Isnin, 23 Mac 2020

BLOG SAYA TEBAL DENGAN SAWANG



Agak lama juga saya tidak menulis sebarang artikel untuk diisi dalam blog ini. Sejak saya melangkah ke alam pekerjaan, sekitar April 2018, aktiviti menulis sudah saya tinggalkan. Bukan bermakna saya sudah bosan atau mahu meninggalkan kegiatan menulis, tetapi lebih kepada rasa malas untuk menulis. Tambahan pula, saya tidak mempunyai idea untuk menulis.


Pasti ada yang tersenyum sinis apabila saya mengatakan yang saya tidak mempunyai idea untuk menulis. Isu banyak dan panas-panas pula masakan tidak ada idea untuk menulis. Ya, isu memang banyak terutama isu politik yang menghuru-harakan negara sejak belakangan ini namun isu-isu itu terlalu pantas bergerak. Baru sahaja hendak menggerakkan pena untuk menulis, isu baru pula muncul.


Keletihan akibat menyelesaikan kerja di kilang (saya bekerja di kilang) juga menyebabkan saya tidak mempunyai upaya untuk menulis. Kerja selama dua belas jam amat meletihkan. Bukan sahaja letih, mata asyik mengantuk sahaja. Kaki dan tangan pun sering sakit. Sebaik sahaja melangkah ke rumah, yang saya tahu hanyalah mahu tidur sahaja. Maka, untuk membuat kerja-kerja menulis hilang begitu sahaja.


Tidak seperti bergelar mahasiswa dahulu, aktiviti menulis sering saya lakukan seiring dengan aktiviti membaca. Tambahan pula, saya menjadi kolumnis untuk Facebook Page Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) UiTM Shah Alam. Maka, suka ataupun tidak, aktiviti menulis memang perlu dilakukan.


Bergelar mahasiswa banyak masa lapangnya. Keletihan bergelar seorang mahasiswa tidak sama dengan keletihan bergelar seorang pekerja kilang. Oleh sebab itulah, semasa bergelar mahasiswa, kegiatan menulis memang banyak dilakukan.


Jumlah pembaca yang ramai adalah faktor penyumbang utama untuk seseorang penulis atau blogger itu menulis dan mengemaskini blognya. Sejak akhir-akhir ini saya amat kurang mencari pengunjung ke blog saya. Justeru, jumlah pembaca yang datang singgah di blog ini untuk membaca artikel-artikel yang saya karang semakin berkurangan. Apabila jumlah pembaca berkurangan, maka semangat untuk menulis pun sudah tiada.             

Saya membiarkan blog ini kosong dan bersawang agak lama juga. Mahu juga sesekali saya singgah mengarang satu dua artikel dan memuat naik ke dalam blog ini tetapi saya tidak berupaya melakukannya. Mahu ditutup terus blog ini terasa sayang pula. Maka, saya terus membiarkan blog ini tanpa diisi apa-apa.


Akibat daripada perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan ini, maka saya tergerak hati untuk membuka semula blog ini. Banyak komen-komen daripada pembaca yang ditinggalkan di blog ini tidak sempat saya baca. Saya membacanya semula dan berasa sedikit terharu. Rupanya masih ada lagi orang yang mahu membaca blog saya. Masih ada lagi orang yang sudi membaca artikel-artikel yang saya tulis. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih.
   

Dalam tempoh perintah kawalan pergerakan ini, mudah-mudahan tuhan memberi saya kekuatan untuk mengarang seberapa banyak artikel untuk diisi dalam blog ini. Rasa bersalah saya pada blog ini kerana tidak mengisinya dengan apa-apa artikel dalam masa yang lama.


Saya fikir barangkali ada hikmahnya perintah kawalan pergerakan ini dilaksanakan. Dapatlah kiranya saya menulis beberapa artikel dan memuat naik ke dalam blog ini. Bagi anda di luar sana, jangan segan-segan untuk datang singgah dan membaca artikel-artikel yang saya karang dalam blog ini.

1 ulasan:

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.