Jumaat, 15 April 2016

BANGGA MELIHAT PEMUDA MELAYU BERKAIN PELIKAT


Sumber : Google

Sebelum saya melangkah masuk ke universiti, saya jarang melihat pemuda Melayu yang memakai kain pelikat terutama ketika hendak menunaikan solat di masjid. Namun, setelah saya menjejakkan kaki ke universiti, saya melihat ramai pula pemuda Melayu yang memakai kain pelikat yang menjadi identiti lelaki Melayu sejak sekian lama.

Sebelum ini, saya berpendapat yang ramai pemuda Melayu sudah mula meninggalkan warisan bangsa itu apabila saya melihat rakan rakan saya yang tidak ramai berkain pelikat ketika berada di bilik. Bapa saya sendiri pernah menyuarakan kebimbangannya mengenai hal ini sementelahan saya sendiri tidak berkain pelikat sama ada di rumah ataupun ketika hendak menunaikan solat seperti mana lelaki Melayu yang lain. Saya lebih selesa berseluar panjang ketika di rumah atau ketika hendak menunaikan solat seperti rakan rakan saya. Namun, apabila saya masuk ke universiti, persepsi saya itu telah mula berubah apabila saya ke masjid untuk menunaikan solat. Saya melihat ramai juga pemuda Melayu yang berkain pelikat.

Mengenai sejarahnya, saya tidak pasti apakah fakta yang tepat mengenai kain pelikat ini. Namun, hasil pencarian saya di laman Google, ini yang saya temui :


“Terdapat pelbagai fakta yang dikaitkan dengan asal-usul nama kain pelikat ini. Namun fakta yang mungkin tepat dan boleh digunapakai ialah dari hasil penulisan seorang pengembara Portugis yang tinggal di Melaka semasa zaman keagungannya 1528 hingga 1538 yang dikenali sebagai "Castanheda". 

Dalam hasil penulisan beliau, terdapat huraian mengenai pedagang asing dari Palaiyakat iaitu satu daerah yang terletak di Thondai Mandalam, kawasan timur laut Tamil Nadu di India. 

Pedagang-pedagang tersebut dikatakan telah memasarkan kain sarung, kain putih dan barangan lain yang diimport terus-menerus dari Palaiyakat. 
Produk sarung tersebut telah mendapat sambutan yang sangat hebat sehinggakan ianya mendapat gelaran kain pelikat (ringkasan - kain dari Palaiyakat) dan sehingga kini ia dikenali sebagai kain pelikat dikalangan masyarakat Melayu khususnya dan Malaysia amnya.”

(Di salin-tampal dari blog http://qataridz.blogspot.my/2012/11/kain-pelikat_29.html)

Bapa saya pernah menyebut : suatu hari nanti kain pelikat ini tiada orang yang pakai. Masa itu kain ini hanya boleh dilihat dalam muzium sahaja. Bila tiada orang yang pakai kain pelikat, maka hilanglah budaya Melayu itu. Bila hilang budaya, maka hilanglah jati diri Melayu.

Itulah peringatan yang selalu bapa saya ungkapkan apabila dia berbual dengan saya terutama dalam bidang kebudayaan Melayu. Bapa saya sangat cintakan budaya Melayu sementelahan dia mempunyai jiwa dan pemikiran Melayu. Tidak seperti saya, saya hanya mempunyai pemikiran Melayu sahaja. Saya sendiri sukar untuk menyangkal kemelayuan ayah saya kerana dia mengenal sendi Melayu ini lebih dalam dan lebih terperinci daripada saya. Sebab itulah, dia masih mengamalkan lagi banyak budaya Melayu yang sudah ramai orang Melayu tinggalkan seperti  berkain pelikat di rumah misalnya.

Mengenangkan peringatan yang acapkali ayah saya berikan itu, saya juga mula berasa bimbang dan risau. Saya, seperti mana ayah saya, tidak mahu budaya berkain pelikat ini hilang ditelan zaman suatu hari nanti. Kami mahu warisan bangsa ini akan kekal sampai bila bila. Tetapi pada masa yang sama, saya sendiri seperti menguburkan budaya bangsa saya itu. Saya berasa amat kesal kerana gagal memartabatkan warisan bangsa saya sendiri kerana sifat malu dan tidak biasa saya pada kain pelikat itu.

Walaubagaimanapun, apabila saya melihat ramainya pemuda Melayu yang sebaya atau lebih tua daripada saya yang berkain pelikat sama ada di bilik atau di masjid, saya boleh menarik sedikit nafas lega. Sekurang kurangnya, ada juga pemuda Melayu yang masih mengekalkan budaya bangsa itu walaupun mereka tinggal di zaman moden. Kegagalan saya dalam memartabatkan budaya bangsa saya sendiri telah ‘ditampal’ oleh orang lain yang sebangsa dengan saya. Saya angkat topi dan berasa bangga dengan pemuda Melayu yang masih lagi berkain pelikat seterusnya mengekalkan warisan bangsa yang telah pun saya tinggalkan.  

Pemuda Melayu seperti sayalah yang sepatutnya berkain pelikat untuk mengekalkan warisan dan budaya bangsa itu. Tanpa kami, warisan bangsa ini pasti akan hilang ditelan zaman. Sebagai manusia yang tebal pemikiran Melayunya, saya sangat berharap agar budaya bangsa ini akan terus kekal sampai bila bila. 

Sesungguhnya mengekalkan warisan bangsa itu amat perlu. Mengekalkan warisan bangsa seperti memakai kain pelikat itu tidak lain dan tidak bukan mestilah dilakukan oleh anak anak muda kerana mereka adalah pewaris bangsa. Jika mereka gagal mengekalkan budaya berkain pelikat ini, maka hilanglah budaya itu suatu hari nanti. Semoga pemuda Melayu seperti saya tidak ramai dalam dunia ini.
   

3 ulasan:

  1. Alhamdulillah Zumal tengah pakai kain pelikat kat rumah sambil baca blog Haziq ^-^

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya Allah...terima kasih Zumal kerana mengekalkan warisan bangsa itu. Keep it up.

      Padam
  2. dulu zaman remaja selalu pakai kain pelekat tapi bila dah besar ni tak suka plak pakai kain pelekat. haha

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.