Sumber : Google |
Di akhir akhir tempoh ‘percutian’
saya sebagai seorang pelajar sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah
sarjana muda tidak lama lagi, saya sempat menghabiskan dua buah novel yang agak
popular yang dipinjamkan oleh kawan adik saya kepada saya iaitu novel Babi dan
novel Saka tulisan Azwar Kamaruzaman yang diterbitkan oleh Lejen Press.
Menikmati dua buah novel yang saya
anggap membicarakan tentang isu isu kemasyarakatan ini memang bagus terutama
dalam memahami kemelut yang berlaku di sekeliling kita. Di dalam artikel ini,
saya ingin mengulas tentang kekuatan dan kelemahan kedua dua buah novel ini
untuk menjadi tatapan pembaca. Ulasan saya ini bukanlah semata mata untuk
mencari kelemahan ataupun kekuatan kedua dua buah novel ini sahaja tetapi juga,
pada masa yang sama untuk mencari cara meningkatkan mutu novel novel tempatan
supaya setaraf dengan karya karya antarabangsa atau setidak tidaknya novel ini
bolehlah diiktiraf sebagai sebuah karya sastera hampir setaraf dengan karya karya yang
pernah dihasilkan oleh Sasterawan Negara.
Sumber : Google |
Novel Babi dan Novel Saka adalah dua
buah novel yang saling berkaitan. Novel Saka sebenarnya adalah kesinambungan
daripada novel Babi. Jika pembaca mahu memahami tentang novel Saka, pembaca
perlu membaca novel Babi terlebih dahulu, jika tidak, sukar untuk pembaca
memahami jalan cerita yang sedang berlangsung.
Novel Babi mengisahkan tentang
seorang budak lelaki bernama Leman yang dilahirkan sebagai anak luar nikah oleh
Paul (Pauziah) hasil persetubuhan haram Paul yang merupakan seorang pelacur
dengan salah seorang pelanggan kelab malam tempat Paul bekerja iaitu Ustaz
Mawardi. Sepanjang hidupnya, Leman sentiasa diejek sebagai anak haram, anak
babi, dan anak sial oleh masyarakat sekelilingnya atas status dirinya yang
merupakan seorang anak luar nikah. Bukan hanya masyarakat sekeliling, Paul yang
merupakan ibunya turut menghina dirinya bersama sama abangnya yang bernama Jo
dan kakaknya yang bernama Aida sebagai cara melepaskan geram dan tekanan. Hidup
Leman sentiasa dibayangi dengan ejekan dan keganasan yang dilakukan oleh
keluarganya sendiri dan masyarakat disekelilingnya. Leman berkawan baik dengan
seorang budak perempuan yang seperti lelaki (tomboy) bernama Azmi dan Shah yang
merupakan rakan sekelas Azmi.
Membaca novel Babi ini memang menarik
kerana memaparkan tentang masalah anak luar nikah yang sering dipandang hina
oleh masyarakat di luar sana. Selain itu, novel ini turut melontarkan persoalan
mengenai persahabatan, ketuhanan, keimanan, kekeluargaan, kasih sayang, cinta
dan sebagainya. Pendek kata, penulis novel ini melontarkan banyak persoalan
persoalan menarik dan bermesej di dalam sebuah novel yang ditulis secara santai
dan mudah difahami ditambah dengan gaya bahasa yang cukup cantik. Lebih menarik
apabila perjalanan novel ini agak cepat dan unsur unsur suspen walaupun agak
lemah namun masih boleh diterima. Unsur erotis, keganasan, kelucahan dan
mencarut tetap ada cuma tidak keterlaluan. Bolehlah disimpulkan bahawa novel
Babi ini setaraf dengan sebuah karya sastera. Tetapi saya tidak pasti aliran
mana yang boleh meletakkan novel ini sebagai sebuah karya sastera sama ada
Teksdealisme ataupun Persuratan Baru.
Saya mengagumi novel yang ditulis
oleh Azwar Kamaruzaman ini kerana tidak ramai penulis yang berani untuk
melontarkan tema tema sebegini dalam penulisan mereka. Inilah penulis yang saya
sifatkan sebagai penggerak pemikiran masyarakat dan negara. Berani mendedahkan
kebobrokan dalam masyarakat dalam karya karyanya. Walaupun persoalan persoalan
yang dilontarkan dalam novel ini agak banyak dan berat, namun Azwar cekap
mengadunnya dengan sebati tanpa kita pening untuk menghadamnya sehingga ia
terasa ringan. Novel ini bolehlah saya sifatkan sebagai sebuah novel yang
berjaya dan tidak hairanlah novel ini mampu untuk mencapai taraf novel bestseller.
Antara persoalan yang menarik yang
boleh dikupas di sini adalah kepentingan untuk menjauhi zina kerana kesan zina
bukan hanya boleh memberi kesan buruk kepada diri bahkan kepada anak yang lahir
hasil penzinaan tersebut. Selain itu, penulis juga seakan akan menyindir
golongan agamawan menerusi watak Ustaz Mawardi yang dianggap alim dan baik oleh
anggota masyarakat namun sebenarnya mereka juga turut melakukan dosa dosa besar
seperti zina umpamanya namun berselindung di sebalik jubah dan serban
mereka.
Novel Babi sangat bagus dikupas dan
diperhati persoalan persoalannya memandangkan persoalan persoalan yang
dibangkitkan memang dekat dengan masyarakat kita di samping untuk mengambil
pengajaran daripada persoalan persoalan yang ditimbulkan.
Berbeza dengan novel Babi, novel Saka
telah membuka kelemahan Azwar sebagai penulis dan saya tidak tahu apa sebabnya.
Kehebatan penulisan Azwar di dalam novel Babi ternyata gagal dibawa ke dalam
novel Saka. Novel Saka mempunyai banyak kelemahannya di sana sini dan banyak
perkara yang dilontarkan oleh Azwar di dalam novel ini boleh dipertikaikan.
Novel Saka mengisahkan tentang
perjalanan Leman yang mahu menukarkan semula ibunya iaitu Paul dan Ustaz
Mawardi yang telah disumpah menjadi Babi oleh Allah kerana melakukan penzinaan
di parti liar yang berlangsung di rumah Paul. Di dalam mencari cara untuk
membebaskan ibunya dan Ustaz Mawardi itu, Leman terpaksa menghadapi pelbagai
cabaran sehingga dia terjatuh ke lembah dosa seperti penzinaan dan minum arak –
suatu perbuatan yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini. Walaubagaimanapun,
usahanya telah membuahkan hasil setelah ‘bertarung’ dengan pelbagai cabaran dan
konflik diri tetapi hayatnya di dunia tidak lama untuk menikmati hasil usahanya
itu kerana permainan licik saka ibunya yang bertukar menjadi Azmi (sahabat
baiknya yang telah mati di dalam novel Babi) untuk menyesatkan dirinya.
Kelemahan pertama yang saya lihat di
dalam novel Saka ini ialah kelembapan jalan ceritanya ketika ia berlangsung.
Perjalanan cerita yang pantas tanpa meleret leret seperti mana yang berlaku
dalam novel Babi tidak berlaku dalam novel Saka. Untuk sampai ke satu titik
penting dalam penceritaan, pembaca perlu melalui penerangan yang panjang
berjela daripada penulis. Tidak seperti novel Babi, pembaca perlu menghadam
banyak penerangan sehingga merencatkan hati untuk meneruskan pembacaan.
Kelemahan kedua yang saya lihat di
dalam novel ini ialah tentang kesilapan nama yang ditulis di dalam novel ini. Saya
tidak tahu sama ada ia adalah kesilapan penulis ataupun kesilapan editor novel
ini tetapi bagi saya, kesilapan yang semacam itu tidak wajar berlaku. Menerusi
muka surat 117, nama orang yang bertukar menjadi babi itu adalah Paul dan Ustaz
Mawardi tetapi entah mengapa, di muka surat itu, nama Ustaz Mawardi bertukar
menjadi Ustaz Akram! Kesilapan semacam ini diharapkan tidak lagi berlaku kerana
akan mengelirukan masyarakat pembaca untuk terus menghadam novel ini.
Kelemahan ketiga yang saya lihat
adalah tentang diri Leman yang mudah dipengaruhi oleh saka ibunya yang bertukar
menjadi Azmi itu. Leman yang belajar agama dengan Ustaz Syahmi walaupun
sebentar mudah dipengaruhi oleh Azmi untuk melakukan perbuatan jahat seperti
minum arak misalnya sedangkan dia tahu arak itu haram sama ada meminum mahupun
menyentuhnya. Apabila Azmi mempertikai tentang keimanan dan ketuhanan, Leman
mudah untuk memperakui kata kata Azmi sehingga dia terlupa akan ajaran Ustaz
Syahmi. Leman yang sememangnya mempunyai asas di dalam agama tidak sepatutnya
menjadi jahil dengan mengikut segala telunjuk Azmi walaupun dia menganggap Azmi
adalah sahabatnya.
Kelemahan keempat adalah tentang saka
ibunya yang boleh bertukar menjadi Azmi secara realiti dan di dalam keadaan
sedar. Saka tidak boleh untuk menjadi orang lain kecuali tuannya dalam tempoh
yang terlalu lama tanpa disedari oleh sesiapa. Saka adalah jin di mana
kedudukan mereka lebih rendah tarafnya berbanding manusia yang mulia. Lebih
menghairankan apabila saka itu boleh menampakkan dirinya yang sebenar dan boleh
dilihat oleh semua orang tatkala dia melakukan pembunuhan ke atas Rokky,
Shasha, dan Asfam. Saka juga tidak boleh untuk melakukan kelicikkan sehingga
orang lain teraniaya contohnya Leman dituduh melakukan pembunuhan ke atas
Rokky, Shasha, dan Asfam lalu dihukum gantung sampai mati walhal yang membunuh
ketiga tiga mereka adalah saka ibu Leman yang bertukar menjadi Azmi itu.
Kelemahan kelima adalah hukuman gantung
sampai mati yang diterima oleh Leman setelah dituduh melakukan pembunuhan ke
atas Rokky, Shasha, dan Asfam. Sepatutnya, hukuman yang diterima oleh remaja di
bawah 18 tahun seperti Leman adalah dihantar ke sekolah juvana bukannya dihukum
gantung sampai mati. Mungkin penulis dan editor novel ini tidak memahami hukuman
gantung sampai mati yang dijalankan di negara ini.
Walaupun novel ini punya banyak
kelemahan di sana sini, namun tidak dapat dinafikan novel ini berjaya memainkan
emosi pembaca dengan cukup berkesan dengan memaparkan nilai kasih sayang,
pengorbanan ,dan kekeluargaan. Contohnya, sebelum sampai ke penghujung cerita,
Leman bertemu semula dengan ibunya, Paul yang sudah berjaya bertukar menjadi
manusia semula sehari sebelum dia akan dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Dia mahu menikmati masakan ibunya yang dianggap sebagai masakan paling sedap di
dunia. Ibunya menyuapkan kuih sagu diselaputi kelapa parut ke dalam mulut Leman
dengan perasaan sedih, sayu dan penuh rasa bersalah. Babak itu sungguh
menyentuh emosi saya sebagai seorang pembaca sehingga hampir hampir mahu
menitiskan air mata.
Jujur saya katakan, novel ini memang
sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat untuk memahami persoalan penting
yang berlaku di sekeliling kita. Kedua dua novel ini memang berbeza dengan
lambakan novel cinta yang berada di pasaran sana dan novel ini mempunyai
kelasnya yang tersendiri. Untuk memahami sebuah novel mapan yang setaraf dengan
sebuah karya sastera, novel Babi dan novel Saka adalah novel yang sepatutnya dibaca.
Namun, kelemahan dalam novel Saka itu haruslah diperbaiki untuk menjadikan
novel itu lebih menarik lagi.
Jika anda tanya saya mana bagus :
Babi atau Saka? Saya akan jawab Babi!
Saya tak selalu membaca novel, tapi kalau ada novel yang cerita dia best selller , sya akan baca juga.
BalasPadamsy dh lama xbaca novel....kecuali cerita kt blog haziq ni jer hik hik hik
BalasPadamMNH bila nak keluarkan novel sendiri? Ternanti-nanti sebab orang rumah minat baca novel..:)
BalasPadamPernah hantar dua manuskrip kepada dua syarikat penerbitan tapi dua dua manuskrip tu ditolak. Sekarang tulis dalam blog je novel.novel.tu. Tak tahulah bila nak.siap.sebab tak ada idea.
Padam