Khamis, 20 Mac 2014

USTAZAH SYARIFAH



     Ustazah Syarifah – satu nama yang cukup terkemuka di sekolah saya. Mengapa? Ada tiga sebab yang saya boleh berikan di sini. Pertama kerana dia seorang guru yang garang. Kedua dia seorang guru disiplin dan ketiga dia pandai bertutur dalam Bahasa Arab kerana ijazahnya adalah dalam Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Namun, pada hemat saya sebab utama dia menjadi terkenal adalah kerana dia seorang guru disiplin.
     Tubuh Ustazah Syarifah kecil sahaja namun suaranya tidak sepadan dengan tubuhnya. Tubuh yang kecil itu mengandungi suara bagai halilintar membelah bumi terutama apabila dia marah. Ramai murid terutama yang nakal dan bermasalah memang anti dengan dirinya. Dia memang ditakuti oleh ramai pelajar.
      Sejujurnya saya adalah peminat kepada ustazah ini. Mengapa? Ini kerana dia adalah berasal dari keturunan yang baik baik. Keturunan Rasulullah s.a.w. Bagaimana saya bisa tahu? Ada  ‘syarifah’ pada pangkal namanya dan ‘syed’ pada pangkal nama bapanya. Bapa saya selalu berpesan agar sentiasa mencari guru yang datangnya dari keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Mengapa? Kerana ilmu dari keturunan junjungan besar ini lebih bersanad memandangkan datangnya terus dari Rasulullah.
     Minat saya bertambah kepada beliau apabila mendengar dia berucap dalam Bahasa Arab ketika sambutan Hari Guru sewaktu saya di tingkatan satu dahulu. Belum pernah lagi seumur hidup saya, saya mendengar orang Melayu boleh bertutur dalam Bahasa Arab sefasih dan selancar dirinya. Itulah kali pertama. Sejak itu, saya menanam azam untuk berguru dengan dirinya.
     Saya ada mendengar dari anak anak muridnya yang mengatakan ustazah ini garang dan tegas. Dia juga selalu menampar pipi pelajar pelajar yang nakal. Sudah ramai pelajar yang menjadi mangsany. Namun,  saya buang tanggapan negatif itu jauh jauh. Pada saya seorang guru mesti tegas jika tidak mahu anak muridnya memijak kepala. Walaupun ada orang mengatakan perkara yang tidak baik tentang dirinya, saya ambil tidak peduli sahaja.
     Ketika saya dalam tingkatan tiga, cita cita saya untuk berguru dengan dirinya menjadi kenyataan. Dia mengajar saya dalam subjek Pendidikan Islam. Sewaktu sesi pengenalan, saya ada bertanya kepadanya tentang satu perkara.
      “Ustazah keturunan Rasulullah ke?” Soal saya.
     “Ya. Saya berasal dari keturunan sebelah Saidina Hussein – cucu Rasulullah hasil daripada perkahwinan antara Saidina Ali dan Saidatina Fatimah.” Jawabnya dengan merendah diri.
     Sejak itu perasaan kagum saya kepada dirinya semakin membuak buak. Saya begitu bersemangat untuk menghadiri kelasnya. Setiap kali kelasnya, saya akan merungut jika dia masuk lambat. Saya senantiasa menunggu dirinya untuk mengajar saya. Namun, semua itu berubah apabila berlaku satu peristiwa yang membuatkan perasaan kagum itu bertukar menjadi benci.
      Saya sebenarnya seorang pengawas sekolah sejak dari tingkatan satu lagi. Satu hari, dua orang murid yang agak nakal kelas saya datang berjumpa saya ketika saya mahu masuk ke kelas Pendidikan Islam. Nama mereka adalah Hafiz dan Sabri.
     “Hazmi, beritahu Ustazah Syarifah yang aku dan Sabri tak masuk kelas dia hari ni.” Ujar Hafiz kepada saya.
     “Kenapa pula?” Soal saya bingung.
     “Kau cakap je macam tu. Tak payah nak banyak soal.” Jawab Sabri. Kemudian mereka berlalu pergi.  
     Apabila mendengar mereka berkata seperti itu, saya tidak dapat berbuat apa apa. Saya hanya mendiamkan diri dan terus masuk ke surau. Biasanya Ustazah Syarifah akan mengajar di surau. Hanya sekali sahaja dia mengajar di dalam kelas. Menurutnya, dia malas untuk memanjat tangga Blok E itu untuk ke kelas kami. Jadi setiap kali kelasnya tiba, kami semua akan turun ke surau beramai ramai.
      Selepas memberi salam, Ustazah Syarifah lantas membuka buku teks Pendidikan Islam itu untuk mula mengajar. Kemudian matanya meliar memandang ke arah kami.
     “Mana Hafiz dan Sabri?” Soal Ustazah Syarifah dengan lantang.
     “Dia ponteng kelas ustazah.” Saya menjawab bagi mewakili rakan rakan sekelas yang lain.
     “Macam mana awak tahu?” Soalnya lagi tetapi kali ini menjurus kepada saya.
     “Sebab mereka beritahu pada saya tadi yang mereka mahu ponteng kelas ustazah.” Jawab saya.
     “Kenapa awak ni BODOH sangat? Awak tu pengawas. Sepatutnya awak larang mereka dari ponteng kelas saya, ini tidak! Awak lagi menggalakkan mereka dari ponteng kelas saya. tak gunalah awak jadi pengawas. Lebih baik awak berhenti saja.” Ujarnya dengan marah kepada saya.
     Saya sendiri berasa terkejut kerana saya dimarahi secara tiba tiba olehnya. Lebih mengejutkan apabila dia mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ kepada saya. Apa salah saya, saya sendiri tidak tahu. Saya hanya menyampaikan sahaja yang mereka berdua itu ponteng kelas dan kemudian saya pula kena marah. Adakah menyampai berita bahawa mereka berdua ponteng kelas itu merupakan satu kesalahan?
     Saya sangat malu apabila dimarahi di hadapan kawan kawan. Tambah malu apabila terkena serangan perkataan ‘bodoh’ itu. Jelas maruah saya seperti dipijak pijak oleh Ustazah Syarifah.
     Kemudian Ustazah Syarifah lantas keluar dari kelas itu dan pergi mencari Hafiz dan Sabri. Nasibnya baik kerana bertemu dengan dua orang budak nakal itu. Sepanjang sesi pembelajaran dan pengajaran di kelas itu, dia terus menyindir dan memerli saya.
     Jelas rasa hormat dan kagum saya kepada ustazah berketurunan Rasulullah itu sudah hilang dalam sanubari. Sayangnya apabila orang yang berketurunan Rasulullah namun tidak mewarisi sifat dan keperibadian Rasulullah. Sejak itu, perasaan kagum dan sayang sudah bertukar benci kepada dirinya. Saya langsung tidak mahu bercakap lagi dengan dirinya. Saya hanya bercakap apabila perlu sahaja. Itulah guruku. Ustazah Syarifah!

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.