Khamis, 19 Disember 2013

CERPEN : PELAWAK BERSARA

Pada minggu hadapan Kampung Mantik akan mengadakan pertandingan lawak. Sudah pasti ramai pelawak dan seniman dari Kampung Mantik dan kampung kampung yang berdekatan akan turut serta dalam pertandingan lawak itu. Penghulu Ahmad selaku penghulu di kampung itu telah menyediakan hadiah yang agak lumayan pada tahun ini. Sebenarnya pertandingan lawak ini telah dibuat selama tiga tahun berturut turut. Sepanjang tempoh itu, sambutan penduduk kampung amat menggalakkan. Pertandingan itu bukan sahaja ditonton oleh penduduk Kampung Mantik, malahan penduduk kampung yang berdekatan.

Pertandingan ini bukan sahaja memberi hiburan kepada penduduk kampung, malahan boleh mengeratkan perpaduan di antara mereka. Pertandingan ini juga boleh menarik ramai pelancong dan pengunjung yang mahu menonton pertandingan lawak itu. Sudah pasti dapat menjana keuntungan dan meningkatkan ekonomi penduduk setempat. Ini adalah cetusan idea daripada Penghulu Ahmad sendiri. Bekas pesara guru itu memang seorang yang bijak. Oleh sebab itu, dia amat disenangi oleh penduduk Kampung Mantik.

Pertandingan lawak pada tahun ini akan diadili oleh empat orang juri. Juri yang pertama bernama Datuk Mansur. Beliau adalah wakil rakyat di kawasan itu. Dia amat disenangi oleh penduduk setempat. Seorang yang baik hati dan tidak sombong. Dia sangat disayangi oleh penduduk setempat kerana sifatnya yang selalu membantu rakyat di dalam kesusahan. Tidak hairanlah dia mampu menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama empat penggal. Selama ini dia hanya menjadi penonton sahaja. Apabila penghulu Ahmad menawarkan jawatan juri kepadanya dalam pertandingan itu, dia lantas bersetuju.

Juri yang kedua pula adalah Ibu Sunarti. Pelakon panggung bangsawan veteren yang sudah bersara dalam dunia lakonan. Keluarganya berasal dari Indonesia. Dia sudah lama menetap di bumi Malaysia semenjak sebelum merdeka lagi. Dia juga telah berkahwin dengan orang tempatan dan dikurniakan tiga orang anak serta dua orang cucu.

Juri yang ketiga pula adalah Siti Zarina. Pemenang Pertandingan Ratu Kebaya sebanyak tiga tahun berturut turut. Seorang yang sangat cantik dan menjadi kegilaan pemuda pemuda kampung suatu ketika dahulu. Namun, dia memilih Nasri yang merupakan seorang petani di kampung itu. Ramai orang terkejut kerana dia memlih Nasri yang miskin itu sebagai suami sedangkan begitu ramai pemuda pemuda kaya yang masuk meminangnya.

Namun, semua pinangan itu ditolak termasuk pinangan anak Penghulu Ahmad sendiri iaitu Mizan. Itulah namanya jodoh. Jodoh tidak mengenal pangkat dan harta. Apabila diselidiki betul betul, tahulah mengapa Siti Zurina boleh jatuh hati dengan Nasri. Nasri bukan sahaja tampan malah rajin dan bertanggungjawab. Tidak hairanlah sekarang mereka boleh hidup senang setelah tanaman Nasri kini dikomersialkan setelah mendapat bantuan dari kerajaan.

Juri yang keempat adalah Tuan Haji Suhaimi Ali. Seorang penulis dan sasterawan yang terkenal di Malaysia. Beliau adalah anak kelahiran Kampung Mantik. Beliau kini bekerja sebagai seorang wartawan bahagian pengembangan sastera dalam sebuah akhbar tempatan. Beliau diundang sebagai juri kerana beliau adalah seorang pengkritik sastera yang agak kritikal. Dengan adanya beliau, sudah pasti pertandingan itu akan bertambah hangat dan kecoh kerana kepedasannya dalam mengkritik.

Peserta peserta yang menyertai pertandingan kali ini semuanya hebat hebat berlaka. Pelawak pelawak muda dan tua berganding bahu untuk menjayakan pertandingan itu termasuklah Borhan dan Baha. Pasangan adik beradik ini memang terkenal sebagai pelawak. Datuk dan bapa mereka adalah seniman panggung bangsawan suatu ketika dahulu. Sebenarnya sudah tiga tahun mereka menyertai pertandingan itu namun tidak pernah berjaya mendapat tempat pertama.

Mereka berharap agar pada tahun ini mereka berjaya meraih tempat pertama. Mereka adalah pelawak senior Kampung Mantik. Sudah lama mereka mencari rezeki dengan cara berlawak dengan penduduk kampung di samping mengusahakan kedai runcit tinggalan arwah ibu mereka.

"Aku rasa kali ni kita mesti menang. Kita kena membuat persediaan yang lebih rapi lagi kalau kita nak menang." Ujar Borhan dengan nada yakin ketika mereka sedang minum pagi di Warung Wak Pan.

"Betul tu. Tapi boleh ke kita kalahkan pelawak pelawak junior tu? Aku tengok mereka semua hebat hebat." Soal Baha.

"Boleh. Kita dah melawak selama dua puluh tahun. Mereka tu baru nak melawak. Kita pasti boleh menang punya. Hahaha!" Jawab Borhan dengan yakin.

"Amboi, berlagaknya kau Borhan. Tiga tahun lepas yang kamu berdua bertanding dengan budak budak muda tu pun tak dapat tempat pertama, macam mana kamu kata tahun ni kamu boleh kalahkan mereka? Aku rasa tahun ni kamu berdua akan kalah teruk." Wak Pan yang muncul dari dapur warung itu tiba tiba bersuara.

"Wak Pan jangan pandang kami tak ada mata. Kami dah lama dalam bidang lawak ini. Wak Pan sepatutnya bagi kami semangat, bukannya jatuhkan semangat kami." Borhan sudah mula naik berang dengan lelaki Jawa itu.

"Aku bukannya nak jatuhkan semangat kalian. Tapi aku cuma nak bagi peringatan. Jangan terlalu yakin nanti merana badan." Ujar Wak Pan. Lelaki yang berusia 57 tahun telah lama membuka warung di kampung itu sejak dia muda lagi.

"Sudahlah! Tak guna kita layan Wak Pan ni. Lebih kita balik dan cari idea untuk lawak kita tu. Pertandingan tu dah nak dekat." Borhan sudah mula meninggalkan warung itu.

"Minta maaflah Wak Pan. Abang saya tu memang angin satu badan. Dia tak suka orang kritik dia." Kata Baha sambil menyerahkan duit RM10 kepada Wak Pan sebagai bayaran kepada sarapan pagi mereka di warung itu.

"Baki duit ni kamu tak nak?" Soal Wak Pan kepada Baha yang dilihat sudah mahu meninggalkan warung itu.

"Wak Pan ambil sajalah. Saya sedekah." Jawab Baha dan mula meninggalkan warung Wak Pan.

Wak Pan hanya tersenyum. Tiba tiba perasaan bersalah menerjah hatinya kerana telah menimbulkan kemarahan Borhan. Dia tidak ada niat untuk menghina atau mengutuk Borhan. Dia cuma memberi peringatan kepada Borhan agar tidak terlalu angkuh.

"Sabarlah bang. Jangan marah marah. Wak Pan cuma cakap saja." Ujar Baha memujuk abang sulungnya.

"Aku bukan apa. Kata kata dia tu melampau sangat. Agak agaklah kalau nak cakap pun." Borhan mula merungut.

"Kita tak payahlah ambil hati dengan orang tua tu. Sekarang kita kena cari idea macam mana kita nak berlawak nanti." Ujar Baha.

"Betul cakap kau tu. Tak guna kita nak fikir pasal orang tua tu. Bukannya ada faedah pun. Lebih baik kita fikir pasal kita punya pertandingan tu." Kata Borhan. Mereka berjalan beriringan pulang ke rumah.



Pada minggu pertama pertandingan itu bermula, sambutan yang diterima daripada penduduk kampung amat menggalakkan. Hampir 100 000 orang membanjiri padang Sekolah Menengah Sultan Ismail untuk menyaksikan padang itu. Semua pelawak pelawak dari Kampung Mantik dan kampung kampung yang berdekatan membuat persembahan. Apa yang mencari tumpuan adalah pelawak bernama Opie yang berlawak secara solo sedangkan semua peserta pertandingan itu membuat persembahan secara berkumpulan.

Sebelum ini Opie telah bergabung dengan Borhan dan Baha. Pada pandangan mereka berdua, dengan adanya Opie, seorang pelawak muda dan berbakat besar mereka boleh meraih tempat pertama namun langkah mereka itu ternyata silap. Mereka masih mengekalkan tempat ketiga walaupun sokongan yang mereka terima daripada penonton amat menggalakkan. Mungkin pandangan juri tidak sama dengan pandangan penonton.

Pada tahun lepas, kumpulan yang diwakili oleh Karim dan Yassin telah mendapat tempat pertama. Mereka yang sebenarnya pelawak sejati sememangnya layak untuk mendapat tempat pertama. Selama tujuh minggu pertandingan itu dijalankan, mereka sentiasa mendapat komentar komentar yang positif daripada pihak juri. Namun pada tahun ini mereka tidak dapat menyertai pertandingan itu kerana Karim mempunyai masalah kesihatan manakala Yassin telah mendapat tawaran kerja sebagai posmen di Kuala Lumpur. Oleh kerana begitu banyak kekangan, mereka tidak dapat mengikuti pertandingan itu.

Dengan ketiadaan Karim dan Yassin, maka Borhan dan Baha merasakan inilah peluang mereka untuk mendapat tempat pertama. Mereka lebih senior daripada Karim dan Yassin. Mereka telah menghiburkan penduduk penduduk Kampung Mantik dengan lawak lawak mereka.

Walaupun Opie bertandingan secara berseorangan, namun persembahannya tidak mengecewakan. Opie mendapat komentar komentar yang positif daripada juri. Apabila tiba giliran Borhan dan Baha, mereka mula membuat persembahan. Pada awalnya persembahan mereka tidak mengecewakan. Tiba tiba Baha telah mengundang kemarahan penonton dengan mengatakan :

"Semalam saya telah melawat mangsa banjir di Kampung Pulau. Mereka semua bencikan saya. Mereka kata bawalah budak gemuk ini pergi dari kampung ini sebab budak gemuk ini akan menghabiskan makanan kita." Begitulah kenyataan kenyataan lawak yang keluar dari mulut Baha.

Penduduk Kampung Pulau yang baru sahaja dilanda banjir berasa terhina dengan lawak yang dibuat oleh Baha itu. Mereka berasa terhina atas ucapan Baha itu. Walaupun ada penonton yang ketawa tetapi penonton penonton dari Kampung Pulau telah mengganggu persembahan lawak yang dibuat oleh Borhan dan Baha. Mereka membuat bising dan mula membaling botol minuman ke atas pentas. Keadaan sudah bertukar kecoh seketika sehingga memaksa Penghulu Ahmad bertindak.Dia berjaya mententeramkan suasana seketika. Persembahan mereka terpaksa dihentikan seketika.

"Sabar tuan tuan. Saya harap sangat tuan tuan bersabar. Jangan cuba buat kecoh kat sini." Ujar Penghulu Ahmad dengan nada lembut namun disulami dengan ketegasan.

"Macam mana kami tak marah tok. Dia hina kampung kami." Terdengar satu suara lelaki yang entah dari mana.

"Ya, saya tahu. Tapi saya harap tuan tuan boleh bersabar. Dia tak sedar apa yang dia cakap sebenarnya tu." Kata Penghulu Ahmad.

"Saya harap sangat kamu berdua tak hina mana mana pihak lagi. Jaga jaga dengan kata kata kamu berdua." Penghulu Ahmad memberi amaran kepada Borhan dan Baha.

"Maafkan kami tok. Maafkan kami jika lawak lawak kami menyinggung perasaan tuan tuan dan puan puan sekalian." Baha meminta maaf.

Apabila keadaan kembali tenang, mereka mula membuat persembahan semula. Namun sekali lagi mereka mengundang kemarahan penonton.

"Baha, Baha." Borhan memanggil adiknya.

"Ya bang." Sahut Baha.

"Kau tahu tak kenapa kita kalah pada tahun lepas?" soal Borhan di atas pentas itu.

"Tak bang. Kenapa kita kalah? Kita tak lawak ke?" Baha pura pura bertanya. Mereka berharap agar lawak mereka kali ini menjadi.

"Bukan. Tapi sebab ahli baru kita tu yang buat kita kalah. Dia tak pandai buat lawak pun. Dia langsung tak beri kerjasama. Tapi hadiah kena bagi dia juga." Jawab Borhan.

"Siapa dia bang? Oh saya tahu. Opie kan?" Soal Baha sambil tersenyum.

"Jangan sebut nama dia tapi pandai adik abang ini." Kata Borhan dan mereka tertawa bersama.

Lawak lawak mereka itu sekali lagi menimbulkan ketegangan di padang itu. Penyokong penyokong Opie mula bising kerana pelawak mereka dihentam teruk oleh Borhan dan Baha. Mereka bersorak kemarahan. Mereka mula membaling botol mineral ke arah Borhan dan Baha. Apabila keadaan tidak boleh dikawal lagi, sekali lagi Penghulu Ahmad terpaksa bertindak untuk mententeramkan keadaan.

"Sekali lagi saya minta tuan tuan bertenang. Jangan buat kecoh kat sini." Penghulu Ahmad memberi amaran. Keadaan sudah bertukar kecoh. Penonton sudah mula merusuh. Ada yang diantara mereka mahu naik ke pentas untuk memukul Borhan dan Baha. Melihat keadaan yang semakin tegang itu membuatkan pihak polis yang berkawal terpaksa campur tangan. Mereka mula menahan orang orang kampung yang membuat rusuhan. Serta merta beberapa orang kampung ditahan.

Datuk Mansur yang bertindak sebagai juri terpaksa dibawa keluar dari padang itu oleh pihak polis untuk tujuan keselamatan. Padang Sekolah Menengah Sultan Ismail itu sudah seperti padang jarak padang terkukur. Pertandingan pada malam itu terpaksa ditangguhkan pada esok hari. Apabila keadaan sudah terkawal, Penghulu Ahmad lantas berjumpa dengan Borhan dan Baha.

"Kenapa dengan kamu berdua ni? Aku dah beritahu pada kamu supaya berhati hati dengan lawak yang kamu buat. Kenapa kamu degil? Cuba kamu lihat. Akibat perbuatan kamu, pertandingan ini terpaksa ditangguhkan. Peserta yang sepatutnya buat persembahan tak dapat nak buat persembahan pada malam ni sebab kamu berdua. Sebab kamu berdua juga orang kampung mula merusuh sampai pihak polis terpaksa masuk campur." Penghulu Ahmad menghamburkan kemarahannya kepada mereka.

"Kami tak buat salah apa pun tok. Kami cuba berlawak saja." Ujar Borhan mempertahankan dirinya dan Baha.

"Tak salah kamu kata? Kalau tak salah kenapa mereka merusuh? Itu bermakna kamu salah. Buat lawak dengan cara kutuk orang. Itu bukan lawak yang baik. Itu lawak bodoh!" Penghulu Ahmad benar benar marah.

Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia memotong dadu budak berdua di hadapannya ini. Mahu diajar sudah tua. Seorang berumur 50 tahun dan seorang lagi berumur 48 tahun. Kalau 15 dan 14 tahun sudah lama makan penampar sulung darinya.

"Sudahlah! kamu berdua ni menyusahkan orang saja." Kata Penghulu Ahmad dan terus berlalu dari situ.

Baha hanya mencebik. "Buat lawak pun salah." Ujar Baha.

Dia melihat beberapa orang pelawak yang tidak dapat membuat persembahan pada malam itu memandang mereka dengan padangan tidak berpuas hati. Barangkali mereka marah kerana tidak dapat membuat persembahan.

"Cuba abang tengok diorang tu bang. Diorang macam marah kata kita saja." Kata Baha kepada Borhan.

"Biarkan diaorang. Bukan salah kita. Salah penontonlah yang tak boleh terima lawak kita. Nak merusuh bagai buat apa." Ujar Borhan dengan angkuh.

"Jomlah kita balik. Aku dah penat ni. Sakit kepala aku kena baling dengan botol tadi." Ujar Borhan dan dia mula beredar sambil diikuti oleh Baha.

Pada malam esoknya, Pertandingan itu berjalan seperti biasa. Mana mana peserta yang mendapat markah yang rendah daripada pihak juri akan disingkirkan. Mana mana pelawak yang mendapat markah yang tinggi akan meneruskan perjuangan mereka pada minggu seterusnya. Ternyata Borhan dan Baha mendapat markah yang agak tinggi daripada pihak juri walaupun mereka berjaya membuat penonton merusuh semalam.

Kejadian pada malam Sabtu itu menjadi bualan hangat di Kampung Mantik dan kampung kampung di sekitarnya. Di kedai kopi, di pekan, di rumah dan di masjid pun orang masih tidak henti henti bercakap berkenaan dengan perkara itu. Rata rata mereka menyalahkan Borhan dan Baha kerana menimbulkan ketegangan itu. Mereka mendesak agar Penghulu Ahmad yang bertindak sebagai penganjur mengeluarkan Borhan dan Baha daripada pertandingan itu.

"Aku tak boleh buat macam tu. Penyingkiran akan berlaku jika mereka dapat markah yang rendah. Masalahnya markah mereka masih tinggi." Kata Penghulu Ahmad apabila dia didesak oleh penduduk kampung yang mahu dia menyingkirkan pasangan adik beradik itu daripada menyertai pertandingan lawak itu di warung Wak Pak.

"Habis sampai bila kita nak simpan budak berdua tu. Minggu lepas dia kutuk orang Kampung Pulau dengan Opie. Minggu ni siapa pula dia nak kutuk. Dia dah kutuk tok penghulu baru tok nak ambil tindakan?" Ujar Imam Sulaiman.

"Walau macam mana pun kita kena ikut procedure yang ditetapkan. Kita tak boleh buat sesuka hati kita." Kata Penghulu Ahmad.

Imam Sulaiman dan penduduk kampung tidak dapat berbuat apa apa. Walaupun mereka tidak suka Borhan dan Baha memasuki pertandingan itu namun semua keputusan terletak di tangan Penghulu Ahmad. Mereka tahu Penghulu Ahmad seorang yang adil dan bijak. Dia tidak akan mengambil keputusan secara terburu buru. Suka atau tidak mereka tetap akan melihat Borhan dan Baha dalam pertandingan itu.

Pada minggu kedua dan ketiga pertandingan itu dijalankan, Pretasi setiap peserta semakin meningkat. Kebanyakan peserta telah berjaya menghiburkan penonton. Namun, ada juga peserta peserta yang gagal untuk membuat persembahan dengan baik. Mereka dihentam teruk oleh para juri terutama Tuan Haji Suhaimi Ali yang sememangnya pedas dan laser. Borhan dan Baha juga adalah antara kumpulan yang gagal membuat persembahan yang baik.

Sepanjang persembahan itu, mereka gagal membuat penonton ketawa. Hanya beberapa lawak mereka sahaja yang lucu tetapi secara keeluruhannya persembahan mereka ternyata gagal. Mereka dikritik teruk oleh Tuan Haji Suhaimi Ali.

"Pada minggu ketiga ini saya melihat kumpulan kumpulan yang hebat gagal untuk menghibukan kami. Hanya beberapa kumpulan sahaja yang berjaya. Kumpulan Borhan dan Baha pun sama. Persembahan kamu adalah yang paling teruk sekali! Kamu langsung tidak kelakar. Kamu seperti badut bodoh di atas pentas itu. Saya mahu kamu tingkatkan prestasi kamu pada minggu hadapan." Kata Tuan Haji Suhaimi Ali.

Borhan dan Baha yang mendengar komentar pedas daripada Tuan Haji Suhaimi Ali itu berasa amat marah di atas kata kata Tuan Haji Suhaimi Ali. Tuan Haji Suhaimi Ali seperti menghina mereka. Perkataan 'badut bodoh' itu tidak sepatutnya diucapkan oleh Tuan Haji Suhaimi Ali memandangkan dia adalah seorang Sasterawan Negara.

Pada minggu keempat, pertandingan itu berjalan seperti biasa. Para penonton semakin teruja. Mereka mula mencongak congak pasukan manakah yang akan menang dalam pertandingan itu. Namun, ramai antara mereka meramalkan kumpulan Borhan dan Baha akan tersingkir awal dan memang mereka mahukan begitu. Mereka sudah tidak suka dengan lawak lawak Borhan dan Baha yang tidak lucu itu.

Pada malam itu, seperti biasa Borhan dan Baha membuat persembahan. Persembahan mereka itu bukan sahaja mengejutkan penonton malahan mereka mengejutkan pihak juri juga dengan lawak lawak mereka yang pedas dan tajam itu.

"Kau nak tahu Baha, Datuk Mansur adalah wakil rakyat pertama dalam dunia yang jadi juri dalam pertandingan lawak ini. Dia sibuk nak jadi juri pertandingan, tapi masalah longkang kat depan sekolah ni pun dia tak boleh nak selesai. Sudah busuk bau longkang tu macam bau badan kau." Ujar Borhan.

"Betul cakap abang tu. Ibu Sunarti yang dah tua kerepot tu pun nak jadi juri. Jalan pun macam orang sawan nak jadi juri." Kata Baha, Penonton mula ketawa. Mereka menjadi teruja.

"Pandai kau. Ada ke patut Siti Zurina dilantik jadi juri. Dia sepatutnya jaga anak dan suami kat rumah. Aku rasa dia patut jadi petani macam suami dia. Tanam jagung kat ladang tu. Boleh ke? Tengok lipas pun dah lari lintang pukang." Kata Borhan.

"Yang sasterawan tu pun sama. Macam bagus saja. Tulis pun novel novel cinta. Tak pernah pun baca novel dia sampai guling guling kat lantai sebab ketawa. Dia bukan pandai buat lawak pun tapi nak tunjuk pandai." Kata Baha.

Keadaan sudah menjadi kecoh. Belum pernah lagi ada peserta yang berani menghina juri sebegitu rupa. Ada yang ketawa dan ada yang mencemuh dengan lawak yang dibuat oleh Borhan dan Baha itu. Mereka seolah olah membalas dendam kepada juri kerana mengkritik mereka dengan pedas pada minggu lepas. Apabila tiba juri juri memberi ulasan, mereka dikritik teruk terutama dari Tuan Haji Suhaimi Ali.

"Pada pandangan saya, mana mana pelawak yang berlawak dengan cara menghina orang ramai sepatutnya disingkirkan. Seorang pelawak adalah penghibur masyarakat dan bukannya menghina masyarakt seperti yang kamu buat ini. Kamu sudah sepatutnya bersara. Kamu adalah pelawak bersara. Kamu berdua sudah tak ada ilham lagi untuk menghasilkan lawak lawak bermutu. Lawak lawak kamu semuanya sudah basi dan memecah belahkan masyarakat." Hentam Tuan Haji Suhaimi Ali.

Kata kata Tuan Haji Suhaimi Ali itu mendapat tepukan yang gemuruh daripada penonton. Mereka bersetuju dengan komentar yang diutarakan oleh Tuan Haji Suhaimi Ali. Seperti yang diduga oleh penonton, Borhan dan Baha tersingkir pada malam itu. Mereka benar benar terkejut apabila Penghulu Ahmad mengumukan markah mereka sebagai yang paling rendah.

Mereka benar benar sedih dan kecewa. Mereka sangkakan mereka mampu meraih tempat pertama tetapi ternyata mereka silap. Mereka kecundang pada awal permainan. Selepas pertandingan tamat, Penghulu Ahmad berjumpa dengan mereka.

"Aku dah kata. Hati hati dengan apa yang kamu katakan. Lihatlah padahnya. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Jujurnya aku  bersetuju dengan pendapat Tuan Haji Suhaimi Ali itu. Kamu adalah pelawak bersara.. Sudah sepatutnya kamu bersara daripada buat lawak lagi. Pada tahun hadapan, kalau ada lagi pertandingan ni, kamu tak payah masuk lagi. Kamu patut bersara. Kamu berdua adalah pelawak bersara." Ujar Penghulu Ahmad dan berlalu dari situ.

Borhan dan Baha sekadar memandang sahaja langkah kaki Penghulu Ahmad itu dengan pandangan sedih. Mereka benar benar sedih dan kesal. Jika difikirkan semula, benar kata Tuan Haji Suhaimi Ali dan Penghulu Ahmad. Mereka sepatutnya bersara. Mereka patut beri peluang kepada pelawak muda kerana mereka dalah pelawak bersara!

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.