Semasa
saya mula-mula aktif menulis blog di sekitar tahun 2014 dahulu, blog Suria
Lekat Lekit (www.lekatlekit.com)
adalah antara blog yang saya singgah selalu (selain daripada blog Dunia Zumal
dan blog Dr Shikin Zainal). Saya ini bolehlah dikata sebagai ‘pembaca senyap’
(silent reader) bagi blognya (sehingga sekarang). Ada sekali dua saya datang singgah
dan memberi ulasan di blog miliknya. Dia pun begitu juga. Sesekali datang untuk
singgah dan komen di blog saya.
Dalam
agak lama saya berkecimpung dalam dunia penulisan blog secara separuh masa,
saya telah melihat sedikit sebanyak perkembangan di blog miliknya. Daripada
blog yang hanya menggunakan platform ‘blogspot’, kini telah bertukar kepada platform
‘dot com’. Blognya saya lihat semakin maju hari demi hari. Jumlah pembacanya
semakin bertambah-tambah lagi.
Blognya
menjadi begitu popular kerana mempunyai dua kekuatan. Kekuatan pertama adalah
pada nama blog ‘Suria Lekat Lekit’ itu sendiri yang sememangnya mempunyai
banyak tarikan. Nama blog sebegitu adalah diluarkebiasaan.
Kekuatan
kedua sudah pastilah pada penulisan. Seorang yang hendak bergelar blogger
mestilah mempunyai kekuatan dalam bidang penulisan. Dia bukan sahaja berjaya
mempersembahkan tajuk entri (artikel) yang menarik, tetapi juga penulisannya
agak baik. Sebab itulah blognya ramai orang tertarik.
Berbeza
sekali dengan saya, Suria benar-benar menjadi seorang blogger ketika dia
menulis. Dia menulis sama seperti lain-lain blogger menulis. Cara dia menulis
adalah gaya seorang blogger menulis. Tetapi saya pula masih kekal dengan gaya
penulisan rencana atau kolum ketika saya menulis. Barangkali itulah sebabnya
dia telah jauh meninggalkan saya dalam dunia blog. Saya pula kekal di takuk
lama dalam dunia blog.
Sungguhpun
dia tidak mencapai tahap populariti seperti mana lain-lain blogger kecapi
(seperti Ben Ashaari, Hasrul Hassan, Emas Putih, dan Denaihati), tetapi
impaknya dalam dunia blog tetap tidak boleh dipandang sepi. Dia tetap berada
dalam gaya dan kelasnya yang tersendiri.
Baru-baru
ini dia telah menerima ujian. Semuanya berpunca akibat kesalahfahaman yang mungkin disengajakan atau
tidak disengajakan. Dia menulis tentang satu produk yang mempunyai bahan
merbahaya seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Tetapi pengasas
produk itu tidak berpuas hati dengan penulisannya. Lalu pemilik produk itu
telah mengambil tindakan saman ke atasnya.
Dia disaman sebanyak tiga juta ringgit banyaknya!
Bagi
blogger sepenuh masa sepertinya, yang sudah pasti mempunyai jumlah pendapatan
yang tidak seberapa, jumlah saman sebanyak tiga juta ringgit itu adalah di luar
kemampuannya. Dia adalah suri rumah sepenuh masa dan hanya suami dia seorang
sahaja yang bekerja. Sudah pasti menghadapi ujian seperti itu, begitu banyak
susahnya.
Dia
didakwa telah membuat fitnah dalam artikel di blognya (terhadap produk itu).
Sepanjang saya kenal dia, penulisan berunsur fitnah begitu jauh dari dirinya. Dia
sudah pun mendapatkan pandangan daripada beberapa orang peguam untuk
mengesahkan adakah artikel yang ditulisnya itu mengandungi unsur fitnah. Peguam-peguam
yang ditemui mengatakan bahawa artikel itu langsung tidak mempunyai unsur
fitnah. Artikel itu hanyalah sebagai ‘fair comment’ dari seorang blogger
sepertinya. Namun, pengasas produk itu mengatakan bahawa ulasan yang diberikan
terlalu melampau sifatnya sehingga menjejaskan perniagaan. Maka, tindakan saman
pun dikenakan.
Sebagai
seorang blogger sepertinya, pastilah saya memberi sokongan di belakangnya. Saya
yakin dia sebenarnya tidak melakukan kesalahan. Apa yang telah menimpanya
adalah satu kesalahfahaman atau kesilaptafsiran. Tidak banyak yang saya boleh
membantunya melainkan berdoa kepada Tuhan. Moga-moga segala urusannya boleh
dipermudahkan. Dan kalau boleh tindakan saman itu segera dibatalkan.
Sebagai
seorang penulis blog yang tidak kaya, dia sekarang ini sedang berusaha untuk
mengumpul dana bagi mengambil peguam untuk membela dirinya. Kos mengambil
peguam bukanlah murah harganya. Jadi dia mengharapkan sokongan dan bantuan
daripada rakan-rakan yang mengenali dirinya. Dan saya lihat ramai blogger
menyokongnya dan berusaha untuk membantunya.
Kepada
mana-mana pihak (dalam senarai ‘friendlist’ saya) yang mempunyai kemampuan dari
segi kewangan, cadangan (untuk merujuk kes ini kepada mana-mana pihak), produk
untuk ulasan berbayar di blognya, atau apa sahaja yang boleh membantunya, harap
boleh menghulurkan bantuan dengan segera. Moga-moga segala urusannya boleh diselesaikan
dengan serta-merta.
Kes
sebegini adalah sesuatu yang saya sifatkan sebagai luar jangka. Tidak mustahil
kes sebegini boleh terkena kepada sesiapa sahaja. Maka berhati-hatilah ketika
menulis sesuatu di blog atau di facebook khususnya. Malang itu adalah sesuatu
yang tidak berbau sifatnya.
Nota
: bagi sesiapa yang ingin menyampaikan apa sahaja bantuan baik dari segi
kewangan, cadangan, atau jalan keluar kepada masalah ini, Suria boleh dihubungi
di facebook (https://www.facebook.com/suria.lekatlekit)
atau email (lekatlekitgurl@yahoo.com).
Nota
: rencana ini juga telah diterbitkan dalam blog saya iaitu https://sayapejuangbahasa.blogspot.com.
Sama2x lah kita doakan kak suria lekat lekit dapat mengatasi masalah ini. InsyaAllah. Aamin.
BalasPadam