Sumber : Google |
Tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun adalah satu tanggal atau tarikh
penting dalam kalendar umat Islam sedunia. Ya, pada tanggal inilah
junjungan besar kita yakni Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan ke dunia. Pesuruh Allah yang terakhir yang telah membawa banyak rahmat ke
seluruh pelusuk alam dengan sinar Islamnya. Tanpa usaha dan perjuangan
baginda, entah apa akan jadi kepada penduduk dunia. Dan sudah pastilah
nikmat bernama Islam dan iman ini tidak akan kita kecapi sampai bila
bila.
Bagi menghormati dan meraikan hari keputeraan baginda
Nabi itu, ramai umat Islam khususnya di Malaysia menyambut hari itu
dengan sambutan Maulidur Rasul. Pada hari inilah berbondong-bondong umat
Islam berselawat ke atas Nabi. Bukanlah dikata yang pada hari
itu sahaja umat Islam berselawat, tetapi pada hari itulah dikatakan
ramai umat Islam akan banyak berselawat. Ia seolah olah menjadi suatu
tradisi bagi masyarakat Islam di Malaysia bagi mendapat pahala yang
banyak lagi padat.
Dari Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah
s.a.w telah bersabda : Barangsiapa yang berselawat padaku satu kali,
maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali dan akan dihapuskan
daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat. (hadis riwayat
An-Nasaie)
Dalam pada kita banyak berselawat bagi menyambut
Maulidur Rasul itu, intipati sirah yang terkandung dalam kehidupan dan
perjuangan Nabi hendaklah kita hayati dan fahami selalu. Memahami dan
menghayati sirah adalah suatu perkara yang penting sebenarnya. Dengan
memahami dan menghayati sirah, barulah kita dapat menjadi muslim dan
mukmin yang bertaqwa.
Sirah adalah suatu cerminan kehidupan Nabi
pada suatu masa dahulu. Dengan sirah, kita bukan sahaja boleh mengetahui
tentang kehidupan dan perjuangan Nabi, malah boleh juga dijadikan
panduan dan rujukan dalam melayari bahtera kehidupan di dunia ini.
Segala masalah yang berlaku dalam kehidupan kita pada hari ini, kita
boleh merujuk sirah bagi mencari penyelesaian yang paling tepat sekali.
Antara punca banyak masalah yang melanda umat Islam pada hari
ini adalah kerana kita tidak memahami dan menghayati sirah Nabi. Kita
hanya membaca atau mengingat sirah sirah Nabi setahun sekali. Itupun
kerana ada sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di negara ini. Jika
tiada sambutan semacam ini, barangkali sirah Nabi itu akan dilupakan
sama sekali.
Sirah telah memaparkan segala-galanya tentang diri
Nabi yang mencakupi perjuangan, kehidupan, sahsiah, dan akhlak baginda.
Tetapi oleh kerana kita tidak mahu memahami dan menghayati sirah yang
ada, maka segala yang terpapar tentang diri Nabi itu tidak diambil
iktibar daripadanya.
Segala apa yang Nabi lakukan dahulu tidak
mahu kita ikut dengan sebaiknya. Lalu kita mengambil tindakan sendiri
dengan bersandarkan hati dan nafsu semata mata. Dan sebab itulah banyak
masalah umat Islam tidak selesai juga.
Seandainya kita
memahami dan menghayati sirah yang sudah tercatat sejak sekian lama,
pasti kita akan mengikut akan apa yang Nabi lakukan dahulu tanpa banyak
bicara. Barulah banyak masalah yang melanda dapat diselesaikan dengan
segera berpandukan Al Quran dan Hadis yang menjadi rujukan utama umat
Islam sedunia.
Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah s.a.w
bahawa baginda telah bersabda : Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua
perkara yang kamu tidak akan sekali kali sesat selagi kamu berpegang
teguh dengan keduanya, iaitu Al Quran dan Sunnah Rasulullah.
Sedih sekali apabila segelintir daripada kita tidak mahu memahami,
menghayati, dan mempelajari sirah Nabi itu. Akibatnya kita mengambil
tindakan tindakan sendiri secara melulu untuk menyelesaikan segala
masalah yang berlaku. Tidak dipertikai jika masalah itu diselesaikan
dengan akal dan ilmu. Yang kita khuatir masalah itu diselesaikan dengan mengikut hawa nafsu.Maka, masalah yang berlaku itu tidak selesai, tetapi tambah pecah dan terbarai.
Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah selain daripada Allah. Katakanlah lagi, aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu kerana jika aku
turut, sesungguhnya sesatlah aku dan tiadalah aku dari orang orang yang
mendapat hidayah petunjuk. (Surah Al-An’am : Ayat 56)
Memahami
dan menghayati sirah samalah seperti kita menghayati dan mempelajari
sejarah. Menurut George Santanaya, orang yang lupakan sejarah pasti akan
mengulanginya semula. Sejarah sejarah buruk yang berlaku pada waktu
dahulu, jika dilupakan, pasti akan berulang semula. Dan kita akan
mengulangi perkara atau masalah yang sama yang boleh menyebabkan kita
rosak dan binasa.
Sirah Nabi bukan sahaja perlu dipelajari dan
difahami, malah perlu juga dihayati. Sempena sambutan Maulidur Rasul
pada tahun ini, marilah kita menghayati segala sirah sirah Nabi. Segala
apa yang telah Nabi lakukan, boleh menjadi cerminan untuk membantu kita
pada hari ini dan pada masa hadapan. Moga moga kita semua menjadi umat
Nabi Muhammad yang sentiasa diselubungi dengan rahmat dan keimanan.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.