Isnin, 8 Ogos 2016

NOVEL : MELUNAS DENDAM BAB 23


        Hafizah berdiri di hadapan rumah teres milik Hafreez. Dia sekadar memandang sahaja rumah itu dengan pelbagai perasaan yang bercampur baur. Hatinya meronta ronta untuk masuk ke dalam rumah itu tetapi perasaan malu, ego, kesal dan sebagainya bercampur aduk dalam sanubarinya saat itu. Dia sekarang berada di dalam dilema sama ada mahu masuk ke dalam rumah Hafreez atau pulang sahaja ke rumahnya.

          Tiba tiba dia ternampak Fauziah – ibunya keluar dari rumah teres itu sambil menyorong sebuah kerusi roda yang di atasnya terdapat satu susuk tubuh yang amat dia kenali iaitu ayahnya sendiri – Razali. Hatinya menjadi sayu dan sedih melihat kedua dua insan itu. Hatinya juga dihambat rasa bersalah, berdosa, dan kesal tatkala memandang kedua dua insan tua itu. Setitik air jernih jatuh dari tubir matanya.

          Dia mengesat air jernih itu dari terus turun dengan laju mengalir di pipi tembamnya. Tanpa dia sangka, pandangannya dan pandangan Fauziah bertemu secara tiba tiba. Dia terkaku seketika. Begitu juga dengan Fauziah yang sedang membawa Razali keluar bersiar siar di halaman rumah itu. Fauziah berhenti seketika untuk memastikan bahawa pandangannya tidak salah. Mata rabunnya telah menyukarkan dirinya untuk mengecam susuk tubuh yang amat dia sayang dan kasih itu. Ya, dia tidak salah. Susuk tubuh yang berdiri di seberang jalan itu adalah anak perempuan sulungnya – Hafizah.


          Sebuah senyuman paling manis terukir di bibir Fauziah. Dia sangat gembira melihat susuk tubuh milik Hafizah itu. Segera dia meninggalkan Razali buat seketika untuk membuka pintu pagar rumah utama. Setelah pintu pagar rumah utama itu berjaya dibuka, segera Fauziah menyebut nama Hafizah dengan nyaring sambil berkata : “Hafizah, kenapa berdiri kat situ? Tak nak masuk dulu?”     

          Mendengar sahaja suara ibunya, air mata Hafizah memancut-mancut keluar dari kelopak matanya. Dia sungguh sayu mendengar suara ibunya itu. Segera dia berlari ke arah Fauziah tanpa melihat ke kiri atau ke kanan terlebih dahulu untuk memastikan tiada kereta di situ. Sampai sahaja di hadapan Fauziah, dia terus memeluk tubuh wanita tua itu sambil menangis. Dihamburkannya segala ucapan ampun dan maaf dalam dakapan tubuh tua itu. Dihamburkannya segala rasa kesal dan sesalnya kerana telah menyakiti hati tua itu sejak sekian lama.

          Razali yang melihat situasi itu begitu terkejut dengan kehadiran dan perubahan yang berlaku kepada Hafizah itu. Sebagai orang tua, dia tahu yang situasi yang berlaku di hadapan matanya itu bukan situasi yang palsu atau sengaja dibuat buat tetapi itulah situasi yang sebenar yang lahir dari hati tulus dan insaf Hafizah sendiri. Razali sebagai bapa dan orang tua begitu bersyukur dengan perubahan Hafizah itu.

          Fauziah yang berada dalam situasi bingung itu juga turut berasa bersyukur dengan perubahan yang berlaku kepada anak sulungnya. Dia sebenarnya sudah lama memaafkan Hafizah dan semua dosa dosa anak anaknya yang lain terhadap dirinya. Sebagai ibu, dia wajar memaafkan semua dosa dosa anak anaknya. Dia tidak mahu anak anaknya menerima hukuman Tuhan di muka bumi lagi kerana sikap kederhakaan mereka. Biarlah dia yang menanggung rasa sakit di hati di atas sikap anak anaknya tetapi dia tidak mahu anak anaknya merasai apa yang telah dia lalui. Oleh sebab itulah, dia tidak pernah sekalipun menyumpah atau mendoakan yang tidak tidak kepada anak anaknya.

          Usai memohon keampunan dan menghamburkan sesalan kepada Fauziah, Hafizah lantas menuju pula kepada Razali yang sedang duduk di atas kerusi roda dan dalam keadaan tubuhnya yang separuh berbalut di sana sini tidak jauh dari situ. Segera dia melutut di kaki Razali dan terus memohon keampunan dengan penuh insaf dan penyesalan

          Razali hanya memandang sahaja. Dia cuma tersenyum memandang Hafizah. Senyuman itu lebih kepada sebuah senyuman yang ikhlas. Bukan sinis atau sindiran. Dia sememangnya sama dengan Fauziah – sudah lama memaafkan kesalahan anak anak terhadap dirinya walaupun pada hakikatnya dia memang terasa hati dengan mereka. Namun, sebagai orang tua, apakah wajar dia berdendam dengan anak anak? Itukan satu sikap yang tidak baik. Jika dia berdendam dengan mereka, maka dia pun sama tidak baik seperti mereka. Dia sepatutnya menunjukkan contoh yang baik terhadap mereka, dan bukannya menjadi seperti mereka.

          Tidak jauh dari situ atau lebih tepat lagi di muka pintu rumah teres itu, berdiri Hafreez dan isterinya Haliza yang menjadi pemerhati kepada situasi itu. Mereka berpandangan sambil tersenyum. Mereka benar benar bersyukur di atas perubahan dan keinsafan yang menimpa Hafizah. mereka berharap agar Hafizah terus istiqamah dalam perubahan itu. Dan mereka juga berharap agar Norin dan Hamad pun boleh jadi seperti Hafizah.

.....................................................................................................................

          Semua yang berada di situ terkejut mendengar nasib malang yang menimpa Hafizah daripada mulut Hafizah sendiri. Mereka sangat bersimpati kepada Hafizah. Sebagai keluarga, mereka sangat sangat tidak boleh terima segala perbuatan kedua dua perompak itu terhadap Hafizah. mereka merasakan bahawa perompak itu bukan sahaja telah melampau malah terlalu kejam dan zalim.

          “Serius ke kak long tak nampak muka diaorang?” Soal Hafreez kepada Hafizah ketika mereka beramai ramai berkumpul di ruang tamu rumah Hafreez.

          “Serius...diaorang pakai topeng masa tu. Kalau kak long boleh nampak muka, mungkin lebih senang polis nak cari.” Hafizah menjawab.

          “Bersabarlah Hafizah. Ini adalah suatu dugaan oleh Allah untuk kau. Anggap sahajalah yang ini sebagai penebus kepada segala dosa yang telah kau lakukan kepadaNya. Bukankah Allah itu maha penghapus dosa dosa besar?” Razali memberi nasihat.

          “Kau sabar ye nak. Kau kena kuat hadapi semua benda ni. Kami semua ada dengan kau. Kau tak payah risau ye. Kami akan sentiasa sokong kau.” Tambah Fauziah. Segera dia menarik tubuh gempal Hafizah ke dalam pelukannya.

          “Kita tak tahu siapakah manusia yang kejam yang sanggup buat macam tu kat kak long. Apa yang pasti, kita sama sama kena berdoa supaya pihak polis dapat mencari mereka seterusnya mereka dikenakan hukuman yang setimpal.” Ujar Hafreez.

          “Betul cakap Hafreez tu. Kita kena berdoa supaya kedua dua perompak tu dapat ditangkap dengan cepat. Ibu tak sabar nak tengok mereka dihukum. Segala apa yang dirasakan oleh Hafizah, mereka wajar merasakannya sama. Semoga Allah memudahkan pihak polis untuk mencari dan menangkap mereka.” Kata Fauziah dengan penuh bersemangat.




0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.