Rabu, 10 Ogos 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 26




  
           
         Hujan turun dengan sangat lebat pada malam itu. Bunyi bunyi hujan yang jatuh ke bumi dan menimpa atap rumah begitu kuat kedengaran di luar rumah. Sesekali diselangi dengan bunyi dentuman guruh dan petir. Jam sudah menunjukkan ke angka dua belas tengah malam. Suasana pada malam itu sungguh suram, sesuram hati Norin yang tidur keseorangan di bilik tidur utama rumah agam itu.



          Norin memandang ruang kosong di sebelahnya. Biasanya dia melihat tubuh Shuib sentiasa terbaring di situ. Tetapi malam itu dan malam malam seterusnya, dia tidak akan dapat lagi melihat susuk tubuh itu. Tubuh yang sentiasa melindungi dirinya. Tubuh yang tidak pernah berhenti menyayangi dirinya walaupun dia seorang wanita yang keras kepala. Tubuh yang sentiasa membelai dan memujuk dirinya jika dia berada dalam keadaan sedih atau gelisah. Pokok pangkalnya, tubuh itu adalah tubuh yang sangat penting dalam hidupnya.



          Kini, tubuh itu sudah tiada lagi. Tubuh milik Shuib itu sudah pergi selama-lamanya tanpa meninggalkan sebarang berita ataupun kata kata akhir buat dirinya. Hanya wasiat pewarisan harta, syarikat, dan saham sahaja melalui seorang peguam yang menjadi kata kata terakhir arwah Shuib buat dirinya. Selain itu, dia tidak mendengar apa apa dari mulut lelaki itu walaupun ucapan dua kalimah syahadah.




          Sesuangguhnya dia sangat menyayangi suaminya itu. Walaupun dia sering melawan atau membantah kata kata lelaki itu, tetapi dia tidak boleh menafikan bahawa dia sangat mencintai lelaki itu. Lelaki itu sungguh sempurna buat dirinya. Lelaki itu bukan sahaja kacak, malah kaya, bergaya, beriman, kuat berusaha dan bijak pula. Pendek kata, Shuib adalah lelaki yang sempurna buat dirinya cuma dirinya sahaja yang tidak pernah mensyukuri segala nikmat yang Tuhan berikan. Sebelum sebelum ini, dia seolah olah tidak mahu menghargai lelaki yang bergelar suaminya itu. Segala nasihat lelaki itu dia persetankan. Segala teguran lelaki itu tidak dia hiraukan. Dia ego kerana dia berasa dia bijak. Tetapi, setelah lelaki itu sudah tiada, barulah dia berasa kehilangan. Kematian lelaki itu telah menyebabkan separuh jiwanya mati. Mati bersama jasad lelaki itu.



          Tiba tiba petir berbunyi dengan sangat kuat. Norin terkejut. Segera dia bangkit dari pembaringannya. Dia melihat di sekeliling bilik tidur yang luas itu. Bilik itu hanya diterangi dengan lampu tidur berwarna kuning yang diletakkan di atas sebuah meja kecil di tepi katilnya. Bilik itu kosong. Sekosong jiwanya. Dan bilik itu terus kosong kerana seri bilik itu sudah pergi. Pergi bersama jasad Shuib yang telah dikebumikan siang tadi.



          Matanya secara tiba tiba tertancap pada gambar Shuib dan gambarnya bersama Khairil yang terletak di sebuah almari kecil di tepi katilnya.. Gambar itu diambil beberapa tahun yang lalu ketika mereka melancong ke Pulau Langkawi tidak berapa lama dahulu. Segera dia ambil gambar itu lalu diusapkan jarinya pada gambar Shuib. Sungguh dia rindu pada Shuib saat itu. Dia terlalu rindu untuk menatap wajah lelaki itu. Dia terlalu rindu untuk mendengar suara lelaki itu dan dia terlalu rindu untuk merasa belaian hangat lelaki itu. Sungguh dia rindu semua itu tetapi ia hanya tinggal rindu. Dia tidak akan dapat semula semua itu kerana semua itu telah mati. Mati bersama jasad milik Shuib.



          Dia menekup gambar itu ke wajahnya. Air matanya tumpah lagi entah kali ke berapa. Dia berasa kehilangan yang amat sangat. Sakit kehilangan itu sungguh perit malah lebih perit sehingga menusuk ke lubuk hatinya yang paling dalam. Rasa sakit itu umpama sembilu yang mencucuk hatinya yang sedang rawan itu.



          Tiba tiba dia teringat akan pesanan pesanan yang acapkali arwah Shuib titipkan buat dirinya. Pesanan supaya dia berbaik dengan orang tuanya sebelum terlambat. Itulah pesanan, nasihat, dan peringatan yang arwah Shuib sering beri kepada dirinya. Sampai satu ketika, dia berasa bosan dengan segala pesanan itu. Baginya, itu adalah pesanan yang remeh dan membosankan.



          Namun, setelah dia teliti segala-galanya pada malam itu, baru dia sedar bahawa pesanan itu adalah satu pesanan yang sangat bermakna dan bererti. Pesanan itu sering kali dia persetankan seperti mana yang sering dia lakukan pada pesanan atau teguran Shuib yang lain. Namun, arwah Shuib tidak pernah berhenti dan tidak pernah jemu untuk menyampaikan pesanan itu walaupun arwah Shuib tahu dia tidak akan terima.



          Arwah suaminya itu sering kali memberi peringatan pada dirinya, supaya jangan jadi anak derhaka pada orang tua kerana Tuhan pasti akan murka. Orang tua atau ibu bapa itu sangat tinggi darjatnya di sisi agama waima mereka tidak berapa baik sekalipun. Sebagai anak, kita tidak boleh kurang ajar atau derhaka kepada mereka. Kita mesti menghormati mereka seperti yang sewajarnya kerana mereka telah melakukan banyak pengorbanan untuk membesar dan melahirkan kita. Jika kita derhaka pada orang tua, Tuhan pasti akan timpa bala sejak kita berada di dunia lagi.  



          Tatkala dia merenungi nasihat nasihat itu, baru dia sedar bahawa nasihat itu semuanya betul. Dan lihatlah sekarang. Kerana dia derhaka kepada orang tuanya, Allah timpakan bala ke atasnya. Allah tarik keterunaan anak lelakinya. Allah tarik nyawa lelaki yang paling dia cinta dalam hidupnya kerana dia tidak pernah bersyukur dengan apa yang dia ada dan dia derhaka pula kepada ibu bapa. Tidak cukup dia derhaka kepada ibu bapa, dia derhaka pula kepada Tuhan yang menjadikannya dengan menyokong golongan golongan yang Tuhan murka. Dan sekarang baru dia dapat segala balasannya.



          Malam itu dia menangis semahunya. Malam itu ego yang selama ini dia bina kukuh telah runtuh kerana kekesalan. Dan malam itu, dia bersujud taubat dan memohon ampun kepada Allah – Tuhan Pencipta dan Pentadbir Sekalian Alam.





          Hidangan nasi lemak yang dimasak oleh Haliza pada pagi itu sungguh memikat selera. Semua yang berada di meja makan di rumah Hafreez itu menikmati nasi lemak tersebut dengan penuh berselera sekali. Sambil makan, mereka berbual bual tentang pelbagai topik. Suasana itu sedikit sebanyak telah mengeratkan hubungan mereka sekeluarga.



          “Saya ingat nak pergi rumah kak ngah dalam kul 11 pagi nanti. Ayah dengan ibu nak ikut sekali?” Hafreez bertanya.



          “Bagus juga tu. Masa arwah Shuib meninggal minggu lepas, kita tak dapat nak pergi ziarah. Nanti apa pula kata si Norin tu.” Ujar Fauziah.



          “Tu la. Saya nak pergi tapi company tak bagi. Haliza pula tak boleh memandu kereta. Ayah pula sakit. Cuti cuti hujung minggu macam ni baru sempat nak pergi. Rasa bersalah pula tak pergi ziarah dia hari tu. Nasib baik ada kak long yang boleh wakilkan kita.” Hafreez berkata.



          “Boleh ke kita pergi rumah dia? Silap silap hari bulan, sampai sampai je dah kena halau.” Tambah Razali yang mula bersuara. Hanya Haliza sahaja yang diam melayani Hazim makan. Dia hanya mendengar sahaja apa yang dibualkan oleh mereka bertiga.



          “Ish, tak baik cakap macam tu. Dia tengah sedih tu. Takkanlah dia sanggup nak buat kita macam tu.” Kata Fauziah.



          “Mana awak tahu? Norin tu tahu je la, dia punya ego dan keras kepala, hanya Allah je yang tahu.” Razali menyuapkan nasi lemak yang separuh panas itu masuk ke mulutnya.



          “Saya rasa okay je kot kalau kita pergi rumah dia. Kak long Hafizah cerita dia okay je.” Balas Hafreez.



          “Ish, takut ayah dengan si Norin tu. Dia tu bila bila masa je boleh berubah.” Kata Razali.



          “Assalammualaikum.” Ucap satu suara yang agak nyaring dari luar rumah.



          “Waalaikumussalam.” Jawab semua yang berada dalam rumah Hafreez itu.



          “Siapa pula yang datang pagi pagi pukul lapan hari Ahad ni?” Soal Haliza sambil menjenguk jenguk kepalanya ke luar rumah.



          “Takpe. Awak makan. Biar abang yang pergi tengok.” Kata Hafreez dan segera berlalu dari ruang makan itu untuk melihat siapa gerangan yang datang ke rumahnya pada waktu pagi itu.



          Setelah membuka pintu rumah, dia segera menuju ke pintu pagar utama rumah teres tersebut. Dia melihat Norin dan Khairil berdiri di pintu pagar rumahnya. Sebuah senyuman terukir di bibir mereka berdua.



          “Ohh kak Norin rupanya. Awal datang. Masuklah. Semua ada kat dalam.” Hafreez mempelawa.



          “Emm...terima kasih. Saja datang awal pagi pagi ni sebab kejap lagi nak pergi pejabat. Ada urusan. Sebelum tu nak jumpa ibu dan ayah kejap.” Balas Norin. Dia bersalaman dengan Hafreez. Begitu juga dengan Khairil. Kemudian mereka bertiga masuk ke dalam rumah.



          “Ibu...ayah...kak Norin datang.” Kata Hafreez.



          “Norin? Ya Allah Norin...anak ibu...” Kata Fauziah seraya berdiri. Dia mendapatkan Norin dan mereka bersalaman lalu berpelukkan. Segera Norin menangis dalam pelukan Fauziah tanpa memberi sebarang isyarat.



          “Sabarlah nak...ibu tahu perasaan kau. Banyak banyak bersabar ye.” Fauziah mengusap kepala dan belakang Norin beberapa kali. Khairil yang menjadi pemerhati sejak tadi mula bersalaman dengan Razali dan Haliza.

          “Ibu...Norin minta maaf banyak banyak kat ibu. Semua yang berlaku pada Norin ni sebab Norin dah derhaka pada ibu. Maafkan Norin ibu.” Norin merayu sambil menangis meraung raung. Dia mencium tangan Fauziah beberapa kali. 



          “Norin, ibu tak pernah sekali pun marah pada Norin. Norin anak ibu. Ibu sayang Norin. Ibu dah lama maafkan kau nak. Kau jangan nangis ye.” Pujuk Fauziah. Ya, Norin sudah banyak kali menyakiti hatinya namun sedikit pun perasaan dendam atau rasa mahu menyumpah Norin menjadi batu seperti mana yang berlaku kepada si Tanggang tidak terbit dalam sanubarinya. Dia sudah lama memaafkan Norin. Baginya, Norin wajar diberi peluang kedua untuk menebus kesilapannya kerana dia manusia biasa. Semua manusia melakukan khilaf dan dosa.



          Setelah puas meminta maaf kepada Fauziah, Norin beralih pula kepada Razali. Dihamburkannya segala ucapan ampun dan maaf kepada orang tua itu. Razali walaupun masih marah atas segala tindak tanduk dan kata kata Norin terhadapnya, namun sebagai bapa dia tetap mahu memaafkan Norin. Dia tidak mahu berdendam atau melunas dendam terhadap apa yang telah Norin lakukan terhadap dirinya. Baginya, berdendam dengan anak anak bukanlah satu perbuatan yang mulia dan patut dibangga-banggakan.     



          “Memang ayah marah sangat dengan Norin atas apa yang kau dah lakukan kepada ayah dan ibu tapi ayah rasa ayah patut maafkan kau. Kau tu anak ayah. Kau adalah darah daging ayah. Ayah harap sangat apa yang dah berlaku kat kau ni boleh beri kesedaran kepada kau. Ayah harap sangat yang kau tak ulang lagi benda yang sama pada masa akan datang.” Razali memberi nasihat.

          “Insha Allah ayah. Norin janji yang Norin takkan buat lagi. Ampunkan Norin ayah.” Norin meminta lagi.



          “Baiklah. Ayah ampunkan.” Ujar Razali sambil tersenyum. Dia memandang wajah anak perempuan tengahnya yang sedang berlutut di kakinya itu dengan penuh kasih. Jarinya lantas menyeka air mata Norin. Sememangnya dia sangat sayang akan anak itu. Anak itu adalah kebanggannya. Cuma dia tidak pandai menunjukkan kasih sayangnya terhadap anak itu sehinggakan anak itu menyalahtafsir apa yang telah dia lakukan kepada mereka selama ini sehingga mereka berdendam dengan dirinya lalu melunas dendam tersebut tatkala usianya menginjak ke hari tua.



          Semua yang berada di situ berasa terharu melihat situasi itu namun rasa kesyukuran kerana Norin telah berubah dipanjatkan kepada Allah. Benarlah, Allah itu Maha Berkuasa. Setiap takdir yang berlaku ke atas hambaNya pasti mempunyai hikmahnya tersendiri. Walaupun semua sedih kerana mereka kehilangan Shuib, namun Allah gantikan kehilangan Shuib itu dengan perubahan Norin. Semoga Norin akan terus istiqamah dengan perubahan yang ada dalam dirinya.










0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.