Sumber : Google |
Selalu
benar orang dari Sabah dan Sarawak marah apabila orang di Semenanjung tidak
mengenali negeri mereka. Terbaru seorang anak Sabah telah menulis status di
Facebook miliknya bagi meluahkan isi hatinya tentang orang di Semenanjung yang
tidak tahu tentang sebuah tempat bernama Sandakan yang terletak di Malaysia.
Orang Semenanjung yang ditemuinya itu mengatakan bahawa Sandakan itu terletak
di Indonesia!
Apa
yang berlaku terhadap orang Semenanjung itu adalah suatu ketidaktahuan.
Ketidaktahuan itu berpunca daripada sikap tidak mahu meluaskan pembacaan dan
suka mengambil sikap ketidakpedulian. Seandainya orang Semenanjung itu banyak
membaca dan mengambil cakna, pasti dia tahu bahawa Sandakan yang terletak di
negeri Sabah itu letaknya di Malaysia.
Orang
Semenanjung yang sebegitu memang ramai sebenarnya. Dia bukan sahaja tidak mahu
ambil tahu tentang negaranya, tentang agama dan bangsanya pun kadang kadang dia
tidak mahu ambil tahu juga. Hal sebegini bukan sahaja menyebabkan orang dari
Sabah dan Sarawak berasa kesal, orang dari Semenanjung sendiri pun turut sama
berasa kesal.
Hendaklah
dikata bukan semua orang Semenanjung bersikap begitu. Bukan semua orang
Semenanjung tidak mahu mengambil tahu. Tidak dinafikan bahawa ada orang
Semenanjung yang dungu. Tetapi untuk pukul rata bagi mengatakan bahawa semua
orang di Semenanjung itu tidak tahu dan dungu (bagi mengenali negeri dan orang
dari Sabah dan Sarawak), adalah satu perkiraan yang terburu-buru.
Orang
dari Sabah dan Sarawak marah jika orang Semenanjung tidak mengenali negeri
mereka. Tetapi kenalkah mereka dengan semua negeri di Semenanjung secara keseluruhannya?
Pernah
saya tanya seorang rakan dari Sabah tentang sebuah tempat bernama Tronoh itu
letaknya di mana. Dia sendiri pun tidak tahu Tronoh itu berada di mana. Padahal
Tronoh itu pun letaknya di Malaysia juga. Mujur sahaja pada waktu itu perbualan
kami dalam konteks Malaysia. Jika tidak, pasti dia akan kata Tronoh itu letaknya
di lain-lain negara.
Situasi
di atas itu jelas menggambarkan, jika ada orang Semenanjung yang tidak tahu
tentang negaranya, orang Sabah dan Sarawak pun dua kali lima sahaja.
Tetapi
saya tidak mahu pukul rata bahawa semua orang Sabah dan Sarawak itu semuanya
tidak tahu. Jika ada yang tidak tahu, pasti akan ada ramai yang tahu. Orang di
Semenanjung pun begitu juga. Jika ada yang tidak tahu tentang negeri Sabah dan
Sarawak, yang tahu sudah pasti banyak. Usah dipukul rata secara rawak.
Apa
yang ditimbulkan oleh anak Sabah itu sebenarnya adalah satu rasa tidak puas
hati. Rasa tidak puas hati perlu diurus supaya tidak mengundang perasaan benci.
Ramai orang Sabah dan Sarawak tidak puas hati tentang banyak perkara selama
mereka tinggal di Malaysia. Perlu diingat orang di Semenanjung pun ada yang
tidak berpuas hati juga.
Rasa
tidak berpuas hati itu adalah perkara biasa. Tidak puas hati itu berpunca daripada
kelemahan pengurusan negara. Yang perlu dibuat adalah membaiki segala
kekurangan yang ada. Membuat kecaman sesama kita tidak menyelesaikan masalah
yang ada. Ia sememangnya boleh meruntuhkan perpaduan yang terjalin sejak sekian
lama.
Sebab
itu ramai menganjurkan supaya semua rakyat Malaysia perlu banyak membaca dan
mengambil cakna. Tidak banyak membaca dan tidak mahu mengambil cakna tentang
banyak perkara menyebabkan akan ada orang yang terluka. Sudah ada orang yang
terluka, jangan biarkan ada yang parah cedera.
1 Malaysia
BalasPadam