Apabila kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bagi
mengekang penularan wabak Covid-19, serta meminta orang ramai supaya duduk di
rumah dan tidak ke mana-mana, pastilah sebilangan daripada kita akan berasa
bosan. Maklum sahajalah, jarang sekali kita diberi cuti dalam tempoh masa yang
lama. Jika kita mengambil cuti (bagi orang yang bekerja), pastilah ada urusan
yang hendak kita selesaikan. Dan apabila kita cuti, pastilah kita akan bergerak
dari satu tempat ke tempat yang lain. Jarang kita cuti duduk di rumah sahaja.
Saya samalah seperti anda semua turut sama duduk di rumah dan
tidak ke mana-mana. Bagi menghilangkan rasa bosan yang datang bertandang,
selain daripada bermain telefon pintar dan mengemaskini blog yang sudah tebal
sawangnya, saya menghabiskan hari-hari cuti saya ini dengan membaca.
Membaca adalah suatu aktiviti yang saya gemari. Namun, sebaik
sahaja melangkah ke alam pekerjaan, aktiviti ini sedikit demi sedikit saya mula
tinggalkan. Mungkin kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja, maka saya semakin
kurang membaca. Maklum sahajalah, menyelesaikan urusan kerja saban hari itu
amat memenatkan. Apabila pulang ke rumah, yang kita tahu hanyalah untuk tidur
sahaja. Tiada masa untuk menelaah buku dan membaca.
Tidak seperti tahun-tahun saya bergelar mahasiswa (2012 – 2018),
aktiviti pembacaan sangat rancak ketika itu. Dalam sebulan saya boleh
menghabiskan kira-kira dua buah buku. Apabila saya membaca, banyak maklumat
terbaru yang saya terima. Pengetahuan saya akan sentiasa lebih daripada
kawan-kawan yang sekuliah dengan saya. Apabila pensyarah bertanya tentang
sesuatu isu atau topik, mudah sahaja saya mengupas isu atau topik tersebut kerana
saya mempunyai sedikit pengetahuan mengenainya.
Walau bagaimanapun, alam bergelar mahasiswa tidaklah sama dengan
alam bergelar seorang pekerja. Alam bergelar mahasiswa lebih lapang masanya
berbanding alam bergelar seorang pekerja. Tambahan pula, dunia seorang
mahasiswa begitu tebal dengan perjuangan dan idealisme. Maka, membaca untuk
menambah pengetahuan itu bukanlah asing dalam diri seorang mahasiswa.
Mungkin ada hikmah disebalik perintah kawalan pergerakan yang
dilaksanakan oleh kerajaan sehingga 31 March ini. Bagi orang seperti saya yang
renggang daripada aktiviti membaca, bolehlah kembali semua menjalinkan hubungan
dengan aktiviti membaca.
Sebelum-sebelum ini saya ada membeli beberapa buah buku. Namun,
buku-buku tersebut saya sekadar beli sahaja kemudian saya simpan di rak buku di
rumah saya. Jika saya baca pun hanya sedikit sahaja kemudian saya simpan semula
di rak. Entahlah, saya sendiri tidak tahu mengapa, sejak saya bukan lagi
bergelar mahasiswa, aktiviti membaca bagi saya adalah suatu aktiviti yang amat
membosankan!
Oleh itu, sempena perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan
oleh kerajaan ini, maka saya akan kembali semula ke ranah pembacaan. Mana-mana
buku yang saya beli tetapi saya tidak sempat baca, akan saya habiskan sepanjang
tempoh ini.
Buku-buku yang hendak saya habiskan itu ialah : (1) Dari Menara KL
– Abd Jalil Ali (2) Entiti – Syafiq Aizat (3) Kopi O Tanpa Gula – Abd Jalil Ali
(4) Agama dan Hagemoni Negara – Benz Ali (5) Jangan Selewengkan Sejarah Melayu
– Helmi Effendi.
Itulah senarai buku yang hendak saya tamatkan sepanjang tempoh
perintah kawalan pergerakan ini. Moga-moga tuhan memberi saya kekuatan untuk
saya menghabiskannya.
Bagi anda di luar sana pula, sepanjang tempoh perintah kawalan
pergerakan ini, moleklah anda melakukan aktiviti yang berfaedah seperti membaca
misalnya. Janganlah habiskan cuti anda ini dengan aktiviti tidur sahaja. Jika
tidak mahu membaca, carilah aktiviti berfaedah lain yang boleh anda lakukan.
Semoga anda sentiasa sihat dan selamat di luar sana.
Selamat mengulat buku
BalasPadam