Tanggal 14 Februari adalah tanggal
atau tarikh yang ditunggu oleh ramai muda mudi. Ya, pada tanggal inilah Hari
Valentine atau Hari Memperingati Kekasih akan disambut oleh kebanyakkan muda
mudi di negara ini. Muda mudi yang bagaimana sambut Hari Valentine ini?
Pastilah muda mudi yang rapuh kesedarannya di dalam hati. Muda mudi yang
mempunyai kesedaran yang tinggi pasti tidak akan sambut Hari Valentine ini.
Hari Valentine disambut oleh pasangan
muda mudi yang sedang hangat bercinta. Ia adalah hari untuk mana mana pasangan
kekasih membuktikan ketulusan cinta di antara mereka. Pasangan kekasih ini akan
berpakaian cantik (biasanya berwarna merah) dan bertukar tukar hadiah (biasanya
bunga ros berwarna merah). Kemudian mereka akan bercanda dan bermesra di mana
mana sehinggalah terjadinya adegan sumbang dan maksiat yang merosakkan maruah
diri dan keluarga. Semuanya untuk membuktikan kasih sayang di antara mereka
yang tidak ternilai harganya (kononnya!).
Sudah terang lagi bersuluh bahawa
Hari Valentine ini haram disambut di dalam Islam. Ini kerana, roh perayaan ini
mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat
yang sudah pastinya bercanggah dengan Islam. Sudah sepatutnya Hari Valentine
ini perlu dijauhi oleh semua muda mudi. Tetapi sayangnya masih ada muda mudi
yang menyambutnya lagi.
Walau bagaimanapun, kita perlu
bersyukur bahawa ramai muda mudi kita yang sudah pun mempunyai kesedaran. Hari
Valentine ini sudah ramai yang mahu hindarkan. Tidak ramai lagi yang menyambut
Hari Valentine yang penuh dengan kemaksiatan. Cuma ada segelintir sahaja muda
mudi kita yang langsung tidak mahu mengendahkan. Muda mudi sebeginilah yang
perlu diberi perhatian.
Apabila tiba Hari Valentine sahaja,
zina pasti berlaku di mana mana. Tidak tahulah dari mana muda mudi kita ini
belajar jika sambut Hari Valentine mesti melakukan zina. Oleh sebab Hari
Valentine ini disambut dengan cara yang penuh maksiat, maka Islam melarangnya
atas beberapa maslahat.
Apabila zina berlaku, maka kegiatan
pembuangan bayi pun turut sama berlaku. Zina dan buang bayi kelihatan sudah
sinonim dengan sambutan Hari Valentine itu. Sampai bila kita mahu lihat bayi
bayi yang tidak berdosa di buang merata-rata? Tidak adakah perasaan sedih,
sayu, simpati, dan kasihan di hati kita? Di manakah sifat kemanusiaan kita?
Mengapa kita lebih kejam daripada haiwan yang tinggal di hutan sana?
Statistik menunjukkan terdapat 53 kes
pembuangan bayi yang berlaku pada Julai tahun 2014. Namun, statistik pembuangan
bayi telah meningkat sebanyak 78 kes pada Ogos tahun 2015. Ini menunjukkan kes
pembuangan bayi semakin teruk berdasarkan statistik di atas.
(Nota : statistik kes pembuangan bayi
bagi tahun 2016 masih belum dikeluarkan. Jadi, saya mengutip statistik yang
sedia ada iaitu bagi tahun 2015 dan 2014).
Bagi mengekang sambutan Hari
Valentine, masalah zina, dan kes pembuangan bayi yang berlaku secara berleluasa,
satu tindakan drastik yang paling ampuh perlu diambil dengan segera. Kita
sebagai umat Islam tidak boleh sekadar buta mata dan pekak telinga sahaja. Dikhuatiri
masalah ini tidak akan selesai sampai bila bila.
Agamawan yang tinggi ilmu agama perlu
sentiasa memberikan maklumat dalam apa jua cara untuk mengatakan bahawa Hari
Valentine ini haram disambut dalam agama (Islam). Kerajaan juga perlu membasmi
apa sahaja iklan (terutama di media massa) yang mendorong kepada sambutan Hari
Valentine itu yang wujud di dalam negara. Ibu bapa memainkan peranan penting
untuk memberikan ilmu agama yang secukupnya kepada anak anak mereka. Semua
anggota masyarakat perlu menentang apa sahaja usaha yang mahu mengiktiraf
sambutan Hari Valentine itu dalam masyarakat Islam di Malaysia.
Apalah gunanya kita sambut Hari
Valentine itu jika maruah kita boleh tercalar dengan zina yang kita lakukan
sewenang-wenangnya? Apa gunanya kita sambut Hari Valentine itu atas dasar orang
lain pun buat juga? Tidak guna ikut apa yang orang lain buat, tetapi ikutlah apa
yang berlandaskan syariat. Jika semua hendak ikut apa yang orang ramai buat, sebab
itulah diri kita menjadi sesat!
Menyambut Hari Valentine bagi puak
liberal memanglah tiada salahnya. Kerana mereka bercakap berlandaskan hak asasi
manusia yang entah apa apa. Tetapi jika kita mengukur dari sudut agama,
menyambut Hari Valentine begitu banyak buruk dari baiknya. Eloklah muda mudi
semua jauhkan diri daripada menyambut Hari Valentine itu. Lebih banyak perkara
lain yang boleh anda lakukan daripada menyambut Hari Valentine yang mengarut itu.
Moga artikel sebegini mampu sedarkan anak muda yang membacanya..
BalasPadam