Jumaat, 12 Ogos 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 28

     


          Farah menyeka air mata yang tidak henti henti turun menerusi kelopak matanya. Sesekali dia menyedut hingus yang seakan-akan mahu keluar menerusi lubang hidungnya. Dilapnya semua air yang keluar itu menggunakan sapu tangan berwarna merah jambu yang ada di tapak tangannya. Di pangkuannya, terdapat Aiman juga dalam keadaan yang sama. Menangis melihat keadaan Hamad yang terbaring lemah di atas katil hospital kerana cedera parah akibat dipukul dengan teruk semalam sebanyak dua kali. Hamad sudah sedar pagi tadi setelah menerima rawatan daripada doktor di hospital itu tetapi tidur semula kerana terlalu lemah.

          Tidak tahan Farah melihat keadaan Hamad sebegitu. Dia sedih kerana Hamad telah berlaku curang dengannya dengan meniduri perempuan lain yang lebih muda darinya. Dan dia juga sedih setelah diberitahu oleh doktor yang merawat Hamad sejak malam tadi bahawa jangka hayat suaminya itu di dunia ini mungkin tidak lama. Hamad bukan sahaja cedera parah malah dia juga mengalami pendarahan dalaman dan banyak organ dalamannya juga pecah akibat dipukul dan dibelasah dengan teruk semalam. 

          Dan pagi tadi juga beberapa orang anggota polis datang setelah dihubungi oleh pihak hospital menyoal siasat dirinya atas kejadian yang berlaku semalam. Dan pihak polis berjanji akan membuat siasatan yang lebih mendalam atas kejadian yang menimpa Hamad. Kes ini bukan kes kecil jadi campur tangan pihak berkuasa adalah amat perlu.


          Setelah doktor memberitahu bahawa jangka hayat Hamad sudah tidak lama, segera Farah menghubungi keluarga Hamad mengenai keadaan Hamad itu. Farah meminta kesemua mereka terutama ayah dan ibu Hamad supaya datang untuk melawat Hamad. Dia khuatir jika mereka tidak sempat bertemu Hamad sebelum tiba masanya. Dan Farah sangat bersyukur kerana mereka berjanji untuk datang secepat mungkin ke hospital untuk melawat Hamad.

          Sekitar pukul sebelas pagi itu, kesemua ahli keluarga Hamad, termasuk Fauziah dan Razali yang berkerusi roda itu datang ke hospital untuk bertemu dan melawat Hamad. Setelah mencari, mereka akhirnya menemui wad tempat Hamad diletakkan. Segera mereka menemui Farah yang tidak henti henti menangis di sisi katil Hamad.

          “Farah...” Panggil Fauziah dengan lembut. Mendengar sahaja suara Fauziah, Farah segera mendapatkan wanita tua itu. Dipeluknya wanita tua itu dengan erat. Setelah itu, dia bersalaman dengan Fauziah. Bukan sahaja dengan Fauziah, malah semua yang berada di situ.

          “Sabar nak...mak tahu kau sedih tapi bawa banyak banyak bersabar ye. Inikan dugaan tuhan untuk kita semua.” Kata Fauziah dengan nada sebak. Dia juga sedih melihat apa yang berlaku pada Hamad sekarang.

          “Bagaimana keadaan abang Hamad kat Farah?” soal Hafreez yang berdiri berhampiran dengan kepala Hamad. Sayu hatinya melihat keadaan abang angkatnya yang seperti tidak sedarkan diri itu.

          “Macam tu je la Hafreez. Pagi tadi dia dah sedar lepas tu dia tidur balik. Doktor cakap dia...dia...isk...dia dah tak lama dah tu. Banyak betul pendarahan dalaman dia termasuk kat kepala. Organ organ dalaman dia pun banyak yang pecah.” Farah menjawab.

          “Allah...” Terdengar suara Hafizah dan Norin menyebut kalimah itu dengan nada sayu. Pilu dan sedih hati mereka tatkala mendengar kata kata yang baru sahaja keluar dari mulut Farah itu.

          “Kita tak tahu lagi Farah. Itu hanya kata doktor. Yang tentukan hidup dan mati ni Allah.” Kata Razali yang duduk di kerusi rodanya di hujung kaki Hamad.

          “Haihh...apalah yang Hamad buat sampai kena pukul teruk macam ni. Kau dah report polis Farah?” Hafizah bertanya.

          “Dah kak long. Pihak hospital ada hubungi polis. Dan pagi tadi polis ada datang buat siasatan. Tapi tu la, polis tak boleh nak tanya banyak sebab abang Hamad belum sedar lagi masa tu.” Jawab Farah.

          “Harap Hamad akan segera sedar supaya polis boleh buat siasatan. Orang yang pukul Hamad sampai jadi macam ni harus menerima hukuman yang setimpal menurut peruntukan undang undang,” Kata Norin dengan sedikit geram.

          “Ibu...” Tiba tiba terdengar suara Hamad memanggil Fauziah. Entah bila dia sedar tiada siapa yang tahu. Namun, semua begitu bersyukur apabila melihat Hamad sudah berdar.

          “Ya nak?” Sahut Fauziah sambil mendekati Hamad. Dia mendekatkan wajahnya pada wajah Hamad yang lebam lebam, bengkak bengkak, dan ada sedikit darah itu. Tanpa dapat ditahan tahan lagi, air matanya tumpah di situ. Tidak pernah dia terfikir wajah anak yang dikandungnya selama sembilan bulan itu boleh berubah menjadi semacam itu akibat dipukul oleh samseng samseng yang tidak berperikemanusiaan.

          “Ibu...Hamad tahu Hamad dah tak lama kat dunia ni bu. Sebelum Hamad pergi, Hamad nak minta ampun banyak banyak kat ibu. Hamad dan banyak buat dosa kat ibu. Hamad dah banyak sakitkan hati ibu. Maafkan Hamad ye bu.” Rayu Hamad dengan sayu. Sukar benar dia mahu menuturkan bait bait kata itu kerana mulutnya sakit dan badannya terlalu lemah. Air mata jantannya menitik membasahi bantal putih yang ada di bawah kepalanya. Diambilnya tangan Fauziah, lalu diciumnya berkali kali.

          “Jangan cakap macam tu Mad. Ibu sayang Hamad. Ibu dah maafkan semua dosa Hamad pada ibu. Hamad dah takde salah dah pada ibu.” Ucap Fauziah dengan nada sayu. Air matanya terus tumpah berkali kali tanpa dapat ditahan tahan lagi. Semua yang ada di situ turut berkongsi rasa sedih melihat keadaan itu. Mereka turut mengalirkan air mata melihat situasi yang menyayat hati itu.

          “Farah...” Panggil Hamad dengan lembut tetapi lemah.

          “Ya abang?” Kata Farah sambil menghampir jasad Hamad.

          “Farah, abang minta maaf kat Farah sebab dah berlaku curang. Abang tahu abang bukan suami yang baik. Tapi abang betul betul sayangkan Farah. Abang beruntung dapat isteri yang baik macam Farah. Maafkan abang ye sayang. Jaga anak kita baik baik. Jangan biarkan dia jadi macam abang. Segala harta benda abang, Farah ambillah jadi harta benda Farah. Dan selepas ni, kalau Farah ada jumpa lelaki yang baik dan nak ambil Farah sebagai isteri, Farah terima je. Farah layak untuk dapat lelaki yang lebih baik dari abang.” Hamad berwasiat dengan nada lemah.

          “Jangan cakap macam tu bang. Farah sayang abang. Farah dah maafkan abang.” Ujar Farah sambil menangis pilu. Tidak tertahan hatinya melihat lelaki yang dicintainya dalam keadaan nazak sebegitu. Fauziah yang berada di belakangnya lantas menenangkannya walaupun dia tidak henti henti menangis.

          “Ayah...” Seru Hamad dalam nada lemah dan sayu namun nyaring. Razali yang sedar namanya dipanggil segera mendekati anak bongsunya. Dia menolak roda yang ada di kerusi roda itu untuk mendekatkan dirinya dengan Hamad. Kepalanya didekatkan dengan kepala Hamad. Dia mencapai tangan Hamad yang mahu memegang tangannya.  

          “Ayah...Hamad minta maaf banyak banyak kat ayah sebelum Hamad pergi ayah. Hamad dah banyak menyusahkan hidup ayah dari Hamad lahir sampailah Hamad besar. Maafkan Hamad ayah. Maafkan Hamad.” Rayu Hamad lagi dengan nada sedih. Keadaannya sama seperti tadi. Tercungap cungap dan lemah ketika mahu menuturkan kata kata tersebut.

          “Ayah dah lama maafkan kau nak. Kau la satu satunya anak lelaki ayah. Ayah sayang kau nak. Ayah bangga dengan kau. Cuma ayah tak pandai tunjuk kasih sayang ayah. Dan ayah tak salahkan kau atas apa yang berlaku. Kau dah takde dosa dengan ayah nak. Ayah ampunkan semua dosa kau dari dunia sampai akhirat.” Ucap Razali. Walaupun dia sebak dengan situasi itu, namun dia tidak mahu menangis. Dia tidak mahu kelihatan lemah di depan Hamad.

          “Ayah...tolong ajar Hamad mengucap ayah...tolong ayah...” Pinta Hamad setelah dia merasakan bahawa nyawanya semakin mahu terpisah dari jasad. Semua yang berada di situ semakin pilu dan sedih.

          “Hamad, ikut ayah nak...laillahaillah...” Ucap Razali secara perlahan lahan namun kalimah itu tidak mampu ditutur atau diikut oleh Hamad. Dia tercungap cungap seperti direndam dalam air yang terlalu dalam. Pilu semua orang yang ada di situ termasuklah Fauziah. Tidak henti henti Fauziah berdoa di dalam hati agar Hamad bisa mati dalam keadaan husnul khatimah. Dia memanjatkan doa kepada Allah agar akhir kalam Hamad adalah nama Allah s.w.t

          “Laillahaillah...” Razali menuturkan kalimah tauhid dengan lebih perlahan dan lembut itu supaya Hamad dapat mengikutinya. Tidak putus putus doanya di dalam hati agar Hamad dapat menyebut kalimah tauhid itu sebelum nyawanya pergi diambil oleh Malaikat Maut.  

          “Laillahaillah...” Dengan izin dan rahmat Allah Yang Maha Esa, yang sentiasa penuh kasih dan sayang terhadap hamba-hambaNya, Hamad dapat mengucapkan kalimah tauhid itu dengan sempurna walaupun lemah dan perlahan. Seusai mengucapkan kalimah tersebut, Hamad pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Matanya terpejam rapat buat selama-lamanya. Meraung Farah melihat jasad Hamad yang sudah tidak bernyawa itu. Segera dia berlari ke jasad Hamad yang kaku itu lantas memeluknya erat sambil menangis teresak esak. Semua yang ada di situ cuba menenangkan Farah. Mereka menjauhkan tubuh Farah dari jasad Hamad. Hafizah lantas memeluk Farah untuk menenangkannya.

          Hafreez yang ada berhampiran dengan kepada Hamad lantas menutup jenazah Hamad dengan kain selimut hospital itu. Pergilah bang. Pergi dengan tenang. semoga Allah mengampunkan segala dosa dosa abang. Semoga kita bertemu di syurga Allah nanti. Bisik hati Hafreez.       


  

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.