Sumber : Google |
Dalam artikel ini, saya merujuk
cendekiawan itu sebagai ahli akademik (pensyarah universiti), ulamak, dan mufti,
penulis terkemuka (juga wartawan), dan sasterawan. Jika ada orang mempersoalkan
apa beza ulamak dengan mufti, saya menjawab semua mufti itu ulamak tetapi bukan
semua ulamak itu mufti. Ahli akademik, ulamak, dan mufti adalah golongan cerdik
pandai (cendekiawan) yang sudah pasti mendapat kedudukan tinggi dalam
masyarakat. Pendapat dan kata kata mereka sudah pasti diterima oleh kebanyakkan
orang kerana mereka pakar dan mempunyai ilmu yang tinggi di dalam bidang masing
masing.
Oleh sebab mereka mempunyai kedudukan
yang tinggi dalam masyarakat dan kata kata mereka diterima pula oleh ramai
anggota masyarakat, mereka perlulah membebaskan diri mereka daripada sebarang
ideologi politik kepartian. Maksudnya di sini mereka tidak boleh menganut apa
apa fahaman politik atau menyokong mana mana parti politik. Mereka bebas
berbahas dan berbicara mengenai apa apa isu atau masalah politik tetapi mereka
tidak boleh menyebelahi mana mana parti politik.
Apabila seseorang cendekiawan itu
sudah menganut sesuatu fahaman politik atau menyokong mana mana parti politik,
pendapat yang mereka keluarkan sudah menjadi tidak relevan lagi. Ini kerana
mereka pasti tidak membuat keadilan dalam menyampaikan kebenaran terhadap
sesuatu perkara, masalah, atau isu. Pendapat dan ilmu mereka pasti akan
terkongkong dalam ideologi politik kepartian yang mereka anuti itu.
Apabila berlaku pertembungan antara
kebenaran dengan kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin parti politik yang
mereka sokong tadi, cendekiawan itu pasti akan memilih untuk menutup kesilapan
yang dilakukan oleh pemimpin parti politik yang disokongnya dan pada masa yang
sama menutup kebenaran tersebut. Ini kerana mereka takut parti yang mereka
sokong itu akan kuluhum jika kebenaran itu dibongkar. Mereka pasti akan
menggunakan ilmu dan kepakaran mereka itu untuk menutup kebenaran demi untuk survival
parti politik yang mereka sokong.
Apabila cendekiawan ini menganut apa
apa fahaman politik kepartian, mereka mudah untuk mengeluarkan sesuatu pendapat
atau hujah yang sememangnya tidak perlu dikeluarkan pun tetapi mereka tetap
mahu keluarkan supaya masyarakat menjadi keliru dan parti politik yang mereka
sokong tadi boleh mengaut keuntungan daripada kekeliruan tersebut. Mereka mula
menyentuh isu isu perkauman atau keagamaan supaya mesyarakat menjadi tidak
tenteram kemudian mereka akan mengeluarkan hujah hujah dangkal supaya parti
politik yang mereka sokong tadi akan menjadi juara dalam memecahkan kekeliruan
yang mereka lakukan.
Tidak salah sebenarnya untuk
cendekiawan ini menganut apa apa fahaman politik. Mereka bebas untuk
menganggotai atau menyokong parti politik apa pun tetapi bolehkah mereka
memberi jaminan yang mereka akan menabalkan keadilan jika berlaku pertembungan
dengan kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin parti politik yang mereka sertai
itu? Jika tidak boleh, maka tidak perlulah mereka menyertai atau menyokong mana
mana parti politik.
Sebagai contoh apabila berlaku
penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin parti politik yang mereka
sokong itu, di kala itu para cendekiawan ini mesti mengkritik pemimpin yang
membuat penyalahgunaan kuasa itu supaya pemimpin itu boleh disingkirkan. Tetapi
jika mereka tidak membuat kritikkan sebaliknya membuat pelbagai hujah hujah
dangkal untuk menyokong penyalahgunaan kuasa itu, maka mereka sudah pun tidak
jujur dengan diri dan ilmu mereka. Inilah sebab mengapa cendekiawan tidak boleh
menganut apa apa fahaman politik.
Walau apa pun, cendekiawan mesti
berpihak kepada masyarakat dan kebenaran bukan kepada politik kepartian. Jika
cendekiawan menutup kebenaran semata mata kerana sokongan mereka yang tidak
berbelah bahagi itu kepada parti politik, masyarakat pasti akan berpecah belah.
Kebenaran yang sepatutnya diketahui oleh semua anggota masyarakat tidak
didedahkan kerana wujud cendekiawan yang penipu dan tidak jujur dengan ilmu
mereka.
Cendekiawan yang takut untuk
mendedahkan kebenaran, penipu, dan tidak jujur dengan ilmu tidak layak menjadi
cendekiawan. Begitu juga dengan cendekiawan yang suka melihat masyarakat
menjadi huru hara. Mereka ini hanyalah sebagai perosak kepada masyarakat,
agama, bangsa, dan negara.
Seorang cendekiawan mesti berani
untuk menyatakan kebenaran walaupun pelbagai risiko yang dihadapi oleh mereka.
Cendekiawan yang mempunyai ilmu yang tinggi mesti menggunakan ilmu mereka untuk
pembangunan agama, bangsa dan tanah air bukannya membuat penyelewengan dengan
menggunakan ilmu yang tinggi tersebut.
Saya sangat suka melihat cendekiawan
yang hebat seperti Prof. Diraja Ungku Aziz, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria dan
Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah. Inilah cendekiawan yang mesti dicontohi oleh
semua cendekiawan yang ada di Malaysia ini. Cendekiawan jangan sesekali
menggunakan ilmu mereka untuk menutup kebenaran dan menabalkan penyelewengan.
Semoga ramai cendekiawan di Malaysia ini mampu untuk memberi khidmat bakti
dengan menggunakan ilmu mereka yang banyak itu untuk kemajuan agama, bangsa,
dan negara.
jadi berani sgt pu beri kesan negatif pd diri...so ramai berdiam diri
BalasPadamsy lebih respect pada cendekiawan yang berpegang teguh pada prinsip agama...yg betul tetap betul yg slaah tetap salah
BalasPadamBenar. Malang, kini cendekiawan juga turut terlibat dalam hal kutuk mengutuk ni. Mereka sepatutnya mampu menjadi lebih baik. Berdakwah dengan cara terhormat. Sangat menyedihkan..:(
BalasPadam*Salam Aidiladha buat MNH dan keluarga..:)
Betul2 yg haziq tulis tu
BalasPadam