Isnin, 17 September 2018

ISLAM DAN MELAYU BERPISAH TIADA


Entah mengapa Islam dan Melayu itu kelihatan amat sinonim. Islam dan Melayu itu seolah-olah sukar untuk dipisahkan. Mungkin kerana semua orang Melayu menganut agama Islam, maka Islam dan Melayu itu kelihatan sangat akrab. 

Cuba ada di antara kawan kita yang berbangsa Melayu menganut agama selain daripada agama Islam. Pastilah kita akan memandang aneh kepadanya. Hal ini kerana, sangat ganjil atau tidak pernah lagi ditemui secara terbuka orang Melayu yang menganut agama selain Islam. Oleh sebab itulah kita melihat jika ada orang Melayu yang menukar agama, mereka menukar agama secara bersembunyi.

Namun begitu, sekarang ini sudah ramai orang Melayu yang berani menukar agama secara terang-terangan. Walaupun jumlahnya tidak ramai (setakat yang diketahui), tetapi kewujudan mereka tetap ada. Orang Melayu yang jadi atheist pun ada juga. Dan sudah pasti mereka mendapat perhatian orang Melayu yang lain. 

Memang ada usaha untuk mengubah akidah orang Melayu sejak dahulu. Dahulu usaha ini kelihatan tidak berjaya. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini usaha itu kelihatan berjaya.

Selain mengubah akidah orang Melayu melalui cara menukar agama, mengubah orang Melayu supaya tidak mengikut ajaran Islam yang betul pun ada juga. Sebab itu fahaman-fahaman songsang seperti liberalisme, sekularisme dan pluralisme semakin berleluasa.

Orang Melayu memang tidak ramai yang menukar agama. Namun, orang Melayu ramai yang jadi liberal, sekular dan plural. Usaha pihak tertentu untuk menukar agama orang Melayu secara majoritinya memanglah tidak berjaya. Namun usaha mereka untuk menjauhkan orang Melayu daripada ajaran Islam yang sebenar telah berjaya.

Entah mengapa segelintir orang Melayu boleh jadi liberal, sekular dan plural. Mungkin kerana mereka melihat dengan menjadi liberal, sekular dan plural itu sebagai lambang kemajuan, maka mereka menganut fahaman itu.

Kita patut bersyukur kerana tidak semua orang Melayu yang boleh terima fahaman songsang itu. Mereka masih teguh dengan ajaran Islam yang sebenar. Mereka tidaklah seorang yang terlalu taat pada agama tetapi menjadi liberal, sekular dan plural itu memang jauh daripada hidup mereka. Akal dan fikiran mereka masih lagi waras untuk berfikir mana yang betul dan mana yang salah.

Usaha pihak-pihak tertentu untuk ‘meliberal’, ‘mensekular’, dan ‘mempluralkan’ orang Melayu tidaklah seratus peratus berjaya. Mungkin kerana Islam itu telah terlalu sebati dengan diri majoriti orang Melayu, maka mereka bukan sahaja tidak menukar agama, malah tidak pun menerima segala fahaman-fahaman yang songsang itu.  

Walau bagaimanapun, kita semua perlulah berhati-hati. Usaha untuk menjadikan orang Melayu supaya menukar agama mereka atau mendakwah mereka supaya menerima segala fahaman songsang itu masih lagi berjalan sehingga ke hari ini. Kita perlu bersyukur kerana ada individu dan pertubuhan bukan kerana tertentu yang terus berlawan dengan usaha-usaha ini sama ada di media sosial, media arus perdana, mahupun di lapangan.

Moga semua orang Melayu berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar sampai bila-bila. Jangan biarkan Islam dan Melayu itu berpisah walaupun sekali. 

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.