sumber : Google |
Blog saya bernama Saya Pejuang
Bahasa. Mengapa saya pilih nama blog seperti itu, saya sendiri tidak tahu.
Apa yang saya tahu, ketika saya mula mula menulis blog dahulu, nama blog inilah
yang mula mula singgah dalam kotak fikiran saya.
Oleh sebab nama blog saya Saya
Pejuang Bahasa, dan saya mengambil pula kursus bahasa Melayu di universiti,
maka ramai beranggapan sehingga ada yang membuat tuduhan yang saya ini seorang
pejuang bahasa.
Saya tidak terlalu mengambil cakna pada
mulanya akan label yang dilemparkan kepada saya itu kerana saya menganggap
label itu tidak lebih sebagai satu gurauan semata mata. Tetapi apabila label
yang saya anggap gurauan itu menjadi terlalu ekstrim, sehingga saya boleh
klasifikasikannya sebagai satu tuduhan, saya mula terfikir semula akan label
yang dilempar kepada saya itu.
Segala label yang saya anggap sebagai
tuduhan itu bermula apabila orang menganggap saya pandai semua dalam bidang
bahasa. Tidak cukup dengan itu, mereka menyerahkan segala perkara tentang
bahasa (dalam bentuk tugasan berkumpulan) kepada saya. Dan apabila saya mahu
mengambil kursus minor saya dalam bidang perniagaan untuk keperluan
ijazah sarjana muda saya, dan bukannya dalam bidang bahasa, seorang rakan telah
mengkritik saya secara berdepan di khalayak umum.
Ingin saya tegaskan di sini bahawa
saya bukan pejuang bahasa. Saya mungkin minat dan cintakan bahasa – bahasa
Melayu – tetapi saya bukan pejuang bahasa. Pejuang bahasa yang tulen adalah
seperti A. Samad Said. Cuba renungi susuk ini – inilah pejuang bahasa yang
paling tulen sebenarnya. Mengapa saya kata beliau tulen, cuba perhatikan
kehidupan beliau dengan sastera dan bahasa.
Saya sama sekali tidak pernah
menganggap diri saya sebagai pejuang bahasa kerana gelaran itu terlalu besar
bagi saya. Sebagai orang Melayu, yang sudah pasti cintakan bahasa Melayu, saya
cuba ingin memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia yang cuba dibakulsampahkan
oleh sesetengah orang. Ini bukan tanggungjawab saya seorang sahaja tetapi
tanggungjawab semua orang yang bergelar Melayu di Malaysia (itu pun jika mereka
masih anggap diri mereka Melayu!).
Jika benarlah saya pejuang bahasa,
adakah saya mesti pandai semua perkara dalam bahasa? Sudah tentulah tidak
kerana saya hanya manusia biasa dan tidak memiliki PhD pula. Jika mahu kata
saya pakar dalam bahasa, tunggulah jika saya punya PhD dalam bidang bahasa
dahulu.
Dan jika benarlah saya pejuang
bahasa, adakah menjadi satu dosa untuk saya mengambil kursus perniagaan dan
bukan kursus bahasa untuk keperluan subjek minor saya?
Saya mengambil subjek perniagaan
untuk kursus minor saya adalah kerana ia memudahkan saya. Untuk apa saya
harus menyusahkan diri saya? Tidak ada seorang manusia pun yang mahu susah
dalam dunia ini kecuali manusa yang gila!
A Samad Said tidak pernah belajar
tentang ilmu bahasa di universiti (kerana beliau tidak sempat masuk universiti)
dan kegiatan beliau pun bukannya dalam bidang bahasa sebaliknya dalam bidang
sastera dan kewartawanan. Tetapi beliau boleh jadi seorang pejuang bahasa. Jadi
salahkah saya yang mengambil kursus perniagaan untuk subjek minor bagi
keperluan ijazah sarjana muda saya dalam menjadi seorang pejuang bahasa?
Usman Awang juga tidak bersekolah
tinggi tetapi beliau adalah seorang sasterawan, wartawan, editor, dan pejuang
bahasa yang terkenal. Tidak percaya? Baca sajak beliau berjudul Keranda 152.
Anda akan nampak, orang yang tidak belajar bahasa seperti beliau pun boleh jadi
pejuang bahasa.
Dengan dua contoh seperti yang telah
saya berikan di atas, maka tidak salahlah jika orang mahu menggelar saya
pejuang bahasa (itu yang orang gelar kepada saya dan bukan atas permintaan
saya). Pejuang bahasa tidak semestinya belajar tentang semua perkara tentang
ilmu bahasa, tetapi mesti mempunyai rasa cinta dalam jiwa terhadap bahasa dan
sanggup pula mempertahankan bahasa daripada diganggu gugat oleh sesiapa. Itulah
ciri penting untuk menjadi pejuang bahasa.
Saya tidak suka orang menganggap
(mungkin juga menuduh) saya sebagai pejuang bahasa tetapi jika ia mahu
diberikan juga, ia boleh jadi satu penghormatan buat diri saya. Tetapi jangan
sesekali menganggap saya tahu semua tentang ilmu bahasa dan jangan halang saya
untuk buat apa yang saya suka waima ia tidak ada kena mengena dengan
bahasa.
Yang penting, memartabatkan bahasa kita adalah tanggungjawab kita semua tak kira kita pejuang bahasa atau tidak.
BalasPadambagus sekurang kurangnya kita ada pelapis untuk memperjuang bahasa kita
BalasPadam"Pejuang bahasa tidak semestinya belajar tentang semua perkara tentang ilmu bahasa, tetapi mesti mempunyai rasa cinta dalam jiwa terhadap bahasa dan sanggup pula mempertahankan bahasa daripada diganggu gugat oleh sesiapa. Itulah ciri penting untuk menjadi pejuang bahasa."
BalasPadamPejuang bahasa bukanlah yang perlu mengaut semua tentang ilmu bahasa. Tapi cukuplah sekadar menjadi benteng pertahanan atau yang paling lantang bersuara kala bahasa digugat jatuh.
cukuplah bila dikira kita sbg sayangkan bahasa. bahasa ibunda.
BalasPadam