Jumaat, 4 Ogos 2017

ORANG SEMENANJUNG BUKAN SEMUA DUNGU!




Image result for peta malaysia
Sumber : Google

Selalu benar orang dari Sabah dan Sarawak marah apabila orang di Semenanjung tidak mengenali negeri mereka. Terbaru seorang anak Sabah telah menulis status di Facebook miliknya bagi meluahkan isi hatinya tentang orang di Semenanjung yang tidak tahu tentang sebuah tempat bernama Sandakan yang terletak di Malaysia. Orang Semenanjung yang ditemuinya itu mengatakan bahawa Sandakan itu terletak di Indonesia!

Apa yang berlaku terhadap orang Semenanjung itu adalah suatu ketidaktahuan. Ketidaktahuan itu berpunca daripada sikap tidak mahu meluaskan pembacaan dan suka mengambil sikap ketidakpedulian. Seandainya orang Semenanjung itu banyak membaca dan mengambil cakna, pasti dia tahu bahawa Sandakan yang terletak di negeri Sabah itu letaknya di Malaysia.   

Orang Semenanjung yang sebegitu memang ramai sebenarnya. Dia bukan sahaja tidak mahu ambil tahu tentang negaranya, tentang agama dan bangsanya pun kadang kadang dia tidak mahu ambil tahu juga. Hal sebegini bukan sahaja menyebabkan orang dari Sabah dan Sarawak berasa kesal, orang dari Semenanjung sendiri pun turut sama berasa kesal.

Hendaklah dikata bukan semua orang Semenanjung bersikap begitu. Bukan semua orang Semenanjung tidak mahu mengambil tahu. Tidak dinafikan bahawa ada orang Semenanjung yang dungu. Tetapi untuk pukul rata bagi mengatakan bahawa semua orang di Semenanjung itu tidak tahu dan dungu (bagi mengenali negeri dan orang dari Sabah dan Sarawak), adalah satu perkiraan yang terburu-buru.

Orang dari Sabah dan Sarawak marah jika orang Semenanjung tidak mengenali negeri mereka. Tetapi kenalkah mereka dengan semua negeri di Semenanjung secara keseluruhannya? 

Pernah saya tanya seorang rakan dari Sabah tentang sebuah tempat bernama Tronoh itu letaknya di mana. Dia sendiri pun tidak tahu Tronoh itu berada di mana. Padahal Tronoh itu pun letaknya di Malaysia juga. Mujur sahaja pada waktu itu perbualan kami dalam konteks Malaysia. Jika tidak, pasti dia akan kata Tronoh itu letaknya di lain-lain negara.

Situasi di atas itu jelas menggambarkan, jika ada orang Semenanjung yang tidak tahu tentang negaranya, orang Sabah dan Sarawak pun dua kali lima sahaja.

Tetapi saya tidak mahu pukul rata bahawa semua orang Sabah dan Sarawak itu semuanya tidak tahu. Jika ada yang tidak tahu, pasti akan ada ramai yang tahu. Orang di Semenanjung pun begitu juga. Jika ada yang tidak tahu tentang negeri Sabah dan Sarawak, yang tahu sudah pasti banyak. Usah dipukul rata secara rawak. 

Apa yang ditimbulkan oleh anak Sabah itu sebenarnya adalah satu rasa tidak puas hati. Rasa tidak puas hati perlu diurus supaya tidak mengundang perasaan benci. Ramai orang Sabah dan Sarawak tidak puas hati tentang banyak perkara selama mereka tinggal di Malaysia. Perlu diingat orang di Semenanjung pun ada yang tidak berpuas hati juga.

Rasa tidak berpuas hati itu adalah perkara biasa. Tidak puas hati itu berpunca daripada kelemahan pengurusan negara. Yang perlu dibuat adalah membaiki segala kekurangan yang ada. Membuat kecaman sesama kita tidak menyelesaikan masalah yang ada. Ia sememangnya boleh meruntuhkan perpaduan yang terjalin sejak sekian lama. 
   
Sebab itu ramai menganjurkan supaya semua rakyat Malaysia perlu banyak membaca dan mengambil cakna. Tidak banyak membaca dan tidak mahu mengambil cakna tentang banyak perkara menyebabkan akan ada orang yang terluka. Sudah ada orang yang terluka, jangan biarkan ada yang parah cedera.
 

1 ulasan:

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.