Agak
lama juga saya tidak menulis sebarang artikel untuk diisi dalam blog ini. Sejak
saya melangkah ke alam pekerjaan, sekitar April 2018, aktiviti menulis sudah
saya tinggalkan. Bukan bermakna saya sudah bosan atau mahu meninggalkan
kegiatan menulis, tetapi lebih kepada rasa malas untuk menulis. Tambahan pula,
saya tidak mempunyai idea untuk menulis.
Pasti
ada yang tersenyum sinis apabila saya mengatakan yang saya tidak mempunyai idea
untuk menulis. Isu banyak dan panas-panas pula masakan tidak ada idea untuk
menulis. Ya, isu memang banyak terutama isu politik yang menghuru-harakan
negara sejak belakangan ini namun isu-isu itu terlalu pantas bergerak. Baru
sahaja hendak menggerakkan pena untuk menulis, isu baru pula muncul.
Keletihan
akibat menyelesaikan kerja di kilang (saya bekerja di kilang) juga menyebabkan
saya tidak mempunyai upaya untuk menulis. Kerja selama dua belas jam amat meletihkan.
Bukan sahaja letih, mata asyik mengantuk sahaja. Kaki dan tangan pun sering
sakit. Sebaik sahaja melangkah ke rumah, yang saya tahu hanyalah mahu tidur
sahaja. Maka, untuk membuat kerja-kerja menulis hilang begitu sahaja.
Tidak
seperti bergelar mahasiswa dahulu, aktiviti menulis sering saya lakukan seiring
dengan aktiviti membaca. Tambahan pula, saya menjadi kolumnis untuk Facebook
Page Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) UiTM Shah Alam. Maka, suka
ataupun tidak, aktiviti menulis memang perlu dilakukan.
Bergelar
mahasiswa banyak masa lapangnya. Keletihan bergelar seorang mahasiswa tidak sama
dengan keletihan bergelar seorang pekerja kilang. Oleh sebab itulah, semasa
bergelar mahasiswa, kegiatan menulis memang banyak dilakukan.
Jumlah
pembaca yang ramai adalah faktor penyumbang utama untuk seseorang penulis atau
blogger itu menulis dan mengemaskini blognya. Sejak akhir-akhir ini saya amat
kurang mencari pengunjung ke blog saya. Justeru, jumlah pembaca yang datang
singgah di blog ini untuk membaca artikel-artikel yang saya karang semakin
berkurangan. Apabila jumlah pembaca berkurangan, maka semangat untuk menulis
pun sudah tiada.
Saya
membiarkan blog ini kosong dan bersawang agak lama juga. Mahu juga sesekali
saya singgah mengarang satu dua artikel dan memuat naik ke dalam blog ini
tetapi saya tidak berupaya melakukannya. Mahu ditutup terus blog ini terasa
sayang pula. Maka, saya terus membiarkan blog ini tanpa diisi apa-apa.
Akibat
daripada perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan ini, maka
saya tergerak hati untuk membuka semula blog ini. Banyak komen-komen daripada
pembaca yang ditinggalkan di blog ini tidak sempat saya baca. Saya membacanya
semula dan berasa sedikit terharu. Rupanya masih ada lagi orang yang mahu
membaca blog saya. Masih ada lagi orang yang sudi membaca artikel-artikel yang
saya tulis. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih.
Dalam
tempoh perintah kawalan pergerakan ini, mudah-mudahan tuhan memberi saya
kekuatan untuk mengarang seberapa banyak artikel untuk diisi dalam blog ini.
Rasa bersalah saya pada blog ini kerana tidak mengisinya dengan apa-apa artikel
dalam masa yang lama.
Saya fikir barangkali ada hikmahnya perintah
kawalan pergerakan ini dilaksanakan. Dapatlah kiranya saya menulis beberapa
artikel dan memuat naik ke dalam blog ini. Bagi anda di luar sana, jangan
segan-segan untuk datang singgah dan membaca artikel-artikel yang saya karang
dalam blog ini.
Selamat kembali aktif mengentri.
BalasPadam