Sumber : Google |
Sebenarnya
ini kali pertama saya membaca karya Faisal Tehrani. Saya tahu beliau mempunyai
nama besar dalam dunia kesusasteraan di Malaysia. Dan saya juga tahu beliau
dikagumi oleh ramai penulis muda.
Sebenarnya
juga inilah kali pertama saya membaca novel bersiri ini. Novel ini mempunyai tiga
siri. Namun, saya memilih untuk membaca siri Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson pada
waktu ini. (Entah mengapa saya memilih siri ini di perpustakaan tempoh hari).
Saya
sebenarnya peminat novel yang berunsur thriller atau penyiasatan. Novel-novel Ramlee Awang Murshid dan
novel-novel terbitan syarikat Fixi adalah antara novel-novel yang biasa saya
hadamkan.
Saya
tidak pasti sama ada novel-novel dalam Siri Detektif Indigo ini ditulis untuk golongan
awal remaja ataupun bukan. Namun, saya fikir novel-novel dalam siri ini lebih
sesuai untuk dibaca oleh golongan awal remaja yakni pelajar-pelajar sekolah
menengah.
Saya
tidak pasti sebaik mana karya-karya yang ditulis oleh Faisal Tehrani kerana saya
belum pernah lagi membaca karya-karya beliau yang lain. Walau bagaimanapun,
jika hendak dibuat perbandingan antara Ramlee Awang Murshid dan Faisal Tehrani
setakat ini, saya akan meletakkan Ramlee lebih baik penulisan novel thrillernya
berbanding Faisal.
Barangkali
setelah membaca karya Faisal yang lain, pandangan saya mungkin berubah. Seperti
mana dahulu, saya ialah peminat tegar kepada novel-novel Ramlee. Namun, setelah
membaca novel-novel Fixi, pandangan saya berubah sama sekali. Saya beranggapan
bahawa novel-novel terbitan Fixi lebih baik daripada novel-novel yang ditulis
oleh Ramlee terutama dari sudut pergerakan jalan cerita. Namun, dari segi mutu
bahasa, pastilah novel-novel yang ditulis oleh Ramlee lebih baik. Walau
bagaimanapun, idea yang dipersembahkan oleh Ramlee dan penulis-penulis Fixi
adalah sama hebat.
Berbanding
Faisal (dari sudut novel ini), jelas Ramlee lebih bijak mengolah jalan cerita. Sebuah
misteri dan teka-teki dalam tangan Ramlee dapat dikembangkan dengan amat
sempurna sehingga mencakupi keseluruhan novel. Berbeza dengan Faisal, beliau
pada hemat saya agak kurang bijak (mungkin disengajakan) mengembangkan jalan
cerita dalam novel ini. Oleh sebab itulah, jika dibaca novel ini, terdapat tiga
misteri yang berlainan.
Dalam
novel-novel Ramlee, Ramlee akan membawakan misteri dan teka-teki yang berat
untuk dihadam oleh pembaca. Meskipun berat, pembaca tidak akan rasa terbeban
untuk menghadamnya (meskipun pembaca itu pelajar sekolah menengah) kerana
Ramlee mempersembahkannya dengan jalan cerita yang amat menarik. Novel-novel
seperti Mikhail, 9 Nyawa, Ungu Karmila, dan Rahsia Perindu boleh
membuktikannya. Faisal pula pada hemat saya sekadar membawa misteri dan
teka-teki yang ringan dan bersahaja dalam novel ini.
Ini
dapat dilihat dalam dua daripada tiga misteri yang dipaparkan. Misteri pertama
adalah misteri pembunuhan Farzad dan misteri kedua ialah misteri kematian
Raveena. Hanya misteri yang ketiga yang berbeza iaitu misteri kehilangan
lukisan.
Teka-teki
dan unsur suspen dalam setiap novel-novel Ramlee disusun dengan amat baik. Pembaca
sukar untuk memecah teka-teka yang dipersembahkan oleh Ramlee seandainya
pembaca tidak sampai ke pengakhiran cerita. Walau bagaimanapun, dalam novel
Faisal ini, pada misteri pembunuhan Farzad, sudah boleh dipecahkan
teka-tekinya. Maksudnya di sini, pembunuh sebenar kepada Farzad itu sudah boleh
diteka siapa meskipun misteri itu belum pun diselesaikan.
Namun
begitu, dalam misteri kehilangan lukisan dan misteri kematian Raveena, pencuri
dan ‘pembunuh’ sebenar agak sukar diketahui sehinggalah misteri tersebut
diselesaikan. Pujian haruslah diberi kepada Faisal dari sudut itu.
Novel
ini menjadi lebih menarik seandainya kesemua misteri yang ada diselesaikan oleh
detektif yang sama. Dalam novel ini, ketiga-tiga misteri diselesaikan oleh detektif
yang berlainan. Tambah ‘merosakkan’ jalan cerita, ketiga-tiga misteri itu tidak
mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Novel-novel
Ramlee meskipun hanyalah bersifat fantasi, namun masih berpijak kepada realiti.
Berbeza dengan novel ini, meskipun logik, namun gagal berpijak kepada realiti.
Maktab Indigo yang melahirkan kesemua detektif indigo dalam novel ini adalah
sesuatu yang saya kira tidak berpijak kepada realiti.
Watak-watak
dalam novel ini kebanyakannya boleh berkomunikasi secara telepati. Meskipun perkara
tersebut wujud, namun sedikit sebanyak kuasa telepati itu telah ‘merosakkan’
jalan cerita terutama dalam mengesan pembunuh sebenar dalam misteri pembunuhan
Farzad.
Faisal
adalah seorang penulis yang dituduh berfahaman Syiah. Saya cuba untuk tidak
mahu terperangkap dalam tuduhan tersebut ketika membaca novel ini. Ini novelnya
yang pertama saya baca jadi saya tidak boleh membuat sebarang persepsi awal
mengenai perkara itu.
Selain
daripada nama ‘Tehrani’ yang menjadi nama pena Faisal yang dikaitkan dengan ibu
negara Iran (yakni Tehran), watak-watak dalam novel ini juga turut menggunakan
warganegara Iran seperti Farzad dan Wildan. Jadi, tuduhan tersebut boleh
dianggap benar seandainya kita tidak berhati-hati dalam membuat penilaian
terhadap Faisal.
Tidak
dapat dinafikan, baik Faisal mahupun Ramlee, kedua-dua mereka sememangnya
seorang penulis yang bukan sahaja berbakat sebagai penulis tetapi juga sangat
banyak membaca. Banyak infomasi dan maklumat berguna boleh ditemui dalam novel
mereka. Tambahan pula, kedua-dua mereka sememangnya membuat kajian yang
terperinci terlebih dahulu sebelum menggerakkan pena mereka untuk mereka
menulis.
Kedua-dua
mereka juga dilihat cuba merapatkan jurang perkauman yang agak besar di negara
ini. Pelbagai bangsa telah digunakan sebagai watak dalam novel-novel mereka. Percubaan
mereka meskipun dilihat belum berjaya (bukan gagal!), tetapi haruslah dipuji.
Saya
belum membaca lagi karya-karya Faisal yang lain seperti 1515, Perempuan Nan
Bercinta, Sebongkah Batu Di Kuala Berang, Karbala dan sebagainya. Novel-novel
dalam Siri Detektif Indigo ini pun baru sebuah saya sempat baca. Jadi kehebatan
Faisal sebagai penulis belumlah dapat saya beri pujian dengan sebaiknya. Namun,
saya amat yakin, sebagai penulis yang biasa dipuji dan dianggap hebat oleh
ramai penulis, Faisal tentulah seorang penulis yang bukan calang-calang.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.