Sumber : Google |
Seorang kawan telah menuturkan ayat begini kepada saya tidak
lama dahulu :
“Buat apa kau tulis artikel kat Facebook tu panjang-panjang.
Bukan ada orang nak baca pun.”
Mendengar sahaja kata-katanya, saya hanya mampu tersenyum
sahaja. Saya tidak berniat untuk membalas kata-katanya.
Kawan saya itu adalah seorang manusia Melayu sebenarnya. Jujur
saya sedih mendengar kata-katanya. Jelas dalam kata-katanya dia sekarang ini sedang
mengalami krisis membaca.
Krisis membaca ini bukan hanya terkena pada kawan saya ini
sahaja malah terkena pada manusia Melayu yang lain juga.
Saya yakin dia bukanlah seorang yang gemar membaca buku. Jika
membaca artikel di Facebook yang panjangnya sekadar 10-20 perenggan sahaja pun
dia sudah tidak mampu, bagaimana dia hendak membaca buku yang jumlah
perenggannya lebih banyak daripada itu?
Sebab itu saya tidak hairan apabila Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamed mengatakan bahawa ramainya orang yang uneducated di negara
ini. Dan saya yakin orang yang uneducated seperti yang disebut oleh Tun Dr
Mahathir itu terdiri dalam kalangan manusia Melayu itu sendiri (sudah pastilah
yang bergelar ultrakiasu pun ramai juga). Hal ini kerana, manusia Melayu adalah
golongan manusia yang membentuk jumlah majoriti di negara ini.
Oleh sebab manusia Melayu telah mengalami krisis membaca
sejak sekian lama, maka mereka mudah diperbodoh-bodohkan oleh para politikus
yang bermaharajalela di dalam negara.
Oleh sebab manusia Melayu mengalami krisis membaca, mereka
hanya menjadi pengikut buta para politikus yang rakus mengejar kuasa. Mereka
boleh menjadi taksub kepada segala hujah yang disogokkan oleh para politikus ke
dalam minda mereka. Mereka percaya apa sahaja yang dikatakan oleh para
politikus itu adalah benar belaka. Langsung tidak mahu berfikir secara kritis
dan matang dalam menyaring segala dakyah-dakyah songsang oleh para politikus
yang wujud di dalam negara. Seandainya dikritik para politikus yang mereka
sudah angkat bagai dewa, bersedialah pengkritik itu akan dikecam penuh falasi
dengan sebanyaknya.
Krisis membaca ini berlaku bukan sahaja kerana manusia Melayu
itu malas membaca buku, malah membaca artikel-artikel panjang di Facebook itu
pun mereka tidak mahu.
Tidak dinafikan bahawa bukan semua hujah-hujah yang digunakan
oleh para penulis di Facebook (atau blog) itu betul belaka. Sudah pasti segala
hujah-hujah yang ditulis oleh para penulis di Facebook perlu disaring dengan
sebaiknya. Walau bagaimanapun, bukan semua penulisan yang wujud di Facebook itu
tidak boleh diterima. Terdapat banyak penulisan di Facebook itu yang bermutu
dan boleh diterima. Cuma kita perlu memastikan latar belakang penulis itu
dengan setepatnya. Dan segala penulisan di Facebook itu perlu disaring dan
difikirkan secara kritis juga.
Memandangkan ramai manusia Melayu yang malas membaca buku,
moleklah kiranya mereka membaca penulisan-penulisan alternatif yang wujud di
Facebook itu. Namun, jika artikel-artikel panjang di Facebook itu pun sudah
malas dibaca, tidak tahulah apa lagi hendak dikata.
Manusia Melayu semoleknya perlu banyak membaca buku. Buku
bukan sahaja memberikan manusia Melayu ilmu, bahkan manusia Melayu dapat
menambah pengalaman baharu.
Misalnya, jika manusia Melayu mahu mengetahui kehidupan
seorang wartawan, pastilah manusia Melayu tidak semua boleh menjadi wartawan.
Namun, dengan membaca buku sahaja, manusia Melayu boleh mengetahui pengalaman sebenar
bergelar seorang wartawan dengan sebanyaknya. Mahu mengetahui tentang pengalaman
dan kehidupan seorang wartawan? Bacalah buku Propagandis Zaman (karya Haji
Subky Latif --- peneroka New Journalisme di Malaysia).
Manusia Melayu menjadi golongan manusia yang lemah pada hari
ini bukan sahaja kerana gagal bersatu padu dan gagal menguasai ekonomi, malah
kerana budaya membaca sangat jauh daripada diri. Oleh sebab itulah manusia
Melayu amat mudah dimanipulasi.
Manusia Melayu selain suka membaca komik dan novel, bacalah
juga buku-buku ekonomi, politik, sastera, bahasa, komunikasi, falsafah, sains,
teknologi, pemikiran dan sebagainya. Amatlah molek jika manusia Melayu boleh
membaca buku-buku sejarah dengan sebanyaknya. Hal ini kerana, sejarah manusia
Melayu itu sendiri sudah diputarbelitkan secara berleluasa. Oleh sebab itulah
kita melihat ramai manusia Melayu yang tidak memahami sejarah mereka sendiri dan
mereka kini kehilangan jati diri.
Manusia Melayu mesti banyak membaca. Jika tidak mampu membaca
buku dengan sebanyaknya, bacalah artikel-artikel berkualiti yang dikongsikan
oleh pengguna-pengguna Facebook yang berwibawa. Hal ini bukan sahaja untuk
mengelakkan manusia Melayu mudah ditipu, malah untuk mengelakkan manusia Melayu
terus menjadi dungu!
taasub
BalasPadamdiayah