungguh kuat. Pada
hemat ku, mungkin kucing kami yang lain tersepit di mana mana. Lantas aku pergi
memeriksa di dapur. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat Bebot ada di situ.
Aku cuba
menggosok mata ku kerana tidak percaya. Aku cuba mencubit pipi ku untuk
memastikan bahawa aku tidak bermimpi. Namun, kucing itu tetap berada di hadapan
mata ku. Tahulah aku bahawa Bebot telah pulang setelah seminggu menghilang.
Aku lantas ke bilik angah untuk
memberitahu bahawa Bebot telah pulang. Pada awalnya dia tidak percaya. Dia kata
aku berbohong dan menipu. Setelah meyakinkan dirinya bahawa apa yang aku cakap
itu benar, berlari angah ke dapur untuk melihat Bebot. Melihat sahaja Bebot,
dia terus berlari dan lantas mendukung Bebot. Abah, ibu dan acik juga gembira
dengan kepulangan Bebot. Abah lantas menyuruh angah untuk memberi Bebot makan.
Namun, kegembiraan kami tidak
berpanjangan. Panas tidak sampai ke petang, hujan juga di tengah hari. Bebot
terkena penyakit kurap yang dahsyat. Sebelum ini Bebot memang telah berkurap
namun tidaklah seteruk itu. Jadi abah menyuruh angah untuk mengasingkan Bebot
di dalam sangkar bagi mengelakkan jangkitan Bebot hinggap pada kucing kucing
kami yang lain. Abah tidak mampu untuk membawa ke klinik haiwan kerana
belanjanya sudah pasti besar.
Abah menyuruh angah supaya menyapu tubuh Bebot
dengan minyak gamat bagi menghilangkan kurap yang teruk di tubuh Bebot itu.
Memandangkan dalam ramuan minyak gamat itu ada bawang putih, bulu Bebot turut
gugur. Sungguh hodoh rupa Bebot namun wajahnya tetap comel cuma tubuhnya sahaja
yang teruk. Namun, kurap yang melekap di tubuh Bebot telah beransur pulih.
Suatu pagi kami melihat Bebot tidak ada di
dalam sangkarnya yang diletak di luar rumah itu. Kami memang tidak pernah mengunci
sangkar itu sebenarnya supaya mudah untuk Bebot buang air besar atau air kecil.
Jadi kami mula pelik dan tertanya tanya, di mana Bebot menghilang? Kami mencari
Bebot di sekitar kampung dan di semua kedai makan di kampung kami namun hampa,
Bebot tetap tidak diketemui.
Kami menghentikan pencarian setelah masuk
tiga hari Bebot menghilang. Abah memutuskan bahawa barangkali Bebot telah mati
dilanggar atau dicuri orang. Bebot juga mungkin mati di dalam semak akibat
dipatuk ular. Orang yang paling sedih atas kehilangan Bebot adalah angah.
Namun, tidak lama kemudian muncul lagi kucing yang baru di rumah kami.
Angah memanggil kucing itu sebagai
‘Adik.’ Kucing itu memang comel namun tidak boleh menandingi kecomelan Bebot. Aku
pernah bertanya kepada angah, tiada lagikah perasaan rindunya kepada Bebot dan
tiap kali itulah angah menangis. Sesungguhnya Bebot tiada galang ganti dalam
hati angah – adikku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.