Khamis, 4 Ogos 2016

MAHATHIR SUDAH JADI MACAM TENGKU RAZALIEGH




Ketika Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) berkrisis dengan Mahathir suatu ketika dahulu akibat tidak berpuas hati dengan beberapa perkara dalam parti, Ku Li keluar daripada UMNO dan menubuhkan parti baharu bersama beberapa tokoh politik UMNO terkenal yang lain seperti Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Parti yang ditubuh oleh Ku Li itu dikata dapat menyaingi UMNO pada waktu itu.

Kini, setelah berpuluh puluh tahun, apa yang Ku Li buat dulu, kini dibuat juga oleh Mahathir. Motifnya sama, tidak berpuas hati atas beberapa perkara dengan pucuk pimpinan parti. Cuma punca kepada tidak kepuasan hati itu yang berbeza. Ku Li tidak berpuas hati dengan Mahathir kerana Ku Li gagal singkirkan Mahathir daripada merebut jawatan Presiden UMNO. Mahathir pula tidak puas hati dengan Najib kerana Najib enggan berundur daripada jawatan Presiden UMNO setelah terpalit dengan beberapa skandal seperti 1MDB misalnya.

Jika kita membuat pemerhatian, apa yang Mahathir buat sekarang, sama seperti Ku Li buat dahulu. Ku Li tubuh parti baru serpihan UMNO, Mahathir juga mahu tubuh parti baru (perkembangan terkini mungkin ditangguh). Ku Li bergabung dengan pembangkang membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) untuk menumbangkan Barisan Nasional, Mahathir juga buat perkara yang sama – bergabung dengan pembangkang yakni Pakatan Harapan untuk menumbangkan Barisan Nasional.


Walau bagaimanapun, Semangat 46 dan Angkatan Perpaduan Ummah yang dibentuk Ku Li akhirnya terkubur dan Ku Li akhirnya kembali semula ke pangkuan UMNO. Cita cita Ku Li dan sekalian pembangkang masa itu untuk menjatuhkan Mahathir dan Barisan Nasional tidak berjaya.

Jika Ku Li yang boleh dikata sebagai politikus yang hebat itu gagal untuk menumbangkan Barisan Nasional pada waktu itu, adakah Mahathir yang boleh dikata politikus yang hebat juga dapat meneruskan apa yang Ku Li gagal buat dulu? Tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Kita hanya boleh merancang dan meramal berdasarkan peristiwa sejarah dahulu tetapi tidak siapa dapat beri keputusan yang tepat perihal yang terjadi pada masa akan datang.

Mungkin Mahathir ada strategi untuk jatuhkan UMNO sekarang yang tidak pernah terfikir oleh Ku Li untuk menggunakan strategi tersebut puluhan tahun dahulu. Jika Mahathir punya strategi yang tepat, barangkali untuk dia menjatuhkan UMNO amat tinggi. Jika Mahathir guna strategi yang hampir sama sahaja seperti yang pernah Ku Li guna dahulu, Mahathir akan terus mewarisi kegagalan yang pernah Ku Li buat dahulu.   

Sekarang orang mahu melihat, adakah Mahathir berjaya jatuhkan UMNO pada PRU akan datang. Atau adakah nasib Mahathir akan jadi sama macam nasib Ku Li? Gagal jatuhkan UMNO lalu akhirnya kembali semula ke pangkuan UMNO?

Ketika Ku Li bergasak dengan Mahathir dahulu, suasana politik waktu itu sangat berlainan dengan suasana ketika Mahathir mahu bergasak dengan Najib sekarang. Apa yang Mahathir ada sekarang seperti media sosial misalnya, Ku Li tidak ada pada waktu itu. Jadi, peluang Mahathir untuk menang apabila bergasak dengan Najib itu amat tinggi. Jika apa yang Mahathir ada sekarang dimiliki oleh Ku Li, Ku Li pun mungkin boleh menang ketika bergasak dengan Mahathir dahulu.

Sekalian rakyat sudah tidak sabar untuk menunggu PRU 14. Rakyat mahu lihat adakah Najib boleh dijatuhkan ataupun tidak kerana sekarang dia digasak oleh negarawan ulung dunia iaitu Dr. Mahathir Mohamad. Tetapi orang ramai tetap juga boleh khuatir. Ketika Mahathir digasak Ku Li dahulu, Mahathir tidak jatuh. Adakah sekarang Najib digasak oleh Mahathir, Najib tidak juga jatuh seperti mana Mahathir dahulu?

Kita hanya mampu merancang tetapi rancangan Allah juga yang akan berjaya. Kalau Ku Li yang hebat itu akhirnya kembali semula ke pangkuan UMNO setelah gagal singkirkan parti itu dalam pilihan raya, apakah Mahathir yang hebat juga tidak boleh lakukan perkara yang sama? Tunku Abdul Rahman walaupun tidak hebat tetapi telah berjasa besar juga kepada negara mati di luar UMNO tanpa melihat Mahathir jatuh, apakah Mahathir juga tidak mengalami tragedi yang sama?       

Tidak mustahil apa yang menimpa Ku Li dan Tunku dulu boleh juga menimpa Mahathir. Dosa dosa politik Mahathir banyak juga dahulu. Mungkin apa yang terjadi kepada Mahathir sekarang adalah balasan Tuhan atas dosa dosa politik yang pernah dia lakukan dahulu. Dan tidak mustahil kerana dosa dosa politik Mahathir itu, Allah gagalkan cita citanya untuk melihat Najib jatuh sekarang. Amatlah tidak pelik untuk seorang politikus menjilat ludah dan muntahnya sendiri.




1 ulasan:

  1. Jum'at penuh berkah, semoga kunjungan saya di hari jum'at ini bisa membawa berkah AMIIIN :)

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.