Isnin, 16 Disember 2013

CERPEN : PETANDA UNTUK DIA

Matahari terpancar terik di atas kepala. Sesiapa sahaja yang berada di bawah mentari itu sudah pasti akan akan bermandi peluh. Itulah dia bumi Malaysia. Dihambat bahang panas akibat pemanasan global yang berpunca dari kerakusan manusia untuk mengejar pembangunan dan kemajuan sehingga lupa kepada kurniaan Tuhan. Akibatnya, manusia terpaksa menerima padah dan bahana ini akibat daripada perbuatan mereka sendiri.

Seman sekadar memandang sahaja anaknya dan anak anak jiran mereka bermain bersama sama di pusat pemindahan banjir itu. Sesekali dia menegur anak lelakinya apabila anaknya cuba berkasar ketika bermain. Dia benar benar terkejut dengan kejadian itu. Belum pernah lagi Kampung Pulau dilanda banjir sebelum ini. Dia sudah tinggal di kampung itu sejak lahir lagi. Tidak pernah musibah seburuk itu melanda kampung mereka. Semalam hujan turun dengan lebat seolah olah tidak mahu henti. Hatinya sudah mula tidak sedap pada waktu itu. Dia dapat merasakan akan ada perkara buruk akan berlaku dan ternyata telahannya tidak tersasar. Banjir melanda kampungnya.

Nasib baik pasukan Pertahanan Awam segera tiba untuk menyelamatkan dirinya, isteri dan anaknya yang berusia tiga tahun itu. Jika tidak, sudah pasti mereka sudah mati lemas di dalam air banjir yang setinggi bumbung rumah itu. Kampung Pulau sudah seperti lautan. Rumah rumah sudah tidak kelihatan akibat ditenggelami air yang sangat dalam. Nasib baik dia sempat menyelamatkan semua dokumen dokumen penting kepunyaan keluarga dan dirinya. Itu semua gerak rasa dari Allah untuk dia bersedia. Namun begitu, banyak harta bendanya musnah akibah bah itu.

"Jauh kau termenung Seman!" Azli menepuk bahu Seman sambil duduk di sebelahnya.

Namun Seman tidak terkejut. Dia cuma tersedar dari lamunannya seketika. Dia tersenyum memandang wajah Azli. Rumah Azli juga rosak teruk. Mereka sama sama terdampar di sekolah menengah yang menjadi pusat pemindahan banjir itu.

"Entahlah Azli. Aku sudah tinggal di kampung itu semenjak aku lahir. Belum pernah lagi kampung itu dilanda banjir." Seman seakan akan mengeluh atas keadaan itu.

"Betul cakap kau itu. Sebelum ini hanya tempat tempat lain sahaja yang banjir. Tidak sangka pula kampung kita boleh kena sekali." Ujar Azli.

"Ini semua salah Penghulu Jamil!". Mereka tersentak apabila terdengar suara itu. Mereka melihat Pak Dollah datang ke arah mereka.

"Kenapa Pak Dollah cakap macam itu?" Soal Azri kehairanan.

"Kau jangan tidak tahu Azli. Bencana yang melanda kampung kita ini adalah berpunca daripada Penghulu Jamil. Sebab dia kita semua jadi mangsa. Ini adalah petanda buat dia. Petanda buat Penghulu Jamil." Jawab Pak Dollah dengan panjang lebar. Terserlah kemarahan di wajah tuanya.

"Tak baik Pak Dollah cakap macam itu. Ini adalah ujian dari Allah buat kita. Kenapa Penghulu Jamil yang mesti disalahkan?" Soal Seman.

"Itulah yang kamu semua tidak tahu. Penghulu Jamil telah membenarkan sebuah pusat judi dibuka di kampung kita. Dia juga beri tanah kepada sebuah pusat hiburan remaja di kampung kita itu. Sebab itu Allah turunkan bala ini kepada kita. Allah nak beri amaran kepada kita supaya kita menentang perkara itu dari dilaksanakan." Pak Dollah menjawab.

"Pak Dollah biar betul? Pak Dollah jangan buat fitnah. Berdosa besar Pak Dollah." Ujar Seman tidak percaya. Dia tidak percaya Penghulu Jamil boleh buat begitu.

"Astaghfirullahalazim. Aku mana ada buat fitnah. Demi Allah Seman, Azli. Memang Penghulu Jamil ada buat macam itu." Pak Dollah tidak mahu mengalah.

"Kalau betullah apa yang Pak Dollah kata itu, kita kena ambil tindakan. Ini Allah bagi kita ujian banjir, esok esok bencana apa pula yang Allah nak beri pada kita." Ujar Azli.

"Aku dan orang orang kampung sudah berpakat. Selepas banjir surut kami mahu jumpa dengan Penghulu Jamil untuk desak dia supaya tidak teruskan pembinaan perkara pusat judi itu." Ujar Pak Dollah.

"Betul cakap Pak Dollah itu. Kita kena menentang perkara perkara yang tidak baik macam itu." Kata Seman. Pak Dollah dan Azli mengangguk setuju.



Dengan takdir Allah, banjir yang melanda sudah mula surut. Semua penduduk Kampung Pulau dibenarkan untuk pulang ke rumah masing masing termasuk Seman. Penduduk Kampung Pulau mengalami kerugian yang amat dahsyat. Barang barang seperti televisyen. perabot dan sebagainya rosak teruk. Kereta dan motorsikal turut rosak. Mereka bergotong royong bersama sama untuk membersihkan kawasan kampung mereka yang seperti padang lumpur itu.

Setelah beberapa hari, keadaan sudah kembali seperti sedia kala. Kampung Pulau sudah bersih dan kembali cantik. Kebanyakkan penduduk kampung sudah kembali bekerja seperti biasa. Begitu juga dengan Seman. Dia bekerja sebagai seorang kerani di bandar. Ketika Seman pulang dari tempat kerjanya, dia melihat orang kampung sedang berkumpul di hadapan rumah Penghulu Jamil. Mereka diketuai oleh Pak Dollah. Seman lantas menghampir perhimpunan itu.

"Kami tak kira. Kami nak tok tolong batalkan pembinaan pusat judi tu. Ini tidak baik untuk kampung kita. Nanti banyak anak anak muda kita yang terlibat dengan perkara perkara tidak baik itu." Kata seorang pemuda dalam kalangan anggota kumpulan itu.

"Betul kata budak itu tok. Jangan sampai Allah turunkan bala sekali lagi kepada kampung kita." Ujar Pak Dollah.

"Apa yang kamu semua mengarut ini? Kamu tahu tidak bila ada pusat judi itu banyak pelancong akan datang ke kampung kita. Kampung kita akan menjadi terkenal. Kampung kita akan maju. Anak anak muda kampung kita akan ada peluang pekerjaan. Siapa yang untung sekarang ini? Kamu juga yang untung." Penghulu Jamil masih mempertahankan keputusannya.

"Buat apa ada semua itu kalau Allah tidak pernah redha dengan kita. Kami nak tok batalkan pembinaan tu sekarang juga." Ujar Azli. Baru Seman sedar bahawa Azli turut berada di situ.

"Kami tidak perlu semua itu tok. Kami sudah bahagia sekarang. Cuba tok tengok. Selama ini pusat judi itu tidak ada, belum pernah lagi saya dengar ada orang yang mati kebuluran dalam kampung ini." Ujar Seman.

"Betul!" Sahut orang kampung menyokong kata kata Seman.

"Sudah! Kalau kamu semua tidak suka, kamu semua boleh berambus dari kampung ini. Pergi! Jangan kacau aku lagi! Pergi!" Penghulu Jamil menjerit kemarahan.

"Tidak mengapa tok. Allah pasti akan membalas semua perbuatan tok." Ujar Pak Dollah.

"Sudahlah. Mari kita bersurai. Tidak guna kita bercakap dengan orang macam ini." Ujar Pak Dollah. Semua penduduk kampung yang berhimpun di hadapan rumah Penghulu Jamil tadi bersurai setelah Penghulu Jamil masuk ke dalam rumah.

"Susah kalau bercakap dengan orang yang degil dan tidak faham bahasa ini." Azli merungut sewaktu mereka berjalan beriringan menuju ke rumah masing masing.

"Sabar sahajalah Azli. Pasti ada hikmah di sebalik semua ini." Ujar Seman.



Bulan berganti bulan, minggu berganti minggu, hari berganti hari dan akhirnya pusat judi dan pusat hiburan remaja itu berjaya didirikan. Ramai orang datang berkunjung ke tempat maksiat itu termasuklah beberapa muda mudi di Kampung Pulau itu. Perkara ini amat merunsingkan penduduk Kampung Pulau. Bukan itu sahaja, kegiatan jenayah seperti rogol, rompak dan sebagainya semakin membarah di kampung itu. Penduduk sudah mula takut. Kawasan kampung mereka juga sudah mula kotor dengan botol botol arak. Oleh itu, mereka berjumpa dengan Penghulu Jamil supaya merobohkan sahaja pusat judi dan pusat hiburan remaja itu.

Mereka diketuai oleh Pak Dollah sebagai antara orang yang paling tua di kampung itu. Seman dan Azli turut serta berjumpa dengan Penghulu Jamil bersama dengan beberapa pemuda kampung bagi membincangkan masalah itu. Kedatangan mereka kali ini dengan cara baik. Bukan lagi dengan cara menerjah sahaja ke rumah Penghulu Jamil itu. Harapan mereka agar Penghulu Jamil boleh mempertimbangkan cadangan dan aduan mereka itu.

"Aku mana boleh robohkan tempat tu. Tanah tu mereka dah beli. Mereka berhak atas tapak tu." Penghulu Jamil memberi alasan.

"Tapi tok kena faham. Sampai bila kita nak perkara ini hendak berlaku? Kita tak nak muda mudi kita rosak sebab ada benda benda macam ni." Ujar Seman. Dia cuba bersabar dengan Penghulu Jamil yang agak keras kepala itu.

"Kamu semua jangan jadi kolot. Ini bukan tahun 1913. Ini tahun 2013. Kalau kamu nak kemajuan, kamu kena terima kemajuan. Sampai bila kita nak tengok kampung kita macam ni. Cuba kita lihat pada hari ini. Dengan adanya pusat judi itu, ekonomi kampung kita semakin baik. Banyak gerai gerai yang diusahakan oleh penduduk kampung menjadi penuh hampir setiap malam." Kata Penghulu Jamil yang masih tidak mahu mengangkat bendera putih.

"Tapi kesan kesan sampingan macam jenayah sudah semakin banyak tok. Macam mana kalau anak anak kita yang terjebak dalam perkara macam tu?" Soal Azli yang masih tidak berpuas hati.

"Itu kamu jangan risau. Aku dan jumpa dengan pihak polis. Mereka akan sentiasa berkawal dalam kampung kita ini. Tidak lama lagi semua masalah ini akan selesai." Penghulu Jamil menjawab.

"Sudahlah tu. Tak guna kita cakap dengan orang tua yang degil macam ni." Pak Dollah sudah mula merengus.

"Mari kita balik saja". Ujar Pak Dollah dan terus keluar dari rumah.

"Kami balik dulu tok. Tapi saya harap tok dapat mempertimbangkan cadangan kami tu." Ujar Seman.

"Janganlah kau risau Seman. Tak ada apa yang akan berlaku." Kata Penghulu Jamil sambil tersenyum.

Seman dan Azli terus pulang bersama  beberapa pemuda kampung itu. "Penghulu Jamil memang degil. Dia langsung tak nak ambil peduli tentang cadangan kita tu." Ujar Azli kepada Seman.

"Aku pun tak tahulah Azli. Itulah manusia. Akibat terlalu mengejar kebendaan akhirnya orang lain menjadi mangsa." Satu keluhan keluar dari bibir Seman.



Suatu malam ketika Seman berehat bersama isteri dan anaknya di rumah, mereka terdengar ada ketukan di pintu yang amat kuat. "Siapa pula datang malam malam ni?" Soal isteri Seman.

"Entah. Biar abang pergi tengok." Ujar Seman.

Dia menuju ke arah pintu rumah itu. Apabila dia membuka pintu, dia melihat Azli ada di situ. "Kenapa kau termengah mengah ni Azli? Kau dari mana ni?" Seman bertanya sebaik sahaja melihat keadaan Azli yang bermandi peluh dan dalam keadaan termengah mengah. Lagaknya seperti orang berlari 1200 meter sahaja.

"Penghulu Jamil dah meninggal. Dia kemalangan kat depan simpang kampung kita ni." Azli memberitahu. Hampir putus nafasnya pada waktu itu.

"Innalillahiwainnaillahirajiun. Mana kau dapat berita ni?"  Seman  bertanya sambil mengucap panjang. Baru dua hari lepas dia berjumpa dengan Penghulu Jamil dan sekarang Penghulu Jamil sudah meninggal dunia. Dia agak terkejut dengan berita yang baru dia terima dari Azli itu.

"Pak Dollah beritahu pada aku. Dia dan orang kampung jumpa Penghulu Jamil kemalangan semasa balik dari surau tadi." Jawab Azli.

"Mari kita tengok keadaan dia tapi sebelum tu biar aku tukar baju sekejap." Kata Seman.

"Baiklah". Azli mengangguk.

Setelah bersiap, Seman dan Azli menuju ke tempat kemalangan dengan menaiki motorsikal. Alangkah terkejutnya mereka melihat keadaan jenazah Penghulu Jamil. Jenazahnya hancur akibat digelek oleh lori treler. Dia kemalangan ketika baru pulang dari kedai dengan menaiki motorsikalnya.

"Ini semua adalah balasan dari Allah sebab perbuatan dia yang bagi pusat judi tu dibina kat kampung ni." Pak Dollah berkata kepada Seman dan Azli.

"Tak baik Pak Dollah cakap macam tu. Penghulu Jamil sudah pun meninggal dunia. Kita tak perlu cakap pasal tu lagi. Sekarang kita kena uruskan jenazah ni." Ujar Seman.

"Pihak polis nak bawa jenazah yang hancur itu ke hospital untuk dibedah siasat. Esok atau lusa bolehlah dikebumikan." Ujar Pak Dollah dan berlalu dari situ.

Setelah dilakukan bedah siasat, jenazah Penghulu Jamil dituntut oleh keluarganya. Penghulu Jamil dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Pulau itu.

Setelah beberapa hari, Pak Dollah yang dilantik sebagai pemangku penghulu pergi ke pusat judi itu bersama dengan penduduk kampung untuk meminta agar pusat judi itu dipindahkan. Mereka bertemu dengan tuan punya tempat itu iaitu Mr. Lim.

"Saya mana boleh roboh ini tempat. Saya boleh rugi woo. Saya sudah bili ini tanah maa." Ujar Mr. Lim apabila penduduk kampung menggesa agar pusat judi dan pusat hiburan miliknya dipindahkan.

"Tauke jangan degil. Kampung ini ada banyak masalah apabila pusat judi ini dibuka." Seman yang turut serta dalam perhimpunan itu bersuara.

"Itu saya tala tahu maa. Ini bukan urusan saya. Kamu olang boleh jumpa sama polis. Bukan sama saya." Ujar Mr. Lim dalam nada angkuh.

Walaupun pelbagai desakan dibuat, namun ternyata usaha mereka gagal. Mr. Lim tidak mahu memindahkan pusat judi dan pusat hiburan miliknya itu.  Akhirnya penduduk kampung pulang dengan perasaan hampa.

Beberapa hari kemudian pusat judi itu terbakar akibat putung rokok. Habis musnah semua perniagaan yang dimiliki oleh Mr. Lim. Mr Lim menangis tidak berlagu apabila melihat perniagaan yang baru diusahakannya musnah dijilat api. Penduduk kampung berasa kasihan dengan keadaan itu namun pada hakikatnya mereka bersyukur. Doa mereka agar pusat judi itu pindah ternyata menjadi kenyataan. Pusat judi dan pusat hiburan itu musnah dalam sekelip mata.

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.