Khamis, 26 Julai 2018

SEBAB-SEBAB KITA GAGAL MENGAMBIL MAKANAN BERKHASIAT?

Image result for makanan berkhasiat
Sumber


Mengambil makanan yang berkhasiat adalah sesuatu yang penting untuk menjaga kesihatan. Jika kita sering mengambil makanan yang tidak berkhasiat, pastilah kesihatan kita akan terjejas.

Saya yakin setiap daripada kita pasti mempunyai hasrat untuk mengambil makanan yang berkhasiat setiap hari. Ini semua gara-gara kita berasa khuatir kita akan jatuh sakit. Kita takut melihat orang-orang di sekeliling kita yang terlantar sakit di hospital atau meninggal dunia gara-gara penyakit yang berbahaya.

Walau bagaimanapun, untuk mengambil makanan yang berkhasiat itu bukanlah sesuatu yang mudah. Hal ini kerana, kita sering kali dipengaruhi oleh perkara-perkara tertentu yang menyebabkan kita sering gagal mengambil makanan yang berkhasiat.

Di bawah merupakan sebab-sebab mengapa kita sering gagal mengambil makanan yang berkhasiat :

Sering diajak makan oleh kawan

Setiap kali kita ingin mengambil makanan yang berkhasiat, pasti kawan-kawan kita akan mengajak kita makan di restoran-restoran yang menyediakan makanan yang tidak berhasiat. Oleh sebab kita mahu menjaga hati kawan, maka hendak tidak hendak kita terpaksa melupakan hasrat kita untuk makan makanan yang berkhasiat itu.

Malas

Kita bukan sahaja malas untuk menyediakan makanan yang berkhasiat, malah kita juga malas untuk mengambil makanan yang berkhasiat. Hal ini kerana, makanan yang berkhasiat itu semestinya tidak sedap berbanding dengan makanan yang tidak berkhasiat.

Kurang motivasi

Oleh kerana kita tidak mempunyai motivasi, maka kita tidak mahu mengambil makanan yang berkhasiat. Kita mungkin tidak mempunyai orang yang boleh memotivasikan diri kita setiap hari untuk mengambil makanan berkhasiat memandangkan kita tinggal berseorangan. Oleh yang demikian, kita pasti akan mudah mengalah dan patah semangat. 

Banyak makanan yang enak

Malaysia adalah sebuah negara yang mewah dengan makanan yang enak dan sedap. Ke mana sahaja kita pergi, kita pasti akan bertemu dengan makanan yang enak dan sedap itu. Oleh yang demikian, hasrat kita untuk mengambil makanan yang berkhasiat itu sering kali musnah gara-gara melihat makanan yang sedap-sedap dan enak-enak di sekeliling kita.

Kawan sering memuat naik gambar makanan di media sosial

Sangat malang apabila kita mempunyai kawan yang suka makan dan suka pula memuat naik gambar makanan enak yang mereka makan di media sosial. Oleh kerana mereka selalu memuat naik gambar makanan yang enak-enak, maka kita akan mudah untuk tergugat. Air liur kita sering kecur melihat makanan yang enak-enak itu. Maka, kita pun akan pergi ke restoran yang kawan kita pergi itu untuk mendapatkan makanan tersebut.     

Ibu bapa paksa makan

Antara salah satu keburukan apabila tinggal bersama ibu bapa ini ialah apabila ibu bapa kita jenis yang tidak mengambil makanan yang berkhasiat. Oleh itu, masakan yang disediakan oleh mereka pastilah tidak berkhasiat. Oleh kerana mereka sudah pun masak, mereka pasti akan memaksa kita untuk menghabiskan makanan tersebut kerana tidak mahu membazir. Jika kita enggan, pastilah kita akan dimarahi oleh ibu bapa.

Perlu melayan pelanggan atau pembekal

Kes sebegini biasanya dialami oleh orang yang berniaga. Oleh kerana kita perlu melayan pelanggan atau pembekal kita supaya tidak lari kepada peniaga lain, maka kita pun melayan mereka dengan menyediakan makanan yang enak-enak tetapi tidak berkhasiat. Oleh kerana kita yang menyediakan makanan tersebut, maka kita pun perlulah makan sekali untuk menjaga hati mereka. Maka, hasrat kita untuk mengambil makanan yang berkhasiat pun lantas musnah!

Kurang tekad dan kesabaran

Tekad dan kesabaran adalah sesuatu yang amat penting dalam menjalani hidup yang sihat. Hal ini kerana, cabaran itu sering datang daripada pelbagai arah. Kita perlu sentiasa menguatkan tekad dan perlu banyak bersabar untuk mengambil makanan yang berkhasiat. Jangan mudah terpengaruh dengan perkara-perkara negatif yang berlegar-legar di sekeliling kita.   

Tiada kawan

Kawan adalah sesuatu yang penting untuk kita mengambil makanan yang berkhasiat. Jika kita tidak mempunyai kawan yang turut sama mahu mengambil makanan yang berkhasiat, kita pasti akan mudah tergugat dan patah semangat. Kawan juga antara orang yang akan sentiasa memberi motivasi kepada kita untuk mengambil makanan yang berkhasiat.   

Tiada disiplin

Disiplin adalah sesuatu yang amat penting dalam setiap apa yang ingin kita lakukan. Jika kita tidak berdisiplin dalam mengambil makanan yang berkhasiat, maka kita pasti akan gagal. Kita perlu sentiasa melatih diri untuk mengambil makanan yang berkhasiat setiap hari walau apa pun dugaan yang mendatang.

Tidak mempunyai niat

Dalam Islam, apa pun yang kita lakukan mestilah bermula dengan niat. Sebab itulah kita mesti mempunyai niat yang baik jika kita ingin melakukan sesuatu. Jika sedari awal lagi kita sememangnya tidak mempunyai niat untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat, bagaimana mungkin kita akan mengambil makanan yang berkhasiat?

Tidak suka membazir

Tidak suka membazir ini merupakan kes yang terpencil. Perkara ini terjadi apabila kita telah banyak membeli makanan yang tidak berkhasiat, tetapi tiba-tiba sahaja (entah bagaimana) kita memasang niat untuk mengambil makanan yang berkhasiat. Namun, oleh kerana kita sudah banyak membeli makanan yang tidak berkhasiat, maka kita terpaksa melupakan hasrat kita untuk mengambil makanan yang berkhasiat tersebut supaya tidak membazir.

Sibuk bekerja

Sibuk bekerja juga adalah antara faktor yang mendorong seseorang untuk mengambil makanan yang tidak berkhasiat. Apabila kita sibuk bekerja, maka kita akan menjadi letih. Oleh kerana kita terlalu letih, maka kita mengambil apa-apa sahaja makanan sama ada makanan itu berkhasiat atau tidak.  

Selalu tertekan

Terdapat segelintir orang apabila mereka tertekan mereka akan makan dengan sebanyak-banyaknya. Tabiat ini bukanlah tabiat yang baik. Jika kita tertekan sekali sekala tidak mengapalah juga. Bagaimana jika kita selalu tertekan? Pasti kita akan banyak mengambil makanan yang tidak berkhasiat. Adalah sesuatu yang janggal apabila kita berada dalam keadaan tertekan, kita hanya mengambil sayur-sayuran sahaja untuk menhilangkan tekanan kita.

Tiada sokongan

Sokongan daripada ahli keluarga dan rakan adalah sesuatu yang amat penting jika kita ingin mengambil makanan yang berkhasiat. Jika ahli keluarga atau rakan tidak menyokong hasrat kita, pasti kita akan mudah mengalah. Oleh itu, jika terdapat ahli keluarga atau rakan kita yang berhasrat untuk mengambil makanan yang berkhasiat, maka sokonglah hasrat mereka itu. 

Mengambil makanan yang berkhasiat merupakan sesuatu yang penting dalam kehidupan. jika kita sering mengambil makanan yang tidak berkhasiat, pasti kita akan mudah menerima penyakit. Berazam dan berusahalah untuk mengambil makanan yang berkhasiat setiap hari jika kita ingin hidup lama dan kekal sihat sentiasa. 

Artikel ini telah disunting dan disiarkan di portal Free Malaysia Today


2 ulasan:

  1. Sering plan nak ambik mknan sihat tp masalah besar, tak berdisplin. Selalu hangat2 taik ayam je 😊

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.