Isnin, 12 September 2016

ULAS NOVEL : PERJALANAN KARYA REGINA IBRAHIM


Image result for novel perjalanan regina ibrahim
Sumber : Google


Saya mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskan novel ini. Kebiasaannya, apabila membaca novel yang menyeronokkan, saya dapat menghabiskan sebuah novel itu kurang dari seminggu. Namun, novel kali ini saya habiskan lebih daripada seminggu. Saya tidak mahu kata novel ini tidak menyeronokkan, cuma saya mahu kata novel ini tidak merangsang saya untuk terus menatapnya dalam tempoh yang lama. Oleh sebab itu, novel ini agak lambat untuk saya selesai membacanya.

Kali pertama saya menatap novel hasil pemberian adik perempuan saya ini, ia tidak langsung menarik minat saya untuk membacanya. Saya sekadar membaca beberapa halaman sahaja, kemudian rasa bosan mula singgah di sanubari saya. Maka, saya terus beralih kepada novel yang lain.   

Namun, pada cuti semester kali ini, oleh kerana saya tidak berupaya untuk membeli novel novel baru, maka saya mula menyelongkar rak buku yang ada di bilik saya. Segera saya menjumpai novel ini semula. Kemudian saya mula membacanya kembali kerana saya benar benar bosan pada waktu itu. Dan dari situ barulah rasa minat untuk menghabiskan novel ini tumbuh dalam jiwa saya.


Novel ini mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang pondan bernama Rozan atau Rozila yang telah menjalankan pembedahan pembuangan jantina di Thailand. Novel ini agak rare bagi saya kerana berani mengetengahkan kehidupan seorang pondan yang menjalankan pembedahan pembuangan jantina untuk menjadi seorang perempuan jadian secara terperinci. Segala aspek hidup Rozila@Rozan seperti penerimaan keluarga, percintaan, pekerjaan, saat saat menjalani pembedahan, dan sebagainya dihuraikan secara naratif dan kreatif dalam novel ini. Membaca novel ini, anda akan dapat pengetahuan mengenai proses pembedahan pembuangan jantina yang dijalankan di negara Thailand. Ia adalah sesuatu yang sangat baru dan berani dalam penulisan novel novel di Malaysia.

Novel ini sangat menarik sebenarnya jika anda mahu mengetahui tentang kehidupan seorang pondan dan kegiatan pembedahan pembuangan jantina secara terperinci. Namun, kegagalan utama Regina adalah dalam merangsang minat saya untuk terus membaca dan menatap novel ini dalam tempoh yang lama. Meskipun novel ini adalah sebuah novel yang menarik, namun untuk terus membacanya dan menghabiskannya dalam tempoh masa yang singkat adalah sukar sekali.

Ini mungkin berlaku kerana tiada unsur suspen yang boleh diketengahkan oleh Regina. Walaupun tatkala membaca novel ini kita tidak boleh untuk meramalkan pengakhiran kisah hidup bagi Rozila@Rozan, namun unsur suspen itu langsung tidak wujud ketika saya membacanya.

Suatu perkara yang agak menarik dalam novel ini adalah perkahwinan antara seorang lelaki tulen dengan seorang pondan yang telah melakukan pembedahan jantina sehingga menjadi seorang perempuan jadian. Ia bukanlah perkara baru yang saya tahu tetapi ‘keberanian’ Regina dalam mengetengahkan perkara tersebut dalam novel ini agak saya kagumi. Menerusi watak Rozan@Rozila yang berkahwin dengan Ismail Mansur, Regina memperlihatkan realiti perkahwinan songsang yang berlaku dalam masyarakat kita ini. Bukan hanya pada watak Rozan, watak watak beberapa orang rakan Rozan@Rozila yang lain juga turut melakukan perkara yang sama.     

Mungkin secara tidak sedar, Regina sebagai penulis novel ini mahu memperlihatkan kepada kita semua tentang realiti perkahwinan songsang antara seorang lelaki tulen dengan seorang lelaki yang telah pun menjadi seorang perempuan jadian. Justeru, menerusi novel Perjalanan ini, dapatlah kita mengetahui bahawa begitu banyak sekali perkahwinan songsang yang berlaku dalam negara kita.

Gaya penceritaan Regina dalam novel ini seolah olah beliau ‘menghalalkan’ penukaran jantina dalam kalangan lelaki dan perkahwinan songsang antara lelaki. Beliau seolah olah mahu pembaca menerima golongan pondan dan menerima perkahwinan songsang antara seorang pondan dengan seorang lelaki tulen.   

Berbeza dengan tipikal novel novel gay yang pernah saya baca, semua lelaki gay pasti akan tertarik dengan lelaki kacak. Mereka bercinta dan bernafsu dengan lelaki kacak. Penceritaan mengenai perasaan cinta dan pertemuan mereka dengan lelaki kacak dilambakkan dalam sebuah novel. Tetapi, novel Perjalanan ini pula tidak begitu. Ia tidak menceritakan mengenai Rozila@Rozan bercinta atau berperasaan dengan lelaki kacak secara berlebihan tetapi lebih kepada menceritakan kehidupannya sebagai seorang pondan yang telah pun menjalani pembedahan jantina dalam alam pekerjaan, kekeluargaan, percintaan dan kemasyarakatan. 

Novel ini sangat bagus sebenarnya jika anda mahu mengetahui tentang kehidupan seorang pondan yang menjalani pembedahan pembuangan jantina. Novel ini tidak sama dengan kebanyakkan novel gay yang penuh dengan fantasi cinta yang penuh pancaroba dan kadang kadang tiada berkesudahan. Novel ini ada kelasnya yang tersendiri dalam lambakan novel yang ada di Malaysia.




2 ulasan:

  1. Terima kasih kerana sudi memberi review. Sudah ada di pasaran LEBIH DUKA DARI SUKA terbitan Gerakbudaya. Juga kisah kisah tentang Maknyah yang disasarkan pada ibubapa, cisgender dan masyarakat secara keseluruhannya.

    BalasPadam

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.