Sabtu, 12 September 2015

MANA BAGUS : BABI ATAU SAKA?


Sumber : Google

Di akhir akhir tempoh ‘percutian’ saya sebagai seorang pelajar sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda tidak lama lagi, saya sempat menghabiskan dua buah novel yang agak popular yang dipinjamkan oleh kawan adik saya kepada saya iaitu novel Babi dan novel Saka tulisan Azwar Kamaruzaman yang diterbitkan oleh Lejen Press.

Menikmati dua buah novel yang saya anggap membicarakan tentang isu isu kemasyarakatan ini memang bagus terutama dalam memahami kemelut yang berlaku di sekeliling kita. Di dalam artikel ini, saya ingin mengulas tentang kekuatan dan kelemahan kedua dua buah novel ini untuk menjadi tatapan pembaca. Ulasan saya ini bukanlah semata mata untuk mencari kelemahan ataupun kekuatan kedua dua buah novel ini sahaja tetapi juga, pada masa yang sama untuk mencari cara meningkatkan mutu novel novel tempatan supaya setaraf dengan karya karya antarabangsa atau setidak tidaknya novel ini bolehlah diiktiraf sebagai sebuah karya sastera hampir setaraf dengan karya karya yang pernah dihasilkan oleh Sasterawan Negara.
  
Sumber : Google

Novel Babi dan Novel Saka adalah dua buah novel yang saling berkaitan. Novel Saka sebenarnya adalah kesinambungan daripada novel Babi. Jika pembaca mahu memahami tentang novel Saka, pembaca perlu membaca novel Babi terlebih dahulu, jika tidak, sukar untuk pembaca memahami jalan cerita yang sedang berlangsung.

Novel Babi mengisahkan tentang seorang budak lelaki bernama Leman yang dilahirkan sebagai anak luar nikah oleh Paul (Pauziah) hasil persetubuhan haram Paul yang merupakan seorang pelacur dengan salah seorang pelanggan kelab malam tempat Paul bekerja iaitu Ustaz Mawardi. Sepanjang hidupnya, Leman sentiasa diejek sebagai anak haram, anak babi, dan anak sial oleh masyarakat sekelilingnya atas status dirinya yang merupakan seorang anak luar nikah. Bukan hanya masyarakat sekeliling, Paul yang merupakan ibunya turut menghina dirinya bersama sama abangnya yang bernama Jo dan kakaknya yang bernama Aida sebagai cara melepaskan geram dan tekanan. Hidup Leman sentiasa dibayangi dengan ejekan dan keganasan yang dilakukan oleh keluarganya sendiri dan masyarakat disekelilingnya. Leman berkawan baik dengan seorang budak perempuan yang seperti lelaki (tomboy) bernama Azmi dan Shah yang merupakan rakan sekelas Azmi.  

Membaca novel Babi ini memang menarik kerana memaparkan tentang masalah anak luar nikah yang sering dipandang hina oleh masyarakat di luar sana. Selain itu, novel ini turut melontarkan persoalan mengenai persahabatan, ketuhanan, keimanan, kekeluargaan, kasih sayang, cinta dan sebagainya. Pendek kata, penulis novel ini melontarkan banyak persoalan persoalan menarik dan bermesej di dalam sebuah novel yang ditulis secara santai dan mudah difahami ditambah dengan gaya bahasa yang cukup cantik. Lebih menarik apabila perjalanan novel ini agak cepat dan unsur unsur suspen walaupun agak lemah namun masih boleh diterima. Unsur erotis, keganasan, kelucahan dan mencarut tetap ada cuma tidak keterlaluan. Bolehlah disimpulkan bahawa novel Babi ini setaraf dengan sebuah karya sastera. Tetapi saya tidak pasti aliran mana yang boleh meletakkan novel ini sebagai sebuah karya sastera sama ada Teksdealisme ataupun Persuratan Baru.

Saya mengagumi novel yang ditulis oleh Azwar Kamaruzaman ini kerana tidak ramai penulis yang berani untuk melontarkan tema tema sebegini dalam penulisan mereka. Inilah penulis yang saya sifatkan sebagai penggerak pemikiran masyarakat dan negara. Berani mendedahkan kebobrokan dalam masyarakat dalam karya karyanya. Walaupun persoalan persoalan yang dilontarkan dalam novel ini agak banyak dan berat, namun Azwar cekap mengadunnya dengan sebati tanpa kita pening untuk menghadamnya sehingga ia terasa ringan. Novel ini bolehlah saya sifatkan sebagai sebuah novel yang berjaya dan tidak hairanlah novel ini mampu untuk mencapai taraf novel bestseller.       

Antara persoalan yang menarik yang boleh dikupas di sini adalah kepentingan untuk menjauhi zina kerana kesan zina bukan hanya boleh memberi kesan buruk kepada diri bahkan kepada anak yang lahir hasil penzinaan tersebut. Selain itu, penulis juga seakan akan menyindir golongan agamawan menerusi watak Ustaz Mawardi yang dianggap alim dan baik oleh anggota masyarakat namun sebenarnya mereka juga turut melakukan dosa dosa besar seperti zina umpamanya namun berselindung di sebalik jubah dan serban mereka.    

Novel Babi sangat bagus dikupas dan diperhati persoalan persoalannya memandangkan persoalan persoalan yang dibangkitkan memang dekat dengan masyarakat kita di samping untuk mengambil pengajaran daripada persoalan persoalan yang ditimbulkan.

Berbeza dengan novel Babi, novel Saka telah membuka kelemahan Azwar sebagai penulis dan saya tidak tahu apa sebabnya. Kehebatan penulisan Azwar di dalam novel Babi ternyata gagal dibawa ke dalam novel Saka. Novel Saka mempunyai banyak kelemahannya di sana sini dan banyak perkara yang dilontarkan oleh Azwar di dalam novel ini boleh dipertikaikan.

Novel Saka mengisahkan tentang perjalanan Leman yang mahu menukarkan semula ibunya iaitu Paul dan Ustaz Mawardi yang telah disumpah menjadi Babi oleh Allah kerana melakukan penzinaan di parti liar yang berlangsung di rumah Paul. Di dalam mencari cara untuk membebaskan ibunya dan Ustaz Mawardi itu, Leman terpaksa menghadapi pelbagai cabaran sehingga dia terjatuh ke lembah dosa seperti penzinaan dan minum arak – suatu perbuatan yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini. Walaubagaimanapun, usahanya telah membuahkan hasil setelah ‘bertarung’ dengan pelbagai cabaran dan konflik diri tetapi hayatnya di dunia tidak lama untuk menikmati hasil usahanya itu kerana permainan licik saka ibunya yang bertukar menjadi Azmi (sahabat baiknya yang telah mati di dalam novel Babi) untuk menyesatkan dirinya.

Kelemahan pertama yang saya lihat di dalam novel Saka ini ialah kelembapan jalan ceritanya ketika ia berlangsung. Perjalanan cerita yang pantas tanpa meleret leret seperti mana yang berlaku dalam novel Babi tidak berlaku dalam novel Saka. Untuk sampai ke satu titik penting dalam penceritaan, pembaca perlu melalui penerangan yang panjang berjela daripada penulis. Tidak seperti novel Babi, pembaca perlu menghadam banyak penerangan sehingga merencatkan hati untuk meneruskan pembacaan.   

Kelemahan kedua yang saya lihat di dalam novel ini ialah tentang kesilapan nama yang ditulis di dalam novel ini. Saya tidak tahu sama ada ia adalah kesilapan penulis ataupun kesilapan editor novel ini tetapi bagi saya, kesilapan yang semacam itu tidak wajar berlaku. Menerusi muka surat 117, nama orang yang bertukar menjadi babi itu adalah Paul dan Ustaz Mawardi tetapi entah mengapa, di muka surat itu, nama Ustaz Mawardi bertukar menjadi Ustaz Akram! Kesilapan semacam ini diharapkan tidak lagi berlaku kerana akan mengelirukan masyarakat pembaca untuk terus menghadam novel ini.

Kelemahan ketiga yang saya lihat adalah tentang diri Leman yang mudah dipengaruhi oleh saka ibunya yang bertukar menjadi Azmi itu. Leman yang belajar agama dengan Ustaz Syahmi walaupun sebentar mudah dipengaruhi oleh Azmi untuk melakukan perbuatan jahat seperti minum arak misalnya sedangkan dia tahu arak itu haram sama ada meminum mahupun menyentuhnya. Apabila Azmi mempertikai tentang keimanan dan ketuhanan, Leman mudah untuk memperakui kata kata Azmi sehingga dia terlupa akan ajaran Ustaz Syahmi. Leman yang sememangnya mempunyai asas di dalam agama tidak sepatutnya menjadi jahil dengan mengikut segala telunjuk Azmi walaupun dia menganggap Azmi adalah sahabatnya.    

Kelemahan keempat adalah tentang saka ibunya yang boleh bertukar menjadi Azmi secara realiti dan di dalam keadaan sedar. Saka tidak boleh untuk menjadi orang lain kecuali tuannya dalam tempoh yang terlalu lama tanpa disedari oleh sesiapa. Saka adalah jin di mana kedudukan mereka lebih rendah tarafnya berbanding manusia yang mulia. Lebih menghairankan apabila saka itu boleh menampakkan dirinya yang sebenar dan boleh dilihat oleh semua orang tatkala dia melakukan pembunuhan ke atas Rokky, Shasha, dan Asfam. Saka juga tidak boleh untuk melakukan kelicikkan sehingga orang lain teraniaya contohnya Leman dituduh melakukan pembunuhan ke atas Rokky, Shasha, dan Asfam lalu dihukum gantung sampai mati walhal yang membunuh ketiga tiga mereka adalah saka ibu Leman yang bertukar menjadi Azmi itu. 
 
Kelemahan kelima adalah hukuman gantung sampai mati yang diterima oleh Leman setelah dituduh melakukan pembunuhan ke atas Rokky, Shasha, dan Asfam. Sepatutnya, hukuman yang diterima oleh remaja di bawah 18 tahun seperti Leman adalah dihantar ke sekolah juvana bukannya dihukum gantung sampai mati. Mungkin penulis dan editor novel ini tidak memahami hukuman gantung sampai mati yang dijalankan di negara ini. 

Walaupun novel ini punya banyak kelemahan di sana sini, namun tidak dapat dinafikan novel ini berjaya memainkan emosi pembaca dengan cukup berkesan dengan memaparkan nilai kasih sayang, pengorbanan ,dan kekeluargaan. Contohnya, sebelum sampai ke penghujung cerita, Leman bertemu semula dengan ibunya, Paul yang sudah berjaya bertukar menjadi manusia semula sehari sebelum dia akan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Dia mahu menikmati masakan ibunya yang dianggap sebagai masakan paling sedap di dunia. Ibunya menyuapkan kuih sagu diselaputi kelapa parut ke dalam mulut Leman dengan perasaan sedih, sayu dan penuh rasa bersalah. Babak itu sungguh menyentuh emosi saya sebagai seorang pembaca sehingga hampir hampir mahu menitiskan air mata.

Jujur saya katakan, novel ini memang sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat untuk memahami persoalan penting yang berlaku di sekeliling kita. Kedua dua novel ini memang berbeza dengan lambakan novel cinta yang berada di pasaran sana dan novel ini mempunyai kelasnya yang tersendiri. Untuk memahami sebuah novel mapan yang setaraf dengan sebuah karya sastera, novel Babi dan novel Saka adalah novel yang sepatutnya dibaca. Namun, kelemahan dalam novel Saka itu haruslah diperbaiki untuk menjadikan novel itu lebih menarik lagi.  

Jika anda tanya saya mana bagus : Babi atau Saka? Saya akan jawab Babi!
       

4 ulasan:

  1. Saya tak selalu membaca novel, tapi kalau ada novel yang cerita dia best selller , sya akan baca juga.

    BalasPadam
  2. sy dh lama xbaca novel....kecuali cerita kt blog haziq ni jer hik hik hik

    BalasPadam
  3. MNH bila nak keluarkan novel sendiri? Ternanti-nanti sebab orang rumah minat baca novel..:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pernah hantar dua manuskrip kepada dua syarikat penerbitan tapi dua dua manuskrip tu ditolak. Sekarang tulis dalam blog je novel.novel.tu. Tak tahulah bila nak.siap.sebab tak ada idea.

      Padam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.