Datuk Seri Osman
memandang ke luar tingkap pejabatnya yang tiga kali lebih besar dari dirinya
itu. Dia melihat banyak kenderaan seperti kereta, motosikal, lori dan bas berpusu
pusu untuk menuju ke destinasi masing masing di luar pejabatnya. Dia turut
melihat beberapa orang manusia yang lalu lalang juga untuk menuju ke destinasi
masing masing yang tidak diketahui olehnya.
Kemudian matanya
terarah pula kepada bangunan bangunan yang tersergam indah yang berada di
hadapan matanya. Dia tersenyum bangga. Dahulu negara itu pernah dijajah oleh
beberapa kuasa dunia. Dia sendiri tidak percaya bahawa negara bekas tanah
jajahan itu mampu menjadi sebuah negara membangun hasil perjuangan pahlawan
pahlawan dan Perdana Menteri terdahulu.
Tiba tiba
matanya tertancap pada Bangunan Parlimen. Hatinya berasa gundah gulana semula. Dia
melihat senaskhah surat
khabar yang terletak di atas meja kerjanya. Tajuk muka depan akhbar itu amat
menggerunkannya. ‘Kerajaan Sekarang Perlu Bersedia Untuk Jadi Pembangkang :
Prof Dr Hasli.’ Begitulah tajuk utama akhbar tersebut. Akhbar yang mempunyai
jumlah pembaca yang agak tinggi di negara itu.
Dia membaca lagi
akhbar tersebut. sudah dua tiga kali akhbar itu dibaca. Sudah dua tiga kali dia
membaca artikel yang sama. Artikel satu temu ramah dengan seorang ahli akademik
yang agak berpengaruh di Malaysia .
Prof Dr Hasli bukan calang calang orang. Professor dalam bidang politik itu
mempunyai satu pandangan yang kreatif dan kritis. Banyak ramalannya dalam
politik mampu menjadi kenyataan.
Datuk Seri Osman
meletakkan semula akhbar itu. Sebagai seorang Perdana Menteri dan seorang
Presiden sebuah parti politik yang telah memerintah negara itu hampir 60 tahun,
membaca artikel seperti itu bukanlah satu perkara yang baik. Lebih lebih lagi
perkara itu dilontarkan oleh seorang ahli akademik yang sangat terkenal dan
berpengaruh.
Sebelum ini
partinya diterajui oleh lima
orang Perdana Menteri. Semuanya mengekalkan prestasi yang agak baik dalam
pilihan raya umum. Kecuali Perdana Menteri sebelumnya yang telah membuatkan
negara itu menjadi Tsunami Politik seketika. Tiba tiba sahaja suara parti
pembangkang menjadi kuat. Namun begitu, dia telah berjaya mengekalkan suara majoriti
dalam parlimen pada pilihan raya umum yang lalu.
Tetapi, adakah
partinya mampu untuk memerintah dan mentadbir negara itu pada pilihan raya umum
yang akan datang? Mampukah partinya mendapat majoriti di parlimen pada masa
akan datang sedangkan pada masa yang sama suara pembangkang semakin hari
semakin kuat? Itulah persoalan yang kerap muncul di kotak fikirannya.
Tiba tiba pintu
biliknya diketuk. “Masuk!” Arahnya. Terpacul wajah Ahmad – setiusaha sulitnya
di muka pintu. Dia melihat Ahmad sedang memegang senaskhah akhbar. Dia yakin
pasti Ahmad sudah membaca berita itu.
“Datuk sudah
baca berita muka depan akhbar ini?” Soal Ahmad sambil duduk di hadapannya tanpa
meminta izin terlebih dahulu.
Dia tidak kisah
tentang perkara itu. Dia tidak mengaanggap itu sebagai biadab dan kurang ajar.
Ahmad sudah lama bekerja dengannya. Ahmad seorang pekerja yang baik dan
berdedikasi. Datuk Seri Osman mengangguk.
“Jadi apa
pendapat Datuk?” Ahmad bertanya lagi.
“Entahlah, kamu
rasa?”
“Saya rasa Datuk
kena ambil tindakan dengan segera. Kalau terlewat sudah pasri ramalan Prof Dr
Hasli ini boleh jadi kenyataan.”
Datuk Seri Osman
memandang wajah Ahmad dalam dalam. Kerutan di dahinya semakin bertambah kerana
memikirkan sesuatu. Dia mencari idea untuk menyelesaikan masalah yang sedang
berlaku itu.
“Tolong jemput
Prof Dr Hasli untuk ke pejabat saya esok.” Datuk Seri Osman memberi arahan.
“Baiklah.” Ahmad
akur dengan arahan Datuk Seri Osman itu. Dia tahu sudah pasti Datuk Seri Osman
mempunyai agenda tersendiri apabila menjemput Prof Dr Hasli ke pejabatnya esok.
Datuk Seri Osman seorang yang bijak. Ahmad yakin Datuk Seri Osman dapat
menyelesaikan masalah yang melanda kerajaan dan parti pimpinannya sekarang.
…………………………………………………………………………………………
Prof Dr Hasli
agak terkejut sebenarnya apabila dia dikunjungi oleh Ahmad yang merupakan
setiausaha sulit Perdana Menteri. Mana tidaknya, belum pernah lagi Ahmad
berkunjung ke pejabatnya di Universiti Bumiputra itu dan belum pernah lagi
Perdana Menteri menjemputnya datang ke pejabat. Dia yakin sudah pasti Datuk
Seri Osman mempunyai perkara penting yang hendak dibincangkan bersamanya, jika
tidak sudah pasti Datuk Seri Osman tidak akan menjemput datang ke pejabat pada
hari itu.
Sampai sahaja di
pejabat Perdana Menteri, dia perlu melalui pelbagai pos kawalan dari tingkat
bawah bangunan Perdana Menteri sehinggalah ke tingkat atas. Setiap pos kawalan
yang dilaluinya, sudah pasti tubuh badannya akan diperiksa oleh pegawai polis
yang bertugas di situ. Itu adalah perkara biasa apabila berkunjung ke pejabat
orang besar negara. Semua itu dilakukan untuk menjaga keselamatan Perdana
Menteri daripada mana mana ancaman untuk membunuhnya.
Apabila dia
sampai sahaja di pos kawalan terakhir, dia diperiksa sekali lagi dan dibawa
menuju ke bilik Perdana Menteri. Dia menunggu di luar seketika apabila seorang
anggota polis yang mengiringinya masuk ke bilik itu sebentar.
“Awak boleh
masuk sekarang.” Ujar anggota polis yang berusia dalam lingkuangan 40an itu
setelah keluar dari bilik Perdana Menteri.
“Terima kasih.”
Ucap Prof Dr Hasli sambil tersenyum. Kemudian dia menghadiahkan sebuah senyuman
kepada anggota polis yang serius itu sebelum masuk ke dalam bilik Perdana
Menteri.
“Prof Hasli,
sudah lama kita tak berjumpa. Kali terakhir kita jumpa masa Prof bagi seminar
tentang politik Islam kat Universiti Bumiputra tahun lepas. Sila duduk Prof.”
Datuk Seri Osman menyambut Prof Dr Hasli dengan ramah.
“Terima kasih
Datuk.” Ucap Prof Hasli dan duduk di salah sebuah sofa empuk yang terletak di
sudut bilik kerja Perdana Menteri itu.
“Ada apa Datuk nak jumpa
saya? Tak pernah lagi Datuk suruh saya datang ke mari?” Soal Prof Hasli tanpa
rasa gentar.
“Semalam saya
ada terbaca artikel awak tentang parti saya perlu bersedia jadi pembangkang.
Sekarang saya nak tahu mengapa awak cakap macam tu kat wartawan?” Soal Datuk
Seri Osman tanpa berbasa basi lagi.
“Sebagai seorang
ahli akademik, saya perlu berjuang untuk kepentingan agama, bangsa dan negara
saya bukan untuk survival mana mana ahli politik atau parti politik.” Jawab
Prof Hasli tenang.
“Sekarang saya
nak tahu apa salah kerajaan sampai awak kata kami perlu bersedia jadi
pembangkang?”
“Betul Datuk nak
tahu?”
“Ya, saya nak
tahu.” Jawab Datuk Seri Osman. Sebagai seorang pemimpin dia perlu mendengar
luahan hati seorang rakyat lebih lebih lagi luahan hati itu dilontarkan oleh
seorang ahli akademik seperti Prof Hasli.
“Cuba Datuk
tengok apa yang Datuk dah buat. Dahulu sebelum pilihan raya, Datuk kata Datuk
nak berubah tapi rupa rupanya tidak. Datuk masih kekalkan perangai lama Datuk.
Datuk menaikkan harga bahan bakar, tariff elektrik, Datuk perkenalkan cukai GST
, Datuk naikkan harga gula, semua itu adalah punca kenapa rakyat sudah muak dan
jelak dengan kerajaan yang Datuk pimpin ini. Hidup mereka tertekan. Rakyat kita
terutama orang Melayu, bukan semuanya kaya raya. Mereka terpaksa menghadapi
tekanan hidup ini akibat dasar dasar yang Datuk cipta bersama suku sakat
Datuk.” Prof Hasli memberi penerangan dengan berani.
Tidak ada rasa
gentar sedikit pun kelihatan di wajahnya. Datuk Seri Osman sendiri akan
tersentak dengan keberanian Prof Hasli itu.
“Itulah yang
semua rakyat tak faham. Bukan senang nak mentadbir sebuah negara. Saya buat
semua tu untuk kukuhkan ekonomi negara kita juga. Untuk pembangunan negara kita
juga.” Datuk Seri Osman mempertahankan tindakannya.
“Datuk jangan
lupa, bukan semua rakyat negara ini faham tentang masalah yang Datuk hadapi.
Mereka tidak kisah tentang semua tu. Yang mereka kisahkan adalah macam mana
mereka nak terus hidup dan makan di negara ini. Itu sahaja! Lagipun kalau Datuk
dan para menteri yang lain menguruskan kewangan negara dengan baik, saya yakin
Datuk tak perlu ambil tindakan yang membebankan rakyat macam ni. Tapi bila kita
lihat laporan Ketua Audit Negara, nampak sangat Datuk dan para menteri yang lain
gagal menguruskan kewangan negara ini dengan berkesan. Berjuta juta ringgit
hilang macam tu saja.” Prof Hasli membentangkan pendapatnya.
Datuk Seri Osman
terdiam. Banyak benarnya kata kata Prof Hasli itu. Selama ini dia tidak sedar
apa yang telah dia lakukan. Dia hanya bertindak mengikut suara hatinya dan
suara para penasihatnya namun dia lupa untuk bertindak mengikut suara hati
rakyat. Itulah kesilapan yang telah dia lakukan.
“Datuk kena
ingat satu perkara. Rakyat sekarang sudah tak tahan lagi. Mereka dah tak sabar
mahu menunggu pada pilihan raya umum yang akan datang. Mereka dah tak sabar nak
tukar kerajaan sekarang. Sebab itu saya kata kerajaan yang Datuk pimpin ini
perlu bersedia jadi pembangkang. Cuba Datuk lihat, apa lagi janji yang Datuk
tak tunaikan? Sebelum pilihan raya dulu Datuk janji nak beri duit kepada setiap
isi rumah RM1500 tapi bila perbentangan belanjawan hari tu di Parlimen, Datuk
hanya beri RM650 saja. Nampak sangat Datuk mungkin janji. Rakyat benci kepada
pemimpin yang mungkir janji.” Prof Hasli terus menghentam tetapi dalam nada
yang lembut.
“Ingat Datuk,
panas tak akan membawa ke petang, hujan juga di tengah hari. Parti Datuk takkan
selama lamanya memerintah negara ini. Ingat! Suatu hari nanti pasti parti Datuk
akan tewas dalam pilihan raya dan parti Datuk akan jadi parti pembangkang pula.
Datuk bernasib baik pada pilihan raya yang lalu kerana tidak kalah walaupun
pada pilihan raya itu merupakan tahun paling getir dalam sejarah pilihan raya
dalam negara ini. “ Prof Hasli menyambung apabila tidak mendapat sebarang
tindak balas dari Datuk Seri Osman.
“Betul cakap
Prof tu. Saya sebenarnya sudah silap. Saya benar benar menyesal.” Kata Datuk
Seri Osman lemah. Dia menarik nafas dalam dalam dan menghempaskan satu keluhan
berat.
Datuk Seri Osman
hanya bungkam. Dia cuba
mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapinya sekarang di
samping memikirkan kebenaran kata kata Prof Hasli. Selama ini dia tidak pernah
memikirkan tentang masalah rakyat. Apa yang ada di fikirannya adalah bagaimana
mahu mempetahankan kuasa dan mendapat majoriti di Parlimen.
Sudah sampai
masanya dia perlu berubah. Dia mengambil keputusan untuk mengambil kira
pendapat Prof Hasli dan mengubah apa yang telah berlaku demi survival politik
dan survival partinya. Jika dia tidak berubah, dia yakin kata kata Prof Hasli
bahawa dia perlu bersedia untuk jadi pembangkang semakin menjadi kenyataan. Datuk
Seri Osman mula menanam azam. Dia mengambil keputusan untuk berubah dan
mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinannya.
…………………………………………………………………………………………..........................
Negara ini mesti
bebas dari rasuah dan perasuah. Semakin ramai ahli politik yang terlibat dalam
rasuah dan mereka tidak dikenakan sebarang hukuman, nescaya kepercayaan
masyarakat terhadap partinya kian tipis. Dia yakin dengan terbuangnya banyak
ahli politik yang terlibat dalam rasuah, dia yakin negara ini akan menjadi
lebih baik.
Bukan itu
sahaja, pelaksanaan cukai GST, kenaikan harga bahan bakar dan tariff elektrik
juga ditangguhkan buat sementara waktu. Beliau menaikkan bantuan setiap isi
rumah daripada RM650 kepada RM1500. Itu ada janji dalam manifesto partinya
dahulu walaupun parti pembangkang mengatakan itu adalah gula gula pilihanraya.
Dia sudah tidak kisah dengan dakwaan pembangkang itu lagi.
Apa yang penting
adalah rakyat hidup dengan baik dan bahagia. Dia akan cuba buat yang
terbaik demi kebaikan rakyatnya. Namun begitu, ini bukan bermaksud dia akan
memberi segala apa yang rakyat minta. Dia hanya melakukan apa yang termampu
sahaja. Itu pun sudah ada rakyat yang tidak berpuas hati. Namun dia yakin,
sampai bila pun kita tidak akan mampu memuaskan hati semua orang.
Jadi, dia hanya
dapat melakukan apa yang dia mampu sahaja. Tanggungjawab sebagai Perdana
Menteri memang mencabar. Oleh itu, dia akan cuba sedaya upaya untuk berbakti
kepada rakyat dengan sebaik mungkin. Namun, dia tidak yakin Perdana Menteri
seterusnya akan mengikut jejak langkahnya dan dia amat berterima kasih dengan
Prof Dr Hasli kerana telah menyedarkannya akan tanggungjawab yang perlu
dipikulnya.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.